Archive for December, 2008

Perkembangan Bandar-Bandar Islam Silam di Timur Tengah

makkahm

Kemunculan serta perkembangan bandar-bandar Islam selari dengan perkembangan ajaran Islam dan pentadbiran politik di Tanah Arab. Antara bandar-bandar tersebut ialah al-Madinah al-Munawwarah, Damsyk, Basrah, Kufah dan Baghdad. Bandar Islam pertama ialah Madinah (Yastrib) yang dibentuk selepas penghijrahan Rasulullah ke sana pada tahun 622M. Kewujudan dan pembentukannya merupakan asas kepada perkembangan perbandaran Islam selanjutnya. Terdahulu daripada ini, masyarakat Arab Jahiliyyah memang tersohor dengan keunikan ukiran dan seni bina. Di Yastrib dan San’aa, bandar dipagari tembok kukuh dan salah satu pintunya dilengkapi dengan loceng yang berbunyi ketika dimasuki dan dapat didengari bunyi tersebut dari jauh. Bandar dan kota berkubu dibina dengan kepingan-kepingan batu berbentuk segi empat tau bujur untuk lantai. Rumah-rumah pula dihias dengan cat dinding (campuran kapur dan air) dan batu-bata yang dibakar disamping menggunakan bahan-bahan logam yang mutu tinggi. Mereka juga mengawal air hujan yang turun di jalan-jalan dengan menyalurkannya ke wadi bagi mengelak berlakunya banjir.

Madinah merupakan kota suci kedua selepas Makkah. Menurut Yaqut Hamawi dalam Mu’jam al-Buldan, terdapat sebanyak 29 nama bagi Madinah. Sementara al-Hamzani meriwayatkan hadis daripada Rasullulah bahawa Madinah mempunyai 10 nama tetapi dalam kiraannya adalah 12, iaitu Taiyyibah, al-Baqiyah, al-Muwaffiyah, al-Miskinah, al-Mubarakah, al-Mahfazah, al-Muharramah, al’Uzra, al-Muslimah, al-Muqaddasah, al-Syafiyah dan al-Marzuqah. Lantaran terlalu cintakan Madinah, Rasulullah pernah mendoakan “Ya Allah! Jadikanlah kami orang-orang yang mencintai Madinah sepertimana Engkau jadikan kami mencintai Makkah”. 5 langkah utama dilaksanakan oleh Rasulullah memperkemaskinikan perbandaran Madinah iaitu;

Pertama: Membina masjid sebagai satu majlis forum bagi para pengikutnya.

Kedua: Memulih jiwa kaum Muhajirin dan menjalinkan persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Ketiga: Menetapkan secara jelas hak-hak serta tanggungjawab antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Keempat: Mengadakan perjanjian dengan golongan bukan Islam khususnya Yahudi.

Kelima: Mewujudkan perjanjian atau piagam bagi tujuan pentadbiran dan pertahanan Madinah.

Antara keistimewaan Madinah ialah; ia adalah bumi mulia yang terselamat daripada penyakit taun dan dajjal, sebahagian ayat-ayat al-Quran diturunkan di bumi ini, difardhukan yang fardhu dan disunatkan apa yang sunat. Di bumi ini juga terdapat kubur Rasulullah, para sahabat, isteri-isterinya yang mulia dan rawdah (taman) daripada taman-taman syurga (lokasinya antara mimbar dan makam Rasulullah). Dari sudut perancangan bandar, Madinah memiliki tembok dan Masjid Nabawi terletak di pusat bandar. Disekitarnya terdapat rumah-rumah yang didiami leh golongan muhajirin dan juga musalla yang digunakan untuk solat Aidil-Fitri dan Aidil-Adha. Pasar utamanya, Baqi’ al-Khail yang merupakan kawasan terbuka bagi perdagangan luas juga terletak di pusat bandar. Pasar ini bebas daripada sebarang bentuk cukai hingga muncul zaman Muawiyah barulah ia dikenakan cukai. Malah pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik, semua kedai terletak dalam sebuah bangunan pasar dan pejabat Agoranomos ditubuhkan di rumah Ma’mar al-Adawi.

Selepas kewafatan Rasulullah, Madinah masih lagi merupakan pusat pemerintahan kerajaan Islam dan diterajui oleh Khulafa’ al-Rasyidin (11H-40H). Disamping itu, pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, perbandaran Islam di Timur Tengah semakin pesat maju dan makmur. Bandar-bandar seperti Basrah, Kufah, Jabalah, Tawwaj, Fustat, Hadithah, al-Mawsil, Hadith al-Furat dan Qazwin diasaskan dalam tempoh 30 tahun. Kemajuan bandar-bandar tersebut tertumpu dalam sector pendidikan ilmiah dan perdagangan berstatus antarabangsa.

Pada asalnya umat Islam Arab memulakan gerakan reformasi perbandaran dengan pembukaan bandar-bandar garison (pusat tentera). Lama-kelamaan status Bandar-bandar tersebut berubah dan mulai berperanan sebagai pusat-pusat dakwah Islamiyyah. Selepas berakhir era Khulafa al-Rasyidin, Muawiyah bin Abi Sufyan mengambilkan memindahkan pusat pemerintahan di Madinah ke Dimsyk. Selain daripada pembinaan dan pengubahsuaian masjid, pembinaan bilik-bilik mandi demi menjaga kesihatan dan keselesaan rakyat turut diberi keutamaan pada zaman ini. Disamping itu, terdapat sebanyak 500 buah tanah perkuburan di Dimsyk dan 70,000 buah kubur para syuhada’. Menurut catatan Naji Maaruf dalam kitabnya, ‘Urubah al-Mudun al-Islamiyyah, halaman 49-53 mengatakan; Semasa pemerintahan khulafa Bani Umaiyyah di Dimsyk (Syam) sekitar tahun 40H-132H, sebanyak 28 buah Bandar baru telah dibina bermula dari zaman khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan hinggalah ke zaman khalifah terakhirnya Marwan bin Muhammad. Bandar-bandar tersebut ialah: Mukran, Qayrawan, Hulwan Misr, Bajadda, Wasit, ‘Askar Mukram, al-Nil, Qum, Shiraz, al-Ramalah, Jurjan, al-Mahfuzah, Asad abaz, al-Mansurah, al-Hur, Wasit al-Riqqat, Kufur Lab, Tunis, Rusafah Hisham, Akkah, Hadith al-Mawsil, Maraghah, Warthan, Qasr Ibn Hubayrah, Hisn Mansur, Salamiyyah, Mar’arsh dan Munatsir.

Dalam catitannya, Naji juga mengatakan bahawa gerakan perbandaran begitu pesat berkembang pada zaman pemerintahan ‘Abbasiyyah (132H-656H) berbanding dengan zaman pemerintahan Bani Umaiyyah. Sepanjang 3 abad, para khulafa kerajaan Bani ‘Abbasiyyah mampu dan berjaya mengasaskan lebih daripada 50 buah kota dan Bandar. Antaranya ialah Hasyimiyyah al-Kufah, Nasr Abaz, Sayrawan, Mansurah, Baghdad, ‘Askar al-Mahdi dan Samarra’. Pada zaman ‘Abbasiyyah, Basrah dan Kufah (bandar berkembar) yang merupakan bandar kem tentera di bahagian selatan Iraq akhirnya berkembang pesat menjadi bandar metropolis serta berperanan sebagai pusat intelektual dan terkenal dengan kegiatan sastera, kebudayaan serta penghasilan ulamak-ulamak terkemuka. Sementara di Baghdad, pembinaannya adalah satu peristiwa besar dalam sejarah perbandaran di Timur Tengah kerana bilangan tenaga kerja untuk menyiapkannya ialah seramai 100,000 orang yang terdiri daripada arkitek, pakar-pakar pertanian, juru-juru ukurtanah, tukang kayu, besi dan sebagainya. Inilah ketamaddunan mentali umat Islam di beberapa buah bandar pada zaman silam dalam urustadbir perbandaran. Keunikan, keindahan, keselesaan dan kemahiran menjadi teras dalam setiap usaha mereka untuk menampilkan bandar-bandar tersebut selari dengan kemampuan dan peredaran zaman.

Punca Pengetahuan Dalam Falsafah Islam.

Terdapat berbagai sumber pengetahuan yang ada kaitan dengan kehidupan manusia dan pegangan agama mereka mengikut pandangan mazhab-mazhab falsafah. Dalam mazhab empirisisme pancaindera adalah satu-satunya punca pengetahuan. Bagi mazhab rasionalisme, akal merupakan punca pengetahuan dengan menolak segala unsur-unsur lain  Manakala mazhab spiritualisme, instuisi diiktiraf sebagai punca segala pengetahuan dan jelas berbeza jika dibandingkan dengan idea mazhab empirisisme  dan rasionalisme. Apa yang nyata, idea ketiga-tiga mazhab ini tentang punca pengetahuan adalah amat berbeza sekali antara satu sama lain. Namun dalam falsafah Islam, teori tentang punca ilmu lebih meluas dan lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan mazhab-mazhab tersebut.

 

Umumnya falsafah Islam mengiktiraf pancaindera, akal, instuisi serta beberapa punca pengetahuan lain turut diakui, seperti;

Pertama: Deria- sama ada yang zahir iaitu pancaindera atau yang batin. Menurut al-Kindi, deria atau tanggapan deria adalah punca utama pengetahuan dan akal pula sebagai punca pengetahuan kedua. Malah al-Farabi turut betapa pentingnya peranan deria bagi mencapai pengetahuan dan Ibn ‘Arabi pula menetapkan pengetahuan manusia kepada pengetahuan deria secara mutlak; iaitu pengetahuan fikiran yang merupakan campuran antara deria dan khayal, pengetahuan akal rendah yang bergantung pada fikiran dan juga pengetahuan akal tinggi yang bergantung pada daya cipta. Bagi Ibn ‘Arabi amat mustahil bagi potensi akal rendah untuk mengenali Tuhan kerana proses untuk mengenali Tuhan hanya mungkin menerusi akal tinggi atau potensi akal  yang lebih tinggi.    

 

Kedua: Akal- Bagi al-Ghazali, hanya akal yang mampu membawa manusia kepada pengetahuan. Meskipun akal diakui oleh kebanyakan ahli falsafah sebagai punca pengetahuan namun pendapat mereka tentang status kepentingannya adalah berbeza antara satu sama lain. Ada ahli falsafah yang terlalu membesar-besarkan kepentingan akal sedangkan sebahagian yang lain tidak pula sedemikian. Antara golongan yang begitu mengutamakan akal ialah ahli-ahli falsafah rasionalis  serta pengikut-pengikut mereka  daripada kalangan ahli kalam golongan Mu’tazilah dan Syiah Zaidiyyah yang mengatakan akal manusia dapat menanggapi hampir segala sesuatu termasuk tentang kewujudan Tuhan, kebaikan serta keburukan dan berbagai perkara ghaib. Sementara itu, ahli kalam ahl Sunnah, ulama’ tasawwuf, fiqh dan hadith dianggap sebagai golongan yang memiliki penilaian sederhana tentang akal. Golongan ini menghargai akal tetapi tidak pula mengatakan akal mampu menanggapi segala-galanya walaupun ia lebih luas jangkauannya dari deria terutama tentang pengetahuan yang berkaitan dengan akhlak, ketuhanan dan perkara-perkara ghaib.  Akal juga diibaratkan sebagai cahaya yang menerangi manusia yang berada dalam kegelapan. Meskipun begitu, al-Ghazali dan al-Isfahani tetap mengakui kelemahan akal dengan mengangap ia amat terbatas terutama untuk menanggapi tentang ketuhanan dan perkara-perkara ghaib.

 

Ketiga: Instuisi- iaitu deria batin atau mata hati. Ibn Sina mendefinisikan instuisi sebagai ilham akal yang aktif. Manakala al-Ghazali pula mentakrifkannya sebagai perpindahan fikiran dari permulaan ke arah yang dituju tanpa sebarang perantaraan. Bagi al-Tahawuni, instuisi sebagai kemunculan hasl pemikiran di dalam jiwa sekaligus tanpa sengaja dan kemahuan diri. Manakala disisi ahli tasawwuf, pengertian instuisi adalah hampir menyamai makna ilham dan kasyaf. Menurut al-Ghazali, perbezaan antara ilham dengan instuisi ialah; instuisi berhubung dengan ilmu-ilmu memiliki tingkat-tingkat abstrak menerusi pancaindera sedangkan ilham pula berhubung dengan perkara-perkara aqliah realiti dan idea.

 

Keempat: Ilham- Ia dianggap sangat tinggi oleh golongan tasawwuf. Jika yang berlaku pada instuisi adalah tanggapan akal secara langsung, maka pada ilham pula adalah kasyaf; iaitu tanggapan emosi secara langsung yang terbit dalam hati manusia tanpa disedarinya. Kasyaf boleh berlaku jika jiwa manusia itu suci  serta mampu mengawal nafsu dan perasaannya dan bebas dari pengaruh deria sama ada deria batin atau zahir.

 

Kelima: Wahyu- Iaitu punca pengetahuan kelima bagi individu muslim untuk mencapai pengetahuan terutama perkara-perkara berkaitan dengan ketuhanan, aqidah, hukum-hukum syariah, permasalahan halal dan haram, pengajian akhlak dan sebagainya. Wahyu diturunkan Allah kepada para rasulNya dalam setiap zaman masing-masing untuk dijadikan punca pengetahuan serta petunjuk bagi semua manusia. Hadith-hadith al-Qudsi juga termasuk dalam rumpunan wahyu. Seseorang individu muslim bukan saja dibenarkan menimba pengetahuan serta maklumat dari wahyu malah, dia juga diwajibkan  agar mengikuti arahan dan ajaran yang terkandung di dalamnya sepertimana mafhum firman Allah:“Apa yang dibawa oleh Rasul hendaklah kamu ikutinya sedangkan apa yang dilarangnya kamu perlu jauhi”. (Surah al-Hasyr, ayat 7).          

Ibn Sina:Sarjana Serba Boleh.

Nama Ibn Sina sering diabadikan sebagai nama pusat-pusat perubatan sama ada klinik ataupun hospital lantaran kemasyurannya dalam sector perubatan dan kesihatan. Hakikat sebenar, beliau seorang pecinta ilmu yang menguasai beberapa bidang lain juga seperti politik, falsafah dan sains. Nama penuhnya ialah Abu Ali al-Husain Ibn Abdullah Ibn Sina dan dilahirkan Bukhara sekitar tahun 370 Hijrah. Tokoh ilmuan ini dibesarkan dalam sebuah keluarga kaya. Status ini (segala bentuk kesenangan) digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk menguasai pelbagai cabang ilmu. Pada awalnya, Ibn Sina memulakan pengajian beliau dengan memberi penumpuan dalam bidang bahasa dan sastera di Bukhara. Setelah meningkat usia 20 tahun, Ibn Sina mampu mencapai kedudukan yang tinggi dalam bidang bahasa dan sastera dan mulai berminat dengan ilmu-ilmu akal dengan mendalami ilmu logic, geometrid an buku al-Magest daripada Abu Abdullah al-Natali.

 

Kemudian beliau mulai cenderung untuk menguasai ilmu-ilmu sains, ilmu fiqh serta ilmu perubatan. Dalam sector perubatan, Ibn Sina telah mencapai satu tahap pencapaian yang amat tinggi. Meskipun begitu beliau tidak sekali-kali menjadi pencapaian yang diraih itu sebagai satu kerjaya untuk mencari rezeki. Bahkan, Ibn Sina hanya mengambil langkah mengajar ilmu tersebut kepada para doctor bagi menambahkan lagi pengetahuan mereka dalam sector perubatan. Beliau juga turut mendapat satu penghormatan besar daripada Putera Nuh Ibn Nas al-Samani setelah berjaya mengubati penyakit yang dihidapinya. Lantaran ini Ibn Sina dibenarkan menggunakan perpustakaan istana yang banyak mempunyai buku-buku yang sukar diperolehi. Malah kemahsyurannya dalam sector perubatan telah melayakkan dirinya menerima gelaran Mahaguru Pertama.

 

Dalam bidang falsafah, Ibn Sina lebih cenderung kepada mazhab atau ideologi al-Farabi hinggakan beliau akhirnya mampu mengatasi tokoh sarjana tersebut dan dianggap sebagai orang yang sebenarnya menyusun ilmu falsafah dan sains dalam dunia Islam. Ibn Sina turut berjaya menguasai bidang ilmu logik dan dianggap sebagai Guru Ketiga. Begitulah juga kejayaannya dalam bidang-bidang lain seperti matematik, muzik dan ilmu falak. Sejajar dengan penguasaan beliau dalam berbagai bidang, Ibn Sina telah mewariskan kepada tamaddun dunia beberapa hasil penulisan ilmiah seperti buku al-Qanun, al-Syifa’, falsafah dan al-najah dalam bidang falsafah. Ibn Sina berpendapat; ilmu logic adalah pengantar bagi falsafah hanya diperlukan oleh mereka yang tidak mempunyai kebolehan untuk berfikir denga betul dan semula jadi. Beliau juga yakin matematik boleh digunakn untuk mengenal Tuhan. Berasaskan pendapat ahli-ahli falsafah Yunani yang amat mempercayai bahawa setiap tubuh terdiri daripada empat unsur, iaitu; tanah, air, api dan angin Ibn Sina berpendapat campuran unsur-unsur ini yang berupa lembab, panas, sejuk dan kering adalh sentiasa bergantung kepada unsur lain dalam alam nyata. Tokoh sarjana serba boleh ini juga berpendapat ketahanan tubuh itu sendiri mampu menolak penyakit. Ubat-ubatan hanya boleh merangsang  ketahanan tersebut. Justeru, tanpa ketahanan dalaman yang cukup kuat, segala bentuk ubat adalah tidak berfaedah langsung kepada si pesakit.

Republik Islam Comoros.

comoros

Berdasarkan persempadanan geografi, bentuk muka bumi terbahagi kepada  5 buah benua iaitu, benua Eropah, Asia, Afrika, Amerika dan Australia. Kesemua  benua ini didiami  oleh pelbagai jenis kehidupan. Antaranya ialah manusia yang Allah Taala ciptakan dalam pelbagai rumpun bangsa dan keturunan serta warna kulit. Mereka  hidup  berkelompok dalam  keadaan berpuak-puak  berasaskan faktor ekonomi dan keperluan hidup seperti makanan, pakaian, sex dan tempat tinggal.

 

Dalam memenuhi  keperluan-keperluan  tersebut, Manusia juga dibekalkan dengan pelbagai bahasa pertuturan sebagai perantaraan sesama mereka. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah Taala di dalam al-Quran, surah al-Rum , ayat 22 yang bermaksud: “ Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi keterangan  bagi orang-orang yang mengetahui”.

 

Sehubungan ini juga Allah Taala  menegaskan  dalam firmanNya, surah al-Hujarat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia Sesungguhnya kami ciptakan  daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa) dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan golongan suku agar kamu kenal-mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi pandangan Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”.

 

 

Afrika merupakan  salah sebuah benua daripada lima buah benua yang wujud. Ia terdiri daripada 51 buah negara yang mempunyai indentiti masing-masing serta sejarah yang tersendiri .  Antara negara-negara tersebut ialah Republique Federale Islamique Des  Comores. Dari segi latarbelakang, Comoros merupakan kepulauan yang pernah berada dibawah penjajahan Perancis dalam sekitar tahun 1904 – 1975 Masihi. 

 

Dalam usaha menuntut hak kemerdekaan daripada Perancis, pelbagai rintangan terpaksa mereka tempuhi. Rakyat Comoros terpaksa tabah menghadapi berbagai helah kerajaan Perancis yang sering kali berdolak-dalik dalam soal kemerdekaan kepulauan tersebut. Selepas mencapai kemerdekaan daripada pihak Perancis pada tahun 1975, Comoros dengan berani bangkit mengisytiharkan diri sebagai sebuah negara Islam serta menjalankan enekmen perundangan syariat Islam. Meskipun begitu, kemerdekaan yang dicita  bukannya mudah untuk dinikmati.

 

Ekoran keberanian mengisytiharkan Comoros sebagai sebuah negara Islam, Perancis mengambil langkah untuk tidak menyerahkan pulau Mayotte kepada rakyat Comoros.  Mayotte yang merupakan pulau yang paling strategic kedudukannya masih lagi berada dalam genggaman kuasa Perancis hingga kini.  Dalam pada itu, mereka juga pernah berdepan  trajedi pembunuhan para pemimpin mereka yang terdahulu seperti Ahmed Abdullah, Ali bin Soleh dan Sayyid Mohammad Djohar yang ikhlas mempertahankan syariat Islam  sebagai  satu perundangan negara. Kematian mereka amat dirasai oleh rakyat Comoros. Meskipun begitu, keunggulan undang-undang Islam di Comoros tetap utuh hingga kini di bawah kepimpinan Kolonel Azali Assoumani yang dianggap oleh mereka sebagai pemangkin kestabilan dalam kehidupan masyarakat Comoros dalam segenap aspek seperti ekonomi, politik dan juga sosial.

 

Comoros merupakan sebuah negara yang terdiri daripada empat buah pulau utama dengan keluasan keseluruhan 2,034 kilometer persegi iaitu; pulau Ngazinja (Grande Comore), Mwali (Moheli),Nzwani(Anjouan) dan Maore (Mayotte masih dalam penguasaan Peranchis hingga kini). Ibu negaranya, Maroni terletak di pulau Ngazinja. 

 

Sebagai sebuah negara Islam, selain daripada enekmen undang-undang jenayah Islam seperti hukuman hudud dan ta`zir,  soal pendidikan rakyat juga merupakan agenda utama yang sentiasa diberi perhatian dan pemantauan.  Sekolah bahasa Perancis dan Arab sama ada bagi peringkat rendah atau menengah  bercambah merata-rata di kepulauan ini. Sementara bagi peringkat pengajian tinggi, mereka hanya memiliki sebuah universiti yang dikenali sebagai  University Des Comoros.  Namun kebanyakkan rakyat Comoros yang ingin menyambung pelajaran ke menara gading lebih gemar merantau dan menyambung pengajian di negeri orang. 

 

Disamping itu, pihak kerajaan juga menginginkan rakyat  Comoros menghafal al-Quran semenjak daripada usia kecil lagi.   Malah bagi ibubapa yang  begitu cenderung ingin menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah bahasa Perancis diwajibkan menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Tahfiz al-Quran bagi tempoh tiga tahun terlebih dahulu sebelum membenarkan anak-anak mereka menukar aliran pengajian kepada pusat-pusat pengajian yang menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa pengantar.

 

Lokasi  kepulauan Comoros amat strategic. Kedudukannya   antara  Mozambique dan Madagascar merupakan faktor utama pulau ini sesuai  sebagai lokasi peranginan . Majoriti penduduknya beragama Islam dan bermazhab Syafie. Mereka terdiri daripada bangsa Afrika, Arab dan Melayu Indon (7% berhijrah ke Comoros dari Madagascar). Di sini bahasa Perancis, Arab dan Swahili merupakan bahasa yang diguna dalam komunikasi harian mereka.

 

Dari sudut sumber ekonomi, pertanian dan perikanan merupakan sektor utama yang diceburi oleh mereka sebagai punca mata pencarian rezeki. Mereka lebih menumpu kepada penanaman padi, ubi kayu dan pisang sebagai tanaman makanan utama. Meskipun beras merupakan sumber makanan asasi masyarakat Comoros, namun ia hanya dimasak sebagai sajian makan malam sahaja. Manakala pada waktu siang, mereka bersarapan dan makan tengahari dengan pisang (green banana) atau ubi kayu kecuali pada hari-hari sambutan atau perayaan seperti hari raya Aid-fitri, Aid-Adha, Maulid al- Rasul, jamuan perkahwinan (walimatul-urus) dan sebagainya.  Manakala penanaman bunga Ylanglang diusahakan secara kormisial dan dieksport ke Perancis untuk dijadikan Parfume (minyak wangi). Dalam pada itu, mereka juga menghasilkan vanilla dan  bunga cengkih untuk dieksport.  

 

Disamping itu, penangkapan ikan merupakan salah satu aktiviti harian yang dapat menambah  sumber pendapatan mereka. Selain daripada  ikan-ikan laut yang ditangkap sebagai sumber protein, kepulauan ini juga terkenal dengan kewujudan ikan Coelecanth yang sering didapati di sekitar perairan pulau Ngazidja dan Nzwani. Ia dianggap oleh para scientists barat sebagai spesis ikan yang telah pupus semenjak 70 ribu tahun yang lampau. Justeru, nilai harganya adalah jutaan Dollar.  Sesiapa yang berjaya menangkap Coelecanth sudah tentu akan melayakkan dirinya  berada dalam senarai nama-nama para jutawan dunia.

 

Sejajar dengan status negara kecil, kepadatan penduduk Comoros  mencecah kira-kira  satu juta orang. Namun kuantiti penduduk  yang menetap secara tetap di pulau ini hanyalah seramai 545,528 orang sahaja. Disebabkan oleh peluang pekerjaan atau  pengajian lanjutan hingga ke peringkat yang lebih tinggi, kebanyakan rakyatnya  berhijrah dan menetap di negara-negara lain di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

 

 

Ancaman Babi Terhadap Manusia.

hog_confinement_barn_interior

Virus Nipah dan penyakit JE yang berpunca daripada nyamuk yang menggigit babi kemudiannya menggigit manusia pernah mengejutkan negara kita. Meskipun babi merupakan punca utama penyakit tersebut, namun sifat rakus dan tamak manusia dalam usaha meraih keuntungan menerusi perniagaan daging babi menyebabkan species haiwan ini terus diternak. Seekor babi betina dewasa mampu melahirkan sebanyak 11 ekor anak babi dalam tempoh setahun. Kadar pertambahan ini adalah amat banyak jika dibandingkan kadar pembiakan ternakan-ternakan lain seperti lembu, kerbau kambing dan unta. Cara ternakan babi pun lebih mudah dan senang jika dibandingkan dengan haiwan-haiwan ternakan lain yang perlu dititikberatkan dari segi kebersihan dan juga kesihatan. Adapun babi, kebersihan dan juga kesihatan diperlukan kerana haiwan ini sememangnya pengotor meskipun ada dikalangan pengusaha ternakan ini yang mendakwa babi-babi mereka berada dalam keadaan bersih. Inilah factor utama mengapa babi diternak.

