Rukun Pendidikan Mengikut Persepsi Islam

Dalam sektor pendidikan ada tiga rukun yang berkait rapat antara satu sama lain, iaitu guru, penuntut dan matapelajaran (kurikulum). Berkaitan dengan hal ini, ahli-ahli falsafah Islam banyak menulis tentang guru dan murid dari persepsi hak kewajiban dan sifat-sifat yang harus dimiliki oleh dua pihak ini. Al-imam al-Ghazali mengupas secara terperinci perihal guru dan murid dalam kitabnya Fatihah al-‘Ulum dan Ihya’ Ulum al-Din dengan menyanjung tinggi golongan guru. Bagi al-Ghazali, golongan berpengetahuan  yang beramal dengan ilmu pengetahuannya lebih baik daripada orang yang sentiasa berpuasa di siang hari dan berqiyamullail sepanjang malam. Menggambarkan status ilmu dan golongan ilmuan, al-Ghazali mengatakan; Sesiapa sahaja yang berilmu dan mengamalkan apa yang diketahuinya, maka dia dianggap agung dalam kerajaan langit seperti matahari yang menyinari objek lain sedangkan dia sendiri memang bersinar atau seperti wangian yang baunya harum sedangkan dia sendiri memang berbau harum. Sesiapa saja yang menjadi guru, maka dia memegang peranan yang besar lagi penting. Oleh itu, jagalah perangai (akhlak) dan fungsinya”.

 

Semua pendidik adalah pengajar tetapi bukan semua pengajar itu merupakan pendidik.

Menurut Ibn Jumaah, dalam pendidikan Islam, seseorang individu tidak dianggap terpelajar dengan hanya membaca sebanyak mana buku yang termampu tanpa berguru kepada guru tertentu yang mampu mendidiknya. Kenyataan Ibn Jumaah adalah berasaskan kepada pandangan beberapa tokoh pendidik tersohor. Antara mereka ialah;

Al-imam al-Syafie– “Sesiapa yang belajar dari buku semata-mata sudah tentunya dia mempersiakan kemampuan yang patut diperolehi”.

 

Mus’ab bin al-Zubir– “Manusia memperkatakan sesuatu yang terbaik daripada sesuatu yang sudah dihafaznya. Mereka menghafaz terbaik dari sesuatu yang telah ditulisnya. Mereka menulis yang terbaik daripada sesuatu yang didengar. Oleh itu, jika engkau menimba pengetahuan, maka ambillah secara langsung dari mulut para ilmuan kerana engkau akan mendengar daripada mereka pengetahuan terpilih”.

 

Ikhwan al-SafaAdalah diluar kesanggupan setiap manusia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan usahanya sendiri pada peringkat permulaan. Dengan ini, setiap orang memerlukan guru untuk membimbingnya dalam pembelajaran, watak, aqidah dan amal perbuatannya”.  

 

Rukun kedua pula ialah murid atau penuntut. Beberapa fakta dalam al-Quran merupakan peransang utama kepada golongan penuntut agar sentiasa bersemangat kental mengharungi segala liku-liku kehidupan untuk usaha mereka menuntut ilmu. Antaranya ialah mafhum firman Allah: Allah mengangkat darajat orang-orang beriman dan golongan yang memperolehi ilmu pengetahuan. (al-Mujadalah, ayat 11). Mafhum firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad) Wahai Tuhanku tambahkanlah ilmu pengetahuanku. (Taha, ayat 114).

Mafhum firman Allah: Tanyalah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan jika kamu tidak tahu.(al-Nahl, ayat 43).

 

Umumnya, seluruh umat Islam diwajibkan menjadikan diri mereka sebagai penuntut ilmu sejajar dengan penurunan ayat pertama yang diturunkan di gua Hira’. “Iqra`” yang bermaksud “bacalah” merupakan dalil kewajiban menuntut ilmu. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan kaya ataupun miskin. Semuanya bergantung mengikut tahap kemampuan dan keperluan masing-masing. Dalam pada itu, Islam turut memberi penekanan terhadap jalinan hubungan baik antara rukun pertama dan kedua demi meraih proses penyerahan dan penerimaan bidang ilmu yang diceburi. Sebagai contoh,  Abu Yusuf yang merupakan Qadhi besar dalam empayar Islam  di zaman Harun al-Rasyid pernah terhutang budi kepada gurunya, al-imam Abu Hanifah kerana memberinya pertolongan kewangan dan ilmiah.

 

Abu Yusuf terpaksa bekerja  untuk mencari makan dan pada masa yang sama dia juga begitu berminat menghadiri kuliah pengajian Abu Hanifah. Atas desakan ibunya, Abu Yusuf bertindak meninggalkan kuliah pengajian beberapa hari.  Hal ini disedari oleh Abu Hanifah, lalu bertanyakan sebab ketidakhadirannya. Dengan nada selamba Abu Yusuf menjawab dia tidak mempunyai wang untuk makan. Tanpa berfikir panjang, Abu Hanifah mengeluarkan wang 100 dirham dari sakunya lalu diberikan kepada Abu Yusuf. Semenjak itu, dia turut memberikan wang kepada Abu Yusuf berkali-kali  supaya beliau dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran.

 

Sikap perihatin guru-guru yang sanggup membantu murid-murid mereka dalam masalah kewangan mampu merapatkan hubungan baik antara dua pihak. Ini menyebabkan ramai pelajar yang berasal daripada golongan miskin akhirnya muncul sebagai ulama’ tersohor. Antara mereka ialah Abu Tammam al-Tai seorang penyair Arab terkemuka yang asalnya seorang pembahagi air di masjid ‘Amr dan al-Jahiz yang merupakan seorang penjual roti kemudiannya menjadi seorang tokoh ilmuan terkenal dalam berbagai bidang. Begitu juga al-Syafie, seorang anak yatim yang ibunya sangat miskin serta tidak mampu membiayai persekolahannya apatah lagi untuk membelikan kertas dan pen kepada anaknya tetapi kemudian muncul sebagai seorang cendikiawan Islam dan salah seorang pengasas mazhab empat yang terkenal dengan namanya sendiri, mazhab al-Syafie.

 

Manakala matapelajaran yang merupakan rukun pendidikan ketiga pula dikelaskan kepada katogari mata ilmu pelajaran fardhu `ain dan kifayah. Matapelajaran fardhu `ain  iaitu segala matapelajaran yang berkaitan dengan syariah dan usuluddin seperti rukun iman, rukun Islam dan ihsan. Adapun matapelajaran fardhu kifayah pula ialah segala bentuk ilmu pengetahuan yang harus digunakan oleh umat Islam untuk keselesaan hidup di muka bumi  seperti ilmu matematik, geografi dan lain-lain lagi. Kedua-dua bidang ini wajar diberi perhatian oleh sekalian umat Islam yang mempunyai kemampuan untuk menjadikan diri mereka sebagai penuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Sector pendidikan tidak akan lengkap sama sekali tanpa salah satu dari ketiga-tiga rukun ini.

     

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: