Archive for November 9th, 2009

BENARKAH BEGITU?

Isteri menangis, suami menggigil

Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan menggeletar pada majlis bai’ah apabila mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan politik kepartian yang sempit dan jumud.

Gelojak rasa itu turut dikongsi si suami yang menggigil sewaktu mengangkat bai’ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri.

Debaran dan suasana hiba pada majlis bai’ah Pas itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) selepas mendengar pengakuan daripada beberapa wakil rakyat parti itu.

Malah kata Zulkifli, wakil rakyat terbabit juga meminta bantuannya supaya membawa isu bai’ah itu ke tengah selepas ia menjadi perdebatan umum apabila disahkan oleh Ahli Parlimen Pas Shah Alam, Khalid Samad, Khamis lalu.

Katanya, mereka sudah tidak mampu menanggung bebanan yang dipikul tetapi tiada kekuatan untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan.

“Mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah.

“Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar buat mereka dari ikatan bai’ah dan sumpah ini,” kata Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam laman blog beliau http://zul4kulim. blogspot.com/.

Zulkifli memberitahu, beliau lebih terkejut apabila diberitahu dasar bai’ah talak tiga itu diluluskan dan direstui kepimpinan Pas.

Katanya, beberapa tokoh parti yang dihubungi bukan sahaja tidak berasa bersalah dan berdosa dengan bai’ah itu, malah mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan tanpa sandaran kepada al-Quran, sunah Rasulullah mahupun amalan para sahabat.

Sebaliknya jelas beliau, ia sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran akal dangkal semata-mata.

“Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi.

“Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian, kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik,” katanya.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, dasar tersebut umpama kembali ke zaman jahiliah dengan menjadikan wanita sebagai bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

“Tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah dan kita jadikan perkara yang paling dibenci Allah ini sebagai dasar bai’ah dan sumpah taat setia,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa bai’ah taat setia Pas itu tidak dibuat dalam bentuk lain seperti bersumpah laknat.

Dengan cara itu katanya, semua wakil rakyat diyakini akan berfikir banyak kali sebelum bercadang melompat parti.

“Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?

“Apakah kelak bila menjadi kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa bai’ah menceraikan isteri mereka jika tidak taat kepada kerajaan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Bai’ah taat setia, bukan cerai isteri: Mahfuz

ALOR SETAR – Memang benar ada bai’ah dalam Pas, tetapi ikrar taat setia kepada parti, bukaannya mencerai isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti atau keluar parti, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar,

“Tiada taklik talak tiga dalam Pas yang bermaksud jatuh talak tiga sekali gus bagi seseorang wakil rakyat terhadap isteri mereka jika mereka ‘melompat’ parti selepas memenangi pilihan raya,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apa yang dimaksudkan bai’ah dalam Pas adalah lafaz taat setia ahli pada parti bukannya melakukan penceraian seperti yang difahami sesetengah pihak.

“Bai’ah yang diamalkan Pas adalah ketaatan dan kepatuhan ahli terhadap perjuangan parti bukannya menceraikan isteri dengan talak tiga.

“Buat apa kita nak ceraikan isteri sedangkan mereka inilah yang memberi sokongan tetapi kalau ada segelintir ahli yang berfikir mahu menambah isteri, itu mungkin betul,” katanya ketika dihubungi, semlaam.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya ada pihak yang memperbesarkan isu ini kerana mahu menjatuhkan Pas dengan menunjukkan bahawa parti itu tidak mempunyai tanggungjawab terhadap golongan wanita.

Mahfuz berkata, bai’ah yang diamalkan oleh Pas juga tidak pernah membabitkan institusi kekeluargaan kerana ahli Pas tidak mahu berl:akunya pengkhianatan terhadap keluarga.

Menyokong kenyataan Mahfuz itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, ahli Pas bersedia untuk melakukan bai’ah untuk kebaikan mereka, keluarga dan juga parti.

Menurutnya, amalan ini merupakan amalan sama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda berangkat untuk pergi berperang kerana ia merupakan salah satu cara menunjukkan ketaatan seseorang itu terhadap perjuangannya.

“Ahli kita sedia melaksanakan bai’ah sebelum menyertai Pas kerana inilah yang akan membuktikan ketaatan kita kepada parti dan kita juga sanggup berjuang demi mempertahankan Pas.

“Jangan kaitkan bai’ah ini dengan isteri mahupun keluarga kerana ini bukanlah cara yang diamalkan oleh Pas,” katanya.

Beliau berkata, pihak lain diminta agar tidak mencampuri urusan dalaman Pas termasuklah urusan angkat sumpah yang dilakukan kerana ini mampu merobohkan keutuhan yang telah dibina oleh parti itu.
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5976450.asp

towardsmardhatillah:

Sama ada baiah setia terhadap parti dengan cara menta`liq isteri jika ada wakil rakyat melompat parti dilakukan dalam PAS, sebenarnya  saya tidak begitu pasti sebab saya bukan wakil rakyat PAS. Namun sekiranya ia benar-benar dilakukan oleh wakil-wakil PAS, hukumnya adalah harus dan tidak bercanggah dengan syarak. Malah ia adalah wajib dipatuhi demi menjaga kemaslahatan jamaah. Amat mustahil kaedah baiah ini dipraktikkan oleh PAS ke atas semua para pegawai kerajaan dan juga rakyat jelata. Jangan keliru dalam masalah ini. Lagikan Jabatan Agama Islam menetapkan syarat ta`liq  jatuh talaq ke atas isteri jika seseorang suami tidak menunaikan nafkah selama 3 bulan berturut-turut.  

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.