Al-Imam Abu Hanifah: Mujtahid Yang Berwibawa.

Al-Imam Abu Hanifah  atau nama sebenarnya Annu’man bin Tsabit merupakan seorang  tokoh intelektual Islam. Beliau  yang juga dikenali sebagai al-Imam al-‘Azam ( Mahaguru) dilahirkan di  Bandar Kufah pada tahun 80 Hijrah.

 

Minat serta kecenderungan beliau dalam bidang keilmuan Islam timbul sejak usia kecil lagi. Kedudukan Bandar Kufah tempat kelahirannya yang masyhur sebagai sebuah bandar ilmu terutama dalam bidang ilmu falsafah dan akidah merupakan factor utama untuk beliau  menerokai bidang keilmuan Islam.  Dalam situasi tersebut, beliau juga berkesempatan mendampingi para ulama Islam daripada pelbagai mazhab yang berbeza seperti Syiah Zaidiyyah, Imamiyah, Muktazilah dan Khawarij yang begitu aktif  mengadakan kelas pengajian pada masa itu.

 

Semenjak kecil lagi corak kehidupan Abu Hanifah berbeza dengan sesetengah anak-anak orang Arab yang lain.  Sebagai anak kepada seorang saudagar tekstile (kain), beliau juga turut berniaga kain sambil menimba ilmu selok belok berniaga daripada ayahnya. Lantaran tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk menambah ilmu, beliau membahagikan masa hariannya dengan cermat.  Abu Hanifah yang terkenal dengan kecerdikan memulakan karier pengajiannya dalam pengajian Ilmu Kalam.

 

Sebelum memasuki kelas, beliau terlebih dahulu memastikan segala peralatan untuk belajar sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan dalam sessi pembelajaran.  Dengan tidak meninggalkan kerjayanya sebagai seorang peniaga kain disamping ketekunan semasa belajar, Abu Hanifah akhirnya berjaya meletakkan namanya sebarisan dengan para ilmuan Islam dalam masa yang singkat.  

 

Meskipun begitu, Abu Hanifah merupakan seorang ilmuan yang sentiasa merendah diri dan sering merasakan dirinya masih dalam serba kekurangan dari segi penguasaan ilmu.  Setelah mencapai kedudukan yang agak  tinggi dalam pengajian llmu kalam serta menulis beberapa risalah ilmiah tentangnya, beliau merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Timbul difikirannya  bahawa bidang Ilmu Kalam yang diceburinya hanya  merupakan suatu perbahasan kosong yang tidak banyak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Susulan ini, Abu Hanifah mula tertarik dengan bidang Ilmu Fiqh dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasainya.

 

Minat Abu Hanifah untuk menguasai bidang Fiqh sentiasa giat diusahakan. Bandar Kufah lebih tersohor sebagai gedung ilmu dalam bidang ilmu kalam dan falsafah jika dibandingkan dengan kota Madinah yang lebih dikenali sebagai  kota ilmu Atsar ( hadis). Namun dalam bidang pengajian fiqh, bandar Kufah merupakan saingan utama kepada kota Madinah.

 

Dengan kewujudan tokoh-tokoh fiqh ternama di Kufah, Abu Hanifah gigih mengkaji dan mendalami setiap permasalahan fiqh dalam yang timbul dalam kehidupan masyarakat setempat. Beliau juga pernah mengatakan “ Aku berada di lubuk ilmu, lalu aku belajar dari para penghuninya dan mendampingi seorang daripada mereka…”. Yang dimaksudkan oleh Abu Hanifah dengan perkataan lubuk ilmu ialah bandar Kufah yang banyak menerima pengaruh ilmu daripada tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Mas’ud dan beberapa para sahabat kibar yang lain. Hasil daripada sebaran pengaruh ilmu para sahabat kibar ini, muncul pula di bandar Kufah tokoh-tokoh fiqh yang lain seperti Al-qamah dan Ibrahim al-Nakhie. Manakala yang dimaksudkan dengan salah seorang daripada mereka ialah Hammad bin Abu Sulaiman yang bertanggungjawab membimbing Abu Hanifah dalam bidang fiqh. Hammad bin Abu Sulaiman adalah murid kepada Ibrahim al-Nakhie dan al-Syuibi. Dari segi hearaki penerimaan ilmu, al-Nakhie dan al-Syuibi pula merupakan anak murid kepada Alqamah Ibn Qais, Masruq Ibn al-Ajda’ dan Syurih al-Qadhi yang merupakan anak didik Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.

 

Dalam tempoh pengajiannya, Abu Hanifah menghabiskan masanya bersama Hammad  selama 8 tahun sehinggalah gurunya ini meninggal dunia. Dengan peninggalan Hammad pada tahun 120 Hijrah, para rakan sepengajian dengannya bersetuju untuk melantik Abu Hanifah sebagai pengganti guru mereka. Selain daripada ketokohan beliau dalam bidang fiqh, Abu Hanifah juga merupakan seorang hamba Allah sentiasa berusaha mendampingi Tuhannya selepas masa satu pertiga  malam. Lantaran kebiasaannya yang sentiasa berjaga malam, beliau menunai solat subuh dengan menggunakan wudhuk yang diambil untuk solat isyak selama 40 tahun.

 

Abu Hanifah merupakan seorang pendidik yang berdedikasi. Sebelum mengajar, beliau terlebih dahulu memasti dan merujuk kitab-kitab telaahnya serta catitan-catitan ilmiah yang dipelajarinya semasa berada dibawah bimbingan Hammad bin Abu Sulaiman. Disamping itu, pengalamannya dalam bidang perniagaan dan penguasaannya dalam ilmu kalam turut diselitkan dalam methodology penyampaian beliau semasa mengajar ilmu-fiqh. Langkah ini membuatkan Abu Hanifah  semakin disegani dan dihormati ramai. Yang paling nyata, Imam Abu Hanifah berjaya mendidik dan memprodukkan ulamak yang berkualiti serta berauthoriti. Antara murid-muridnya yang tersohor ialah  Zufail Ibn Huzail al-Kufi, Muhammad Ibn Hasan al-Syaibani dan Yaakub bin Ibrahim bin Habib al-Ansari (Abu Yusuf).

 

Ekoran kemahsyuran  dengan sifat taqwa, alim dan warak, beliau pernah diminta untuk menjawat jawatan kadhi di zaman pemerintahan Marwan bin Muhammad ( kerajaan Bani Umaiyah). Namun disebabkan timbul rasa takut sekiranya berlaku zalim semasa menjatuhkan hukuman, Abu Hanifah membuat keputusan menolak tawaran tersebut. Akibat penolakan  tersebut, beliau dijatuh hukuman sebanyak 100 kali sebatan, iaitu 10 kali sebatan untuk setiap hari. Hukuman ini dibuat dengan harapan dapat memaksa Abu Hanifah menerima kembali jawatan kadhi yang telah ditawarkan kepadanya. Meskipun begitu, disebabkan kedegilannya,  maka hukuman tersebut tidak dapat mengubah pendiriannya. Akhirnya Abu Hanifah dibebaskan begitu sahaja.

 

Setelah kerajaan Bani Umaiyah jatuh di Dimsyk dan timbul pula kerajaan Bani Abbasiyah di Baghdad, Abu Hanifah sekali lagi  ditawar menjawat jawatan kadhi. Kali ini beliau terpaksa berhadapan dengan khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Namun dengan kepintaran akal yang dimiliki, beliau dapat mencari helah untuk berhujjah semasa berdialog dengan khalifah. Akhirnya buat kali kedua beliau berjaya mengelak diri daripada meyandang jawatan kadhi yang ditawarkan kepadanya.

 

Sebagai seorang imam yang berwawasan, kepintaran Abu Hanifah senantiasa menyerlah. Dalam suatu peristiwa, Ibn Abu Laila yang merupakan kadhi di Kufah pada masa itu terpaksa berhadapan dengan masalah yang timbul ekoran tuduhan seorang wanita gila terhadap seorang lelaki. Dalam kejadian itu, wanita gila tersebut menuduh lelaki berkenaan adalah anak zina.  Bagi menyelesaikan masalah, Ibn Abu Laila menjatuhkan hukuman dua kali sebatan keatasnya di masjid dalam keadaan wanita itu berdiri.  Satu sebatan bagi pihak bapa lelaki tesebut dan satu sebatan lagi bagi pihak ibunya.

 

Apabila berita perlaksanaan hukuman ini sampai ke pengetahuan Abu Hanifah, beliau mengkritik tindakan Ibn Abu Laila dengan katanya “ Sesungguhnya Ibn Abu Laila telah melakukan enam bentuk  kesilapan semasa menjalankan hukuman. Kesilapan pertama ialah beliau menjatuhkan hukuman had di masjid sedangkan hukuman tersebut tidak boleh dilaksanakan di masjid. Kesilapan kedua kadhi tersebut ialah menjatuhkan hukuman tersebut dalam keadaan wanita itu berdiri sedangkan  kaum wanita mesti berada dalam keadaan duduk semasa menerima hukuman. Kesilapan ketiga; kadhi tersebut menjatuhkan hukuman sekali sebat bagi pihak bapa dan sekali sebatan lagi bagi pihak ibu lelaki tersebut sedangkan walaupun jika lelaki tersebut sendiri membuat tuduhan palsu terhadap satu kumpulan ( lebih daripada seorang) dia hanya layak menerima satu sebatan sahaja. Kesilapan keempat ialah dia menghimpun kedua-dua sebatan sekali gus sedangkan mengikut syarak, setiap sebatan tidak boleh dihimpun sekali gus hinggalah kurang rasa sakit salah satu daripada sebatan tersebut. Kesilapan keempat, perempuan tersebut merupakan orang gila maka hukuman had tidak diwajibkan ke atas orang gila. Kesilapan keenam, Kedua-dua sebatan yang dikenakan ke atas wanita tersebut bagi mewakili kedua-dua ibubapa lelaki berkenaan sedangkan kedua-dua ibubapanya tidak berada dalam majlis perlaksanaan hukuman tersebut  maka mereka berdua sepatutnya dijemput hadir”.

 

 

Status Abu Hanifah sebagai seorang imam mazhab bersandarkan kepada keilmuan dan sifat perikemanusiaannya. Sehubungan ini, segala ijtihad beliau dalam permasalahan fiqh  meletakkan beliau sebagai seorang alim yang berauthoriti untuk mengeluarkan fatwa daripada pemikirannya berlandasan al-Quran dan al-Sunnah.  

 

Dalam methodologi ijtihadnya, beliau pernah mengatakan “Langkah pertama sekali ialah; kami mengambil sumber hukum daripada al-Quran, jika tidak dijelaskan di dalam al-Quran kami akan merujuk kepada hadis sebagi sumber kedua. Kemudian kami juga menerima pendapat para sahabat dan beramal dengan segala yang disepakati oleh mereka. Jika didapati  ada perselisihan pendapat dikalangan para sahabat Rasulullah  tentang sesuatu hukum,  nescaya kami bandingkan terlebih antara kedua-kedua masalah tersebut  beserta seluruh illat (sebab) hukum-hukum tersebut”.

 

Abu Hanifah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah iaitu pada tahun kelahiran  al-Imam al-Syafie. Pemergiannya sukar dicari ganti. Meskipun beliau merupakan seorang tokoh yang alim dalam bidang fiqh, namun beliau tidak pernah menulis sebarang artikel atau kitab dalam bidang tersebut. Penulisan beliau hanya tertumpu dalam bidang ilmu kalam. Mengikut ahli sejarah, hasil penulisan Imam Abu Hanifah ialah kitab al-Fiqh al-Akbar, kitab al-Alim wa al-Mutaalim, risalah yang ditujukan kepada Othman bin Muslim al-Batti dan kitab dalam membicarakan tentang penolakkan terhadap mazhab al-Qadariyah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya…………Amin.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

           

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: