Al-Imam Malik: Pengasas Mazhab al-Hadith

Al-Imam Malik atau lebih dikenali dengan jolokan Imam Ahl al-Hadith merupakan pengasas mazhab Ahl al-Hadith yang dikenali sebagai mazhab Maliki. Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Malik bin Anas bin Malik bin Amir Al-Asbahi. Beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah di Madinah dan dibesarkan di situ.

 

Malik berketurunan hartawan. Datuknya, Malik bin Amir al-Asbahi  merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka di kota Mekah yang telah membawa ahli keluarganya berpindah dan menetap di Madinah. Dalam pada itu, Malik bin Amir juga diiktiraf sebagai salah seorang tokoh tabiin yang sempat meriwayatkan hadis daripada Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah dan juga Aisyah Um al-Mukminin.

 

Malik dibesarkan dalam suasana keluarga yang  cintakan ilmu pengetahuan. Selain daripada berketurunan perawi hadis, status kota Madinah yang terkenal sebagai pusat  ilmu juga menjadi factor utama bagi ahli keluarga Malik untuk menguasai ilmu hadis dan fiqh melalui para fuqaha dan muhaddisin yang terkenal seperti Rabiah Ibn Abdul Rahman dan Ibn Syahan al-Zuhri.

 

Meskipun dibesarkan dalam suasana keluarga yang cintakan ilmu, namun pada awalnya kecenderungan Malik tidak sebagaimana ahli keluarganya yang lain. Pada usia meningkat remaja, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi. Saban hari beliau berusaha meningkatkan mutu suaranya dengan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan  oleh biduan-biduan Arab pada masa itu.

 

Menyedari hal ini, Ibunya berusaha mengalih perhatian serta minatnya dari bidang nyanyian ke arah bidang fiqh. Dalam usaha tersebut, si ibu sentiasa menasihati anak  dan mengatakan bahawa rupa paras dan penampilan Malik amat hodoh dan orang ramai tidak akan mendengar  sebarang nyanyian yang didendangkan oleh seorang penyanyi yang hodoh dan tidak memiliki penampilan yang menarik. Hasil nasihat dan desakan, akhirnya Malik mengalah dan akur dengan permintaan ibunya.

 

Menurut ahli sejarah, rupa paras dan penampilan Malik sebenarnya bukanlah hodoh, bahkan amat menarik  Beliau memiliki tubuh yang segak dan berkulit putih kuning kemerah-merahan. Kenyataan yang dibuat oleh ibunya hanyalah suatu helah dan alasan agar  Malik berubah sikap dan menyertai ahli keluarganya yang giat menimba ilmu pengetahuan.

 

Malik memulakan pengajiannya dengan menghafal al-Quran.  Di peringkat ini, beliau mulai mendampingi para fuqaha kota Madinah seperti Ibn Syahab al-Zuhri dan Rabiah Ibn AbdulRahman  yang terkenal dengan gelaran Rabiah al-Ra’y atau Ibn AbdulRahman al-Quru’. Antara guru yang paling lama didampingi oleh Malik ialah AbdulRahman Ibn Hurmuz, iaitu selama tempoh 13 tahun. Ibn Hurmuz merupakan seorang pakar dalam bidang pengajian al-Quran dan ilmu hadis.

 

Di peringkat seterusnya beliau mempelajari ilmu hadis dan fatwa para sahabat. Malik memiliki otak yang cergas serta daya ingatan yang kuat. Beliau mampu menghafal sebanyak 30 hadis nabi yang didengari dalam masa yang singkat. Pada tahap ini juga beliau mendampingi para fuqaha ternama yang lain seperti Nafi’ bin Abu Naim dan Nafi’ Maula Abdullah bin Umar.

 

Manakala dalam bidang fiqh, beliau bukan sahaja mempelajari fiqh para sahabat dan tabiin, bahkan beliau juga turut mendalami fiqh Ahl-Ra’y mazhab Hanafi) daripada Yahya Ibn Said dan Rabiah al-Ra’y. Malik tidak sebagaimana imam-imam mazhab lain seperti Abu Hanifah dan al-Syafie yang suka merantau kerana menuntut ilmu. Beliau tidak pernah meninggalkan bumi Madinah kecuali sekali sahaja dalam hidup kerana menunaikan fardhu haji di Mekah

 

Setelah merasai kemampatan ilmu dan menerima pengiktirafan serta nasihat daripada majority para ulamak kota Madinah, Malik memulakan kariernya sebagai guru dengan membuka kelas di Masjid Nabawi.  Dalam mengutarakan methodology pendidikan, Malik membahagikan sessi mengajarnya kepada dua kelas; iaitu kelas pengajian hadis dan satu lagi kelas pengajian fatwa yang diatur rapi.

 

Malik merupakan seorang guru yang amat menghormati majlis ilmu.  Sebelum mengajar, beliau biasanya terlebih dahulu mengambil wudhuk.   Kemudian  dia duduk di atas hamparan  dengan penuh hemah dan bersemangat sambil mengusap-usap janggutnya. Selepas itu barulah  beliau  mula mengajar. Ketika ditanya “ Kenapa tuan sentiasa mengambil wudhuk sebelum mengajar?”. Dengan selamba beliau menjawab “ Aku amat kagum dan menghormati hadis-hadis nabi dan aku tidak akan membicara atau menyebut hadis-hadisnya kecuali diriku dalam keadaan suci berwudhuk”.

 

Sebagaimana Abu Hanifah, Malik sempat hidup dalam dua zaman pemerintahan, iaitu zaman kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Meskipun begitu, beliau hanya mengambil sikap berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.  Bagi Malik kedua-dua system pemerintahan beraja ini (system monarchy) merupakan sytem yang amat menyimpang jauh daripada tuntutan syura dalam Islam. Ekoran sikapnya ini, beliau pernah disebat oleh bapa saudara khalifah Abu Jaafar al-Mansur ( kerajaan Bani Abbasiyah) kerana tidak mahu akur dengan kedaulatan kerajaan Bani Abbasiyah.

 

Lantaran sikapnya ini, beliau pernah ditanya “ Adakah harus dijalankan hukuman bunuh ke atas orang-orang yang menentang kepimpinan khalifah?”. “ Malik  menjawab dengan serius dan berani “ Harus dilaksanakan hukuman bunuh itu jika khalifah tersebut adil sebagaimana khalifah Umar bin Abd.Aziz”. 

 

Jawapan yang diberikan oleh Malik ini sekali gus menjelaskan pendirian beliau bahawa tidak harus menjatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka yang menentang kepimpinan para khulafa’ sama ada daripada pihak Bani Umaiyah ataupun  Bani Abbasiyah kecuali khalifah Umar bin Abd.Aziz. Bagi Malik, khalifah Umar bin Abd.Aziz merupakan seadil-adil khalifah Islam yang muncul selepas Khulafa’ al-Rasyidun.

 

Sepanjang hayatnya, Malik hanya mengarang sebuah kitab yang dinamakan Al-Muwatta’. Hasil ketekunannya dalam bidang hadis, beliau menghafal sebanyak 100,000 buah hadis. Malik memasukkan sebanyak 10,000 ke dalam al-Muwatta’ dan ditapis dari masa ke semasa. Di atas ketelitian dan sifat cermatnya dalam menapis dan menerima hadis, proses pembukuan kitab ini telah memakan jangka masa 40 tahun dengan bilangan hadis sebanyak 500 buah hadis sahaja. Ia dikarang pada zaman Abu Jaafar al-Mansur dan siap dengan sempurna pada zaman pemerintahan al-Mahdi.

 

Malik tidak begitu memfokuskan dan memanjangkan perbahasan dalam bidang ilmu kalam terutama dalam masalah yang menyentuh tentang sifat-sifat keTuhanan. Malah beliau sentiasa mengelak daripada perbahasan tentang sifat-sifat Allah.  Menurut Malik “ Aku tidak memanjangkan  perbahasan dalam masalah ketuhanan kecuali dalam masalah yang ada kaitan rapat dengan amalan (fiqh)”.

 

Walaupun berada di mercu kegemilangan ilmu, namun Malik tidak pernah menafikan kepentingan ijtihad para ulamak lain dalam kehidupan masyarakat majmuk. Antara anak-anak murid Malik yang mashyur ialah al-Imam al-Syafie, AbdulRahman Ibn al-Qasim dan Asad Ibn al-Furat. Beliau  kembali ke rahmatullah pada tahun 179H dalam usianya mencecah 86 tahun.  Jasad beliau disemadikan di Madinah, bumi kelahirannya..

 

  

           

 

 

 

Advertisements

One response to this post.

  1. Posted by mohammad amirul on 21 September 2012 at 6:51 pm

    bahasa arab punyer xde kew..?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: