Ketokohan al-Imam Ahmad bin Hanbal Dalam Ilmu Hadith

Al-Imam Ahmad bin Hanbali merupakan nama seorang tokoh ilmuan Islam yang tidak asing bagi mereka yang mendalami bidang hadis. Nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbali al-Syaibani. Berketurunan Arab kabilah Bani al-Najjar. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 164 Hijrah dan dibesarkan di kota itu. Ahmad juga tersohor dengan jolokan Abu Abdullah.

 

Sebagaimana al-Imam al-Syafie, Ahmad juga dibesarkan dalam keadaan yatim.  Selepas kematian bapanya, beliau menetap bersama ibunya dalam keadaan serba kekurangan. Namun hasil didikan ibunya semenjak kecil, beliau sanggup hidup berdikari tanpa mengharap sebarang bantuan  daripada mana-mana pihak.

 

Ahmad akan melakukan apa sahaja pekerjaan demi meringankan beban ibunya dan menyara hidupnya asalkan pekerjaan tersebut halal dan mulia disisi syarak. Beliau pernah belajar menenun kain dan menjual kain, mengambil upah menulis kitab-kitab syair Arab (Dawawin), mengutip hasil tanaman gandum dan barli selepas musim menuai dan menjual hasil tanaman tersebut di pasar. Bagi Ahmad pekerjaan sebegini adalah mulia walaupun dipandang hina untuk dilakukan oleh sesetengah masyarakat terutama mereka yang berketurunan bangsawan.

 

Beliau cintakan ilmu pengetahuan. Status kota Baghdad yang berperanan sebagai pusat sebaran ilmu pada masa itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk menimba pengetahuan terutama sekali dalam bidang hadis dan fiqh.  Seperti mana imam-imam mazhab yang terdahulu, beliau memulakan alam pengajiannya dengan mempelajari dan menghafal al-Quran pada peringkat awal. Seterusnya beliau turut mempelajari bahasa Arab, fiqh, hadis, sirah nabawi, para sahabah dan juga para tabiin.

 

Mengikut catitan ahli sejarah, guru pertama Ahmad bin Hanbali ialah Abu Yusuf Yaakub bin Ibrahim. Beliau merupakan seorang pakar dalam fiqh mazhab Hanafi dan juga merupakan murid al-Imam Abu Hanifah yang paling kanan. Ketika bersama Abu Yusuf, Ahmad semakin memahami bahawa hadis nabi merupakan sumber hukum dalam permasalahan fiqh yang paling berauthoriti selepas al-Quran.

 

Susulan ini, dalam usia 15 tahun beliau memulakan pengajiannya  secara rasmi dalam ilmu hadis  daripada al-Syeikh Hashim bin Basyir bin Abu Hazim al-Wasithi selama 4 tahun. Dalam tempoh 4 tahun bersama al-Syeikh Hashim, beliau telah mencatit sebanyak tiga ribu buah hadis. Tidak memadai dengan apa yang ada, Ahmad sanggup mengembara jauh ke bumi Yaman, Kufah, Basrah, Madinah dan Mekah demi mencari para perawi hadis yang masih hidup.

 

Dalam tempoh pencarian tersebut, beliau melakukan apa sahaja pekerjaan untuk menyara kehidupannya  sebagaimana yang pernah dilakukan oleh beliau semasa masih kecil. Semuanya ini dilakukan demi menjayakan kariernya mengumpul hadis-hadis nabi. Usaha ini amat sukar dan memakan jangka masa yang panjang. Ini kerana para perawi tinggal di merata tempat dan beliau terpaksa mengembara dari satu negeri ke negeri yang lain  Bagi Ahmad, dapat menjumpai sebuah hadith dalam sehari sudah merupakan suatu kejayaan yang besar bagi dirinya. Lantaran kesungguhan dan ketekunan yang dimiliki, beliau digelar sebagai “Imam al-Muhadisin” yang bermaksud “ Imam bagi sekalian ulamak hadis”.

 

Dalam usaha  mengumpul hadis-hadis di Mekah, Ahmad bertemu dengan al-Imam al-Syafie. Beliau begitu kagum dengan keilmuan dan kepakaran yang dimiliki oleh al-Syafie . Sebelum pada itu Ahmad hanya mendengar ketokohan dan kehebatan al-Syafie melalui cerita dari mulut ke mulut sahaja.  Lantaran ini beliau berguru pula dengan al-Syafie dan menjadi murid al-Syafie yang paling kanan.

 

Demi menimba ilmu, beliau menetap di kota Mekah. Beliau juga kembali semula ke Baghdad semata-mata ingin mendampingi al-Syafie yang berhijrah ke Baghdad pada tahun 198 Hijrah. Pengajian Ahmad bersama al-Imam al-Syafie berakhir pada tahun 199 Hijrah setelah gurunya membuat keputusan untuk merantau ke negeri Mesir. Walaupun terpaksa berjauhan dengan guru yang paling dikagumi, kehidupan Ahmad tidak pernah lekang daripada suasana ilmiah. Beliau pernah mengatakan “Aku merupakan penuntut ilmu sehinggalah aku dimasukkan ke dalam lubang kubur”.

 

Kemantapan ilmu yang dikuasai oleh Ahmad bin Hanbal diakui sendiri oleh gurunya. Al-Syafie pernah mengata, “Aku telah keluar daripada kotaBaghdad dan aku tidak meninggalkan di kota itu insan yang lebih bertaqwa dan lebih faqih  daripada Ibn Hanbali”. Dalam bidang pengajian hadis, al-Syafie turut mengiktiraf kepakaran Ahmad bin Hanbali dengan katanya “ Kamu lebih mengetahui selok belok keilmuan hadis dan tentang para perawinya”. Antara murid-muridnya yang turut berkaliber dalam bidang hadis ialah AbdulRahman bin Mahdi, Abu Hatim al-Razi, Musa Ibn Harun, Baqiy bin Mukhlid al-Andalusi, Muhammad bin Ismail al-Bukhari dan juga Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi.

 

Walaupun mempunyai keilmuan yang mantap, Ahmad bin Hanbali tidak pernah mengajar atau membuka kelas secara rasmi kecuali selepas beliau berumur 40 tahun. Kelas yang dianjurkan oleh beliau dibahagikan kepada dua; yang pertama merupakan kelas pengajian yang dibuka dirumah khusus untuk ahli keluarganya. Manakala kelas kedua pula dibuka khusus untuk orang awam dan dijalankan di masjid. 

 

Selain daripada membuka kelas pengajian, Ahmad bin Hanbal juga giat dalam bidang penulisan kitab. Antara kitab-kitab yang dihasilkan oleh  beliau ialah al-Musnad, al-Tafsir, al-Nasikh wa al-Mansukh, al-Muqaddam wa al-Muakhar fi Kitabillah, Jawabat al-Quran, Hadis Syu’bah, al-Manasik al-Kabir, al-Manasik al-Soghir,  kitab al-Solat (kitab kecil), kitab al-Sunnah, kitab al-wara’, kitab al-Zuhd, Masail al-Imam Ahmad dan Risalah al-Radd ala al-Jahmiah. Antara kitab-kitab tersebut, kitab al-Musnad lah yang merupakan sumber inspirasi Ahmad bin Hanbali.

 

Al-Musnad merupakan kitab himpunan hadis-hadis yang diusahakan oleh Ahmad sepanjang hidupnya. Kitab ini mengandungi sebanyak 750,000 hadis yang diriwayatkan oleh lebih 700 orang para sahabat Rasulullah. Ahmad amat teliti dalam usaha pengumpulan hadis. Segalanya dilakukan oleh beliau dengan penuh minat dan amanah. Oleh kerana hadis yang terkumpul terlalu banyak, anaknya Abdullah bin Ahmad turut membantu bapanya mencatit dan menyusun semula hadis-hadis tersebut.

 

Walau bagaimanapun Ahmad bin Hanbal meninggal dunia sebelum sempat al-Musnad disusun untuk dimanafaatkan oleh khalayak ramai.  Lantaran ini, usaha penyusun al-Musnad selepas itu disempurnakan oleh anaknya, Abdullah bin Ahmad bin Hanbal.

 

Dari segi pendirian politik pada masa itu, Ahmad mempunyai berbeza  daripada imam-imam sebelumnya yang tidak berpihak kepada mana-mana kerajaan monarchy. Beliau pernah mengatakan bahwa kepimpinan Islam pada masa itu harus dipilih daripada keturunan Quraisy. Beliau juga mengiktiraf pelantikan anak al-Abbas sebagai khalifah  menganggapnya sebagai “Bapa para Khulafa’”. Pengiktirafan yang dibuat ini jelas menunjukkan bahawa pendirian Ahmad bin Hanbal lebih cenderung kepada kerajaan Bani Abbasiyah.

 

Meskipun begitu, ini bukan bererti Ahmad bin Hanbal menyokong segala tindak-tanduk para khulafa’ Bani Abbasiyah. Malah beliau pernah ditangkap serta dipenjara oleh khalifah al-Mu’tasim ( salah seorang khulafa’ Bani Abbasiyah) yang begitu cenderung kepada mazhab al-Muktazilah yang mengatakan bahawa al-Quran merupakan sebuah kitab yang bersifat hadis (baru) sebagaimana makhluk-makhluk lain. Pandangan ini ditentang keras oleh Ahmad bin Hanbali dan menyifatkan pendapat al-Mukzilah sebagai suatu pendapat yang amat melampau dan menghina keEsaan Allah Taala. Bagi beliau al-Quran merupakan kalamullah yang bersifat qadim sebagaimana Allah Taala. Lantaran kedegilannya dalam mempertahankan hujjah, Ahmad bin Hanbali disebat dengan beberapa sebatan oleh Sulaiman al-Sajzi atas perintah khalifah al-Muktasim.

 

Dalam masalah pertumpahan darah yang berlaku antara pihak Ali bin Abu Talib dan Muawiyah bin Abu Sufian, Ahmad bin Hanbal memuji keberanian al-Zubair, Talhah dan AbdulRahman. Beliau juga menghukum kafir ke atas golongan yang menentang al-Khulafa’ al-Rasyidin  dan mencaci Aisyah Um-al-Mukminin. Namun dalam masa yang sama, Ahmad bin Hanbali tidak pernah mencela tindakan Muawiyah dalam peperangan Siffin dan al-Jamal. Baginya peperangan antara kedua-dua belah adalah berasaskan kepada ijtihad pihak masing-masing. Menurut beliau, “Bukan semua ijtihad mujtahid yang dibuat itu betul. Bagi yang betul mendapat dua ganjaran, manakala bagi yang salah akan dapat satu ganjaran sahaja”.

 

Sebagai seorang ilmuan Islam yang warak dan bertaqwa kepada Allah, beliau tidak pernah lekang daripada membaca al-Quran dan menghayati segala inti kandungan al-Quran dengan penuh rasa rendah diri. Menurut anaknya, Abdullah yang juga merupakan seorang pencatat hadis; bapanya biasa mengkhatam bacaan al-Quran sebanyak dua kali setiap minggu. Sekali pada waktu malam dan sekali lagi beliau mengkhatamkan bacaannya pada waktu siang. Bapanya  juga menunaikan solat qiam al-lail sebanyak tiga ratus rakaat dan mengurangkan jumlah rakaat tersebut kepada 150 rakaat setelah usianya semakin meningkat tua.

 

Dalam usia 77 tahun, beliau jatuh sakit uzur tua. Keuzuran yang dialaminya berlarutan selama 9 hari.  Akhirnya al-Imam Ahmad bin Hanbali kembali ke rahmatullah pada  hari Jumaat 12 hb. Rabiul-Awal tahun 241 Hijrah. Jenazah beliau dikebumikan dibumi Baghdad di mana ia merupakan medan ilmu yang pertama dan terakhir buat diri al-Imam Ahmad bin Hanbali.

 

 

 

 

 

 

 

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: