Al-Imam al-Syafie- Mujaddid ke-2 Dalam Islam

Al-Imam al-Syafie atau sebenarnya Abu Abdul Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Othman bin Syafi’ bin al-Saib merupakan anak murid kepada al-Imam Malik yang paling masyhur. Beliau berketurunan Quraisy. Dilahirkan pada tahun 150H di Ghazzah, Palestin dan dibesarkan di situ.  Selepas kematian bapanya,  beliau  tinggal bersama ibunya dalam keadaan amat miskin di Ghazzah. Meskipun berada dalam kehidupan susah, namun ia bukan merupakan batu penghalang baginya untuk menimba ilmu pengetahuan. Berbekalkan kecekalan hati dan semangat yang berkobar diiringi pula dengan doa ibunya, beliau berjaya mencapai apa yang dicita.

 

Al-Syafie memulakan kariernya sebagai penuntut ilmu di Ghazzah. Pada peringkat permulaan ini beliau belajar al-Quran daripada ibunya sendiri serta menghafal kesemua  ayat-ayat al-Quran yang dipelajarinya. Setelah berumur lebih kurang sepuluh tahun, beliau dibawa oleh ibunya berpindah ke Mekah. Di Mekah semangat beliau untuk belajar semakin berkobar apabila dia mendapat tahu bahawa kota Mekah dihuni oleh para ulamak muktabar.

 

Pada peringkat awal di Mekah, beliau memulakan pengajian dengan menghafal hadis-hadis nabi sahaja. Disamping itu, beliau juga memimjam kitab al-Muwatta karangan al-Imam Malik daripada seorang lelaki di kota Mekah dan menghafalnya. Dengan daya ingatan yang tajam, beliau dapat menghafal dan mengingati keseluruhan isi kandungan al-Muwatta’ dalam tempoh sembilan malam sahaja.

 

Dalam proses menghafal hadis-hadis tersebut, banyak hadis-hadis yang berkaitan dengan ilmu  ditemui beliau.  Penemuan hadis-hadis dalam bab fiqh ini, timbul pula keinginan untuk menimba ilmu fiqh.  Tidak cukup dengan apa yang dimiliki, beliau mula menceburi bidang fiqh dan berdamping dengan beberapa ulamak terkemuka di Mekah seperti  Muslim Ibn Khalid al-Zinji dan Sufian Ibn ‘Unaiyah. Dalam tempoh perdampingannya dengan para ulama fiqh di kota Mekah, beliau mengambil kesempatan mempelajari fiqh Ahl-Ra’y dan juga fiqh Ahl- Hadis serta mengumpulkan segala data ilmiah yang berkaitan dengan kedua-dua mazhab fiqh tersebut.  Menurut al-Syeikh Abu Zahrah, “ Sesungguhnya al-Syafie telah mengumpul ilmu fiqh Ahl-Ra’y dan ilmu fiqh Ahl-al-Hadis dengan kadar yang seimbang”.

 

Selain ilmu fiqh dan hadis, al-Syafie juga meminati bidang kesusasteraan Arab. Lantaran minatnya ini, beliau  menjaga lidahnya agar sentiasa bertutur dengan menggunakan bahasa Arab baku. Disamping itu, beliau juga mendampingi kabilah Huzail yang merupakan kabilah Arab yang paling fasih dan paling menguasai syair-syair dikalangan kabilah-kabilah Arab.  Dalam tempoh ini, al-Syafie sempat juga belajar memanah sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan pemanah-pemanah handalan pada masa itu. 

 

Setelah umurnya meningkat 20 tahun, beliau mengambil keputusan  menuju ke Madinah untuk menimba ilmu secara bersemuka dengan al-Imam Malik, pengarang kitab al-Muwatta’ yang dihafalnya sebelum ini. Kehadirannya di Madinah untuk belajar disambut baik oleh al-Imam Malik. Dalam pertemuan kali pertamanya dengan al-Imam Malik, al-Syafie pernah menceritakan “ Aku tidak pernah merasa hebat serta kagum  terhadap seseorang sebagaimana rasa hebat dan kagumku terhadap al-Imam Malik”.

 

Di Madinah, beliau  setia sebagai murid al-Imam Malik selama 9 tahun sehinggalah gurunya ini meninggal dunia. Sebagai seorang ilmuan yang sentiasa merendah diri serta bijak membahagikan masa, beliau sering mengisi masa lapangnya dengan menziarahi dan bergaul dengan kabilah-kabilah Arab lain di padang pasir. 

 

Setelah al-Imam Malik meninggal dunia, al-Syafie kembali semula ke kota Mekah. Disebabkan kesempitan hidup yang dialaminya, beliau berusaha mencari pekerjaan untuk menyara hidupnya. Akhirnya beliau diterima bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan di Najran. Di Najran, beliau bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan Syiah yang sentiasa mengkritik pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah. Ekoran ini beliau telah dituduh menyertai dan menyokong golongan pemberontak.

 

Akibatnya, al-Syafie telah dibawa mengadap khalifah Harun al-Rasyid.  Dengan mengemukakan hujjah yang kukuh, akhirnya beliau didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Dalam proses pengadilan ini juga beliau bertemu dengan Muhammad Ibn al-Hasan (murid al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik) selaku hakim Baghdad pada masa itu. Muhammad Ibn al-Hasan merupakan rakan sepengajian beliau semasa sama-sama berguru dengan al-Imam Malik.

 

Atas dasar simpati ke atas bekas rakan sepengajiannya, Muhammad Ibn al-Hasan memohon daripada khalifah Harun al-Rasyid untuk menjamin al-Syafie serta membenarkan beliau menetap dirumahnya. Dalam tempoh sebagai orang jaminan di rumah Muhammad Ibn Hasan, beliau berkesempatan mempelajari fiqh aliran ahl ra’y daripada tokoh berkenaan. Dengan kata lain, peluang beliau berdamping dengan Muhammad Ibn al-Hasan secara tidak langsung dapat menambah satu lagi kaedah fiqh selain daripada kaedah fiqh yang pernah dipelajari daripada al-Imam Malik. Setelah lebih kurang tiga tahun berada di Baghdad, beliau kemudiannya kembali semula ke Mekah.

 

Terdapat banyak perbezaan serta perselisihan pendapat antara kedua-dua mazhab fiqh yang dipelajari.  Namun dengan kecerdikan dan keilmuan yang ada, beliau mengkaji pendapat-pendapat tersebut serta mengolahnya kembali dan membentuk kaedahnya sendiri yang dikenali sebagai Usul-al-Fiqh.

 

Setelah sembilan tahun mengajar di Mekah, beliau merasakan penemuan terbaru ini perlu disebarkan demi kepentingan umat Islam.  Dengan ini, pada tahun 195 Hijrah beliau memilih Baghdad sebagai pengkalan ilmu dan mengambil langkah untuk  menuju ke kota tersebut sekali lagi. Di Baghdad, kelas pengajian yang dianjurkan oleh beliau begitu mendapat sambutan ramai termasuklah daripada kalangan ulamak. Antara tokoh yang sering mengikut pengajaran beliau ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishak bin Rawahaih, Daud al-Zahiri, Abu Tsaur, Ibn Jabir al-Tabari, Abu Yaakub Yusuf Ibn Yahya al-Buaiti, Abu Ibrahim Ismail Ibn Yahya al-Madani, al-Hasan Ibn Muhammad al-Za’farani, al-Rabiah bin Sulaiman bin Abdul Jabbar  al-Muradi  dan lain-lain lagi.

 

Lantaran kebijaksanaan yang dimiliki, muridnya al-Imam Ahmad bin Hanbal menyifat serta mengiktiraf al-Syafie sebagai seorang Mujaddid kurun ke-2. Pengiktirafan ini berdasarkan kepada sebuah hadis Nabi “ Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun seorang mujaddid yang akan membuat pembaharuan dalam urusan agama”. Dalam pada itu, al-Imam Ahmad bin Hanbali juga turut berpendapat bahawa khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan seorang mujaddid pertama.

 

Dalam usaha menguasai ilmu hadis, Ahmad bin Hanbali pernah mengatakan “Aku tidak mengetahui tentang nasikh dan mansukh hadis ( masalah pemansukhan hadis) sehinggalah aku berdamping dengan al-Imam al-Syafie”.

 

Menurut muridnya, al-Rabiah bin Sulaiman “Al-Imam sentiasa mengetuai majlis ilmu di masjid ( Jami’ Amr ). Apabila beliau menunai solat subuh akan datanglah kepada beliau  ahli al-Quran. Setelah terbit matahari, mereka (ahli al-Quran akan beredar dan muncul pula ahl al-hadis bertanya kepada beliau tentang tafsir dan makna-makna hadis tersebut sehingga  masuk waktu dhuha. Setelah gelincir waktu dhuha, datang pula kepada beliau ahli dalam bidang bahasa Arab( Nahu), Arudh dan syair. Mereka akan berdamping dengan al-Imam al-Syafie sehinggalah masuk waktu tengahari”.

 

Selepas beberapa tahun berada di Baghdad,  pada tahun 199 Hijrah al-Syafie mengambil keputusan untuk mengembara dan menetap di Mesir.  Di Mesir beliau berpeluang  mengajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan sehinggalah beliau meninggal dunia di sana pada tahun 204 Hijrah dalam usia 54 tahun.

 

Sebagai seorang ilmuan agung, beliau turut menghabiskan sisa-sisa umurnya semasa berada di Baghdad dan di Mesir dengan mengarang kitab. Menurut Yaqut al-Hamawi  seorang ahli kaji sejarah, Sepanjang hayat beliau, selain daripada kitab al-Umm dan kitab al-Risalah, al-Imam al-Syafie sempat menulis  sebanyak 174 kitab (risalah kecil) dengan pelbagai tajuk perbincangan dalam permasalahan fiqh.  Pengorbanan beliau dalam bidang ilmu amat disanjungi. Hasil khazanah ilmiahnya menjadi bahan rujukan para pelajar dan intelektual Islam  hingga kini.

 

 

 

 

             

 

 

             

 

 

           

 

           

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: