Peranan dan Pengaruh Hamzah Fansuri Dalam Perkembangan Bahasa Berpuitis.

Pelbagai pendapat mengatakan tentang asal perkataan tasawuf. Ada yang mengatakan ia diambil daripada istilah Yunani  Theo Sophie yang bermaksud Hikmah Ketuhanan. Ada juga pendapat yang mengatakan istilah ini diambil daripada istilah ahl- al-Suffah, iaitu gelaran bagi sekumpulan sahabat Rasulullah yang sentiasa berada di serambi masjid Rasulullah dan patuh kepada segala arahan beliau. Dalam perbahasan tentang pengajian tasawuf, istilah tarekat dan amalan-amalannya merupakan topic utama bagi setiap aliran. Tarekat dikatakan sebagai satu unsur yang perlu ada dalam tasawuf. Ia mula diterapkan ke dalam tasawuf dan digunakan secara meluas dikalangan ahli sufi pada sekitar kurun ke 3Hijrah. Mengikut kaedah bahasa Arab, istilah tasawuf merupakan kata terbitan yang diambil daripada perkataan al-suf. Kemudian istilah al-suf (baju bulu) dinisbahkan kepada si pelaku yang sebut  al-Sufi ( Sipemakai baju bulu). Pertama kali istilah al-sufi digunakan ialah pada kurun kedua Hijrah; iaitu pada sekitar tahun 150Hijrah oleh Abu Hashim al-Kufi al-Sufi pada zaman pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur, khalifah Bani ‘Abbasiyyah yang kedua. 

 

Manakala tarekat pula dari segi bahasa bererti jalan, perjalanan dan juga mazhab.(aliran) Dari segi istilah, Tarekat merupakan sekolah disisi golongan sufi bagi mengeluarkan manusia-manusia wali dalam bentuk projek kerohanian (Islam) secara praktik untuk membimbing masyarakat ke arah kemajuan yang benar dan diredhai Allah. Ia juga didefinisikan sebagai amalan zikir lisan dan zikir hati. Terdapat lebih daripada seribu definisi tentang tasawuf. Yang paling mashyur sekali ialah tasawuf didefinisikan sebagai akhlak. Pengertian ini  turut diilusikan oleh ahli-ahli sufi dalam kitab-kitab tasawuf. Antara mereka ialah al-Imam al-Ghazali (505H) yang mengenengahkan aspek pendidikan akhlak dalam karangannya, Ihya’ Ulum al-Din.

 

Seterusnya sekitar akhir kurun  ke-6 dan ke-7 Hijrah, perbahasan tasawuf dan tarekat lebih difokuskan dalam pemasalahan aqidah dan falsafah yang berlegar dalam ruang lingkup fahaman “pantheism” atau Wahdah al-Wujud (keesaan wujud)oleh sesetengah ahli sufi. Meskipun begitu, ini bukan bererti aspek akhlak dan pendidikan diabaikan begitu sahaja hingga ke zaman kini. Malah dalam perkembangan tasawuf dan tarekat di zaman moden, aspek pendidikan akhlak turut ditonjolkan dalam penulisan mereka. Antaranya ialah kitab tis’ah kutub fi usul al-tasawuf wa al-Zuhd dan al-Sillah Baina al-Tasawuf wa al_Tasyayu’ oleh Dr. Kamal al-Syaibi.

 

Lantaran ini para ahli sufi turut berperanan penting dalam perkembangan dan peningkatan bahasa. Bermula dengan bahasa Arab dan kemudiannya disusuli dengan bahasa-bahasa lain yang dipertuturkan, golongan ini mula berkembang dengan gaya-gaya bahasa yang berpuitis.  Seorang orientalis, Annemarie Schimmel mengatakan tentang peranan ahli sufi dalam penulisannya yang bertajuk “ Aspects of Mystical Thought in Islam”;             

Dalam yang penting itu, yang khususnya ialah sumbangan ahli sufi terhadap perkembangan bahasa dan sastera. Melalui pengalaman mereka inilah , nuansa dalam “bahasa cinta dan kasih sayang” telah berkembang dalam bahasa Arab. Bahasa Parsi tidak dianggap sempurna tanpa pengaruh ahli sufi dalam setiap bahagian sasteranya yang berbentuk duniawi. Bahasa Turki, Urdu, Sindhi, Punjabi dan Pashto semuanya mula digunakan oleh ahli sufi sebagai medan sastera untuk berdakwah kepada mereka yang menggunakan bahasa itu agar mudah difahami”.

 

Sejak kemunculan  pelbagai aliran tasawuf dengan berbagai bentuk amalan zikir, perkembangan seni puisi turut muncul seiringan dalam usaha memperkayakan aktiviti tasawuf.  Dengan ini lahirlah tokoh-tokoh sufi yang juga berperanan sebagai penyair seperti Ibn ‘Arabi, al-Jilli, Uways al-Qarani, Rabiah al-Adawiyah, Dzu al-Nun al-Misri, Abu Yazid Bistami, Junayd al-Baghdadi, al-Hallaj, Abu Bakar al-Shibli, Abd al-Qadir al-Jailani, Muhammad Shirin al-Maghribi, Shah Ali Barizi, ‘Aiyn al-Qudat al-Hamadi dan ramai lagi.

 

Di alam Melayu, Hamzah al-Fansuri merupakan seorang penyair agung yang pertama menyampaikan doktorin dan metafizika sufi dalam bahasa Melayu. Beliau berasal dari Barus, pantai barat Sumatera Utara. Gelaran Fansuri berasal daripada nama kampung kelahirannya,  Pansur yang kemudian diubah kepada sebutan bahasa Arab, “Fansuri’ yang bermaksud orang kampung Pansur. Sebagai seorang ilmuan yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan agama, beliau sanggup mengembara jauh ke Pahang, Banten, Baitul-Maqdis, Siam, Mekah dan Baghdad. Dalam tempoh pengembaraan, beliau mempelajari bahasa Arab dan Parsi hingga berjaya bertutur dengan kedua-dua bahasa tersebut.  Selepas kembali dari pengembaraan mencari ilmu, beliau pulang ke tanahair dan mula mengajar dan menyebarkan doktrin tasawuf. Al-Fansuri merupakan seorang pengikut dan pengembang ajaran tarekat Qadariyah, iaitu suatu aliran tarekat yang dianggap sebagai penimbul kontraversi yang dikecam oleh sebahagian umat Islam secara keseluruhannya kerana berpegang dengan doktrin Wahdah al-Wujud.

 

Tidak terdapat sebarang rekod jelas tentang tarikh kelahiran dan kematian Hamzah. Beliau dikatakan hidup antara tahun 1550-1660. Namun apa yang jelas bagi ahli sejarah, Hamzah hidup di zaman Alauddin  Riayat Shah Ibn Firman Shah (1588-1604).   Malah beliau sendiri pernah menyebut serta memuji raja tersebut dalam rangkap sajak yang berjudul Ikatan-ikatan Ilmun Nisa’;

 Hamba mengikat  syair ini

                  Di bawah hadrat raja yang wali…….

Syah-I Alam raja yang adil

  Raja Kutub sempurna Kamil

                                                                  Wali Allah sempurna wasil

                                                                  Raja arif lagi mukammil

 

Hasil karya beliau begitu mempengaruhi masyarakat Melayu. Semua karyanya berbentuk prosa  dan kebanyakan syairnya mempunyai kaitan dengan dunia tasawuf. Meskipun begitu, melalui penyelidikan dan penemuan artifak didapati bahawa hasil karya beliau yang  berbentuk syair adalah lebih banyak jumlahnya jika dibandingkan hasil karya beliau dalam bentuk prosa. Hamzah hanya menghasilkan tiga buah karya-karya berbentuk prosa. Antara tajuk-tajuk karya prosa beliau ialah Syarab al-‘Asyikin, Asrar al-‘Arifin fi Bayan ‘ilm al-Suluk wa al-Tauhid dan al-Muntahi.

 

Manakala bentuk-bentuk penulisan syair pula terdiri daripada beberapa tajuk syair yang berkisar tentang ketuhanan, makhluk dan kehidupan seperti Syair Perahu,  Ikatan-ikatan Ilmun Nisa’, Syair Dagang, Ruba’i Hamzah Fansuri dan Syair Burung Unggas. Sebahagian besar penyusunan bahasa dalam syair-syair ini terdiri daripada bahasa Melayu yang banyak menggunakan perkataan Arab dan Parsi.

 

Mengikut methodology penyebaran dan perkembangan Wahdah al-Wujud, beliau telah dikecam hebat. Lantaran ini, beliau bangkit mempertahankan ideologinya dengan mengemukakan hujjah-hujjah yang diilusikan melalui rangkap-rangkap syair yang menyentuh tentang empat tunggak, iaitu syariah, hakikat, makrifat dan tarekat.

                                    Syariat akan tirainya

                                   Tarekat akan bidainya

                                   Hakikat akan ripainya

                                   Makrifat yang wasil akan isainya.

                                   Jika telah kau turut syariatnya

                                   Maka kau dapat asal tarekatnya

                                   Ingat-ingat akan hakikatnya

                                   Supaya tahu  akan makrifatnya

 

Dalam mengetengahkan perhubungan antara Tuhan dan kewujudan zahir, al-Fansuri menggunakan metafora ombak dan laut di dalam rangkap syairnya sebagai perbandingan yang akhirnya menimbulkan rasa tidak senang hati dikalangan ulama ilmu kalam.

                                   

Pertama misal emas dan ashafi ( duit syiling emas Parsi)

Keduanya bulan dan matahari

Jami’ al-amtsal ombak dan laut

Keduanya itu sedia bertaut.

Batinnya nyiur dan zahirnya sabut

Itulah tamtsil ketiganya patut

Haqa’iq al-ashya itu juga diketahui

Beroleh asma’ dan iktibari.

 

Dalam pada itu, al-Fansuri juga banyak menggunakan perkataan laut  dengan membawa maksud Tuhan.

                                   

                                    Laut itulah yang bernama Ahad

                                   Terlalu lengkap pada ashya’ Samad

                                  Oleh itulah lam yalid wa lam yulad

                                  Wa lam yakun lahu kufuwan ahad

                                 Engkau laut yang Maha ‘Ali

                                 Akan cermin Tuhan yang Baqi

                                Tukarkan keruh dengan safi

                               Supaya wasil dengan Rabbani.

 

Beliau juga mentafsir sebuah hadith “Man ‘arafa nafsahu faqad  ‘arafa rabbahu” menurut fahaman Wujudi dan disusun dalam rangkap syairnya

 

Man ‘arafa nafsahu hadith daripada nabi

Faqad ‘arafa rabbahu pada sekalian peri

Setelah sampai mengenal diri qawi

Mangkanya dapat menjadi wali.

Man ‘arafa nafsahu sabda baginda rasul

Faqad ‘arafa rabbahu tiada dengan hulul

Wahidkan olehmu fa’il dan maf’ul

Jangan ditakhsiskan makam tempat nuzul

Tuhan kita itu tiada bermakan

Zahirnya nyata dengan rupa insan

Man ‘arafa nafsahu suatu burhan

Faqad ‘arafa rabbahu terlalu bayan.

 

Lantaran susunan bahasa dalam rangkap syair demi mempertahankan fahaman wujudiyah, beliau ditentang oleh masyarakat Islam setempat.  Penentangan terhadap dirinya bertambah serius selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Shah. Ditambah pula dengan kemunculan Sultan Mahkota Alam yang sentiasa didampingi oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, musuh ideology al-Fansuri.

 

Oleh kerana terpengaruh dengan saranan Syeikh Nuruddin, Sultan Mahkota Alam memerintah agar beliau dan pengikutnya bertaubat daripada pegangan wahdah al-wujud. Namun mereka enggan dan tetap berpegang dengan fahaman tersebut. Akibatnya, mereka telah dihukum bunuh. Kemudian semua hasil karya penulisan tokoh ini dihimpun dan dibakar  di masjid BaitulRahman. Apa yang masih tinggal di sisi generasi kini kemungkinan hanyalah merupakan sisa-sisa karya al-Fansuri yang terselamat daripada dibakar pada suatu ketika dahulu. Walaupun pernah dikecam, namun kini selepas diselidiki  oleh ahli kaji bahasa, Hamzah al-Fansuri  kembali disanjungi dan kagumi. Malah beliau juga  dianggap sebagai “Bapa sastera Melayu” masa kini meskipun jasad beliau sudah dikandung tanah.

                         

 

           

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: