Hakikat dan Peranan Azan

Akhbar atau surat khabar adalah salah satu media massa perlu wujud dalam kehidupan manusia sebagai penjana serta penambah maklumat semasa dalam segala aspek dan bidang yang positif. Namun ada juga kewajaran peranan media ini disalahgunakan dengan pelbagai bentuk propaganda yang tidak menguntungkan umat Islam. Jika ini berlaku, akhbar terbabit perlu diboikot tetapi ia tidak perlu dimansukhkan. Boikot yang dimaksudkan ialah pemulauan ekonomi oleh sekalian rakyat dengan tidak membelinya. Bagi ahli-ahli politik dan juga rakyat Malaysia yang peka dengan pelbagai sebaran isu sama ada benar ataupun palsu, cukuplah sekadar membacanya melalui internet.

 

Sebenarnya saranan boikot akhbar seperti Utusan Malaysia dan sebagainya bukannya satu tindakan baru. Malah ia sudah lama disyorkan semenjak zaman bekas Presiden Pas, Allahyarham al-Ustaz Fadhil Nor. Kini tuntutan memboikot timbul kembali apabila ahli-ahli politik B.Nasional dan juga Pakatan Rakyat mula memanipulasikan isu azan, iaitu laungan panggilan (seruan) bagi orang Islam untuk menunaikan solat. Lantaran timbullah berbagai tuduhan dan andaian daripada beberapa orang politik yang pro kerajaan yang mengkritik Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teressa Kok yang dianggap bersikap aggresif dengan laungan azan.

 

Kemudian timbul pula isu artikel terbitan Utusan Malaysia yang menyebabkan Teresa Kok melenting marah lalu bertindak untuk menyaman penulis terbabit. Hingga sekarang masih belum jelas siapa benar dan siapa salah kerana kes ini masih belum dijalankan pembicaraannya di mahkamah.  Meskipun begitu, ada beberapa perkara yang perlu ketahui oleh orang-orang Islam tentang laungan seruan itu. Dari segi istilah syarak, azan ialah pengumuman masuk waktu solat bagi orang-orang Islam daripada kalangan jin dan manusia dengan lafaz-lafaz khusus. Pengumuman ini juga secara tidak langsung merupakan ajakan atau panggilan untuk berjamaah disamping menyerlahkan syiar-syiar Islam. Ia mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Dalam satu kisah daripada Nafi`, Ibn Umar r.a menceritakan pada satu ketika kaum muslimin berkumpul untuk solat tetapi tiada sesiapa pun yang menyeru atau mengajak dengan panggilan. Mereka saling mengemukakan pendapat. Ada dikalangan mereka yang berkata “ Gunakanlah loceng orang-orang Nasrani”. Ada juga yang mencadangkan “Gunalah sangkakala (tanduk yang ditiup) orang-orang Yahudi”. Lalu Ibn Umar bersuara “Bagaimana jika ada seseorang yang dapat menyeru untuk solat”. Lantas Rasulullah bersabda “Wahai Bilal! Bangun dan seru (panggil) untuk solat” (riwayat Ahmad dan al-Bukhari). 

 

Hukumnya adalah sunat muakkadah bagi setiap lima solat fardhu (subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak) dan wajib  bagi solat Jumaat. Makruh azan bagi solat-solat sunat nawafil tetapi harus hukumnya menurut al-Imam Abu Hanifah dan juga Ibn Hanbal bagi solat-solat wajib yang terluput (tercicir) dan perlu diqadha`. Haram bagi orang wanita melafaz atau melaungkan azan tetapi hanya al-Imam Syafie sahaja yang berpendapat adalah harus azan yang dilakukan oleh wanita.

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda “Sesiapa daripada kalangan 3 orang (berjamaah) tidak melafazkan azan dan juga iqamat nescaya solat mereka diganggui syaitan” (al-Imam Ahmad).  Tidak dinafikan memang benar syaitan, iblis dan jin jahat amat takutkan azan. Namun dari segi dakwah, Rasululah sendiri telah membuktikan betapa pentingnya kemerduan suara yang lantang bagi menarik masyarakat Islam menunaikan solat dengan memilih Bilal bin Rabah. Meskipun kulit Bilal hitam berkilat tetapi suaranya amat nyaring untuk mengumandangkan azan. Sejarah juga membuktikan bahawa orang-orang Nasrani juga menggunakan loceng yang boleh menghasilkan bunyi terbaik dalam usaha mengajak penganut agama tersebut menuju  ke gereja. Begitu juga para pendita agama Yahudi yang bersikap amat memilih keelokan dan kesempurnaan tanduk yang akan dijadikan sangsakala.

 

Sayang sekali apa yang dilakukan oleh Rasulullah begitu mengutamakan kualiti suara tidak diutamakan oleh sesetengah masyarakat Islam masa kini. Penggunaan pembesar suara yang sumbang dan pecah bunyinya juga tidak menepati kaedah terbaik yang dianjurkan oleh Rasulullah yang mengutamakan suara lantang, tidak pecah serta sedap didengar. Pembesar suara sebegini tidak menepati tuntutan dakwah Islam kerana ia turut mengganggu keharmonian dan kedamaian masyarakat majmuk. Malah  di sesetengah masjid yang mengumandangkan bacaan al-Quran sebelum solat subuh dengn melalui pembesar suara dengan kuat dan nyaring sedangkan pada masa tersebut (selepas satu pertiga malam) Rasulullah menyarankan agar segala bentuk ibadat dilakukan secara senyap. Memadailah Allah dan si pelaku ibadat tersebut sahaja yang mengetahui. Mafhum firman Allah: Dan Kami jadikan malam sebagai selimut (untuk tidur) dan Kami jadikan siang untuk urusan kehidupan harian (Surah al-Naba`, ayat 10-11). Mengapa masih ada yang bertindak mengganggu masa tidur orang lain yang diharuskan oleh Allah Taala sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Naba`, ayat 10-11 ini? Malah ada dikalangan mereka yang mengumandangkan bacaan al-Quran itu sendiri nyenyak tidur di sebalik tiang masjid,  padahal waktu subuh belum masuk lagi. Sepatutnya dalam hal-hal sebegini pihak ahli jawatan kuasa masjid kena peka. Dakwah Islam mengutamakan saikologi dalam mengajak orang ramai ke arah kebaikan. Jangan cuma fikir inginkan pahala tetapi dalam masa yang sama turut menganggu masa tidur orang lain.

 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: