Archive for March 6th, 2010

Kopi termahal dunia

 

Oleh Suzan Ahmad

 

Harga minuman sisa musang cecah RM4,940 sekilogram

APA kaitan musang dengan kopi termahal dunia? Percaya atau tidak, haiwan inilah yang bertanggungjawab menjadikan harga Kopi Musang atau lebih dikenali Kopi Luwak mencecah RM2,298 (AS$600) hanya bagi 500 gram.

Malah, sebuah majalah kewangan antarabangsa, Forbes, menyatakan kopi ini dijual sehingga RM4,940 (AS$1,300) sekilogram yang layak menjadikannya kopi termahal di dunia.

Biji kopi ini adalah campuran yang dituai daripada sisa kumuhan musang di Indonesia dan mamalia ini diketahui tabiatnya hidup dengan menyelongkar biji kopi segar. Haiwan menyerupai kucing ini pemakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil lain untuk hidup. Ia juga makan biji kopi, malah musang menggemari biji kopi yang masak dan berwarna merah segar.

Keistimewaan kopi, ini seperti kata penggemarnya, menghasilkan rasa kelat seperti campuran tanah dengan koko. Malah, hanya kira-kira 453 kilogram Kopi Luwak asli dihasilkan setiap tahun berikutan prosesnya yang rumit serta nilainya yang sangat tinggi.

Keluarga Diraja dan golongan ternama dilaporkan menggemarinya, malah penggemar kopi sejati boleh mendapatkannya dengan harga RM114 (AS$30) secawan di hotel bertaraf lima bintang di Hong Kong.

Namun hati-hati, kerana ada yang sekadar menumpang nama Kopi Luwak tetapi ia sebenarnya biji kopi tiruan. dan menurut pakar, kira-kira 40 peratus kopi yang terjual adalah tiruan.

Hakikatnya, musang yang ditemui di Afrika dan Asia bertanggungjawab ‘menghasilkan’ kopi termahal ini dengan memakan biji kopi dan ketika proses penghadaman enzim haiwan ini bercampur dengan biji kopi sebelum ia dikeluarkan melalui proses kumuhan. Inilah rahsia yang menjadikan setiap bijinya mengeluarkan rasa kelat yang unik.

Di Asia Tenggara, musang ini lebih banyak menjadikan celah dedaun kebun kopi sebagai rumahnya. Namun, ada juga yang dipelihara khas untuk menjalankan tugasan penting sebagai pemilih kopi istimewa berkenaan. Ini disebabkan haiwan ini sememangnya agak cerewet kerana memilih hanya biji kopi yang terbaik dan masak. Enzim di dalam perut ketika proses penghadaman kemudian mengurai sebahagian daripada biji kopi berkenaan sebelum ia dikumuhkan.

Ketika inilah, gerombolan pekerja akan mengutip sisa kumuhan yang bersepah di kebun kopi sebelum mencuci dan memanggang biji kopi berkenaan yang menghasilkan minuman unik yang enak sehingga ke titisan yang terakhir. Begitupun, di celah keistimewaan dan keunikannya itu ada juga yang meragui kesahihan khasiat Kopi Luwak dan menganggap ia suatu yang pelik dan sekadar gimik untuk tujuan pemasaran.

Namun bagi penggemarnya, Kopi Musang cukup dikenali kerana cukup matang, enak rasanya dan kurang pahit. Memandangkan rasa pahit kopi yang banyak membuat ramai orang tidak menggemari kopi, Kopi Luwak pula mengumpan semakin ramai orang untuk menikmatinya.

Agak sukar untuk mencari sumber Kopi Musang yang tulen memandangkan caranya yang luar biasa untuk dihasilkan. Sebelum penternakan kopi musang popular, kebanyakan penternak akan keluar mencari kumuhan musang liar. Kini, penghasilan kopi ini lebih produktif sejak musang dibenarkan hidup bebas dalam kawasan tertentu menjadikan kumuhan musang lebih mudah dicari.

Akibat populariti kopi yang luar biasa ini, bagaimana Kopi Luwak dibuat secara tidak langsung memberi manfaat kepada jumlah populasi musang kerana menggalakkan lebih banyak habitat untuk musang ini diwujudkan di sekitar kebun kopi berkenaan.

Dipetik dari:  http://www.bharian.com.my/

l

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.