Sumbangan Islam dalam bidang Matematik

Oleh: Ali Abdullah al-Daffa’

Pada zaman awal Islam, iaitu lebih kurang pada tahun 700M, orang Islam mengarahkan perhatian mereka kepada aktiviti-aktiviti intelektual. Tumpuan utama mereka ialah bidang ilmu amali seperti matematik dan astronomi. Ada unsur-unsur keagamaan yang menyebabkan  orang Islam memerlukan matematik dan astronomi. Dengan ilmu geometri, mereka menentukan arah Mekah (Kaabah) yang menjadi kiblat pada waktu mereka bersembahyang setiap hari. Manakala aritmatik dan algebra diperlukan untuk mengira harta pusaka, hari dan tahun. Dengan ilmu astronomi pula, mereka dapat menentukan hari-hari kebesaran yang lain (hari raya dan permulaan berpuasa dalam bulan Ramadhan).   

Bagaimanapun, orang Islam tidak menghadkan penggunaan ilmu yang mereka majukan itu semata-mata untuk agama tetapi memperluaskan lagi penggunaannya untuk manafaat manusia. Apabila orang Islam berpaling ke bidang matematik yang kadangkala dirujuk sebagai “Cermin Peradaban”, mereka telah mengikuti jalan yang sukar untuk memperkembangkan kebudayaannya. Orang Islam  begitu maju pada zaman pertengahan Islam kerana mereka mempelajari tentang langit dan bumi dengan mencari bukti-bukti untuk menambah keimanan mereka. Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuruh para pengikutnya mencari imu pengetahuan bermula dari buaian hinggalah ke liang lahad, walaupun hingga ke negeri China. “Sesiapa yang mengembara untuk mencari ilmu pengetahuan, bermakna dia mengembara pada jalan Allah menuju syurga”[1]. Pada zaman kegelapan di Barat, matematik telah merosot ke tahap yang rendah. Sungguhpun demikian, kejayaan intelek orang Yunani dalam ilmu ini untuk manusia tidak hilang begitu saja. Di bawah pengaruh dorongan agama Islam yang agung, orang Islam menjadi kuasa besar yang meluas dengan cepatnya.

Bermula dari tahun 600M hingga 1200M, Empayar Islam merentang dari India hinggalah ke Sepanyol, Baghdad dan Cordova merupakan pusat pentadbiran para khulafa’ yang memerintah. Abad ke-9 dan ke-10 dianggap sebagai zaman keemasan ahli-ahli matematik Islam. Dunia terhutang budi kepada mereka kerana memelihara dan memperkembangkan matematik orang Yunani yang bermutu tinggi. Begitu juga zaman Renaisans Eropah terhutang budi kepada Zaman keemasan Islam. Perhubungan atau pertalian ini membuka pintu yang luas untuk para cerdik pandai seterusnya membuat penyelidikan lanjutan.

Perhatian khusus patut diberikan terhadap kebangkitan negara Islam yang mengagumkan ketika Eropah mengalami zaman kegelapannya. Hanya sedekad selepas Nabi Muhammad s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622M, semua kaum di Semenanjung Tanah Arab yang hidup berpecah belah dapat disatukan oleh semangat keagamaan mereka yang begitu tinggi sehingga terbentuklah sebuah negara yang amat berpengaruh. Kira-kira pada tahun 800M, khalifah yang memerintah pada masa itu telah menjadikan bandar Baghdad sebagai pusat ilmu pengetahuan. Khalifah al-Ma’mun contohnya; seorang cendikiawan, ahli falsafah dan teologi telah membina Bayt al-Hikmah sebagai perpustakaan, akademi dan institusi penterjemahan. Ia juga merupakan pusat pendidikan terpenting dibangunkan selepas penubuhan Muzium Iskandariyah pada pertengahan abad ke-3 S.M. Khalifah al-Ma’mun juga mengumpulkan para cerdik pandai untuk menterjemahkan karya-karya terkenal dalam bahasa Yunani ke bahasa Arab. Lantaran ini, tidak hairanlah jika karya-karya Ptolemy, Eulid, Aristotle dan lain-lain lagi tersebar jauh dari Baghdad hingga ke universiti-universiti Islam di Sicily dan Sepanyol. Melalui universiti-universiti di Sepanyol jugalah orang-orang Islam memperkenalkan pengetahuan saintifik serta memindahkannya ke Eropah yang pada ketika itu berada dalam kegelapan. Boleh dikatakan serentak dengan zaman orang Islam dalam sejarah matematik, sama ada mereka adalah putera raja, tokoh agama ataupun orang kaya, kesemua mereka ini berlumba-lumba mengupah orang menterjemahkan hasil-hasil tulisan lama dan menulis tentang ciptaan baru yang saintifik. Untuk tujuan ini, mereka menggunakan cerdik pandai Islam, kristian, Yahudi dan Zorostrian. Walaupun mereka semua berlainan agama dan bangsa tetapi mereka mempunyai tujuan yang sama. Kesemua mereka ini menulis dalam bahasa Arab iaitu bahasa orang Islam.  

Abu al-Rihan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni mengisytiharkan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu pengetahuan  dan beliau sendiri lebih suka menggunakan bahasa Arab yang kata-katanya agak kasar berbanding bahasa Farsi yang lebih halus. Malah kebanyakan buku-buku teks yang digunakan di universiti-universiti di Turki ditulis dalam bahasa Arab sebagai lanjutan bahasa ilmu pengetahuan  sehingga abad ke lapan belas.

Dalam bukunya Life of Science, Professor George Sarton dari Universiti Harvard mengatakan “Berdasarkan fakta, saya menegaskan walaupun aktiviti utama para cerdik pandai yang menulis dalam bahasa Arab itu ialah usaha penterjemahan dan asimilasi, mereka juga berusaha lebih daripada itu. Mereka tidak sewenang-wenangnya menyebarkan ilmu pengetahuan dahulu kala tapi juga mencipta sesuatu yang baru…..bagaimanapun terdapat juga beberapa orang Yunani yang hampir-hampir secara mendadak mencapai ke peringkat yang mengagumkan. Ini disebut sebagai pencapaian orang Yunani yang menakjubkan. Tetapi orang akan berkata juga tentang pencapaian orang Arab yang menakjubkan meskipun dalam konteks berlainan. Munculnya peradaban baru yang bersifat antarabangsa dan ensiklopedia hanya dalam tempoh dua abad merupakan suatu yang walaupun dapat dihuraikan tetapi tidak dapat diungkapkan sepenuhnya[2].

Prof. George A.Miller dari University Illinois menulis;

Sejarah matematik merupakan antara ilmu yang mempunyai suatu bentuk yang dianggap sempurna dan mempunyai hasil-hasil yang menggalakkan. Ini terbukti sejak dua ribu tahun dahulu melalui proses pemikiran yang sama seperti yang kita gunakan hari ini. Oleh sebab itulah sejarah matematik perlu mengarahkan perhatian kepada pencapaian saintifik yang mempunyai nilai tetap disamping memberi perhatian kepada warisan intelektual agung yang wujud pada hari ini”.

Hasil penulisan tentang sejarah matematik orang Islam yang dapat dipercayai ketulenannya masih belum ada. Oleh itu, penulisan buku ini bertujuan mempersembahkan secara ringkas sejarah perkembangan sumbangan orang Islam terhadap matematik disamping memelihara matematik orang Yunani dan Hindu. Menurut F.W Kokomoor “Kemungkinan tiada satupun  karya yang penting pada zaman keemasan orang Yunani yang tidak diterjemahkan atau dikuasai oleh orang Islam[3]”.  Orang Islam telah memajukan dan memperkembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang matematik sehingga mereka menghasilkan karya-karya bermutu tinggi melebihi had yang telah dicapai oleh orang Yunani khususnya dalam bidang algebra dan trigonometri[4].

Dari abad ke-8 hingga abad ke-9, umat Islam berkongsi kebudayaan yang sama  dengan bahasa Arab sebagai alat perhubungan utamanya. Antara tokoh-tokoh matematik Islam pada masa itu ialah;

i)                    Abu Bakar Hussien al-Karkhi. Beliau banyak menulis dalam bidang algebra, aritmetik dan geometeri

ii)                   Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi yang digelar sebagai “Bapa algebra” adalah seorang ahli matematik dan astronomi.  Beliau juga dipanggil ke istana oleh al-Ma’mun kemudian dilantik menjadi ahli astronomi di istananya.

iii)                 Muhammad ibn Jabir ibn Sinan Abu Abdullah al-Battani. Beliau dilahirkan di Battan,  Mesopotamia. Merupakan seorang putera Arab dan menjadi gebenor di Syria. Dianggap sebagai ahli matematik Islam terbaik dan telah memperbaiki trigonometri serta menghasilkan sifir kotangen yang pertama.

iv)                 Waijan ibn Rustam Abu Sahl al-Kuhi, seorang ahli astronomi dan geometri di Baghdad. Beliau banyak menumpu perhatian dan usaha dalam masalah-masalah yang dipelopori oleh Archimedes dan Apollonius yang kemudiannya terhasil pula persamaan-persamaan yang melebihi peringkat kedua.

v)                  Thabit ibn Qurra, lahir di Harran, Mesopotamia pada tahun 833M. Sebagai ahli matematik dan astronomi, beliau menterjemah karya-karya ahli-ahli matematik Yunani disamping menulis teori tentang nombor-nombor.

Ahli matematik Islam menyedari kemajuan intelek manusia merupakan kecenderungan yang bijak untuk percapaian manusia sama ada pada waktu yang lalu, sekarang mahupun yang akan datang. Umpamanya, matematik pada zaman Mesir purbakala dan Rom menjadi alat untuk menyelesaikan masalah-masalah harian. Menurut Professor Eric Temple Bell dari Institut Teknologi California “Dalam sejarah tamadun manusia, kesemuanya telah berusaha ke arah pencapaian dalam bidang matematik. Zaman permulaan pra sejarah tidaklah diperolehi sebagaimana penemuan bahasa dan seni. Oleh itu, permulaan peradaban hanya boleh dihubungkaitkan dari tingkah laku orang primitf hari ini. Walau dari mana pun sumbernya, matematik yang kita dapati hari ini telah melalui dua aliran nombor dan bentuk; pertama melalui aritmetik dan algebra dan kedua melalui geometri[5]  

ABAD PERISTIWA AKIBAT
Ke-7 Kelahiran Nabi Muhammad Permulaan Islam 622M
Ke-8 dan ke-9 Dorongan (the impetus) Tempoh penyatuan umat Islam
Ke-10 Zaman umat Islam Kebangkitan sarjana-sarjana Islam
Ke-11 Zaman keemasan pemikiran umat Islam Dorongan umat Islam terhadap ilmu bersifat teoritis dan praktis.
Ke-12 Titik peralihan Kejatuhan negara Islam dan kebangkitan kebudayaan Barat.

  


[1] Rene Taton(1963), History of Science, N.York, Basic Books, hlm 386.

[2] George Sarton (1948), The Life of Science. New York, Henry Schumann, hlm 150.

[3] F.W Kokomor (1936) The Mathematics Teacher, vol.29, hlm 229.

[4] Edward S.Atiyah (1958), The Arabs. Ediburgh. R. and R.Clark, hlm 55.

[5] Eric Temple Bell (1940), The Development of Mathematics. N.York. Mc Graw Hill Book Company, hlm 3.

About these ads

2 responses to this post.

  1. Al Quds Travel Welcome You :-

    “AL QUDS TRAVEL FAIR 09″
    Date : 10,11,12 December 2009
    Time : 10.30 am – 10.00 pm
    Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
    Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
    Official Radio : THR Gegar FM
    Tel No : 609-747 9999

    Diskaun RM999.00 untuk Pakej Umrah

    Reply

  2. Posted by afie on 11 September 2011 at 3:20 am

    boleh bagitau sumbagan al-battani?? beliu jgak mrupakn tokoh matematik,,,dan mane leh dapatkan buku tokoh matematik ne ?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: