Siapa Sebenarnya al-Ghazzali?

Al-Ghazali atau nama penuhnya Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi merupakan tokoh mujaddid Islam pada kurun kelima Hijrah. Dilahirkan pada tahun 405H/1058M di kota Tabaran di daerah Tus yang terletak di negeri Khurasan.  Jolokan Al-Ghazzali yang bermaksud penenun ialah istilah yang dinisbah (disandarkan ) kepada karier ayahnya yang bekerja sebagai penenun bulu binatang untuk dijadikan pakaian yang kemudiannya dijual di kota Tus, Khurasan. Beliau juga dikenali sebagai al-Naysaburi  sebagai tanda penghormatan masyarakat yang amat tinggi terhadapnya. Manakala al-Tusi pula merupakan istilah yang disandarkan kepada kampung halamannya. Tokoh intelektual yang juga tersohor dengan gelaran Hujjah al-Islam ini berasal daripada keluarga berstatus sederhana.

 

Beliau mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad dan beberapa orang adik-beradik perempuan. Dalam usia yang masih kecil, al-Ghazzali sudah kehilangan bapanya. Sebelum meninggal dunia, bapanya sempat mewasiatkan kepada seorang sahabatnya agar menjaga al-Ghazzali dan saudaranya Ahmad serta mengajar ilmu khat kepada kedua-dua beradik itu. Lantaran kesempitan hidup, bapanya turut menyedia sedikit wang kepada sahabatnya untuk menanggung anak-anaknya. Setelah wang tersebut habis dibelanjakan, si penjaga menyarankan agar kedua-dua beradik menyambung pelajaran mereka di salah sebuah sekolah di Tus yang menyediakan biasiswa kepada para pelajarnya.   

 

Al-Ghazzali berbangsa Farsi yang mampu menguasai bahasa Arab dengan begitu amat baik sekali. Lantaran ini, sebahagian besar buku-bukunya ditulis dalam bahasa Arab. Fakta sejarah menyatakan al-Ghazzali memang gemar mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain semata-mata kerana ingin memantapkan dirinya dengan pelbagai disiplin ilmu disamping mencari hakikat sebenar kehidupan manusia. Naysabur, al-`Askar(Iraq), Mesir dan juga Damsyik (Syria) adalah lokasi yang dijelajahi al-Ghazzali dalam proses memantapkan pengetahuannya. Pengembaraannya ke Naysabur bersama beberapa orang rakan senegerinya telah menemukan beliau dengan al-Imam al-Haramain, seorang tokoh ilmuan Islam terkemuka pada masa itu. Beliau berguru dengan al-Haramain hinggalah guru itu meninggal dunia pada tahun 478H/1085M. Selepas itu, al-Ghazzali mengambil langkah meninggalkan Naysabur dan menuju ke al-`Askar, Baghdad.  Di al-`Askar, beliau bertemu dengan seorang menteri berketurunan Bani Saljuk bernama  Nizam al-Mulk. Menteri ini begitu amat mengambil berat tentang perkembangan intelektual. Beliau begitu menyanjungi ketinggian ilmu dan ketajaman pemikiran al-Ghazzali dan melantiknya sebagai professor di madrasah al-Nizamiyah pada tahun 484H. Menurut catitan sejarah, kuliah yang disampaikan oleh al-Ghazzali dihadiri oleh 400 orang pelajar yang termasuk di antaranya tokoh-tokoh ulama’ pada masa itu. Dalam tempoh berperanan sebagai tenaga pendidik di madrasah tersebut, al-Ghazzali juga berusaha mendalami bidang falsafah melalui pembacaannya sendiri disamping menghasilkan beberapa karya ilmiah seperti Maqasid al-Fasafah, Mi`yar al-ilm fi Fan al-Mantiq, Mihar al-Nazar fi al-Mantiq dan juga Tahafut al-Falasifah. Di madrasah ini beliau lebih cenderung melibatkan diri dalam semua disiplin ilmu yang berbentuk teoretikal seperti ilmu kalam, ilmu fiqh dan juga falsafah. Setelah 4 tahun bertugas di madrasah al-Nizamiyyah, iaitu pada tahun 484H-488H, al-Ghazzali mula mengasingkan diri dan tempatnya diambil alih oleh adik, Ahmad. Dalam kitab Munqidh min al-Dhalal (Penyelamat dari Kesesatan) yang ditulis pada akhir kehidupannya, al-Ghazzali mengatakan:

Lama juga aku berfikir. Maka timbullah keinginan hendak meninggalkan kota Baghdad dengan kesenangannya. Namun kemudian murung juga, hati masih ragu-ragu. Keinginan keras di waktu pagi untuk menuntut kebahagiaan abadi menjadi lemah di petang hari. Nafsu duniawi menarik hatiku ke arah kedudukan, nama dan pengaruh, namun iman berseru: “Bersiap sedialah, usia hampir berakhir, padahal perjalanan amat jauh. Ilmu dan amalan mu hanyalah sombong dan pura-pura. Jika tidak sekarang, bilakah akan bersiap?. Kemahuan bertambah keras untuk membebaskan diri. Namun syaitan kembali pula “Ini hanyalah penyakit sementara. Jangan bimbang….penyakit ini akan segera hilang. Sayang….jangan kau tinggalkan kedudukanmu yang tiada taranya ini. Kelak engkau akan menyesal, tidak mudah kembali kepadanya”. “Lama juga aku terumbang ambing antara dunia dan akhirat. Hampir enam bulan iaitu sejak bulan rejab tahun 488 H. Akhirnya keadaan telah mencapai kemuncaknya di mana aku tidak lagi melakukan tugas mengajar. Untuk menyenangkan para mahasiswa, aku memaksa diri untuk mengajar namun sepatah katapun tidak dapat keluar dari mulutku. Hal ini sangat menyedihkan. Nafsu makan pun hilang dan kesihatan semakin merosot. Akhirnya para doctor merasa putus asa. Untuk penyakit dalam hati, tiada lain ubatnya melainkan istirehat dengan membebaskan hati dari segala yang mengganggunya, kata mereka”. “Dengan segenap jiwa, hatiku menjerit kepada Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Dan akhirnya permohonanku  terkabullah dan relalah hati meninggalkan  Baghdad, tempat kemuliaan, keluarga dan sahabat handaiku”

 

Selama 11 tahun beliau mengasingkan diri secara tenang dengan menjalani kehidupan  sebagai seorang ahli ibadat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Dalam tempoh pengasingan diri yang kebanyakkan dihabiskan di Syria ini, al-Ghazzali berjaya menghasilkan satu karyanya yang terkenal, iaitu Ihya` Ulum al-Din. Disamping itu, beliau juga sempat menunaikan fardhu haji di Mekah pada bulan ZulKaedah 488H. Dalam tempoh pengasingan diri ini juga al-Ghazzali turut dikecam hebat kerana didakwa tidak mengobarkan semangat jihad di kala umat Islam dilanda penjajahan puak Salib yang menyerang Bait al-Maqdis serta membunuh penduduk di Suriyah. Sedangkan al-Ghazzali hanyut di alam uzlahnya. Menurut Dr.Umar  Farrukh dalam karyanya al-Mihrajan: ada dua sebab mengapa al-Ghazzali bersifat demikian. Pertama: Dia sedang mengalami krisis kejiwaan pada ketika itu. Kedua: Sebagai seorang sufi,  setiap trajedi yang menimpa umat Islam itu adalah siksaan Allah Taala terhadap mereka yang berdosa kerana durhaka terhadapNya.

 

Setelah sekian lama di perantauan, al-Ghazzali kembali semula ke kampung halamannya di Tus, Naysabur atas pujukan Sultan Mahmud al-Saljuki yang menaiki tahkta pada tahun 498H. Al-Ghazzali kembali mengajar di madrasah al-Nizamiyyah selama  lebih kurang lima tahun sehinggalah beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir, 505H dalam usia 55 tahun di Tabran. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau….Amin…..

 

    

Advertisements

2 responses to this post.

  1. http:\\otam67.blogspot………….berdasarkan kitan KH maimun Zubier , Sarang , Indonesia , kitab yang di tulus pada tahun 2007

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: