Sungai suci yang toksik

Sungai Gangga yang dipercayai mampu membasuh dosa penganut agama Hindu kini dicemari dengan sisa industri dan bahan buangan penduduk di tebingnya.

BAGI penganut agama Hindu di India, Sungai Gangga yang dianggap suci sentiasa bebas daripada sebarang kekotoran. Namun hakikatnya ia kini sedang berdepan dengan krisis pencemaran paling menakutkan.

Hakikatnya, Sungai Gangga dicemari sisa toksik, air kumbahan manusia, sampah sarap dan bahan buangan kilang.

Kepercayaan bahawa sungai tersebut mampu membersihkan dosa membuatkan jutaan orang datang berpusu-pusu melalui pekan Haridwar untuk sampai ke tebing sungai itu, seterusnya melangkah ke dalam airnya.

Setiap tahun, jutaan penganut Hindu itu tidak mahu melepaskan peluang menyertai festival mandi Kumbh Mela yang berlangsung selama tiga bulan.

Di sebalik keghairahan yang didorong oleh ritual kepercayaan tersebut, kebimbangan terhadap pencemaran di sungai sepanjang 2,500 kilometer (km) itu semakin teruk.

Malah, bandar Kanpur yang terletak 800 km ke hilir Haridwar kini merupakan salah sebuah tapak yang paling dahsyat terjejas akibat pencemaran yang semakin berleluasa.

Hampir setiap hari, kilang-kilang yang beroperasi di bandar industri itu mengeluarkan berjuta-juta liter sisa kumbahan yang menyebabkan air sungai hilang nilai semula jadinya.

“Situasi itu sekarang amat teruk dan kritikal,” kata D.K. Sundd, Pengarah Eksekutif Yayasan Sankat Mochan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan membersihkan sungai tersebut.

“Masalah paling teruk berlaku di Kanpur. Penduduk di sana menghasilkan hampir setengah daripada jumlah sisa kumbahan dan bahan buangan industri jika dibandingkan dengan aliran air segar di Sungai Gangga,” jelasnya lagi.

Tambahnya, kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dari pergunungan Himalaya hingga ke Teluk Bengal di Bangladesh, berhadapan dengan masalah kemudahan rawatan sisa kumbahan.

“Keadaan itu menyebabkan fungsi Sungai Gangga disalah guna sebagai tempat membuang sisa bahan mentah sejak bertahun yang lalu,” kata Sundd.

Berhampiran dengan salah satu kuil Hindu di Kanpur, sisa kumbahan air tempatan melimpah keluar dari luar longkang besar, bercampur dengan buih-buih putih dan mengalir ke dalam sungai sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Sejak berabad lalu, air Sungai Gangga begitu tinggi disanjung lantaran dipercayai dapat menghapus dosa penganut agama Hindu. Kewujudannya melengkapkan ritual wajib bagi agama itu.

Daripada saat kelahiran seseorang sehingga berlakunya kematian, air sungai itulah yang digunakan. Contohnya setelah seseorang penganut Hindu meninggal dunia, abu mayat mereka yang dibakar akan dibuang ke dalam sungai tersebut.

Penganut yang taat seperti Ram Sharma yang sering berendam di dalam sungai pada awal pagi menjadi bukti bahawa ramai rakyat India berpegang teguh kepada kepercayaan berbanding sains.

“Bagaimana anda boleh mengatakan bahawa air sungai ini kotor?” bentak Sharma dalam nada tegas.

“Bagi kami air sungai ini sangat suci,” tambahnya sambil meraup air berwarna kehitaman itu dengan tangan lantas dihirup dengan pantas.

Tidak jauh dari tebing sungai pula, Mahinder Pal Singh menanggalkan seluarnya dan berlutut di dalam air sambil berdoa.

“Anda tidak akan dapat berjumpa dengan air yang mampu memberi ketenangan di mana-mana pun di atas sana,” ujarnya dengan bangga.

Di Kanpur, salah satu cabaran mengancam sungai itu ialah industri berasaskan kulit. Kilang-kilangnya menggaji sekitar 50,000 pekerja dengan lebih 400 tan bahan kimia digunakan seperti sebatian toksik kromium.

Walaupun pihak pengurusan kilang perlu merawat sisa buangan dan kumbahan air sebelum memindahkannya ke loji rawatan, aktivis alam sekitar tetap menuduh mereka menyalurkan sisa tersebut terus ke dalam Sungai Gangga.

Pengarah Super Tannery Ltd., Imran Siddiqiu berkata tidak adil jika perniagaan berasaskan kulit sahaja dituduh kerana ia merupakan pendapatan utama dan menguntungkan bandar itu.

“Orang hanya tahu menyalahkan kami walaupun ia tidak benar sama sekali. Hanya dua peratus daripada jumlah keseluruhan sisa buangan datang dari industri ini,” ujar Imran.

Kemudahan rawatan bahan cecair buangan di Jajmau dan hab perniagaan kulit di Kanpur mempunyai kapasiti untuk merawat sembilan juta liter air sehari bagi industri sisa kumbahan.

“Tiada siapa yang tahu berapa banyak sisa kumbahan air yang dihasilkan tetapi semua orang menerima bahawa industri kulit menghasilkan lebih daripada sembilan juta liter sehari. Mungkin antara 20 hingga 30 juta liter,” kata Ajay Kanujia, pegawai kimia di loji rawatan Jajmau.

Kerajaan telah membelanjakan lebih daripada AS$160 juta (RM546 juta) untuk membersihkan sungai sejak memulakan Pelan Bertindak Gangga pada 1985, namun tahap bakteria yang terdapat di dalam air masih lagi tinggi.

Pada Februari tahun lalu, pihak kerajaan bertindak menubuhkan National Ganga River Basin Authority untuk mengawal usaha pemuliharaan dan Disember lalu, Bank Dunia mengumumkan pinjaman AS$1 juta bilion (RM3.41 bilion) untuk menyokong usaha membersihkan sungai tersebut. – AFP

Dipetik dari: Kosmo! online

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: