Archive for November 26th, 2009

Al-Adhiyyah (Korban)

Korban ialah penyembelihan binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, biri-biri dan kambing pada hari penyembelihan korban dan pada hari-hari tasyrik demi untuk mendekatkan diri kepada Allah Azza wa Jalla. Tidak sah penyembelihan haiwan lain sebagai korban selain daripada binatang ternakan. Mafhum firmanNya ‘Sebutlah nama Allah atas apa yang Dia rezekikan kepada mereka daripada binatang ternakan” (surah al-Hajj, ayat 34)

 Pensyariatan korban diumumkan oleh Allah  Azza wa Jalla melalui firmanNya;

i)                    Sesungguhnya Kami berikan kepadamu kebaikan yang banyak. Sebab itu sembahlah Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya musuhmu menjadi putus asa (surah al-Kautsar, ayat 1-3.)

ii)                   Dan unta itu Kami jadikan termasuk lambang kesucian agama Allah. Padanya kamu mendapat kebaikan. (Surah al-Hajj, ayat 36)

Keutamaannya pula dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Asiyah r.a  bahawa Rasulullah bersabda “Tiada amalan anak Adam yang lebih baik daripada amalan pada hari penyembelihan korban yang lebih disukai oleh Allah. Ia (haiwan yang dikorban) akan muncul pada hari kiamat dengan tanduk-tanduk, bulu-bulu dan kesan-kesannya. Sesungguhnya Allah akan menerima korban itu sebelum darahnya jatuh menitis ke bumi. Maka perelokkanlah jiwa dengannya (korban tersebut)”.

Hukum sembelihan korban adalah sunat muakkadah dan makruh pula bagi sesiapa yang mampu berkorban tapi tidak melakukannya. Dalam sebuah hadis daripada Anas r.a yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim; bahawa Rasulullah menyembelih dua ekor kibas (biri-biri) yang bulunya bertompok hitam putih dan bertanduk. Dia menyembelih kedua-dua haiwan itu dengan tangannya dan dia membaca bismillah serta bertakbir”

Korban tidak wajib kecuali pada salah satu perkara berikut;

i)                    Jika bernazar, maka wajib disempurnakan nazar berkenaan.

ii)                   Dengan berkata atau berniat “Haiwan ini untuk Allah atau untuk korban”. Menurut Imam Malik jika dibeli dengan niat korban, maka menjadi wajib korban sembelihan dilakukan.

Korban disyariatkan bagi memperingati Nabi Ibrahim serta memperluaskannya kepada seluruh manusia pada hari raya sepertimana sabda Rasulullah “Sengguhnya ia merupakan hari-hari untuk jamuan makan minum serta mengingati Allah Azza wa Jalla. Seekor biri-biri boleh dimanafaatkan pada usianya ½ setahun, kambing pada usia setahun, lembu dua tahun dan unta lima tahun (sama ada jantan ataupun betina). Selain itu, disyaratkan juga haiwan ternakan yang bakal dikorbankan itu mestilah sihat serta tidak memiliki sebarang keaiban seperti berpenyakit dan kecacatan zahir yang boleh dianggap dagingnya berkurangan daripada yang sepatutnya.

Disyaratkan agar haiwan ternakan tidak disembelih kecuali selepas terbit matahari pada hari raya dan tempoh itu berterusan hingga waktu kadar dilakukan solat hari raya. Malah sah sembelihan selepas itu pada ketiga-tiga hari (hari tasyik) sama ada pada malam dan siang dan berakhir dengan tamatnya hari-hari berkenaan. Diharuskan bersepakat dan bekerjasama dalam penyembelihan unta ataupun lembu daripada setiap tujuh bahagian apabila mereka nekad berniat untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Disunatkan kepada individu yang berkorban makan daging korban, menghadiahkan kepada sanak saudara, mensedekahkan kepada golongan fakir. Bagi sebahagian besar ulama’ mengatakan; Adalah lebih afdhal untuk satu pertiga, disedekahkan sebanyak satu pertiga dan disimpan sebanyak satu pertiga”. Dalam masalah agihan daging, seringkali timbul sifat tamak di kalangan mereka yang berkorban tetapi tidak memahami serta menghayati konsep korban. Ramai di kalangan mereka yang bermasalah ini lazimnya akan memilih bahagian daging-daging yang elok seperti daging musir, paru, limpa dan jantung untuk dimasukkan dalam hak mereka  sebanyak 1/3 untuk disimpan. Ada juga dikalangan mereka bermasalah ini akan menghimpun 1/3 daging-daging elok untuk dibuat jamuan makan dirumah masing-masing  dan djemput para tetamu VVIP sahaja tanpa mempedulikan golongan fakir miskin. Manakala 1/3 lagi untuk diagihkan kepada fakir miskin pula terdiri daripada daging-daging bercampur tulang yang hanya sesuai untuk dibuat sup tulang sahaja. Tindakan sebegini sebenarnya amat menyalahi konsep korban itu sendiri yang lebih mengutamakan pengorbanan dan penyerahan yang paling terbaik demi meraih keredhaan Ilahi.  

Harus juga dipindah daging korban tersebut ke negara lain (luar negeri) dan tidak harus untuk dijualnya dan juga kulitnya. Bagi al-Imam Abu Hanifah; harus dijual kulitnya dan disedekah harga hasil jualan kulit haiwan berkenaan. penyembelihan sunat dilakukan oleh individu yang elok sembelihannya dan membaca

بسم الله والله اكبر اللهم هذا عني وعن من لم يضح من أمتي      

Sesiapa yang tidak elok sembelihannya, maka memadailah bagi dirinya berusaha mendapatkan pahala sunat dengan hanya menyertai dan melihat upacara haiwan terbabit disembelih.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.