Ibn Khaldun: Pengasas Ilmu Sosiologi.

ibn-khaldun1

Waliudin Abu Zaid Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khalid ibn al-Khattab atau lebih tersohor dengan jolokan Ibn Khaldun dilahirkan di Tunisia pada tahun 1332M. Seperti mana Ibn Sina, Ibn Khaldun juga berasal daripada keluarga berada yang begitu cenderung dalam bidang akademik dan politik. Status keberadaan ini digunakan sebaik mungkin bagi tujuan menambah ilmu pengetahuannya dalam segala bidang yang diterokai. Bapanya seorang pemerintahan tentera yang alim dalam selok-belok agama. Ibn Khaldun memulakan karier pengajiannya dibawah seliaan ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama lain di Tunisia dengan menghafal al-Quran dan al-hadis serta pengajian tafsir, fiqh, bahasa Arab dan sastera. Setelah mampu menguasai sebahagian besar ilmu-ilmu agama dan bahasa berusia 16 tahun, beliau mempelajari serta mendalami ilmu logik dan falsafah. Pada tahun 1347M, Ibn Khaldun mulai menjalin hubungan rapat dengan keluarga pemerintah Morocco, Sultan Ibn Hasan al-Marini. Pada tahun 1351M, beliau menjawat jawatan kerajaan di bahagian surat-menyurat di bawah pemerintah Muhammad Tafrakin.

Ibn Khaldun adalah salah seorang pakar sejarah Arab teragung yang juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Beliau turut mengembangkan falsafah tidak berasaskan keagamaan paling awal sebagaimana yang dicatit dalam karyanya, Muqaddimah (“Pengenalan”). Menurut Umar Furrukh dalam kitabnya, Tarikh al-Fikr al-‘Arabi; setelah merasa bosan merantau dan melaksana urusan kerajaan, Ibn Khaldun berpindah ke Morocco dan mengambil keputusan untuk mengasingkan diri di sebuah tanah perkuburan di bahagian timur Telemsan selama 4 tahun dan mula menulis bukunya, Muqaddimah. Menurut catatan Abu Usaiba`ah dalam kitabnya, `Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’: Selain Muqaddimah, Ibn Khaldun juga menulis dalam bidang-bidang lain seperti ilmu hisab, logik dan sejarah.

Tokoh ini tersohor dengan beberapa idea membangun. Menurut beliau, gandingan antara agama dan asabiyyah dalam usaha-usaha mewujudkan sebuah negara yang teguh adalah amat diperlukan pada peringkat permulaan untuk mewujudkan sesebuah pemerintahan negara. Malah juga agama tidak akan sempurna tanpa ‘asabiyyah. Meskipun begitu, beliau juga tidak menafikan bahawa kezaliman akan berlaku sekiranya unsur-unsur ‘asabiyyah lebih mengatasi ke atas unsur-unsur agama. Ini kerana agama adalah satu unsur yang lebih besar peranannya daripada ‘asabiyyah dalam pementukan sesebuah pemerintahan negara.

Dari sudut ekonomi, Ibn Khaldun memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Beliau membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang serta melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan. Sarjana ini juga memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan keatas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Pada tahun 1363 beliau bertindak sebagai duta raja Moor di Granada, kepada Pedro Kejam Castile (The Cruel of Castile). Dia belayar ke Alexandria pada Oktober 1382 dan menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan di beberapa buah universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abu al-Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387. Tokoh ilmuwan ini meninggal dunia pada 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Antara jasa terbesarnya ialah penyusunan ilmu sosiologi atau sains kemasyarakatan. Ia telah diperkenal oleh Ibn Khaldun sendiri pada sekitar tahun 1377. Sosiologi adalah satu disiplin ilmiah yang mengkaji tentang interaksi kemanusiaan meliputi pelbagai tajuk dalam berbagai bidang. Bidang ilmiah ini amat cenderung terhadap konflik, persefahaman, persaingan dan kerjasama, organisasi, perpecahan, penyesuaian, penyusunan, perubahan dan juga lain-lain proses interaksi kemanusiaan. Bidang ini mempunyai kaitan rapat dengan ilmu politik. Malah penyelidik dalam bidang politik akan lebih mampu memahami serta mendalami segala latarbelakang, susunan, pola kehidupan sosial berbagai golongan atau kelompok dalam sesebuah masyarakat.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: