Archive for March 10th, 2010

Pengumuman Penting: Solat Istisqa’ (Minta Hujan)

Dalam menghadapi musim kemarau kini, Kerajaan Negeri Kelantan menjemput para hadirin khususnya rakyat negeri Kelantan hadir ke majlis;

SOLAT ISTISQA’ (MINTA HUJAN)

TARIKH:  12HB MAC 2010 (JUMAAT)

MASA:  JAM 8 PAGI.

LOKASI:  PADANG PERDANA , KOTA BHARU.

****SEMUA KAUM MUSLIMIN DIMINTA BERPUASA SUNAT PADA 11. HB MAC 2010 (HARI KHAMIS).

Namun belum sempat solat istisqa’ secara berjamaah dilaksanakan pada hari jumaat ini, hujan dilaporkan turun dengan lebatnya di Kota Bharu pada awal pagi  10 Mac 2010 (rabu). Hujan lebat ini menandakan limpah rahmat Allah Taala ke atas negeri Kelantan dan juga keberkatan doa Tok Guru Nik Aziz demi kemaslahatan rakyat. Meskipun begitu, solat istisqa’  tetap akan dilaksanakan sepertimana yang telah dijadualkan itu.

Sehubungan ini, suka saya nyatakan serba sedikit tentang solat istisqa’ ini, iaitu;

Ada beberapa buah hadis Rasulullah menjelaskan tentang solat ini;

i)                    Daripada Abbad bin Tamim r.a daripada bapa saudaranya “ Nabi s.a.w pernah keluar untuk solat istisqa’ dengan memakai baju terbalik”.

ii)                   Daripada Abdullah bin Zaid r.a mengatakan, Rasulullah s.a.w pernah keluar untuk minta hujan hujan (solat). Beliau mengadap kiblat , kemudian berdoa dan membalikkan kain cadarnya (yang disidaikan di bahunya). Selepas itu, beliau solat dua rakaat serta menjaharkan (menyaringkan) bacaan dalam kedua-dua rakaat itu”.

iii)                 Daripada Anas r.a, Rasulullah mengangkat kedua belah tangannya  lalu berdoa;

 أللهم اغثنا  (sebanyak 3 kali) yang bermaksud: Wahai Allah! Turunkanlah hujan kepada kami!. Manakala dalam riwayat lain dinyatakan Rasulullah berdoa  أللهم اسقنا  (sebanyak tiga kali) yang juga bermaksud : Wahai Allah Turunkanlah hujan kepada kami

Nas-nas hadis ini membuktikan bahawa solat istisqa’ boleh dilakukan dengan beberapa kaedah. Antaranya  ialah;

i)                    Istisqa’  sebanyak dua rakaat boleh dilakukan secara berjamaah. Dinyaringkan bacaan pada rakaat pertama dengan bacaan surah al-Fatehah dan surah al-A`la. Manakala pada rakaat kedua pula dibaca surah al-Fatehah dan surah al-Ghasiyah. Kemudian disusuli dengan khutbah (Khutbah juga diharuskan dibacaan sebelum solat).  Selepas selesai solat, para jamah tadi disunatkan membalikkan pakaian (baju atau kain sebaran di bahu) dengan memakainya secara terbalik. Hikmah disunat memakai secara terbalik ialah; sebagai simbolik kesungguhan jiwa-jiwa mereka yang hadir agar Allah Taala mengubah situasi buruk itu kepada yang lebih baik dengan melimpahkan rezeki yang lebih baik dan berkat.  

Selain itu, imam juga boleh berdoa  untuk minta hujan dalam khutbah jumaat dan kemudiannya di aminkan oleh para makmum. Begitu juga disunatkan bagi sekalian kaum muslimin berdoa secara khusus pada hari selain daripada hari jumaat sama ada di masjid ataupun di mana-mana sahaja.   

Waktu solat istisqa’ ialah bermula selepas terbit matahari sehinggalah ia terbenam tanpa dilaungkan azan dan juga iqamat.  Menurut Imam al-Syafie, digalakkan kaum wanita dan juga kanak-kanak untuk turut serta dan bertakbir sepertimana takbir hari raya. Ada juga pendapat yang mengharuskan juga membawa keluar bersama dalam majlis itu haiwan ternakan dan diajak juga golongan non-muslims (sila rujuk Ibn Juzay, al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm 79). Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat doa istisqa’ boleh dilakukan meskipun tanpa solat. Di sisi Jumhur  ulama’, khutbah dilakukan selepas selesai solat  dan perlu diperbanyakkan istighfar serta memberi peringatan kepada manusia. Kemudian berdoa dengan mengadap kiblat lalu di aminkan oleh orang ramai dan diterbalikkan baju atau kain sidaian di bahu selepas khutbah dalam keadaan duduk (kecuali bagi kaum wanita ). Sepanjang majlis istisqa’, digalakkan agar sentiasa bertaubat, beristighfar dan menolak kezaliman. Malah bagi Imam Syafie dan juga Imam Ahmad bin Hanbal, disunat berpuasa sehari sebelum dilakukan solat istisqa’.

Adapun untuk solat istisqa’ pada hari jumaat ini, maka terserahlah kepada pihak penganjur atau imam solat untuk menentukan caranya. Sebaik-baiknya para makmun terlebih awal memakai baju terbalik sebelum turun dari rumah masing-masing lagi.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.