Archive for December 13th, 2008

Siapa Sebenarnya al-Ghazzali?

Al-Ghazali atau nama penuhnya Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi merupakan tokoh mujaddid Islam pada kurun kelima Hijrah. Dilahirkan pada tahun 405H/1058M di kota Tabaran di daerah Tus yang terletak di negeri Khurasan.  Jolokan Al-Ghazzali yang bermaksud penenun ialah istilah yang dinisbah (disandarkan ) kepada karier ayahnya yang bekerja sebagai penenun bulu binatang untuk dijadikan pakaian yang kemudiannya dijual di kota Tus, Khurasan. Beliau juga dikenali sebagai al-Naysaburi  sebagai tanda penghormatan masyarakat yang amat tinggi terhadapnya. Manakala al-Tusi pula merupakan istilah yang disandarkan kepada kampung halamannya. Tokoh intelektual yang juga tersohor dengan gelaran Hujjah al-Islam ini berasal daripada keluarga berstatus sederhana.

 

Beliau mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad dan beberapa orang adik-beradik perempuan. Dalam usia yang masih kecil, al-Ghazzali sudah kehilangan bapanya. Sebelum meninggal dunia, bapanya sempat mewasiatkan kepada seorang sahabatnya agar menjaga al-Ghazzali dan saudaranya Ahmad serta mengajar ilmu khat kepada kedua-dua beradik itu. Lantaran kesempitan hidup, bapanya turut menyedia sedikit wang kepada sahabatnya untuk menanggung anak-anaknya. Setelah wang tersebut habis dibelanjakan, si penjaga menyarankan agar kedua-dua beradik menyambung pelajaran mereka di salah sebuah sekolah di Tus yang menyediakan biasiswa kepada para pelajarnya.   

 

Al-Ghazzali berbangsa Farsi yang mampu menguasai bahasa Arab dengan begitu amat baik sekali. Lantaran ini, sebahagian besar buku-bukunya ditulis dalam bahasa Arab. Fakta sejarah menyatakan al-Ghazzali memang gemar mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain semata-mata kerana ingin memantapkan dirinya dengan pelbagai disiplin ilmu disamping mencari hakikat sebenar kehidupan manusia. Naysabur, al-`Askar(Iraq), Mesir dan juga Damsyik (Syria) adalah lokasi yang dijelajahi al-Ghazzali dalam proses memantapkan pengetahuannya. Pengembaraannya ke Naysabur bersama beberapa orang rakan senegerinya telah menemukan beliau dengan al-Imam al-Haramain, seorang tokoh ilmuan Islam terkemuka pada masa itu. Beliau berguru dengan al-Haramain hinggalah guru itu meninggal dunia pada tahun 478H/1085M. Selepas itu, al-Ghazzali mengambil langkah meninggalkan Naysabur dan menuju ke al-`Askar, Baghdad.  Di al-`Askar, beliau bertemu dengan seorang menteri berketurunan Bani Saljuk bernama  Nizam al-Mulk. Menteri ini begitu amat mengambil berat tentang perkembangan intelektual. Beliau begitu menyanjungi ketinggian ilmu dan ketajaman pemikiran al-Ghazzali dan melantiknya sebagai professor di madrasah al-Nizamiyah pada tahun 484H. Menurut catitan sejarah, kuliah yang disampaikan oleh al-Ghazzali dihadiri oleh 400 orang pelajar yang termasuk di antaranya tokoh-tokoh ulama’ pada masa itu. Dalam tempoh berperanan sebagai tenaga pendidik di madrasah tersebut, al-Ghazzali juga berusaha mendalami bidang falsafah melalui pembacaannya sendiri disamping menghasilkan beberapa karya ilmiah seperti Maqasid al-Fasafah, Mi`yar al-ilm fi Fan al-Mantiq, Mihar al-Nazar fi al-Mantiq dan juga Tahafut al-Falasifah. Di madrasah ini beliau lebih cenderung melibatkan diri dalam semua disiplin ilmu yang berbentuk teoretikal seperti ilmu kalam, ilmu fiqh dan juga falsafah. Setelah 4 tahun bertugas di madrasah al-Nizamiyyah, iaitu pada tahun 484H-488H, al-Ghazzali mula mengasingkan diri dan tempatnya diambil alih oleh adik, Ahmad. Dalam kitab Munqidh min al-Dhalal (Penyelamat dari Kesesatan) yang ditulis pada akhir kehidupannya, al-Ghazzali mengatakan:

Lama juga aku berfikir. Maka timbullah keinginan hendak meninggalkan kota Baghdad dengan kesenangannya. Namun kemudian murung juga, hati masih ragu-ragu. Keinginan keras di waktu pagi untuk menuntut kebahagiaan abadi menjadi lemah di petang hari. Nafsu duniawi menarik hatiku ke arah kedudukan, nama dan pengaruh, namun iman berseru: “Bersiap sedialah, usia hampir berakhir, padahal perjalanan amat jauh. Ilmu dan amalan mu hanyalah sombong dan pura-pura. Jika tidak sekarang, bilakah akan bersiap?. Kemahuan bertambah keras untuk membebaskan diri. Namun syaitan kembali pula “Ini hanyalah penyakit sementara. Jangan bimbang….penyakit ini akan segera hilang. Sayang….jangan kau tinggalkan kedudukanmu yang tiada taranya ini. Kelak engkau akan menyesal, tidak mudah kembali kepadanya”. “Lama juga aku terumbang ambing antara dunia dan akhirat. Hampir enam bulan iaitu sejak bulan rejab tahun 488 H. Akhirnya keadaan telah mencapai kemuncaknya di mana aku tidak lagi melakukan tugas mengajar. Untuk menyenangkan para mahasiswa, aku memaksa diri untuk mengajar namun sepatah katapun tidak dapat keluar dari mulutku. Hal ini sangat menyedihkan. Nafsu makan pun hilang dan kesihatan semakin merosot. Akhirnya para doctor merasa putus asa. Untuk penyakit dalam hati, tiada lain ubatnya melainkan istirehat dengan membebaskan hati dari segala yang mengganggunya, kata mereka”. “Dengan segenap jiwa, hatiku menjerit kepada Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Dan akhirnya permohonanku  terkabullah dan relalah hati meninggalkan  Baghdad, tempat kemuliaan, keluarga dan sahabat handaiku”

 

Selama 11 tahun beliau mengasingkan diri secara tenang dengan menjalani kehidupan  sebagai seorang ahli ibadat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Dalam tempoh pengasingan diri yang kebanyakkan dihabiskan di Syria ini, al-Ghazzali berjaya menghasilkan satu karyanya yang terkenal, iaitu Ihya` Ulum al-Din. Disamping itu, beliau juga sempat menunaikan fardhu haji di Mekah pada bulan ZulKaedah 488H. Dalam tempoh pengasingan diri ini juga al-Ghazzali turut dikecam hebat kerana didakwa tidak mengobarkan semangat jihad di kala umat Islam dilanda penjajahan puak Salib yang menyerang Bait al-Maqdis serta membunuh penduduk di Suriyah. Sedangkan al-Ghazzali hanyut di alam uzlahnya. Menurut Dr.Umar  Farrukh dalam karyanya al-Mihrajan: ada dua sebab mengapa al-Ghazzali bersifat demikian. Pertama: Dia sedang mengalami krisis kejiwaan pada ketika itu. Kedua: Sebagai seorang sufi,  setiap trajedi yang menimpa umat Islam itu adalah siksaan Allah Taala terhadap mereka yang berdosa kerana durhaka terhadapNya.

 

Setelah sekian lama di perantauan, al-Ghazzali kembali semula ke kampung halamannya di Tus, Naysabur atas pujukan Sultan Mahmud al-Saljuki yang menaiki tahkta pada tahun 498H. Al-Ghazzali kembali mengajar di madrasah al-Nizamiyyah selama  lebih kurang lima tahun sehinggalah beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir, 505H dalam usia 55 tahun di Tabran. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau….Amin…..

 

    

Tok Janggut: Pejuang Islam Sejati

Tok Janggut atau nama sebenarnya Mat Hassan bin Panglima Mat Munas merupakan seorang alim yang bersifat “gedebe”. Tokoh ini digelar Tok janggut kerana janggutnya yang panjang hingga ke paras dada. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Kebetulan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram. Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih berada di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan yang dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung. Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara (Narathiwat), Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Tok Janggut pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu. Dalam masa yang sama, Tok Janggut juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Antara cukai yang dikenakan adalah seperti berikut:

  • cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun
  • cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun
  • kelapa sebanyak 3 sen setandan
  • sireh sebanyak 5 sen sejunjung

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Tok Janggut memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut. Lantaran kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya. Pada 29 April 1915, Tok Janggut bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap beliau. Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan beliau menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris. Susulan ini, beliau dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh dan menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan. Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas dakwaan kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebohkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran. Langham Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut. Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan. Sehubungan ini, seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915. Langham Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Akhirnya pada 25 Mei 1915, pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol. Dengan laungan “Allahu Akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut gugur syahid bersama ramai pengikutnya. Jenazahnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dengan kereta lembu yang menelan masa sehari dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka beberapa hari sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Tidak semua masyarakat masa kini mengenali siapa sebenarnya Tok Janggut. Malah pihak Inggeris dulu pun sebenarnya berusaha keras menyembunyikan cerita sebenar mengenai beliau Pahlawan ini dan para pengikutnya dituduh menderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah air mereka sendiri iaitu Kelantan. Perjuangan mereka ini cuba dinafikan. Istilah ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan istilah ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’. Inggeris benar-benar berusaha memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruhnya yang besar khususnya di kalangan masyarakat Kelantan. Bagi mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas. Lantaran ini mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut dan ‘aura perjuangannya’ juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang dengan melancarkan perang saraf memburukkan beliau dan para pengikutnya. Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung hingga kini.

Hakikat dan Peranan Azan

Akhbar atau surat khabar adalah salah satu media massa perlu wujud dalam kehidupan manusia sebagai penjana serta penambah maklumat semasa dalam segala aspek dan bidang yang positif. Namun ada juga kewajaran peranan media ini disalahgunakan dengan pelbagai bentuk propaganda yang tidak menguntungkan umat Islam. Jika ini berlaku, akhbar terbabit perlu diboikot tetapi ia tidak perlu dimansukhkan. Boikot yang dimaksudkan ialah pemulauan ekonomi oleh sekalian rakyat dengan tidak membelinya. Bagi ahli-ahli politik dan juga rakyat Malaysia yang peka dengan pelbagai sebaran isu sama ada benar ataupun palsu, cukuplah sekadar membacanya melalui internet.

 

Sebenarnya saranan boikot akhbar seperti Utusan Malaysia dan sebagainya bukannya satu tindakan baru. Malah ia sudah lama disyorkan semenjak zaman bekas Presiden Pas, Allahyarham al-Ustaz Fadhil Nor. Kini tuntutan memboikot timbul kembali apabila ahli-ahli politik B.Nasional dan juga Pakatan Rakyat mula memanipulasikan isu azan, iaitu laungan panggilan (seruan) bagi orang Islam untuk menunaikan solat. Lantaran timbullah berbagai tuduhan dan andaian daripada beberapa orang politik yang pro kerajaan yang mengkritik Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teressa Kok yang dianggap bersikap aggresif dengan laungan azan.

 

Kemudian timbul pula isu artikel terbitan Utusan Malaysia yang menyebabkan Teresa Kok melenting marah lalu bertindak untuk menyaman penulis terbabit. Hingga sekarang masih belum jelas siapa benar dan siapa salah kerana kes ini masih belum dijalankan pembicaraannya di mahkamah.  Meskipun begitu, ada beberapa perkara yang perlu ketahui oleh orang-orang Islam tentang laungan seruan itu. Dari segi istilah syarak, azan ialah pengumuman masuk waktu solat bagi orang-orang Islam daripada kalangan jin dan manusia dengan lafaz-lafaz khusus. Pengumuman ini juga secara tidak langsung merupakan ajakan atau panggilan untuk berjamaah disamping menyerlahkan syiar-syiar Islam. Ia mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Dalam satu kisah daripada Nafi`, Ibn Umar r.a menceritakan pada satu ketika kaum muslimin berkumpul untuk solat tetapi tiada sesiapa pun yang menyeru atau mengajak dengan panggilan. Mereka saling mengemukakan pendapat. Ada dikalangan mereka yang berkata “ Gunakanlah loceng orang-orang Nasrani”. Ada juga yang mencadangkan “Gunalah sangkakala (tanduk yang ditiup) orang-orang Yahudi”. Lalu Ibn Umar bersuara “Bagaimana jika ada seseorang yang dapat menyeru untuk solat”. Lantas Rasulullah bersabda “Wahai Bilal! Bangun dan seru (panggil) untuk solat” (riwayat Ahmad dan al-Bukhari). 

 

Hukumnya adalah sunat muakkadah bagi setiap lima solat fardhu (subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak) dan wajib  bagi solat Jumaat. Makruh azan bagi solat-solat sunat nawafil tetapi harus hukumnya menurut al-Imam Abu Hanifah dan juga Ibn Hanbal bagi solat-solat wajib yang terluput (tercicir) dan perlu diqadha`. Haram bagi orang wanita melafaz atau melaungkan azan tetapi hanya al-Imam Syafie sahaja yang berpendapat adalah harus azan yang dilakukan oleh wanita.

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda “Sesiapa daripada kalangan 3 orang (berjamaah) tidak melafazkan azan dan juga iqamat nescaya solat mereka diganggui syaitan” (al-Imam Ahmad).  Tidak dinafikan memang benar syaitan, iblis dan jin jahat amat takutkan azan. Namun dari segi dakwah, Rasululah sendiri telah membuktikan betapa pentingnya kemerduan suara yang lantang bagi menarik masyarakat Islam menunaikan solat dengan memilih Bilal bin Rabah. Meskipun kulit Bilal hitam berkilat tetapi suaranya amat nyaring untuk mengumandangkan azan. Sejarah juga membuktikan bahawa orang-orang Nasrani juga menggunakan loceng yang boleh menghasilkan bunyi terbaik dalam usaha mengajak penganut agama tersebut menuju  ke gereja. Begitu juga para pendita agama Yahudi yang bersikap amat memilih keelokan dan kesempurnaan tanduk yang akan dijadikan sangsakala.

 

Sayang sekali apa yang dilakukan oleh Rasulullah begitu mengutamakan kualiti suara tidak diutamakan oleh sesetengah masyarakat Islam masa kini. Penggunaan pembesar suara yang sumbang dan pecah bunyinya juga tidak menepati kaedah terbaik yang dianjurkan oleh Rasulullah yang mengutamakan suara lantang, tidak pecah serta sedap didengar. Pembesar suara sebegini tidak menepati tuntutan dakwah Islam kerana ia turut mengganggu keharmonian dan kedamaian masyarakat majmuk. Malah  di sesetengah masjid yang mengumandangkan bacaan al-Quran sebelum solat subuh dengn melalui pembesar suara dengan kuat dan nyaring sedangkan pada masa tersebut (selepas satu pertiga malam) Rasulullah menyarankan agar segala bentuk ibadat dilakukan secara senyap. Memadailah Allah dan si pelaku ibadat tersebut sahaja yang mengetahui. Mafhum firman Allah: Dan Kami jadikan malam sebagai selimut (untuk tidur) dan Kami jadikan siang untuk urusan kehidupan harian (Surah al-Naba`, ayat 10-11). Mengapa masih ada yang bertindak mengganggu masa tidur orang lain yang diharuskan oleh Allah Taala sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Naba`, ayat 10-11 ini? Malah ada dikalangan mereka yang mengumandangkan bacaan al-Quran itu sendiri nyenyak tidur di sebalik tiang masjid,  padahal waktu subuh belum masuk lagi. Sepatutnya dalam hal-hal sebegini pihak ahli jawatan kuasa masjid kena peka. Dakwah Islam mengutamakan saikologi dalam mengajak orang ramai ke arah kebaikan. Jangan cuma fikir inginkan pahala tetapi dalam masa yang sama turut menganggu masa tidur orang lain.

 

 

 

 

Khasiat Budu

 

Budu merupakan makanan tradisional masyarakat Kelantan, Selatan Thai (Patani) dan Terengganu yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam sehingga hancur. Sos bilis yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini kini semakin mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman. Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser. Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan “kuno”.

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal. Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab cirit (diarrhoea), penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hypertension. Ia didapati memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiatnya yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh. Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Disamping itu, ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya. Ini kerana ia mampu merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K). Sos ini merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin – yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan juga penurunan berat badan.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan. Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon. Sebagaimana vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang amat diperlukan oleh tubuh bagi menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain. Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat mendapati bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.

Penyakit jantung koroner merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain daripada merupakan sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research. Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan fikiran manusia.

Antara Khunsa dan Mukhannas

Secara fitrah Allah Taala mencipta mahklukNya dalam keadaan berpasangan, iaitu lelaki dan perempuan bagi kelompok manusia serta jantan dan betina bagi kelompok haiwan sebagai langkah asas bagi proses pembiakan. Selain itu terdapat species haiwan khunsa seperti siput, kerang dan ikan kerapu yang memiliki dua jantina bagi proses pembiakan. Khunsa juga wujud dikalangan manusia. Kewujudan makhluk-makhluk ini merupakan tanda-tanda kebesaran dan juga keagungan Allah Taala.

 

Dari segi fiqh Islam, Manusia khunsa ialah individu yang tidak diketahui jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan disebabkan dia memiliki zakar dan faraj serentak ataupun tidak memiliki kedua-duanya langsung semenjak asal. Khunsa terbahagi kepada dua jenis, iaitu khunsa musykil (khunsa yang diragui) dan juga khunsa ghair musykil (khunsa yang tidak diragui).  Khunsa musykil ialah individu yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda-tanda  yang boleh diklasifikasikan sebagai lelaki ataupun perempuan. Manakala khunsa ghair musykil pula ialah individu yang sudah dapat dipastikan sama ada dia itu wajar dikatogarikan sebagai lelaki ataupun perempuan melalui tanda-tanda seperti kedatangan haid.

 

Harus dari sudut hukum syarak bagi khunsa ghair musykil untuk berkahwin tetapi haram bagi khunsa musykil untuk berkahwin. Jika khunsa ghair musykil itu seorang lelaki, maka pasangannya mestilah perempuan. Jika dia itu seorang perempuan, pasangannya ialah seorang lelaki. Malah harus juga bagi individu terbabit (khunsa ghair musykil) untuk memotong atau membuang salah satu alat kemaluannya yang tidak berfungsi sama ada untuk bersetubuh ataupun untuk kencing (membuang air kecil).

 

Dari pembahagian harta pusaka, khunsa ghair musykil akan mendapat bahagian haknya seperti mana kaum perempuan ataupun lelaki. Namun bagi khunsa musykil, menurut al-Imam Abu Hanifah; dia hanya mendapat bahagian yang lebih sedikit jika dibandingkan dengan pihak lelaki dan juga perempuan.  Menurut, al-Imam Malik, Abu Yusuf dan al-Syiah al-Imamiyah, seseorang khunsa musykil berhak mengambil hak pusaka secara pertengahan antara bahagian lelaki dan juga perempuan. (sila rujuk kitab Fiqh al-Sunnah, jld.3, hlm 485)

Selain lelaki, perempuan dan khunsa, ada juga golongan lain yang wujud dalam kalangan masyarakat manusia, iaitu mukhannas. Mukhannas bermaksud: seseorang yang menonjol dirinya menyerupai wanita. Golongan ini dilaknat oleh Rasulullah sebagai musuh Allah. Dalam bahasa Melayu mukhannas juga dikenali sebagai pondan atau Mak Nyah ialah lelaki yang bertindak menyerupai wanita. Perbezaan antara khunsa dan mukhannas adalah amat ketara sekali. Khunsa memiliki zakar dan faraj serentak ataupun tidak memiliki kedua-duanya langsung semenjak asal. Sedangkan mukhannas hanya memiliki zakar sahaja semenjak asal tetapi sikapnya menjadi lembut lebih daripada seorang wanita disebabkan dorongan naluri dan tekanan jiwa yang dahsyat hinggakan ada yang sanggup menjalani pembedahan plastic untuk memilik fajar dan payu dara. Dengan kata lain, seorang mukhannas ataupun pondan itu sebenar adalah seorang pesakit jiwa. 

 

Namun mengikut Kamus Dewan Bahasa yang disusun oleh Teuku Iskandar, pondan bermaksud lelaki sebagai wanita dan wanita sebagai lelaki. Manakala khunsa pula didefinisikan sebagai pondan. Pasti sekali definisi khunsa sebagai pondan itu salah kerana kewujudan khunsa ditentukan oleh Allah Taala. Sedangkan kewujudan mukhannas atau pondan pula disebabkan penyakit tekanan jiwa yang dialami oleh seseorang yang akalnya dikuasai oleh nafsu jahat. Malah definisi itu juga turut mempengaruhi minda mereka yang gila menukar jantina untuk menganggap diri mereka adalah khunsa yang telah ditakdirkan oleh Allah Taala. Lantaran penyakit jiwa yang dialami, pondan sanggup berpakaian perempuan dan menggoda kaum lelaki demi untuk memuaskan nafsu sex rambangnya sama ada dengan cara mengulum dan menghisap zakar lelaki lain ataupun dengan cara mengamalkan tabiat sex umat Nabi Luth a.s(homosexual) yang ahirnya dimusnahkan oleh Allah Taala.

 

Mafhum firman Allah: Maka setelah datang keputusan Kami, Kami jadikan bahagian yang di atasnya jatuh ke bawah (dibalikkan permukaan bumi) dan Kami turunkan kepada meeka hujan batu daripada tanah-tanah yang terbakar panas yang jatuh berturut-turut. (Surah Hud, ayat 82).

Malah ada dikalangan mereka yang gemar menjalani kehidupan seperti pelacur semata-mata inginkan kepuasan sexual. Melalui aktiviti sundal ini, pondan-pondan yang sudah rosak jiwa dan akal mereka akan berpeluang mengumpul wang bagi tujuan merubah bentuk badan mereka. Ada yang sanggup mendapatkan suntikan hormon untuk membesarkan payu dara dan tidak kurang juga yang begitu gila untuk melalui pembedahan plastic untuk memiliki faraj disamping memotong zakar mereka. Walau apa cara sekalipun diusahakan, pondan tetap juga seorang lelaki!

 

Kewujudan pondan di seluruh negara merupakan satu gejala buruk yang perlu ditangani segera dan bukannya dibiarkan mereka berkeliaran sepertimana yang didapati di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Ini kerana aktiviti sex yang diamalkan pondan adalah salah satu penyebab menularnya bala penyakit Hiv Aids dalam kehidupan masyarakat. Sebagai langkah mengatasi masalah ini, pihak kerajaan disaran mengambil tindakan tegas dengan menubuhan pusat pemulihan akhlak khusus bagi berusaha mengubati jiwa serta akal golongan pondan yang rosak akibat dikuasai oleh nafsu jahat. Adalah tidak adil jika kerajaan sanggup menghabiskan wang berjuta-juta ringit bagi membiayai Pusat Serenti khusus untuk penagih-penagih dadah tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga sanggup membiarkan golongan pondan ini hanyut dalam kehidupan dosa yang sentiasa mengundang bala dan kemurkaan Allah Taala.