Dari sudut syariat Islam, haiwan ini adalah najis dan diiktiraf tidak suci. Mafhum firman Allah:”Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi dan haiwan yang disembelih bukan dengan nama Allah. Tetapi sesiapa yang terpaksa melakukannya kerana keadaan terdesak dan bukan sengaja melakukan kesalahan dan melanggar peraturan, maka tidaklah dia berdosa melakukan“.(Surah Al-Baqarah, ayat 173). Ayat ini menjelaskan bahawa babi antara haiwan yang haram dimakan oleh sekalian umat Islam. Berdasarkan nas ini, para ulama’ berselisih pendapat tentang apakah sebenarnya yang diharamkan daripada babi itu sendiri? Sebahagian daripada golongan al-Zahiriyah mengatakan hanya daging sahaja yang diharamkan manakala lemaknya pula harus digunakan. Sementara Jumhur ulama’ pula berpendapat; lemak babi juga adalah haram dimakan sepertimana diharamkan dagingnya dengan hujjah bahawa daging meliputi juga lemaknya sekali.

Babi turut dilarang dalam agama Yahudi. Begitu juga dikalangan penganut Kristian, kelompok Seventh-day Adventists turut mengelakkan babi dan makanan lain menurut agama Yahudi. Larangan ini terdapat dalam Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8:”Jangan makan babi. Binatang itu haram, karena walaupun kukunya terbelah, ia tidak memamah biak. Dagingnya tak boleh dimakan, bangkainya tak boleh disentuh.” Larangan ini juga dinyatakan dalam Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4: , dan Book of Isaiah, Chapter 66, Verse 17. Disamping itu, ia juga perlu diteliti dari pelbagai aspek lain. Antaranya ialah;

Dari aspek kebesihan dan kesucian: Dalam satu kisah dinyatakan semasa al-Syeikh Muhammad Abduh mengunjungi Perancis, mereka (orang Perancis) bertanya kepada beliau“Kamu semua (umat Islam) mengatakan babi haram kerana haiwan ini memakan sampah yang mengandungi cacing pita, pelbagai mikro bacteria. Situasi itu sudah tiada sekarang. Malah babi diternak dengan kaedah moden dan dijamin kebersihan segala prosesnya. Bagaimana mungkin babi-babi tersebut boleh dijangkiti cacing pita atau mikrobakteria yang lain???” Al-Syeikh Muhammad langsung tidak menjawab pertanyaan tersebut. Dia hanya meminta mereka membawa kepadanya dua ekor ayam jantan bersama seekor ayam betina dan dua ekor babi jantan beserta seekor babi betina. Mereka bertanya “Untuk apakah semua ini?”. Jawab al-Syeikh Muhammad “Penuhilah permintaan saya ini dan saya akan bongkarkan kepada kamu semua satu rahsia”. Setelah mereka membawa haiwan-haiwan yang diminta oleh al-Syeikh, mereka kemudian diminta agar melepaskan dua ekor ayam jantan bersama seekor ayam betina dalam satu reban. Kedua-dua ayam jantan tadi terus berkelahi dan hampir membunuh sesama sendiri demi menawan hati si ayam betina. Lalu al-Syeikh meminta agar kedua-dua ayam jantan tersebut dikurung berasingan. Kemudian beliau menyuruh mereka melepaskan dua ekor babi jantan bersama dengan satu babi betina. Kali ini suatu keanehan berlaku. Babi jantan yang pertama membantu temannya sesama jantan untuk melaksanakan hajat seksualnya tanpa rasa cemburu, tanpa harga diri atau keinginan untuk menjaga babi betina dari temannya. Lalu beliau berkata “Saudara-saudara, daging babi membunuh ‘ghirah’ (sifat cemburu) orang yang memakannya. Itulah yang terjadi pada anda semua. Seorang lelaki daripada kalangan kalian melihat isterinya bersama lelaki lain dan membiarkannya tanpa rasa cemburu dan seorang ayah di antara kalian melihat anak perempuannya bersama lelaki asing dan kalian membiarkannya tanpa rasa cemburu dan was-was kerana daging babi itu menularkan sifat-sifatnya kepada orang yang memakannya.

Dari aspek akidah: Babi turut dinyatakan dalam sebuah mafhum hadis mutawatir, iaitu; Abu Hurairah r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda “Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, sungguh amat dekat saat kemunculan Isa bin Maryam di kalangan kamu sekalian yang mana dia akan bertindak sebagai seorang hakim yang adil. Dia akan memecahkan semua batang-batang salib, membunuh babi-babi, melenyapkan pajak gadai dan ketika itu harta begitu melimpah ruah hinggakan tidak ada seorang pun yang sanggup menerima sedekah yang dihulurkan kepadanya. Malah satu sujud itu lebih baik daripada kehidupan dunia dan segala apa yang ada padanya”.

Selain mengutarakan persoalan akidah tentang tanda-tanda berlakunya hari kiamat, mafhum hadis ini juga menyentuh tentang peranan kebangkitan Nabi Isa di akhir zaman seperti memusnahkan salib-salib yang dipuja oleh golongan kristian, membunuh babi yang merupakan punca segala penularan penyakit kronik dalam kalangan mayarakat manusia yang menganggap haiwan tersebut sebagai sumber makanan dan ekonomi yang boleh mendatangkan keuntungan yang amat lumayan jika diperniagakan dan juga melenyapkan pajak gadai atau dengan kata lain membasmikan terus kemiskinan di muka bumi dengan kemunculan harta kemewahan yang melimpah-limpah sebelum berlakunya kiamat.

Dr. Muhammad Abdul Khair, dalam bukunya Ijtihad fi al-Tafsir al-Qur’an al-Karim, halaman 112, menyebutkan beberapa penyakit yang disebabkan oleh daging babi: “Daging babi mengandungi benih-benih cacing pita dan cacing trachenea lolipia. Cacing-cacing ini akan berpindah kepada manusia yang mengkonsumsi daging babi tersebut. Babi merupakan haiwan yang paling rakus ketika makan. Ia makan semua makanan di depannya. Jika perutnya telah penuh atau makanannya telah habis, ia akan memuntahkan isi perutnya dan memakannya lagi untuk memuaskan kerakusannya. Babi tidak akan berhenti makan. Bahkan ia juga memakan muntah dan najisnya sendiri.” Inilah antara ancaman  negatif babi terhadap manusia.

Ibn Khaldun: Pengasas Ilmu Sosiologi.

ibn-khaldun1

Waliudin Abu Zaid Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khalid ibn al-Khattab atau lebih tersohor dengan jolokan Ibn Khaldun dilahirkan di Tunisia pada tahun 1332M. Seperti mana Ibn Sina, Ibn Khaldun juga berasal daripada keluarga berada yang begitu cenderung dalam bidang akademik dan politik. Status keberadaan ini digunakan sebaik mungkin bagi tujuan menambah ilmu pengetahuannya dalam segala bidang yang diterokai. Bapanya seorang pemerintahan tentera yang alim dalam selok-belok agama. Ibn Khaldun memulakan karier pengajiannya dibawah seliaan ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama lain di Tunisia dengan menghafal al-Quran dan al-hadis serta pengajian tafsir, fiqh, bahasa Arab dan sastera. Setelah mampu menguasai sebahagian besar ilmu-ilmu agama dan bahasa berusia 16 tahun, beliau mempelajari serta mendalami ilmu logik dan falsafah. Pada tahun 1347M, Ibn Khaldun mulai menjalin hubungan rapat dengan keluarga pemerintah Morocco, Sultan Ibn Hasan al-Marini. Pada tahun 1351M, beliau menjawat jawatan kerajaan di bahagian surat-menyurat di bawah pemerintah Muhammad Tafrakin.

Ibn Khaldun adalah salah seorang pakar sejarah Arab teragung yang juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Beliau turut mengembangkan falsafah tidak berasaskan keagamaan paling awal sebagaimana yang dicatit dalam karyanya, Muqaddimah (“Pengenalan”). Menurut Umar Furrukh dalam kitabnya, Tarikh al-Fikr al-‘Arabi; setelah merasa bosan merantau dan melaksana urusan kerajaan, Ibn Khaldun berpindah ke Morocco dan mengambil keputusan untuk mengasingkan diri di sebuah tanah perkuburan di bahagian timur Telemsan selama 4 tahun dan mula menulis bukunya, Muqaddimah. Menurut catatan Abu Usaiba`ah dalam kitabnya, `Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’: Selain Muqaddimah, Ibn Khaldun juga menulis dalam bidang-bidang lain seperti ilmu hisab, logik dan sejarah.

Tokoh ini tersohor dengan beberapa idea membangun. Menurut beliau, gandingan antara agama dan asabiyyah dalam usaha-usaha mewujudkan sebuah negara yang teguh adalah amat diperlukan pada peringkat permulaan untuk mewujudkan sesebuah pemerintahan negara. Malah juga agama tidak akan sempurna tanpa ‘asabiyyah. Meskipun begitu, beliau juga tidak menafikan bahawa kezaliman akan berlaku sekiranya unsur-unsur ‘asabiyyah lebih mengatasi ke atas unsur-unsur agama. Ini kerana agama adalah satu unsur yang lebih besar peranannya daripada ‘asabiyyah dalam pementukan sesebuah pemerintahan negara.

Dari sudut ekonomi, Ibn Khaldun memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Beliau membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang serta melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan. Sarjana ini juga memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan keatas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Pada tahun 1363 beliau bertindak sebagai duta raja Moor di Granada, kepada Pedro Kejam Castile (The Cruel of Castile). Dia belayar ke Alexandria pada Oktober 1382 dan menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan di beberapa buah universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abu al-Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387. Tokoh ilmuwan ini meninggal dunia pada 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Antara jasa terbesarnya ialah penyusunan ilmu sosiologi atau sains kemasyarakatan. Ia telah diperkenal oleh Ibn Khaldun sendiri pada sekitar tahun 1377. Sosiologi adalah satu disiplin ilmiah yang mengkaji tentang interaksi kemanusiaan meliputi pelbagai tajuk dalam berbagai bidang. Bidang ilmiah ini amat cenderung terhadap konflik, persefahaman, persaingan dan kerjasama, organisasi, perpecahan, penyesuaian, penyusunan, perubahan dan juga lain-lain proses interaksi kemanusiaan. Bidang ini mempunyai kaitan rapat dengan ilmu politik. Malah penyelidik dalam bidang politik akan lebih mampu memahami serta mendalami segala latarbelakang, susunan, pola kehidupan sosial berbagai golongan atau kelompok dalam sesebuah masyarakat.

Wacana antara Hj.Husam dan Khairy Jamaluddin.

husam-vs-khairy

Heboh sana-sini orang ramai memperkatakan tentang bahang kehangatan wacana antara Hj. Husam dan Khairy Jamaluddin. Wacana yang sepatutnya berjalan dengan penuh tertib dan hemah akhirnya bertukar menjadi majlis debat yang berapi-api setelah kedua-dua pihak mulai cuba menegakkan hujjah masing-masing. Selepas Naib Presiden PAS, Hj. Husam Musa menegaskan kepada Khairy Jamaluddin “Kita akan buat hudud”, ada di kalangan penyokong-penyokong PAS yang berfikiran cetek menganggap jawaban Hj. Husam itu bodoh atau tidak cerdik. Konon-kononnya masih belum sampai masa lagi untuk dibicarakan tentang hudud di khalayak ramai. Sebenarnya itulah jawaban yang paling cerdik dan yang paling diredhai oleh Allah Taala. Apa guna Khairy bangkit-bangkitkan soal polisi PAS untuk melaksanakan hudud sekiranya dapat memerintah Malaysia kelak jika dia dan UMNO sendiri memang sah anti-hudud. Dalam soal ini PAS tidak perlu membelakangkan polisi parti semata-mata kerana ingin menjaga perasaan mereka daripada kalangan ahli PKR dan DAP yang sudah sememangnya faham tentang hudud tetapi cuma masih tidak mampu untuk menghayatinya. Memang benar juga DAP lebih memahami tentang Islam jika dibandingkan dengan UMNO. Namun dari sudut penghayatan terhadap perlaksanaan hukum tersebut, UMNO dan DAP hanyalah 2 x 5 sahaja…

Lim Guan Eng begitu sekali cuba menghayati corak pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan membaca kisah tokoh tersebut berulang kali. Mungkin dari sudut kebajikan terhadap rakyat, tidak suka membazir dan watak serta sikap merendah diri Umar bin Abdul Aziz mampu dilakonkan semula oleh Guan Eng. Namun sedarkah Guan Eng bahawa sepanjang pentadbiran khalifah tersebut, hukum hudud adalah sebahagian daripada perundangan pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah? Hukuman hudud dijulang tinggi pada zaman itu lantaran penghayatan beliau terhadap keEsaan Allah Taala. Hasil penghayatan tersebut, timbullah sifat taqwa dalam sanubarinya. Pasti sekali perlaksanaannya bukan hanya kerana mengharapkan mardhatillah di hari akhirat kelak. Bahkan ia adalah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat yang dipimpin oleh beliau sendiri. Tahukah Guan Eng tentang hal ini?

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang pernah diaibkan setelah sistem perundangan negara dicabuli sebegitu rupa. Mungkin itu adalah satu kaffarah terhadap Anwar Ibrahim agar sentiasa ingatkan Allah apabila sudah diamanahkan kuasa untuk mentadbir sekalian rakyat di Tanah Melayu ini. Oleh itu, setelah Anwar mampu bangkit semula dalam arena politik melalui bantuan PAS dengan izin Allah, maka adalah tidak wajar baginya untuk membelakangkan tuntutan Ilahi dengan tidak menyokong perlaksanaan perundangan Ilahi jika PR ditakdirkan mampu menggulingkan Barisan Nasional dalam PRU-13 kelak. Hanya melalui perlaksanaan hudud sahaja segala bentuk jenayah akan dapat dibenteras dengan lebih berkesan dan keadilan akan mampu ditegak. Namun jika Pakatan Rakyat terpaksa dibubar sebelum PRU-13 menjelang kerana pertentangan ideologi tentang hudud, PAS sewajarnya terus maju ke medan siasah dengan berani dan berwibawa walaupun terpaksa bersendirian…..

Keluhan Cikgu Nik Man Kg. Talak

cikgu-nik-man1

Saya begitu cenderung dan berminat untuk menjejaki dan menulis tentang tokoh muzik Kelantan, Allahyarham Cikgu Abdullah Bukhari bin Omar dan orkestranya, Tala Wijaya. Oleh itu, responden utama yang perlu diwawancarakan ialah Nik AbdulRahman@ Cikgu Nik Man Kampung Talak. Beliau adalah vice president orkestra Tala Wijaya merangkap sebagai penyanyi dan pemain double bass. Banyak sumber primary yang saya perolehi daripada beliau bagi menyusun buku tentang Cikgu Abdullah Bukhari dan orkestra ini. Terima kasih buat Cikgu Nik Man kerana sudi meluangkan masa bertungkus lumus membantu saya untuk menyiapkan buku tersebut. Sebenarnya Cikgu Nik Man adalah salah seorang pengdokong setia PAS semenjak zaman Dato` Ishak Lotfi selaku Menteri Besar Kelantan. Peranannya begitu menyerlah pada zaman pemerintahan Dato` Asri bin Hj.Muda sehinggalah PAS berusaha bangkit semula bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menerajui pemerintahan negeri Kelantan pada tahun 1990. Di kalangan orang-orang lama dalam PAS, Cikgu Nik Man cukup dikenali tetapi dalam kalangan generasi muda PAS, identity beliau boleh dikatakan tidak diketahui langsung.

Semasa berbual dengannya tentang Tala Wijaya, beliau juga bercerita tentang pengalamannya bersama PAS. Cerita itu mengingatkan saya kepada sepotong ayat al-Quran bermaksud “Berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”.(Surah al-Taubah, ayat 41.) Dalam mafhum ayat ini, Allah Taala mengutamakan pengorbanan harta dahulu dan kemudian barulah disusuli dengan pengorbanan jiwa. Ini kerana sudah menjadi fitrah kejadian manusia, sesiapa yang sayangkan hartanya adalah amat mustahil sanggup menggadaikan nyawa atau jiwanya demi menegakkan kalimah Allah.

Cikgu Nik Man adalah seorang bekas guru yang berjaya muncul sebagai usahawan Melayu gigih yang sentiasa jatuh bangun dalam dunia perniagaan. Jasanya terhadap PAS terutama selepas kejatuhan PAS (tinggal hanya 2 kerusi) begitu besar sekali jika nak dibandingkan dengan jasa orang-orang muda yang baru mencebur diri dalam bidang politik kepartian PAS. Beliau berusaha membantu kewangan ahli-ahli PAS yang dhaif sumber ekonomi mereka pada masa itu. Antara lain, beliau pernah menghabiskan wangnya lebih rm 50,000 semata-mata ingin membantu kempen calon PAS, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) semasa menentang calon Barisan Nasional, Foo Choy Yong di Kota Bharu suatu ketika dulu. Begitu juga semasa pilihanraya umum yang lain. Beliau tidak pernah bakhil mengeluarkan wang hasil perniagaannya demi membantu calon-calon PAS dalam mana-mana pilihanraya umum. Cikgu Nik Man juga sentiasa menghulurkan bantuan keperluan dapur kepada keluarga mantan YB Parlimen Bachok, Allahyarham Bunyamin Yaakob ketika beliau berada dalam tahanan ISA. Malah Dato’ Hj.Husam Musa pun pernah bekerja dengan beliau selepas tamat pengajiannya di Universiti Malaya.“Cikgu ni sudah tua Lan….segala apa yang cikgu buat untuk membantu PAS… cikgu tidak pernah mengharapkan balasan…Cuma setidak-tidaknya kita ni orang Melayu…..kenalah berbudi bahasa……….kalau ada yang masih ingatkan saya allahamdulillah ……tetapi kalau ada yang sudah lupakan saya selepas mereka berjaya menjadi pemimpin pun allahamdulillah…..biarlah Allah yang menentukan segalanya….sekurang-kurangnya saya masih ingat kepada mereka yang pernah bersama-sama dengan saya membangunkan PAS dulu” keluh beliau sambil memandang sayu ke arah saya.

Pas Tentang Dasar Zalim Umno

Dalam sebuah mafhum hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Jabir r.a “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana ia (kezaliman) merupakan kegelapan di hari Kiamat kelak”. Itulah natijah akhir kezaliman yang bakal memporak perandakan jiwa sesiapa sahaja di Hari Pembalasan kelak. Dengan kata lain; tindakan zalim yang dilakukan oleh seseorang manusia di dunia sepanjang hayatnya akan menyebabkan dirinya sendiri berada dalam kegelapan setelah dia dibangkitkan di Hari Pembalasan. Kezaliman ialah meletak atau melaksanakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.  Lantaran kezaliman itu bercanggah dengan pendirian syarak, pasti sekali tindakan yang tidak kena atau sesuai pada tempatnya itu merupakan tindakan yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Lafaz takuti (jauhilah) kezaliman dalam mafhum hadis di atas adalah desakan Rasullah agar umatnya tidak berkompromi dengan segala bentuk anasir zalim.

 

Pernah  seorang kawan timbulkan persoalan; “Mengapa Pas menentang kezaliman Umno tetapi tidak menyokong usaha Umno mempromosikan Islam Hadhari? Adakah Islam Hadhari yang dipromosikan oleh Umno di era pemerintahan Pak Lah juga zalim?” Tersentak saya dengan soalan sedemikian. Saya merenung wajahnya yang kelihatan serious ingin jawaban. “Islam Hadhari bermaksud Islam Yang Maju. Dan Islam yang maju itu ialah Islam yang syumul (merangkumi secara menyeluruh aspek kehidupan). Sedangkan Islam yang dipropagandakan oleh Umno di era pemerintahan Pak Lah ini pula tidak pernah menyeluruh dan tiada bezanya dengan Islam yang diperjuangkan oleh parti Umno sejak awal penubuhannya lagi…. meskipun Pak Lah itu berdegree dalam bidang Pengajian Islam” jawab saya tersenyum. “Adakah kerana sifatnya yang tidak menyeluruh bererti Islam Hadhari Umno itu zalim?” tanyanya lagi. “Sudah pasti” jawab saya spontan. “Kerana Umno merupakan parti yang memiliki kuasa pemerintahan tetapi hanya mengambil beberapa aspek kecil sahaja daripada cabang syariah sebagai peraturan dan undang-undang kehidupan masyarakat di Malaysia. Tindakan sebegini sudah tentu tidak diredhai oleh Allah Taala” tambah saya lagi.

 

“Habis tuh mengapa Pas tidak mengambil langkah membantu Umno mengisi kerangka dan rangka Islam Hadhari?”  tanya beliau seolah-olah cuba menempelak saya kembali. “Pas pernah mengalami sejarah hitam dengan Umno semasa bersama dalam Barisan Nasional dulu. Pada ketika itu juga Pas pernah disingkir keluar dari Barisan Nasional gara-gara sifat zalim dan gelojoh para pemimpin Umno. Hingga kini, Umno tidak pernah bersungut untuk menegakkan perjuangan Islam. Malah perjuangan bangsa Melayu pun Umno turut abaikan. Apa yang diperjuangkan oleh Umno kini hanya perjuangan materialistic semata-mata.  Bermula daripada pimpinan atasan hinggalah ke peringkat akar umbi,  masing-masing hanya mengutamakan “periuk nasi” lebih daripada slogan Hidup Melayu!. Memang sudah dasar Umno anti perundangan Syarak. Dan dasar inilah yang bercanggah dengan tuntutan Islam. Dan menjadi kewajiban kita untuk menentang kezaliman tersebut” tegas saya. “Walaupun terpaksa bergabung tenaga dengan DAP dan PKR ?” celahnya. “Ya, dalam usaha menentang kezaliman kuasa pemerintahan yang disalahgunakan, diharuskan kita bergabung tenaga dengan kelompok-kelompok parti yang tidak berideologikan Islam demi merobohkan kuasa zalim tersebut” jelas saya lagi.   

 

Terlopong mulutnya selepas mendengar jawaban saya. Tiba-tiba dihulurkan tangannya bersalaman lalu bergegas meminta izin pulang ke rumahnya. Selang beberapa hari kemudian, saya dikejutkan dengan SMS daripadanya “Raso-raso betul kato demo hari tuh. Umno ni buke jenis parti nak perjuangkan Islam”.   

 

Kisah ADUN Melor

SITI AISHAH ABDULLAH / MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KB3 bulan lepas saya terima e-mail yang diforwardkan oleh seorang rakan yang berkhidmat di Petronas, Kerteh. Katanya “ Saya minta Abe aji baca dan tengok sendirilah blog pinkturtle2.wordpress.com  dan wan-nasru.blogspot.com/ ……..

……semuanya pasal perangai comel Tok Wan Smail Melor”. Tergaman saya dengan permintaan beliau yang berbau ejekan. Setelah blog itu dibuka, dibaca dan diteliti ternyata ia merupakan luahan rasa tidak puas hati sesetengah pihak dengan tindakan Wan Ismail Wan Jusoh, ADUN Melor. Ada pihak yang marah dan mengatakan blog tersebut adalah propaganda Umno yang cuba menangguk di air keruh. Takkan kurang juga mereka yang begitu bersimpati dengan nasib Siti Aisyah si jelita Kemboja itu. Pada awalnya, susah untuk saya menerima dan mempercayai berita ini lebih-lebih YB Wan Ismail ini adalah juga sahabat abah saya.

 

Ahh..biarkanlah…..Dah memang tak ada jodoh YB Wan Ismail dengan perempuan kemboja tuh…. Sebab tuh mereka bercerai……lagipun YB Wan Ismail dah dapat pengganti baru” ujar seorang penyokong fanatic PAS. Tidak lama kemudian, YB Wan Ismail mengumumkan untuk menyaman pihak media yang dianggap cuba mencampuri dan mendedahkan urusan rumahtangga beliau. Bagi YB Wan Ismail, pendedahan kisah perceraian tersebut boleh menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang wakil rakyat. Dua hari yang lepas, satu lagi e-mail diforwardkan kepada saya dan ianya juga berkisar tentang kisah YB Wan Ismail. Turut dikempilkan bersama gambar Siti Aisyah Kemboja yang baru sahaja nak mengenal Islam. Ayu dan anggun sekali wajahnya tetapi dia masih lagi memakai tudung kepala ala zaman kepimpinan Dato` Asri. Kalau YB Wan Ismail sanggup mendidiknya, mungkin dia akan sanggup memakai tudung macam isteri Tuan Guru Nik Abdul Aziz suatu hari nanti. Malangnya, seorang pemimpin PAS ini tidak mampu untuk mendidik Siti Aisyah yang baru memeluk Islam. Yang menjadi persoalan, sudah tahu dirinya tak mampu tetapi mengapa masih tetap ingin memikul tanggungjawab berat tersebut? Apakah ini yang dikatakan kemuncak ego setelah dapat mandate sebagai wakil rakyat? Nafsu untuk berkereta besar, berumah besar dan beristeri ramai semakin melonjak-lonjak kerana sumber pendapatan sebagai wakil rakyat lebih stabil?

Walaupun perceraian itu diharuskan disisi syarak tetapi ia amat dimurkai oleh Allah Taala jika ia berlaku tanpa sebab yang munasabah mengikut perspektif syarak. Nak kata Siti Aisyah hodoh…memang tak munasabah. Nak katakan tenaga batin YB Wan Ismail semakin berkurangan tapi dia masih ada hati tambah seorang lagi bini walaupun ada khabar-khabar yang mengatakan nafsu sexnya hanya kuat kerana viagra. Apa yang jelas, gaya konsep poligami berteraskan pendidikan dan dakwah yang dianjurkan oleh Rasulullah tidak dicontohi oleh YB Wan Ismail. Resah, geram dan marah juga hati ini bila memikirkan seorang politician yang dianggap berada di bawah dagu Tok Guru sokmo sanggup bertindak sedemikian rupa.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.