Archive for February, 2010

Beware of Penangan Pak Sheikh!

Pak Sheikh@Kickdefella berbaju hijau muda

 

Siapa saja yang membicarakan tentang tayangan filem atau proses pembikinan filem, saya pasti teringatkan Pak Sheikh Kickdefella. http://www.ibnuhasyim.com/2010/02/hiburan-islam-nik-aziz-tonton-filem.html . Satu masa dulu beliau pernah bertungkus lumus mengundang masuk ke Kelantan beberapa  orang tokoh pengarah dan pelakon filem terkenal dalam dan juga luar negara. Pada masa itu Tok Guru pun sanggup meluangkan masa menonton filem bertajuk Children of Heaven yang diarahkan oleh Majid Majidi dari Iran. Sayang sekali jodoh pertemuan Pak Sheikh di Kelantan tidak panjang apabila Arif Fahmi menantu Tok Guru mula merasa dirinya tergugat jika Pak Sheikh lebih lama berada dalam PMBK. Akhirnya Arif bertindak diluar jangkaan dengan menyingkir Pak Sheikh lebih awal daripada tempoh sepatutnya dan tindakan beliau seolah-olah direstui Tok  Guru kerana Tok Guru tidak pernah menegur kelakuan buruk menantu kesayangannya itu. Setelah masa berlalu panjang, ramai yang menganggap Pak Sheikh akan berhenti kicking Arif selepas Arif gagal mempertahankan keputusannya untuk terus menyandang kerusi CEO PMBK.  Namun Pak Sheikh masih terus menyerang Arif yang sudah terpaksa gulung tikar dan cari kerja lain. Dalam masa yang sama juga, ramai juga menganggap segala pendedahan yang dibuat oleh Pak Sheikh mampu memporak perandakan kerajaan PAS Kelantan. Mungkin ada juga benarnya anggapan sedemikian. Lagipun Dato’ Husam pun sudah tidak mampu menahan segala usaha Pak Sheikh untuk mendedahkan segala keburukan yang benar-benar wujud dalam kerajaan PAS Kelantan.

Setelah diamati dengan mendalam, segala tindakan susulan Pak Sheikh yang dianggap merbahayakan kerajaan PAS Kelantan bukanlah atas desakan dendam kesumat seperti mana yang  difahami oleh sesetengah pihak. Tindakan beliau sebenarnya adalah salah satu langkah ke arah membenteras unsur asabiyyah  berteraskan kezaliman yang wujud dalam PAS. Memang benar Pak Sheikh kecewa setelah segala impiannya untuk terus kekal di Kelantan tidak tercapai tapi dia bukan jenis manusia busuk hati yang dipenuhi dendam. Cara kontrak beliau ditamatkan dulu begitu amat mendukacitakan. Seolah-olah kehadirannya  sebelum PRU-12 sudah tidak dihargai langsung.  Apa yang dibicara dan dinyatakan oleh beliau adalah berfakta. Apa guna menuding jari ke arah UMNO yang tersohor jelas lagi nyata dengan kelakuan buruk sedangkan kelakuan-kelakuan buruk dalam PAS pula tak ubah seperti the dusk under  a carpet ? Adakalanya saya hairan macam mana begitu cekap sekali beliau memperolehi fakta-fakta serta bukti-bukti untuk mematahkan langkah lawannya. Itulah  diri Pak Sheikh. That’s why, beware of  penangan Pak Sheikh !

http://kickdefella.wordpress.com/2010/02/27/alasan-derhaka-alasan-lapuk/

Ketokohan Prof.Zulkiflee Muhammad.