Apa itu Bible ?

Menjadi satu kewajiban atas sekalian umat Islam beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah kepada para rasul-Nya, termasuklah Injil. Sehubungan dengan ini Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 136 yang bermaksud, “Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan apa-apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan ke atas Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakob dan keturunannya. Dan kami juga beriman kepada apa yang diturunkan kepada Musa dan Isa, dan apa yang diturunkan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membezakan seorang dengan seorang yang lain dari kalangan mereka. Dan kami tunduk kepada Allah.”

Meskipun begitu, persoalan yang sering timbul ialah, adakah Bible yang ada pada hari ini masih asli dan sama seperti Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa? Bab-bab ataupun surah yang terdapat di dalam Bible disebut di dalam bahasa Inggeris sebagai ‘book’ atau ‘buku.’ Berdasarkan pengamatan teliti yang dilakukan, Bible ialah himpunan 66 surah atau buku, 39 daripadanya dikenali sebagai kitab Perjanjian Lama atau Old Testament. Sementara 27 surah yang lain dikenali sebagai kitab Perjanjian Baru atau New Testament. Kitab Perjanjian Lama mengandungi undang-undang Nabi Musa, kisah-kisah sejarah, puisi dan kebijaksanaan di samping satu bab yang dipenuhi ramalan-ramalan berhubung perkara yang akan datang.

Kitab Perjanjian Baru pula mengandungi kisah-kisah kehidupan Nabi Isa yang ditulis oleh tokoh-tokoh agama Kristian seperti Matthew, Mark, Luke dan John. Tulisan-tulisan ini dikenali sebagai Gospels. Di samping itu, kitab Perjanjian Baru juga mengandungi surah atau buku The Acts yang mengisahkan tentang keadaan agama Kristian di peringkat awal kewujudannya, surat-surat yang ditulis oleh St. Paul dan tokoh-tokoh Kristian terdahulu, dan sebuah buku yang berjodol Revelation.

Dalam suasana sesetengah pihak yang mendakwa bahawa kitab Injil asal masih wujud tetapi disembunyi di gereja besar katholik di Rom, timbul pendapat yang mengatakan bahawa Bible yang asal sudah tidak wujud lagi pada hari ini. Hal ini dijelaskan di dalam The Interpreter’s Dictionary Of The Bible, “Tulisan-tulisan asal Perjanjian Baru sudah lama tiada. Perkara ini tidaklah mengejutkan disebabkan sumber-sumber itu ditulis di atas bahan-bahan yang tidak tahan lama..” (The Interpreter’s Dictionary Of The Bible, George Arthur Buttrick, bab ‘Text, NT’ Vol. 1, Abingdon Press, 1962)

Pendapat yang sama disebutkan juga di dalam The Catholic Encyclopedia, yang bermaksud, “Pendapat yang mengatakan kononnya Bible yang lengkap seperti yang asal masih wujud sebenarnya adalah tidak berasas sama sekali. Bible yang kini menjadi pegangan umum, seperti juga kitab Perjanjian Lama, telah melalui beberapa perkembangan dan proses… sehingga akhirnya isi-isinya diputuskan secara rasmi oleh Majlis Trident atau Tridentine Council.” (The Catholic Encyclopedia, George J. Reid, Online Edition, Vol. III, 1999 di newadvent.org)

Justeru bagaimana Bible dihasilkan? Bart Ehrman, di dalam The Orthodox Corruption of Scripture berkata: “Manuskrip Bible yang asal sudah tidak wujud lagi pada hari ini. Yang ada ialah salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya. Sebanyak 5,366 daripada salinan-salinan yang tua ini ditulis di dalam bahasa Greek klasik atau Yunani kuno, di antara abad kedua hingga keenam belas Masihi. Yang menarik perhatian ialah ianya tidak wujud persamaan, kecuali sedikit sahaja, di antara satu salinan dengan salinan yang lain. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui jumlah sebenar perbezaan dan percanggahan ini tetapi ia mungkin mencecah ratusan ribu.” (The Orthodox Corruption of Scripture, Bart Ehrman, Oxford University Press, 1996)

Dengan berpandukan salinan-salinan yang tidak sempurna ini, Bible yang ada pada hari ini ditulis dan dibukukan. Justeru, wujud pelbagai perbezaan malah percanggahan di dalam Bible berpunca daripada sumber-sumber ini. Di dalam Peake’s Commentary On The Bible disebutkan: “Memang diketahui umum bahawa Gospel adalah berasaskan khabar-khabar lisan orang-orang Kristian terdahulu. Keadaan ini telah melahirkan pelbagai variasi berhubung perkataan dan perlakuan Nabi Isa. Semua ini dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis-penulis Gospel….” (Peake’s Commentary on the Bible, Thomas Nelson and Sons Ltd, 1919)

Di dalam meriwayatkan kisah-kisah tentang Nabi Isa, penulis-penulis Bible sering kali tidak menyalin ataupun menceritakan semula kisah-kisah itu dengan tepat, dan hal ini telah diakui sendiri oleh seorang tokoh Kristian yang bernama Bruce M. Metzger di dalam The Text Of The New Testament: Its Transmission, Corruption and Restoration. Beliau berkata: “Penulis-penulis tidak menulis dengan tepat segala sumber yang mereka temui, sebaliknya mereka menulis pentafsiran mereka sendiri berhubung dengan sumber-sumber itu. Mereka melakukannya untuk membetulkan kesilapan penulis-penulis lain, tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah, mereka sendiri dengan tindakan itu telah melakukan kesilapan.” (The Text Of The New Testament: Its Transmission, Corruption & Restoration, Bruce M Metzger, Oxford Univ. Press, 1992)

Di samping itu, Bible mempunyai pelbagai versi yang menunjukkan betapa banyak semakan semula dan perubahan-perubahan dilakukan ke atas isi-isi Bible. Konsep ‘Di Sana Hanya Wujud Satu Bible Dan Satu Versi Sahaja’ adalah tidak berasas sama sekali. Bart Ehrman di dalam bukunya, The Orthodox Corruption of Scripture berkata, “Manusia umumnya mempercayai seolah-olahnya di sana hanya wujud satu Bible dan satu versi sahaja. Ini merupakan satu pandangan yang tidak benar kerana kesemua Bible yang ada pada hari ini adalah hasil usaha ‘memotong dan memuatkan’ tulisan-tulisan yang diperoleh dari pelbagai manuskrip yang mana tidak ada satu pun daripada manuskrip-manuskrip itu yang layak dijadikan sebagai bahan rujukan utama”. Justeru, perubahan-perubahan pada teks wujud kerana tindakan penterjemah-penterjemahnya dan kadang kala mereka melakukannya dengan sengaja.. Sebagai contoh, apabila ada seorang penulis Bible menambah sebanyak dua belas ayat di hujung Gospel Matthew, ia jelas menampakkan perbuatan ini memang disengajakan.” (The Orthodox Corruption of Scripture, Bart Ehrman, Oxford University Press, 1996.

Justeru Bible bukannya Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa. Meskipun begitu tidak dinafikan juga terdapat beberapa bahagian di dalamnya yang selari dengan ajaran Injil yang asal.

 

Rukun Pendidikan Mengikut Persepsi Islam

Dalam sektor pendidikan ada tiga rukun yang berkait rapat antara satu sama lain, iaitu guru, penuntut dan matapelajaran (kurikulum). Berkaitan dengan hal ini, ahli-ahli falsafah Islam banyak menulis tentang guru dan murid dari persepsi hak kewajiban dan sifat-sifat yang harus dimiliki oleh dua pihak ini. Al-imam al-Ghazali mengupas secara terperinci perihal guru dan murid dalam kitabnya Fatihah al-‘Ulum dan Ihya’ Ulum al-Din dengan menyanjung tinggi golongan guru. Bagi al-Ghazali, golongan berpengetahuan  yang beramal dengan ilmu pengetahuannya lebih baik daripada orang yang sentiasa berpuasa di siang hari dan berqiyamullail sepanjang malam. Menggambarkan status ilmu dan golongan ilmuan, al-Ghazali mengatakan; Sesiapa sahaja yang berilmu dan mengamalkan apa yang diketahuinya, maka dia dianggap agung dalam kerajaan langit seperti matahari yang menyinari objek lain sedangkan dia sendiri memang bersinar atau seperti wangian yang baunya harum sedangkan dia sendiri memang berbau harum. Sesiapa saja yang menjadi guru, maka dia memegang peranan yang besar lagi penting. Oleh itu, jagalah perangai (akhlak) dan fungsinya”.

 

Semua pendidik adalah pengajar tetapi bukan semua pengajar itu merupakan pendidik.

Menurut Ibn Jumaah, dalam pendidikan Islam, seseorang individu tidak dianggap terpelajar dengan hanya membaca sebanyak mana buku yang termampu tanpa berguru kepada guru tertentu yang mampu mendidiknya. Kenyataan Ibn Jumaah adalah berasaskan kepada pandangan beberapa tokoh pendidik tersohor. Antara mereka ialah;

Al-imam al-Syafie– “Sesiapa yang belajar dari buku semata-mata sudah tentunya dia mempersiakan kemampuan yang patut diperolehi”.

 

Mus’ab bin al-Zubir– “Manusia memperkatakan sesuatu yang terbaik daripada sesuatu yang sudah dihafaznya. Mereka menghafaz terbaik dari sesuatu yang telah ditulisnya. Mereka menulis yang terbaik daripada sesuatu yang didengar. Oleh itu, jika engkau menimba pengetahuan, maka ambillah secara langsung dari mulut para ilmuan kerana engkau akan mendengar daripada mereka pengetahuan terpilih”.

 

Ikhwan al-SafaAdalah diluar kesanggupan setiap manusia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan usahanya sendiri pada peringkat permulaan. Dengan ini, setiap orang memerlukan guru untuk membimbingnya dalam pembelajaran, watak, aqidah dan amal perbuatannya”.  

 

Rukun kedua pula ialah murid atau penuntut. Beberapa fakta dalam al-Quran merupakan peransang utama kepada golongan penuntut agar sentiasa bersemangat kental mengharungi segala liku-liku kehidupan untuk usaha mereka menuntut ilmu. Antaranya ialah mafhum firman Allah: Allah mengangkat darajat orang-orang beriman dan golongan yang memperolehi ilmu pengetahuan. (al-Mujadalah, ayat 11). Mafhum firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad) Wahai Tuhanku tambahkanlah ilmu pengetahuanku. (Taha, ayat 114).

Mafhum firman Allah: Tanyalah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan jika kamu tidak tahu.(al-Nahl, ayat 43).

 

Umumnya, seluruh umat Islam diwajibkan menjadikan diri mereka sebagai penuntut ilmu sejajar dengan penurunan ayat pertama yang diturunkan di gua Hira’. “Iqra`” yang bermaksud “bacalah” merupakan dalil kewajiban menuntut ilmu. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan kaya ataupun miskin. Semuanya bergantung mengikut tahap kemampuan dan keperluan masing-masing. Dalam pada itu, Islam turut memberi penekanan terhadap jalinan hubungan baik antara rukun pertama dan kedua demi meraih proses penyerahan dan penerimaan bidang ilmu yang diceburi. Sebagai contoh,  Abu Yusuf yang merupakan Qadhi besar dalam empayar Islam  di zaman Harun al-Rasyid pernah terhutang budi kepada gurunya, al-imam Abu Hanifah kerana memberinya pertolongan kewangan dan ilmiah.

 

Abu Yusuf terpaksa bekerja  untuk mencari makan dan pada masa yang sama dia juga begitu berminat menghadiri kuliah pengajian Abu Hanifah. Atas desakan ibunya, Abu Yusuf bertindak meninggalkan kuliah pengajian beberapa hari.  Hal ini disedari oleh Abu Hanifah, lalu bertanyakan sebab ketidakhadirannya. Dengan nada selamba Abu Yusuf menjawab dia tidak mempunyai wang untuk makan. Tanpa berfikir panjang, Abu Hanifah mengeluarkan wang 100 dirham dari sakunya lalu diberikan kepada Abu Yusuf. Semenjak itu, dia turut memberikan wang kepada Abu Yusuf berkali-kali  supaya beliau dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran.

 

Sikap perihatin guru-guru yang sanggup membantu murid-murid mereka dalam masalah kewangan mampu merapatkan hubungan baik antara dua pihak. Ini menyebabkan ramai pelajar yang berasal daripada golongan miskin akhirnya muncul sebagai ulama’ tersohor. Antara mereka ialah Abu Tammam al-Tai seorang penyair Arab terkemuka yang asalnya seorang pembahagi air di masjid ‘Amr dan al-Jahiz yang merupakan seorang penjual roti kemudiannya menjadi seorang tokoh ilmuan terkenal dalam berbagai bidang. Begitu juga al-Syafie, seorang anak yatim yang ibunya sangat miskin serta tidak mampu membiayai persekolahannya apatah lagi untuk membelikan kertas dan pen kepada anaknya tetapi kemudian muncul sebagai seorang cendikiawan Islam dan salah seorang pengasas mazhab empat yang terkenal dengan namanya sendiri, mazhab al-Syafie.

 

Manakala matapelajaran yang merupakan rukun pendidikan ketiga pula dikelaskan kepada katogari mata ilmu pelajaran fardhu `ain dan kifayah. Matapelajaran fardhu `ain  iaitu segala matapelajaran yang berkaitan dengan syariah dan usuluddin seperti rukun iman, rukun Islam dan ihsan. Adapun matapelajaran fardhu kifayah pula ialah segala bentuk ilmu pengetahuan yang harus digunakan oleh umat Islam untuk keselesaan hidup di muka bumi  seperti ilmu matematik, geografi dan lain-lain lagi. Kedua-dua bidang ini wajar diberi perhatian oleh sekalian umat Islam yang mempunyai kemampuan untuk menjadikan diri mereka sebagai penuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Sector pendidikan tidak akan lengkap sama sekali tanpa salah satu dari ketiga-tiga rukun ini.