Solat Hari Raya

Solat hari raya di halaman lapang hadapan masjid International University of Africa, Sudan

Solat raya aidil fitri dan aidil adha disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Hukum kedua-duanya adalah sunah muakkadah di sisi jumhur ulama’ kecuali Imam Abu Hanifah dan Imam Ibn Taymiyyah yang berpendapat bahawa kedua-duanya adalah wajib dengan hujjah seperti mana yang telah ambo jelaskan sebelum ini.  Waktu yang paling afhdal ditunaikan solat hari raya ialah selepas terbit matahari dengan kira-kira 20 minit ataupun 30 minit. Namun tidak mengapa jika ia ditunaikan pada masa hampir gelincir matahari. Ada pendapat mengata mas ayang paling afdhal ialah bermulanya naik matahari dengan kadar tiga meter hinggalah ia gelincir. dalam satu riwayat daripada Ahmad bin Hasan al-Bina’, berkata “Rasulullah s.a.w  menunaikan solat aidil fitri bersama kami dan matahari pada ketika itu pada kadar dua batang lembing dan solat aidil adha dengan kadar tinggi matahari sebatang lembing (galah).  Menurut Ibn Qudamah; Sunat didahulukan solat aidil adha bagi meluangkan masa untuk ibadat sembelihan qurban dan dilewatkan solat aidil fitri bagi memberi  peluang waktu pengeluaran zakat fitrah.  Digalakkan (mustahab)  bagi kaum muslimin untuk bersiap sepertimana berikut sebelum menunaikan solat, iaitu;

1)Memperbanyakkan takbir dan  zikir bagi umat Islam yang berada di selain daripada dua tanah suci. Adapun di dua tanah suci Mekah dan Madinah disunatkan talbiyah.

2) Memakai pakaian yang terbaik, memakai wangian dan mandi sunat hari raya.

3) Makan (sarapan) sebelum keluar untuk solat aidil fitri dan melewatkan sarapan (makan selepas solat) bagi hari raya aidil adha.

4) Saling mengucapkan tahniah sesama  kaum muslimin.

5) Memperbanyakkan sedekah kepada golongan faqir miskin mengikut kadar kemampuan.

6) Saling menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai.

7) Menuju solat ke masjid atau musalla (tempat lapang untuk solat) dengan berjalan kaki dan pulang dari solat dengan melalui jalan yang lain.

8) Digalakkan kaum wanita, anak dara yang sedang haid atau suci dan kanak-kanak untuk turut serta. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dinyatakan golongan ini mesti berada di belakang saf terakhir sekurang-kurang bagi mereka yang berada dalam haid memadai dengan mendengar khutbah raya.

Disunatkan agar tidak dilaungkan azan, iqamah dan juga lafaz al-solatu jamiah.  Solat hari raya ditunaikan sebanyak dua rakaat. Menurut dalam beberapa riwayat hadis bahawa Rasulullah mengangkat takbir sebanyak 12 kali bagi solat hari raya, iaitu 7 kali dalam rakaat pertama dan 5 kali dalam rakaat kedua dan Rasulullah tidak mengerjakan sebarang solat sunat sebelum dan selepas solat hari raya. Bagi mazhab Hanafi; mereka mengangkat takbir tiga kali pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram sebelum bacaan surah dan mengangkat takbir tiga kali juga pada rakaat kedua selepas bacaan surah.  Bagi Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal, digalakkan diselangkan antara setiap dua takbir dengan zikir “subhanallah wa hamdulilllah wa la Ilaha illah Allahuakbar. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik  bertakbir tanpa diselang antara takbir dengan zikir.

Digalakkan (mustahab) diam sejenak antara setiap dua takbir kemudian baru dimulakan bacaan surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Apabila bangun untuk rakaat kedua; mengangkat takbir sebelum bacaan (sebanyak 5 kali takbir tidak termasuk takbir untuk qiyam) kemudian membaca surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Digalakkan membaca pada rakaat pertama surah al-`A’laa dan pada rakaat kedua surah al-Ghasiyah.  bagi golongan Malikiyyah dan Hanabilah; perlu mengangkat takbir sebanyak 6 kali takbir. Bagi golongan mazhab Hanafi pula perlu bertakbir sebelum bacaan pada rakaat pertama sebanyak tiga kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram. Apabila bangkit untuk rakaat kedua, di baca al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran kemudian barulah mengangkat takbir sebanyak 3 kali  sebelum ruku’ dan kemudian barulah ruku’ bagi rakaat kedua.

Menurut jumhur ulama’ ; khutbah selepas solat dan mendengar khutbah adalah sunat. Digalakan diselitkan perihal zakat fitrah dalam khutbah solat aidil fitri dan diselitkan perihal sembelihan dalam khutbah solat aidil adha.  Namun Bagi Mazhab Hanafi dan Ibn Taymiyyah ia adalah wajib. Begitu juga hukum bertakbir pada kedua-dua hari raya adalah sunat bagi jumhur ulama’ kecuali mazhab hanafi yang mengatakan takbir pada hari raya adalah wajib berdali ayat 185 surah al-Baqarah bagi adil fitri dan ayat 203 surah al-Baqarah bagi aidil Adha .  Masa bertakbir bagi solat aidil fitri  ialah bermula dari masa keluar untuk solat hinggalah permulaan khutbah menurut pandangan Malikiyyah dan Hanabilah. Manakala  bagi selain daripada mereka mengatakan bermula pada malam hari raya, iaitu setelah sempurna penetapan tarikh hari raya sehinggalah masa menuju solat hari raya seterusnya hingga Imam naik ke mimbar untuk berkhutbah.

manakal masa bertakbir bagi solat aidil adha pula bermula pada fajar pagi hari Arafah dan berterusan sehingga hujung  solat  asar pada hari tasyiq yang terakhir. Hari tasyiq adalah merupakan tiga hari selepas hari raya aidil adha. Oleh itu,  ada sebanyak 23 solat fardhu ditakbirkan selepasnya. Menurut pandangan Malikiyyah , digalakkan bertakbir selepas solat zohor pada hari raya aidil adha dan berakhir pada  hari keempat hari (akhir hari Tasriq).

Lafaz takbir adalah sepertimana berikut;

الله أكبر ، الله أكبر لا إله إلا الله . الله أكبر ،الله أكبر ، ولله الحمد . الله أكبر كبيرا ، والحمد لله كثيرا . وسبحان الله بكرة وأصيلا . لا إله  إلا الله وحده . صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده . لا إله إلا الله ولا نعبد إلا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون  .
- ويسن الصلاة على النبي وعلى أصحابه وأنصاره وأزواجه وذريته.

Disunatkan juga berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Digalakkan menunaikan solat hari raya di tempat lapang diluar masjid kecuali di Makkah al-Mukarramah dan al-Madinah al-Munawwarah. Akhir sekali menurut al-Syafieyyah; Menunai solat hari raya di masjid adalah lebih afdhal jika ada keuzuran seperti lokasi tempat solat sempitm berlaku ribut, banjir dan hujan lebat ataupun terlalu sesak. Bagi mereka yang menunaikan solat hari raya di masjid, maka mengikut pandangan Syafieyyah sunat didahului dengan solat tahiyyatul masjid selepas masuk masjid dan sebelum duduk di dalamnya.

Thailand`s Political History

Penggunaan facebook yang lebih, cepat, ringkas dan mudah merupakan faktor utama mengapa ambo jarang sekali membuka dan memuatkan posting baru dalam website ini. Thailand`s Political History merupakan salah sebuah catitan sejarah kerajaan Siam yang dihasilkan oleh B.J Terwiel, seorang penulis berasal dari Belanda yang dilahirkan pada tahun 1941. Hasil ketekunan B.J menghasilkan buku ini dan beberapa buku lain berkaitan dengan sejarah Siam merupakan faktor utama beliau terpilih sebagai pensyarah utama matapelajaran Sejarah Siam di Australia National University  selama 20 tahun. Buku ini ambo beli di Bangkok International Airport pada pertengahan september 2007 setelah beberapa hari berada di Bangkok untuk menceduk ilmu serta pengalaman proses membuat minyak gaharu di Bangkok. Masa itu ambo sedang tunggu Air Asia flight menuju ke Narathiwat Airport.  Harganya 695 Baht. Segala-segala fakta sejarah Siam amat mengagumkan ambo. Cuma sekitar tahun 1826 (Siam menakluk kerajaan Patani) hingga tahun 1909 (Perjanjian Bangkok yang mengesahkan Patani sebagai hak Siam) tidak dijadikan topik utama dalam buku ini. Malah selepas ambo membacanya  berulang kali pun masih tidak ditemui fakta-fakta sejarah penting tersebut dalam buku ini.

Ucapan Tok Guru Nik Aziz dan KBDYMM Sultan Kelantan pada 28hb Januari 1993

BERSIH 3.0

Pada 28hb.April 2012, rakyat Malaysia sekali mengukir sejarah tanahair melalui Demostrasi Bersih 3.0.  Segenap lapisan masyarakat  majmuk daripada berbagai latarbelakang pendidikan, peringkat umur,  pegangan agama dan sebagainya keluar berkumpul secara beramai-ramai demi meluahkan perasan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional. Demostrasi aman ini adalah susulan daripada Demostrasi Bersih 2.0 yang mengemukakan  sebanyak 8 tuntutan berikut;

Tuntutan Bersih 2.0 :
1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
2. Reformasikan Undi Pos
3. Gunakan Dakwat Kekal
4. Akses Media Yang Bebas & Adil
5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6. Kukuhkan Institusi Awam
7. Hentikan Rasuah
8. Hentikan Politik Kotor
Maupun begitu kerajaan Najib & Barisan Nasional tak menghiraukan tuntutan rakyat ini  dan Najib hanya buat pekak badak aje.  Situasi ini menambahkan lagi rasa tidak puas hati rakyat terhadap Barisan Nasional.  Rakyat yang sentiasa mendambakan keadilan daripada segenap pelusuk tanahair keluar beramai-ramai secara aman sebagai tanda protes.  Selain daripada Dataran Merdeka, rakyat Malaysia  yang anti kezaliman Barisan Nasional mengadakan demostrasi aman Bersih 3.0 ini di 70 lokasi lain di seluruh dunia[i].  Saya perhatikan mereka ini keluar berpusu-pusu dari segenap pelusuk jalan-jalan raya menuju ke Dataran Merdeka sejak dari pukul 8:30 pagi lagi. Sekitar pukul 12:00 tengahari, rakyat memenuhi jalanraya di sekitar  Bangunan Mahkamah depan Dataran Merdeka yang  dilingkungi dengan pagar-pagar dawai berduri.  Semangat dan keberanian mereka sungguh amat  luar biasa terutama sekali masyarakat Cina!  Dalam situasi yang penuh bersemangat ini, saya mengambil peluang mengambil gambar-gambar sebanyak yang mungkin di hadapan CIMB dan bergerak di celah-celah kesesakan mereka yang bersemangat juang menuju ke Bank Rakyat.

Namun keamanan yang mereka julang selama ini  akhirnya tercabar dan bertukar menjadi gawat apabila Pasukan FRU mulai melepaskan bedilan gas pemedih mata secara bertubi-tubi sekitar  pukul 2:30 petang. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berceramah membakar semangat rakyat Malaysia untuk bangkit menentang kezaliman Barisan Nasional.  Cuaca semakin panas, tekak pun terasa haus. Saya menuju masuk ke dalam Restoran Hotel Swiss dan terserempak dengan Prof.Madya Shahrom Ibrahim. Beliau mempelawa saya minum. Saya menerima pelawaannya. Sebelum memesan minuman, saya cuba menghubungi  rakan saya melalui telefon namun beliau tak dapat dihubungi. Saya keluar daripada restoran tersebut untuk memerhatikan situasi di luar.  Tiba-tiba  dua das tembakan gas pemedih mata dilepaskan. Datuk Seri Anwar yang belum sempat menghabiskan ucapan terpaksa masuk berlindung di dalam kereta dan dikawal oleh pengawal peribadinya.  Pasukan FRU semakin ghairah  melepaskan beberapa tembakan gas pemedih mata lagi ke arah kanak-kanak dan kaum wanita yang sedang duduk di tengah-tengah jalanraya di depan Hotel Swiss.  Tindakan ini menyebabkan anak-anak muda bertambah marah dan berang.  Pertempuran dengan pihak polis tercetus. Ketika ini saya lihat anak-anak kecil terpisah dengan ibubapa mereka dan kaum wanita tua yang tak berdaya untuk berlari  menyelamatkan diri. Kedengaran bunyi batuk dan luahan muntah di sana-sini. Saya dan beberapa orang  lain yang saya pun tak kenali mereka   terpaksa bertindak sebagai benteng demi mempertahankan kaum wanita dan anak-anak kecil agar mereka selamat  daripada dirempuh oleh mereka yang berlari -lari  akibat kelemasan dan kekurangan oksigen. Di saat ini jugalah tengkuk saya  rasa mual dan gatal. Mata semakin pedih dan hidung   mulai berair.  Walaupun masih gagah tapi detik-detik teringatkan  kematian tuh  mula berlegar-legar dalam kepala.  Saya mengawal dari belakang kaum wanita dan anak-anak kecil yang terus berlari dalam keadaan lemas di hadapan Bank Rakyat dan mereka terus menuju ke  ke belakang Bank tersebut untuk menyelamatkan diri.

Susulan tembakan gas itu, pertempuran antara anak-anak muda dan pihak polis tercetus apabila polis mula bertindak ganas membelasah mereka.  Memandangkan reaksi polis semakin menggila, saya rasa sangsi adakah yang beruniform ini anggota polis ataupun ahli UMNO tegar ???? Walaupun begitu saya tetap bangga dengan semangat juang  anak-anak muda ini yang tidak kenal erti perit. Kalau dianjurkan Bersih 4.0 dan Bersih 5.0 pada masa akan datang  pun mereka semua sanggup keluar beramai-ramai.  Apa yang pasti demostrasi Bersih 3.0 berjaya dengan cemerlang.  Meskipun ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang mengatakan  bahawa Rakyat gagal memasuki Dataran Merdeka tapi hakikat sebenarnya Mereka (polis)  yang ditugaskan oleh Barisan Nasional  di Dataran Merdeka  berada dalam situasi terkepung oleh sekalian rakyat yang muncul dari segenap arah menuju ke pusat bandaraya.  Jumlah rakyat yang bencikan Barisan Nasional  adalah amat terlalu ramai dan tidak mungkin Dataran Merdeka mampu menampung jumlah yang ramai ini apatah lagi jika demostrasi ini  dibuat di dalam stadium.


Pusat Tarbiyah PAS Rantau Panjang

Inilah Pusat Tarbiyah PAS kawasan Rantau Panjang. Untuk  pengetahuan umum, ia senantiasa melalui proses perkembangannya yang amat positif hasil usaha serta kreativiti  buah fikiran  YB Hj Abdul Fatah (ADUN Bukit Tuku kini) sejak dulu hinggalah sekarang.  Buat masa kini, Pusat Tarbiyyah  ini juga menempatkan seramai 50 orang pelajar Tahfiz yang dibimbing   oleh 3 orang tenaga pengajar dibawah penyeliaan Setiausaha PAS Kawasan Rantau Panjang, Haji Abdul Rasul. Dalam perkembangan terbaru, PAS Kawasan Rantau Panjang juga sedang giat berusaha menyiapkan bangunan Masjid  yang dianggar menelan belanja lebih kurang RM 500,000. Kepada para dermawan , bolehlah menghubungi  pihak sepertimana yang tertera di bawah ini.

20 Sifat Hati Yang Keji dan Terpuji…..

Ayah Dir .....Dato' Timbalan Mufti Negeri Kelantan

Lama rasanya blog Towardsmardhatillah tidak  dikemaskinikan.  Lantaran itu, terlalu banyak comments yang belum saya siarkan.   Comments yang paling banyak  diajukan hanyalah berkisar mengenai Ajaran Hj. Ahmad Laksamana. Sungguh popular Hj.Ahmad Laksamana nih rupanya ! Hari nih saya terlihat  kembali hasil karya Ustaz Nik Dir, bekas guru besar kami (kini  beliau merupakan Timbalan Mufti Negeri Kelantan) . Buku nipis yang merupakan salah satu daripada koleksi buku yang saya miliki ini bertajuk 20 Sifat Hati  Yang  Keji dan Terpuji. Seingat saya, buku ini dijual dengan harga 5o sen sebuah bertujuan untuk mengumpul dana pembinaan surau  sekolah (Maahad Muhammadi Lelaki). Pada masa itu saya berada dalam tingkatan 4. Semasa saya berada dalam tingkatan 5, Ustaz Nik Dir berperanan sebagai guru matapelajaran Akhlaq. Walaupun pada masa yang sama beliau sibuk dengan tugasan selaku Guru Besar sekolah, namun peranannya sebagai seorang murabbi tidak pernah dipinggirkan ketepi. Menurut Ayah Dir, beri buku (sumber ilmu) adalah lebih afdhal daripada memberi resit terima bagi tujuan meminta derma. Ini kerana kedua-dua belah pihak akan saling dapat manafaat. Pihak yang memberi derma akan dapat pulangan  ilmu pengetahuan dan pihak yang memerlukan derma dapat menyelesaikan masalah pembinaan surau yang tertunggak sekian lama. Jika diberi resit sahaja, hanya satu pihak (pihak yang memerlukan derma) yang mendapat manafaat sedangkan pihak yang mengeluarkan sedekah (derma) hanya mendapat resit sahaja.

Meskipun nipis,  isikandungannya agak padat dan bernilai. Antaranya ialah sepertimana yang saya pamerkan di bawah ini.

Lembaga Kemajuan Pertanian Organik menguntungkan rakyat…

Berdasarkan fakta sejarah politik tanahair, Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil langkah bijak yang diiktiraf oleh masyarakat dunia termasuklah Bank Dunia dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan pada tahun tahun 1960. Pada ketika itu Dato’ Haji Mohd. Asri bin Haji Muda merupakan Menteri Besar Kelantan.  Langkah ini dilaksana selepas PAS mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihanraya umum tahun 1959. Demi merealisasikan impian dan masa depan depan rakyat yang lebih terjamin, pembukaan tanah secara besar-besaran dilaksanakan.[1]    Lokasi-lokasi berkenaan adalah sepertimana berikut;

Tahun

 

Kawasan Luas (ekar) Bil Peneroka
1960 Ayer Belanga, Tanah Merah 400 40
- Ayer Lanas, Tanah Merah. 4,000 40
- Sungai Sam, Hulu Kelantan. 1,164 160
- Sungai Rek, Hulu Kelantan. 1,174 120
1961 Chenulang, Hulu Kelantan. 2,430 200
- Mengkabang, Hulu Kelantan. 7,353 610
- Sungai Peria , Hulu Kelantan. 3,220 360
- Sungai Sok, Hulu Kelantan. 1,647 180
- Bahagia, Hulu Kelantan. 1,150 100
- Tamalir, Hulu Kelantan. 1,927 180
- Bukit Lakota, Tanah Merah. 1,100 120
1962 Jakar, Tanah Merah

 

1,732 190
1964 Beris Lalang, Bachok. 6,000 600

 

- Sungai Pas, Hulu Kelantan. 2,942 300
- Chucuk Puteri, Hulu Kelantan 5,640 700
1965 Sungai Biak, Hulu Kelantan. 3,492 200
- Mempelam, Hulu Kelantan. 1,488 140
- Perala, Tanah Merah. 4,900 450
- Ulu Bertam, Tanah Merah. 3,100 390
- Sungai Satan, Tanah Merah. 4,570 410
1966 Sungai Long Tanah Merah. 1,800 250

 

- Pasir Dusun, Tanah Merah. 2,300 230
1967 Jelawang, Hulu Kelantan 1,330 160
- Limau Kasturi, Hulu Kelantan. 4,000 400
1968 Meranto, Hulu Kelantan. 1,330 160
1971 Sungai Terah, Ulu Kelantan. 3,000 350
- Air Chanal, Tanah Merah. 2,300 260
- Kemahang, Tanah Merah. 2,500 200
   

Jumlah Keluasan

 

78,170

 

7,620

Banyak manafaat yang dapat dikecapi oleh rakyat hasil ekoran penubuhan LKTN ini samada dari sudut pertanian maupun dari sudut ekonomi (pemilikkan tanah).  Walaubagaimanapun LKTN ini dibubarkan oleh Barisan Nasional setelah berhasil berpakat dan berkongsi kuasa dengan BERJASA menipu dan memperbodohkan rakyat Kelantan hingga menyebabkan kerajaan PAS Kelantan ditumbangkan dengan berbagai cara kotor dan jahat dalam pilihanraya umum 1978. LKTN digantikan dengan TAKDIR dalam tahun 1983 di zaman pemerintahan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Tan Seri Mohammad bin Yaakob selaku Menteri Besar Kelantan pada ketika itu. Namun peranan TAKDIR tetap tidak mampu menyaingi peranan LKTN . Sayang sekali hingga kini, meskipun PAS Kelantan berjaya menawan kembali negeri Kelantan melalui Angkatan Perpaduan Umah (APU), namun masih belum ada satupun organisasi yang mantap bagi memajukan sektor pertanian dan ekonomi rakyat Kelantan sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh LKTN. Masa berlalu begitu sahaja. Masa depan ekonomi pertanian di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya masih kabur. Beras yang merupakan sumber makanan utama masyarakat di Malaysia tetap diimport dari negara-negara jiran seperti Thailand dan Kemboja. Seolah-olah rakyat Malaysia sudah tidak tahu dan tidak merasa perlu lagi untuk menanam padi sendiri.

Padi-padi yang sedia ada dan diproses di Malaysia kini pula diserahkan kepada BERNAS secara bulat-bulat. Tiada lagi penggunaan baloh (stor padi) di halaman rumah dan tiada lagi padi gunda yang akan dihantar ke baloh. Penggunaan racun dan baja kimia dalam sektor pertanian secara berleluasa dibiarkan oleh pihak kerajaan Malaysia.  Tiada lagi zakat tanaman padi dan tiada lagi keberkatan Ilahi dalam sektor ekonomi tersebut[2]. Semuanya jadi sunyi sepi!  Dalam suasana sunyi sepi ini, kerajaan PAS Kelantan sekali lagi bangkit memperjuangkan pertanian padi organik  bagi melestarikan sebuah kehidupan yang sihat . Dalam masa yang sama, slogan “Bertani satu ibadah” turut diwar-warkan. Persoalannya kini ialah; pertanian yang dimaksudkan dengan ibadah itu sudah tentulah pertanian organik dan bukannya kaedah pertanian yang mengamalkan penggunaan racun dan baja kimia. Namun sekadar slogan indah itu sahaja yang diwar-warkan, usaha kerajaan negeri Kelantan kelihatan lesu dan tidak bermaya. Tambahan pula, masih ramai dikalangan petani khususnya di Kelantan yang  “gian” dan “lekat badi” dengan penggunaan bahan-bahan kimia dalam sektor pertanian meskipun telah terbukti secara saintifik ia amat memudharatkan kehidupan manusia dan alam sekitar.  Malah masih ramai yang tidak faham dan tidak tahu bahawa kemajuan dalam sektor pertanian merupakan salah satu tuntutan utama dalam syariat Islam selain daripada perlaksanaan rang Undang-Undang Jenayah Islam[3].     Justeru  adalah menjadi suatu kewajaran jika kerajaan PAS Kelantan turut bangkit menubuhkan Lembaga Kemajuan Pertanian Organik bagi memperkasakan status pertanian organik sebagai satu ibadah. Jika di zaman Dato’ Asri dahuluLembaga Kemajuan Tanah negeri   (LKTN) ditubuhkan dan diperkasakan demi kepentingan rakyat, jadi apa salahnya  jika Lembaga Kemajuan pertanian Organik ditubuh dan diaktifkan demi kemaslahatan rakyat????? Fikir-fikirkanlah…………


[1] Untuk keterangan lanjut sila lihat  Buku Sejarah PAS Kelantan 1959-1978, hlm 65-69 dan bahagian Lampiran 3 , hlm 351.

[3] Masih ada  yang sanggup menerima  PAS seadanya semata-mata kerana bencikan kejahatan UMNO dan Barisan Nasional tanpa menginginkan sebarang  pembaharuan mengikut perkembangan zaman. Bagi golongan ini; memadailah jika negeri Kelantan ini dibanjiri oleh Tok Lebai-tok Lebai dan ustaz-ustaz dengan kuliyyah agama mereka di segenap pelusuk negeri Kelantan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.