 

Buku berjodol “Analisa Tentang Beberapa Masaalah Hidup Manusia” oleh Prof.Zulkiflee Muhammad ini saya pinjam daripada abah saya kira-kira 10 tahun lalu dan hingga kini saya tak pulangkannya kembali kepada beliau. Hasil karya ini terlalu dinamik lebih-lebih lagi ia ditulis pada zaman lalu sekitar tahun 1968 dan sifat dinamik itu tetap unggul kekal hingga ke hari ini. Gaya penyampaian dan ejaannya adalah klasik. Buku ini diolah, ditulis dan dipersembahkan oleh Prof. Zulkiflee kepada Universitas Islam Sumatera Utara , Medan Indonesia. Ia mempamerkan betapa geniusnya insan bernama Zulkiflee Muhammad ini hingga kepintarannya sering dianggap mengatasi masa atau zaman itu dan sekaligus menggambarkan ketokohan diri beliau selaku pemimpin PAS meskipun untuk tempoh yang terlalu sekejap. Ketokohan Prof. Zulkiflee turut diulas dalam ruangan pendahuluan buku ini oleh Dato’ Mohd. Asri bin Haji Muda dalam tajuk  “Zul yang saya kenali dari dekat” pada halaman 6-10. Antara lain Dato’ Mohd.Asri mengatakan;

“Saya meni`mati keindahan chahaya diatas chahaya; chahaya ilmu dan chahaya iman. Bermandi chahayalah saya selama berdamping dengan Ustaz Zul. Kadang2 saya rasa saya tenggelam ke`ashikan  mengikuti perkembangan fikirannya yang padat, tepat dan memikat.”

“Apa yang saya takuti semasa bersama dengan Ustaz Zul hanya satu yaitu saya takut kalau2 saya kehilangan pribadi. Ustaz Zul tahu ini dan dia membisikkan ke telinga saya, kalau ingin jadi pemimpin yang chekap senantiasalah tambah pengetahuan dan berani menghadapi kenyataan. Bahkan kepada kawan2 seperjuangan beliau selalu menggalakkan supaya banyak2  membacha dan terus belajar. Dalam hal ini beliau sendiri sebagai chontoh. Saya persaksikan sendiri sebagai anggota parlimen tidak akan berjumpa di rumah Ustaz Zul Warta2 Kerajaan atau kertas2 parlimen yang terbiar tidak terbuka dan tersilau walaupun beliau mempunyai urusan yang jauh lebih banyak daripada kawan2 anggota parlimen yang lain. Beliaulah diantara ahli parlimen yang paling banyak meminjam buku Perpustakaan Dewan Rakyat  dan semua buku2 itu dibachanya. Kalau kita berkunjung ke rumahnya, di sana sini kita akan melihat buku2; di ruangan tetamu, di meja tulis, di tempat istirehat bahkan di meja makan apatah lagi di bilik tidur. Pendeknya kehidupan Ustaz Zul kaya dengan buku2, majalah2, kitab2, dan bahan2 pembachaan lainnya dan jika berjalan jauh buku2 itu akan menjadi teman karibnya yang setia selama dalam perjalanan itu. Begitu banyak  beliau membacha buku2 tetapi beliaulah orang yang paling dahaga kepada pembachaan. “Tambah ilmumu senantiasa supaya alam fikiran menjadi luas, sebab manusia tidak sanggup berbuat lebih daripada apa yang dia fikirkan”. Demikian Ustaz Zul selalu memesankan kepada kawan2nya.

“Bagi Zul berilmu bukan untuk sekadar berteori, sekadar bersilat lidah dan berlanggar pena. Berilmu bagi beliau artinya beramal. Sebab sekuat penambahan ilmu yang diusahakannya maka sekuat itu pulalah penambahan amal yang dilakukannya dengan tidak mengenal lelah dan payah. ‘Kita disuruh datang ke dunia oleh Tuhan untuk bertugas” kata Zul. “Sebab itu marilah kita gunakan umur kita yang singkat ini untuk mengabdi kepada tugas yang telah digariskan oleh Tuhan itu”.

“Saya kagumi keikhlasannya dalam parti, pengurbanan dan kejujurannya sebagai pemimpin, dalam keadaan badannya kurang sehat, dalam keadaan demam kalau terdengar PAS berapat umum beliau tidak keberatan bersharah berjam2 lamanya se-akan2 hilang demamnya buat sementara tetapi kemudian selepas bersharah  beliau demam lagi. Saya Tanya kenapa beliau begitu memayahkan diri? Dengan spontan beliau menjawab “Kita diberi Tuhan umur yang sangat terbatas, kalau kita tidak penuhi dengan amal bakti manalah peluang kita hendak beribadat  kapada Allah!”. Satu jawapan yang sampai sekarang bila saya kenang2kan terasa se-akan2 beliau telah merasa bahwa beliau akan meninggal dunia dalam usianya yang masih sangat muda.

“Sekali lagi saya katakan  saya kagum kepada semangat pengorbanan yang beliau perlihatkan dalam perjuangan. Beliau sanggup berhutang atas nama pribadinya , ribuan ringgit banyaknya  untuk keperluan parti. Waktu saya tanya  kenapa sampai begitu, beliau menjawab “Kalau kita sanggup berhutang bergadai untuk keperluan anak isteri yang kita sayangi kenapa kita tak sanggup berhutang untuk perjuangan yang kita chintai”.

“Itulah Zul yang saya kenal, seorang manusia yang dalam kechachatan anggotanya tersimpan kekuatan jiwa yang besar dan amal kebaktian yang menggunung untuk bangsa dan agamanya. Bagi Zul seluruh hidup ini hanyalah pengabdian kepada agama Allah. Untuk itu dia hidup dan untuk itu dia mati dan dengan itu dia dibangkit – insha Allah –di hari kemudian.

Towardsmardhatillah: Alangkah baiknya jika para politicians masa kini berjiwa seperti Prof. Zul ini.  

Masalah UG: Bila nak selesai???

Ramai juga di kalangan bekas rakan sekolah saya dulu sekarang duk bergiat aktif dalam PAS dengan memegang jawatan penting dalam Dewan Pemuda PAS sama ada di peringkat kawasan ataupun negeri. Antara mereka ada yang berkelulusan dari universiti-universiti  tempatan dan ada juga yang berkelulusan dari universiti-universiti di negara-negara Arab. Namun diri saya yang serba kekurangan ini hanyalah layak jadi penyokong PAS seperti mana Pak Bakaq Si Penarik Beca. Dengan kata lain, saya menyokong PAS atas dasar keadilan dan bukannya atas dasar asabiyyah kezaliman. Bila mana terserlah kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin PAS, saya akan turut merasa bertanggungjawab untuk menegur mereka seperti mana saya menegur para pemimpin Barisan Nasional yang suka buat onar. Meskipun begitu, berkaitan dengan masalah sesetengah para pemimpin PAS yang ketagihkan candu UG, saya dah malas nak ulas dan kritik panjang-panjang. Memang dah dasar they all nih muka tak malu…hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Lagipun, ramai lagi para pemimpin PAS yang betul-betul anti-UG pun tak pernah serious secara terang-terang menangani masalah dalaman ini secepat mungkin. Masih ada yang mengambil sikap wait and see.   http://www.malaysiakini.com/news/124703

Yang duk bergalas dada menentang  puak Pro-Ulamak Perpaduang secara terang-terang hanyalah terdiri daripada beberapa orang bloggers seperti  Tulang Besi, Perisik Rakyat dan juga Pak Bakaq. Sehari suntuk saya duk fikir syaitan species manakah yang merasuk fikiran Datuk Seri Hj.Abdul Hadi Awang hingga sanggup menyelar secara membabi buta out view daripada pihak luar yang mendesak agar tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim digugurkan. Lebih meragukan lagi bila Muhyiddin Yasin turut memuji langkah terkutuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini sepertimana di bawah;

 Pembangkang perlu contohi Hadi – TPM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak sebarang campur tangan asing termasuk perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pucuk pimpinan parti itu tidak sehaluan dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap yang sama sepatutnya ditonjolkan oleh pemimpin pembangkang lain apabila sesuatu isu itu menyentuh mengenai kedaulatan negara.

“Pendirian sebegitu harus menjadi contoh kepada pemimpin pembangkang yang lain. Jangan dalam soal berkaitan kedaulatan negara pun ia mahu dipolitikkan sehingga timbul tanggapan yang ketara berbeza.

“Sepatutnya apabila berkait dengan kepentingan nasional, pendirian yang sama perlu diambil dan ia sesuatu yang kita hormati jika pemimpin bersikap begitu (tolak campur tangan asing),’’ katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Abdul Hadi yang menentang campur tangan asing termasuk dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Semalam Abdul Hadi menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak rela menjadi mangsa campur tangan pihak asing dan atas alasan itu, Pas akan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut Muhyiddin memberitahu, sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia tidak memerlukan sebarang campur tangan asing.

‘’Kita ada sistem yang menjadi tonggak kepada amalan demokrasi dan para pemimpin (tempatan) juga perlu mengikut prinsip yang sama,’’ jelasnya.

Baru-baru ini, seramai 50 Ahli Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar atas alasan kononnya pendakwaan itu memalukan sistem demokrasi negara.

Desakan itu dibuat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman Ahmad melalui sepucuk surat rasmi bertarikh 11 Februari lalu sambil menyatakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.

 Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Persoalannya, kecelaruan masalah UG nih bila—bila pun tak akan selesai kalau EGM tak dilakukan secepat mungkin.

Khasiat Minyak Zaitun

Mafhum firman Allah:

“Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat (pohon zaitun) yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya  hampir-hampir menerangi  walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahayaNya sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu”.

(Surah al-Nur, ayat 35).

Disebut dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah buah zaitun dan minyaknya dan gosoklah (sapukanlah) dengan minyak zaitun, sesungguhnya ia (zaitun) ialah pohon yang diberkati” (Riwayat al-Tirmizi & Ibn Majah).

Dalam riwayat lain; Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah buah zaitun dan minyaknya dan gosoklah (sapulah) dengan minyak zaitun, sesungguhnya zaitun ialah pohon yang diberkati” (Riwayat al-Baihaqi & Ibn Majah). Rasulullah SAW juga menegaskan: “Sesiapa menggosok (badannya) dengan minyak zaitun, syaitan tidak akan mendekatinya”.

Itulah antara kelebihan zaitun yang dinyatakan dalam al-Quran dan juga al-Hadis.

Dari segi geografi, pohon zaitun lebih subur tumbuh di puncak bukit di mana ia dapat sinar matahari baik di waktu matahari terbit maupun di waktu matahari terbenam bagi menghasilkan buah dan minyak yang baik. Khasiat buah dan minyak zaitun begitu tinggi. Jika diminum minyaknya, ia amat  bermanfaat untuk: Menguatkan hempedu, menurunkan asam lambung (segala jenis minyak jika dikonsumsi mengganggu pencernaan kecuali minyak zaitun) mencegah gangguan pencernaan, mengeluarkan cacing dalam perut, mengubati penyakit buasir, mengubati impotensi, menyelesaikan masalah haid tidak teratur , menghilangkan racun dalam tubuh (sila rujuk kitab al-Tib al-Nabawi, hlm 255), mencegah pertumbuhan sel-sel kanser  dan tumor, menurunkan kadar gula dan kolesterol dan mencegah penyakit diabetes. Jika digosok di kulit, ia bermanfaat untuk: Menghilangkan kedutan dan kerutan di wajah, melindungi kulit daripada bakteria, mencegah keguguran rambut, menghilangkan penyakit kulit, menghaluskan & melembabkan kulit, mencegah penuaan (anti ageing) dan menjaga kebersihan kulit kepala (membunuh kutu di kepala).

Kandungan asam linoleik yang terdapat dalam buah ini amat baik dan bermanfaat bagi ibu-ibu yang sedang menyusui anak-anak mereka. Kekurangan asam linoleik dapat mengurangi pertumbuhan bayi dan secara tidak langsung turut memperbesar potensi timbulnya beberapa penyakit kulit. Sehubungan ini, organisasi-organisasi kesihatan termasuk WHO menganjurkan penduduk yang bermukim dalam masyarakat yang tahap majority adalah pengidap penyakit diabetes dan arterioclerosis (penebalan saluran urat darah) tinggi supaya mengonsumsi minyak zaitun yang mengandung paling kurang 30% asam linoleik.

Sebenarnya manafaat zaitun tidak hanya terbatas pada asam linoleik. Unsur klorin yang dikandungnya juga dapat meningkatkan fungsi liver jadi lebih sempurna sehingga dengan begitu dapat mengimbangi tubuh dalam mengeluarkan bahan buangan. Lantaran ini, zaitun secara langsung memberi sumbangan pada kerangka tubuh manusia disamping membina tubuh yang kuat serta memanjangkan usia.  Unsur-unsur tersebut juga baik untuk serabut arteri otak. Selain itu, minyak zaitun adalah sumber penting bagi gizi manusia. Berbeza dengan mentega padat, minyak zaitun tidak meninggikan tahap kolesterol dalam darah.  Sebaliknya minyak ini tetap mengendalikannya. Oleh itu, para pakar kesihatan amat menganjurkan penggunaan zaitun dalam hal masak-memasak.
Sejak ribuan tahun silam masyarakat di sekitar Laut Tengah dan Timur Tengah merasai manafaatnya. Dalam bentuk buah, zaitun muda yang berwarna hijau kekuningan kerap disantap begitu saja atau sebagai penambah rasa. Sementara zaitun yang matang dengan warna hitam kerap diacar maupun diperas untuk diambil minyaknya. Setiap buah zaitun yang matang mengandung 80% air, 15% minyak, satu% protein, satu% karbohidrat, dan serat satu%. Untuk menghasilkan buah dan berproduksi secara penuh, pohon zaitun harus berumur 15-20 tahun. Hingga kini Negara Itali dan Sepanyol berada di barisan terdepan selaku negara penghasil minyak zaitun, disusul oleh Yunani, Tunisia, Marocco, dan Amerika Syarikat (AS). Kawasan mediterania selama ini memang dikenali sebagai gudang buah dan minyak zaitun. Bagi penduduk Timur Tengah, zaitun merupakan sumber minyak nabati (minyak tumbuhan) . Minyak inilah yang menciptakan rasa khas pada hidangan mereka. Jika diolah buahnya menjadi minyak,  kandungan asam lemak yang dimiliknya antara lain ialah; asam oleat atau omega 9 (79%), asam palmitrat atau asam lemak jenuh (11%), asam linoleat atau omega 6 (7%), asam stearat (2%), dan lain-lain sebesar 1%.

Kini di pasaran terdapat beberapa jenis minyak zaitun yang tergantung pada proses ekstrasinya seperti minyak zaitun perawan, murni dan sulingan. Yang pertama (minyak zaitun perawan) merupakan minyak zaitun bermutu tinggi karena merupakan hasil ekstrasi pertama. Ia mudah dikenali melalui warnanya yang kehijauan. Sedangkan minyak zaitun sulingan biasanya berwarna keputihan hasil daripada pemanasan. Zaitun merupakan sejenis minyak yang tidak sesuai dengan tahap pemanasan yang tinggi. Pemanasan yang tinggi hanya akan merosakkan ikatan rangkap asam lemak zaitun dan sekali gus akan mengubah kualiti minyak zaitun. 

Lihat juga:

http://id.wikipedia.org/wiki/Zaitun

http://khasiatzaitun.blogspot.com/

http://www.bertolli.com/products_oliveoil.aspx

Inilah Pembangunan Sebenar!

Masih ramai yang belum faham dan sedar apakah itu sebenarnya pembangunan yang wajar dicitai oleh segenap lapisan masyarakat majmuk. Lantaran tidak faham dan tidak sedar lah menyebabkan ada dikalangan rakyat Malaysia yang gilakan kemahsyuran pengcakar langit  sepertimana yang diwujudkan di ibu kota Kuala Lumpur sepanjang Barisan Nasional memerintah Malaysia. Biarpun hanya sekadar mampu melihat dan dapat berbangga dengan ketinggian sesebuah pengcakar langit, itu sudah kira memadai bagi mereka yang gilakan kemahsyuran. Al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah dan Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimahnya mengutarakan factor pembangunan pertanian sebagai pilar utama sebuah kerajaan Islam selain daripada factor keutuhan ketenteraan dan juga kestabilan ekonomi.  

Tahukah kita sepanjang pemerintahan Barisan Nasional, sector pertanian (termasuk peternakan kecuali ternakan babi secara kormesial) di Malaysia adalah begitu mundur ke belakang jika dibandingkan dengan Negara Thailand, Mymmar, Vietnam, Kemboja dan Indonesia? Apa sebabnya? Bukankah di negara ini sudah lama diwujudkan MARDI, FAMA, KADA, RISDA dan sebagainya? Sejauh manakah semua jabatan ini di up-datekan dari masa ke semasa  demi kepentingan rakyat ? Disamping itu, penggunaan racun dan juga baja kimia yang jelas merbahaya terhadap kesihatan manusia masih berleluasa  tanpa pemantauan yang sewajarnya. Cuba perhatikan apa yang telah berlaku ke atas Universiti Pertanian Malaysia di Serdang yang merupakan institusi yang paling diharapkan dalam sector kajian bagi peningkatan dalam bidang pertanian. Bukankah university ini telah ditukarkan nama kepada Universiti Putra Malaysia dan agenda utamanya dalam sector pertanian diperkecilkan sebagai satu fakulti sahaja? Semua ini berlaku pada zaman Dr.Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia. Ekoran laungan kosong “Pandang ke Timur” menyebabkan kilang-kilang perusahaan seperti kilang-kilang memasang kereta dan alat-alat elektronik menjadi agenda utama  yang diketengahkan kepada rakyat. Laungan kosong ini juga menyebabkan anak-anak  muda mulai cenderung untuk bekerja kilang dan sudah tidak berkeyakinan untuk berdikari dan mengamalkan pertanian untuk sara hidup. Sama ada rakyat Malaysia sedar ataupun tidak, sebenarnya inilah juga salah satu pengkhianatan paling nyata yang dilakukan oleh  kerajaan Barisan Nasional.

Ketahuilah wahai rakyat Malaysia, segala usaha untuk kembali semula ke arah kaedah pertanian organic sebagaimana yang  pernah dilakukan  secara tradisional oleh masyarakat Melayu silam adalah kaedah terbaik demi peningkatan tahap kesihatan masyarakat majmuk di Malaysia.   Sehubungan ini, Kelantan terlebih dahulu maju ke depan menerajui perubahan.

http://demokrasi93.blogspot.com/2010/02/lawatan-tg-nik-aziz-ke-projek-tanaman.html

http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/02/gambar-sekitar-lawatan-tok-guru-ke.html

Tok Guru Nik Aziz takut kesilapan yang merosakkan orang ramai

Sepertimana dinyatakan dalam entry yang lepas, gaya bahasa,  penyampaian dan penampilan buku berjodol  “Islam Boleh” adalah lebih kurang sama dengan buku bertajuk “Kelantan Universiti Politik Terbuka”. Bezanya hanya; buku “Islam Boleh” adalah rumpunan teks ucapan Tok Guru yang lebih berkisarkan tajuk-tajuk ibadah sepanjang bulan Ramadhan dan juga sambutan hari raya yang diredhai syarak. Satu diambil di penghujung Syaaban, tiga di pertengahan Ramadhan dan empat di awal Syawal. Dalam pada itu, dikait serta diselitkan juga beberapa perkembangan politik semasa tanahair yang sebagai irama selinangan bagi paca pembaca terutama sekali penyokong tegar PAS.  “Islam Boleh” diterbitkan pada bulan April 1995. Sedangkan buku “Kelantan Universiti Politik Terbuka”  yang juga diterbitkan pada tahun 1995 adalah petikan ucapan Tok Guru dalam kuliyyah agama beliau pada selain bulan Ramadhan.  

Tidak ada apa yang begitu amat menarik bagi saya tentang isikandung buku ini melainkan pada halaman 13-14 di bawah tajuk  “Cemas Bila Hati Rosak” dan juga pada halaman 17-18 di bawah tajuk “gerun digelar Tok Guru”. 

Dalam tajuk “Cemas Bila Hati Rosak”, Tok Guru mengatakan;

“ Saya sebagai memegang ketua kerajaan empat tahun  lebih dah, saya tulis dalam buku Liqa ul-Fikri yang akan di bawa ke KL esok lusa, bahawa saya tidak merasa cemas dengan masalah kewangan negeri, walaupun sumber kewangan yang terhad, walaupun gangguan-gangguan berlaku daripada  Kerajaan Pusat tetapi Allah SWT tidak beri kepada saya cemas. Bodoh ke saya ini, keras kepala ke saya ini, wallahua`alam. Apa yang terasa saya bimbang , saya cemas ialah takut rosak hati saya sendiri. Kalau hati saya seorang rosak tidak payah saya suruh orang lain supaya rosak , dia rosak selalu. Tidak payah saya berpakat dengan orang supaya kita pakat rosaklah, tidak payah.

Bila hati saya seorang rosak secara automatik orang lain turut rosak sama. Hak saya dok jaga hati ini pun supaya tidak rosak, inipun ada juga dengar-dengar khabar  senyap-senyap orang lain buat-buat rosak, betul ke tidak, wallahu a’lamlah. Itu benda yang saya sungguh-sungguh takut, kalau rosak hati aku seorang, Ya Allah, jahamanlah Kelantan”.

 

Manakala dalam tajuk  “Gerun digelar Tok Guru”, Tok Guru MB Kelate mengulas sebagaimana berikut;

“Kita duduk di atas muka dunia ini orang panggil tok guru, saya ini orang panggil tok guru, yang amat berhormat pun  orang pangggil, tok guru pun orang panggil. Hati saya kalau orang panggil menteri besar  tidak ada rasa apa, tapi kalau sebut Tok guru itu berasa  sesuatu gerun, berasa sungguh ke aku ini tok guru. Jangan-jangan orang sebut aku tok guru, sampai di akhirat kelak berdepan dengan Nabi Muhammad SAW jerkah, gapo dia. Benda lagu itu saya selalu duk fikir, kalau sebut tok guru gedebar sokmo dalam hati, senggoti ke aku ini tok guru. Kalau disebut yang amat berhormat tidak ada apa, perkara biasa. Benda hok mula dengan angkat sumpah sampai bubar parlimen, habislah cerita yang berhormat, tidak ada pelik apa. Moga pangkat derajat ini orang beri tetapi tok guru tak tahu siapa dia sebut. Tahu-tahu demo panggil tok guru.

Bila kita ini digelar oleh orang, orang panggil kita ini tok guru, ustaz dan sebagainya ertinya orang meletakkan harapan yang begitu sekali tinggi kepada kita, untuk kita memimpin dia berdasarkan kepada kita ini tok guru dan dianya tidak. Bila dia tidak tok guru dan kita ini tok guru, kerja tok guru ialah membetul perangai, tingkah laku, kerenah, peel manusia. Itu kerja tok guru. Kita tidak disuruh , kita tidak ditugas ajar orang mengenai dengan masak ke, mengenai dengan jahitan ke, mengenai buat kuih ke, mengenai baiki kereta ke, itu tidak profesion kita, itu tidak kerja kita. Kerja tok guru ialah;

انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Maksudnya:  Aku hanya diutuskan menyempurnakan keluhuran akhlak

Bila Nabi Muhammad SAW meninggal dunia maka tugas baginda disambung oleh orang-orang tertentu yang dalam bahasa Arabnya dipanggil ulama, dalam bahasa Melayu dipanggil tok guru.  Dalam banyak-banyak perkara yang perlu kita buat sesuatu ialah masalah terawih. Terawih cepat perlu kita betul”.

Petikan ucapan dalam tajuk “Cemas Bila Hati Rosak” menunjukkan bahawa Tok MB Kelate ini merupakan seorang individu yang amat cermat lagi waspada dalam masalah tanggungjawab pentabdiran yang dipikul. Malah ungkapan kata itu juga menggambarkan dirinya amat takutkan melakukan kesilapan.  Begitu juga dengan petikan ucapan dalam tajuk “Gerun digelar Tok Guru”.  Namun perlu diingat, jika tidak ada perasaan rendah diri semasa dipanggil Yang Berhormat juga boleh menyebabkan hati serta perangai manusia jadi rosak.

Wakil Rakyat PAS zaman dulu dan Wakil Rakyat PAS zaman kepimpinan Ulama’

Dato' Nik Man lebih mesra dengan panggilan Pak Nik Man

Semasa bertandang di rumah Ustaz Salahuddin Abdullah (bekas Exco Kerajaan 1974-1978) satu ketika dulu, beliau pernah bercerita kepada saya berkaitan pertalian akrab yang terjalin antara pucuk pimpinan PAS, ahli-ahli parti dan juga rakyat jelata. Menurut Ustaz Salahuddin, hubungan antara pemimpin dan rakyat amat rapat. Gelaran-gelaran kebesaran seperti Dato’ dan sebagainya tidak dipratikkan oleh rakyat terutama sekali dikalangan ahli-ahli PAS. Pada masa itu, para pemimpin PAS lebih mesra dengan panggilan mesra seperti Ayah Mat bagi Dato’ Mohd.Asri, panggilan  Abe Aji dan juga Ayah Hak bagi Dato’ Ishak Lutfi bin Omar.  Begitu juga dengan Dato’ Nik Man yang lebih popular dengan panggilan Pak Nik.  Malah untuk menerima gelaran kebesaran ini pun, wakil-wakil rakyat PAS pada masa itu terlebih dahulu merujuk kepada keputusan parti sama ada untuk menerimanya ataupun tidak. Panggilan-panggilan mesra diutara serta dipratikkan di kalangan ahli-ahli PAS zaman dulu demi mengukuhkan serta merapatkan ikatan ukhwwah sesama mereka disamping bertujuan untuk mengelakkan individu yang mendapat gelaran Dato’ itu dari terus hanyut dalam keegoan dan kemegahan diri lalu terus meminggirkan tugasan utama parti.

Semasa menjawat jawatan Menteri Besar, Dato’ Mohd.Asri tidak sempat atau tidak berpeluang makan bersama ahli keluarganya ketika berada di rumah. Setiap kali waktu makan, akan ada rakyat yang setia menunggu untuk makan bersama Menteri Besar. Sekitar tahun 1973 semasa menjawat jawatan Menteri Kemajuan Tanah, Dato’ Mohd.Asri bertindak melangsaikan hutang-hutang rakyat di Felda Air Lanas dan juga rancangan Rakyat di Felda Belia Kemahang.   Untuk jamuan rasmi, jemputan tidak hanya terhad kepada tetamu rasmi sahaja. Malah ia turut terbuka untuk semua lapisan rakyat negeri Kelantan. Rakyat merasakan seolah-olah parti adalah milik mereka. Setiap kali diadakan majlis ceramah terutama sekali di kawasan kampung, masyarakat setempat akan mengadakan jamuan dengan menyembelih 2-3 ekor ayam bagi meraikan kedatangan wakil-wakil rakyat dan pemimpin PAS di kawasan mereka. Situasi mesra antara kedua belah pihak ini mampu mengeratkan lagi kerjasama dalam usaha mendaulatkan PAS di negeri Kelantan.  

Hasil pengamatan saya, situasi mesra itu sudah tidak ditemui lagi masa kini. Malah Tok Guru Nik Aziz sendiri membahasakan serta menggunakan gelaran atau panggilan Dato’  di kalangan para Exco kerajaan Negeri. Boleh dikatakan para pegawai kerajaan negeri pun turut memanggil gelaran Dato’ kepada mana-mana wakil rakyat PAS yang dapatkan tittle tersebut.  Malah ramai juga di kalangan Wakil Rakyat di bawah kepimpinan Ulama’ yang mengidam-idamkan gelaran Dato’ kurniaan dari Istana ini tapi hingga kini masih belum dapat.  Sesama wakil rakyat pun saling membahasakan diri masing-masing dengan gelaran YB. Jamuan-jamuan keraian atau kesyukuran hanya dilakukan di hotel-hotel dan dihadiri oleh ahli-ahli PAS tertentu sahaja dan tidak terbuka kepada rakyat di kampung-kampung seperti dulu. Semuanya catering style dan hanya disesetengah lokasi sahaja diadakan jamuan tradisional secara gotong royong. Inilah antara perubahan dan perbezaan paling ketara antara kerajaan PAS Kelantan dulu dan kerajaan PAS Kelantan di bawah kepimpinan Ulama’ sekarang.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.