
Gambar oleh kickdefella
Lepas baca blog kickdefella berkaitan dengan pelayaran menuju ke Pelantar Cakrawala, saya teringatkan satu babak perbualan pada tahun 2004 di Tanjung Jara ketika mana bas Tranasional yang saya naiki berhenti untuk memberi peluang kepada para penumpangnya makan dan rehat. Masa itu saya bertugas sebagai guru bahasa Arab di SMUA Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor. Selepas mengambil nasi dan minuman, saya terus beratur dan membayar makanan di kaunter restoran Tanjung Jara. Kemudian saya menuju ke salah sebuah meja yang ada di situ. Beberapa minit lepas duduk dan menikmati makanan yang baru dibayar tadi, tiba-tiba kedengaran satu suara bertanya “Boleh saya duduk di sini?” “Boleh….” Jawab saya spontan sambil tersenyum. Lelaki tersebut meletakkan nasi dan airnya di atas meja dan terus duduk bersebelahan dengan saya. “Nak ke mana?” Tanya beliau. “nak ke Kota Bharu…..saya mengajar di SMUA Tarbiyyah Mardhiyah Panchor….” Jelas saya. “You pulak nak ke mana ?” Tanya saya pula. “Saya nak ke pelantar minyak Cakrawala” jawabnya. “Di mana tuh?” Tanya saya lagi kehairanan. “Dekat perairan Kelantan…saya bekerja kat pelantar minyak”. Jawabnya ringkas sambil menyuap nasi dengan sudu yang dipegangnya. Sebelum ini saya hanya tahu Kelantan ada minyak tapi saya tidak tahu sama ada ia telah diterokai ataupun belum. “Petronas dah masuk ke Kelantan? Setahu saya Dr.Mahathir tak restu Petronas untuk bertapak di Kelantan” tambah saya. “Petronas tak masuk. Cuma Syarikat Bunga Raya yang buat kerja. Sub under sub lah nih….biasalah orang politik, they all memang macam tuh…kita yang bertugas bahagian teknikal nih yang terpaksa bertungkus lumus. Lepas nih may be syarikat lain pula akan join kita” jelasnya lagi. Tergamam rasanya hati ini lepas dengar penjelasan lelaki yang baru duduk di sebelah saya tadi. Bermacam-macam imiginasi terbayang dalam otak ini, ada yang munasabah dan ada juga yang tidak munasabah. Kerajaan Kelantan tak tahu ke hal ini? Betul ke cerita pemuda tadi? Kalau saya sebarkan cerita ini …sapalah nak percaya sebab saya tak ada bukti bertulis pada ketika itu. Lepas selesai makan, kami berpisah menaiki bas masing-masing.
Beberapa minggu kemudian, semasa berada dalam bas Mutiara Ekpress dari Kerteh menuju ke Kota Bharu, saya dikejutkan dengan perbualan beberapa orang anak muda yang cuba mengingatkan pemandu bas agar beliau berusaha sampai awal sebelum pukul 7 pagi di Rantau Panjang. Ini kerana ada helicopter yang menunggu untuk mengangkut mereka semua menuju ke pelantar Cakrawala. Sekali lagi saya teringat perbualan saya di restoran Tanjung Jara dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Untuk tidak menyerabukkan otak, saya terus berusaha melupakan kekalutan mengenai minyak di Pelantar Cakrawala itu. Pada masa itu saya hanya seorang guru YIK dan bukan seorang ahli politik yang perlu menyelongkar secara lebih mendalam. Lagipun masa tuh belum berlangsung lagi pilihanraya umum 2004. Kebanyakkan wakil-wakil rakyat PAS di Kelantan pada masa itu semuanya sukar didampingi apatah lagi untuk orang macam saya nak masuk rapat. Kesombongan mereka hanya mulai reda selepas berakhir pilihanraya 2004 yang menghukum PAS dengan kemenangan tipis di Kelantan. Anyway, itu kisah lama. Tak perlu dipanjang lebarkan. Mudah-mudahan perkara itu mempunyai hikmat yang tersendiri.
Kembali semula kepada kisah minyak di pelantar Cakrawala. Alhamdulillah….memang kawasan minyak itu terbukti berada dalam kawasan perairan Kelantan. Pengesahan ini secara tidak langsung menafikan kenyataan Dato’ Mustapha Mohammad yang menafikan bahawa ia adalah milik negeri Kelantan. Bagi saya, kenyataan Dato’ Mustapha itu adalah satu pembohongan yang amat sukar dimaafkan oleh rakyat Kelantan. Satu pembohongan hak yang begitu amat memalukan. Mungkin disebabkan penafian yang tidak berasas inilah beliau tidak sanggup untuk turut sama belayar meninjau kawasan minyak berkenaan tempoh hari. Mudah-mudahan dengan pengesahan lokasi berkenaan, Najib Tun Razak selaku orang No.1 dalam kerajaan pusat akan berlembut hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan dalam masalah pembayaran royalty minyak demi kebaikan rakyat Kelantan.