Archive for December 18th, 2008

Kewajiban Menepati Janji (Part i)

Dari sudut bahasa; al-`aqd atau kata jamaknya al-`uqud membawa maksud ikatan. Manakala dari sudut istilah syarak; ikatan janji samada secara lisan atau bertulis antara pihak-pihak terbabit yang wajib disempurnakan. Umumnya, janji terbahagi kepada 2 katogari, iaitu;

Pertama: Janji yang ditetapkan oleh Allah ke atas kaum mukminin menerusi bai`ah sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah. Mafhum sebuah hadis daripada `Ubadah bin Shamit r.a, Rasulullah bersabda kepada sekumpulan sahabat beliau: “Marilah kamu berbai`ah (berjanji) denganku  bahawa kamu tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak  akan mencuri, tidak akan berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak melakukan pembohongan yang kamu ada-adakan, tidak mendurhakai aku dalam amal kebaikan. Sesiapa antara kamu yang menepati janji, maka ganjarannya adalah daripada Tuhan. Sesiapa yang terlanjur melanggar perjanjian, dia akan disiksa di muka dunia (itu akan menjadi kifarat untuk menghapuskan dosanya). Sesiapa yang terlanjur melakukan kesalahan dan Tuhan menutupinya (tidak diketahui oleh orang ramai), maka urusannya terserah kepada Tuhan. Jika Tuhan ingin dia disiksa. Dan jika Tuhan menghendakinya dimaafkan”. Kata `Ubadah “lalu kami berbai`ah dengan beliau tentang perkara tersebut” (riwayat al-Bukhari).

Susulan peristiwa bai`ah ini merupakan sebab diturunkan ayat 90-91 surah al-Nahl.

Mafhum firman Allah:

Sesungguhnya Allah menyuruh melaksanakan keadilan dan kebaikan, memberikan hak sillaturahim serta kebaikan kepada kaum kerabat, dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan pendurhakaan. Dia mengingatkan kamu agar kamu mengerti. Dan tepatilah janji dengan Allah apabila kamu berjanji. Dan janganlah engkau langgar perjanjian setelah peneguhannya. Dan sesungguhnya kamu jadikan Allah sebagai saksinya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. (Surah al-Nahl, ayat 90-91). 

 

Kedua: Janji yang dibuat dalam setiap urusan kehidupan harian sesama manusia seperti dalam masalah pengurusan harta anak-anak yatim, harta waqaf dan urusan pentadbiran politik.

Mafhum firman Allah:

 

Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang terbaik sehinggalah dia dewasa. Dan penuhilah (tepatilah) janji. Sesungguhnya janji adalah suatu tanggungjawab, (Surah al-Isra`, ayat 34)

 

Janji juga tidak terkecuali berlaku antara pihak kaum muslimin atau individu muslim dengan non muslims seperti yang dinyatakan dalam mafhum firman Allah:

 

Sesungguhnya orang-orang beriman, berhijrah, berjuang dengan harta dan diri mereka di jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat perlindungan kepada mereka yang berhijrah dan memberi pertolongan. Mereka saling memimpin antara satu sama lain. Dan orang-orang yang beriman yang tidak berhijrah, tidak wajib keatas kamu melindungi mereka sedikitpun sehingga mereka berhijrah. Tetapi jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam urusan agama, kamu wajib menolong mereka kecuali terhadap kaum yang telah wujud perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Anfal, ayat 72)

 

Dr Wahbah al-Zuhaili menegaskan dalam al-Tafsir al-Wajiz; perjanjian dengan mana-mana kaum non-muslims wajib dijaga dan dihormati dengan tidak menimbulkan sebarang persengketaan dengan mereka. Janji merupakan imbuhan susulan bagi persepakatan atau persetujuan yang dicapai oleh pihak-pihak terbabit dalam usaha mencapai sesuatu matlamat atau objektif. Justeru, janji ialah amanah yang mesti disempurnakan. Hukum menepatinya adalah wajib di sisi syarak dan perlanggarannya merupakan pengkhianatan.

Mafhum firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman tepatilah segala janji. (Surah al-Maidah, ayat 1)

 

Perlanggaran atau pengkhianatan perjanjian amat dimurkai Allah Taala. 

Mafhum firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kemurkaan Allah kerana kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan. (Surah al-Saff, ayat 2-3)

 

Malah Rasulullah juga turut menegaskan bahawa pengkhianatan janji meskipun terhadap golongan non-muslims adalah antara sifat orang-orang munafik.

 

Mafhum hadis:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah bersabda “Tanda munafik itu tiga: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia khianat”. (Muttafaqun alaihi)

 

Mafhum hadis:

Daripada Abdullah bin Amr bin`al-As, Rasulullah  bersabda: “Ada empat tanda. Sesiapa yang ada padanya semua ini, dialah sebenar-benar orang munafik. Dan sesiapa yang ada padanya salah satu daripada empat tanda ini, maka dia mempunyai salah satu tanda munafik hinggalah dia meninggalkannya: apabila diberikan amanah dia khianat, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir, apabila bertelingkah dia melampaui batas”. (Muttafaqun alaihi)  

 

 

Kewajiban Menepati Janji (Part ii)

Menepati janji sama ada secara lisan atau bertulis antara sesama muslimin ataupun antara kaum muslimin dengan golongan non-muslims demi mencapai sesuatu objektif yang positif adalah wajib hukumnya.

Mafhum firman Allah:

 

Dan janganlah kamu jadi seperti perempuan yang merombak ikatan tenungan benang selepas ia dipintal (dijalin) kukuh. Kamu jadikan sumpah kamu sebagai penipuan sesama kamu agar menjadi satu umat yang lebih ramai daripada umat yang lain. Allah menguji kamu dengan itu. Dia (Allah) akan menjelaskan pada hari Kiamat apa yang telah kamu kerjakan. (Surah al-Nahl, ayat 92)

 

Mafhum ayat 92 tersebut sebenarnya merupakan satu perumpamaan Allah terhadap golongan mukminin yang sanggup mengingkari perjanjian suci dengan Ilahi sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat terdahulu, iaitu ayat 90-91 dalam surah yang sama:

Sesungguhnya Allah menyuruh melaksanakan keadilan dan kebaikan, memberikan hak sillaturahim serta kebaikan kepada kaum kerabat, dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan pendurhakaan. Dia mengingatkan kamu agar kamu mengerti. Dan tepatilah janji dengan Allah apabila kamu berjanji. Dan janganlah kamu langgar perjanjian setelah peneguhannya. Dan sesungguhnya kamu jadikan Allah sebagai saksinya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.

 

Ayat 90-91 lebih memokus kepada suruhan Allah Taala agar golongan mukminin redha dan menyempurnakan akad perjanjian mereka dengan Allah. Sudah tentu segala perjanjian yang merangkumi larangan mutlak Yang Maha Esa terhadap segala bentuk perbuatan keji, perlanggaran (pencabulan) dan pendurhakaan yang boleh memporak perandakan kehidupan bermasyarakat merupakan agenda positif demi kebaikan hamba-hambaNya. Sebaliknya, keingkaran mematuhi tuntutan perjanjian tersebut adalah satu dosa besar. Manakala ayat 92 pula merupakan susulan peringatan Yang Maha Esa terhadap golongan mukminin agar mereka tidak mempermain serta mempersendakan ikatan janji seperti mana seorang perempuan yang sentiasa merombak ikatan tenungan benang selepas setiap kali ia dijalin dan dipintal kukuh.

 

Menurut kitab al-Tafsir al-Wajiz `ala Hamisy al-Quran al-`Azim, ayat 92 yang berbentuk tegahan ini ditujukan kepada para pimpinan golongan mukminin. Manakala  perempuan yang dimaksud dalam ayat tersebut ialah seorang wanita bodoh yang kurang siuman bernama Saidah al-`Asadiyyah. Lantaran sifat kekurangannya, dia sentiasa mengikat dan menjalin apa saja yang ada di tangannya termasuklah benang, tali, rambutnya dan juga jerami tumbuhan. Kemudian ikatan jalinan yang dibuat itu dileraikan semula. Apa yang dilakukannya itu hanya sekadar untuk memberi kepuasan jiwanya sahaja. Begitulah tabiat Saidah sepanjang hayatnya.

 

Semestinya tindakan itu adalah sia-sia dan tidak berfaedah langsung kepada dirinya dan juga orang ramai. Inilah perumpamaan yang bersifat penghinaan Yang Maha Esa terhadap mana-mana golongan mukminin khususnya para pimpinan mereka yang berakal waras setelah sanggup berbai`ah dengan Allah dan rasulNya tetapi akhirnya mereka mengingkari perjanjian tersebut. Selepas perlanggaran perjanjian ini,  mereka sebenarnya telah meletakkan status diri mereka yang kononnya berfikir waras setaraf dengan Saidah al-Asadiyah. Dengan kata lain, penghormatan hanya layak bagi mereka selama mana mereka masih berpegang teguh dengan perjanjian yang dimenterai. Adapun jika perjanjian tersebut diingkari, mereka yang pada asalnya berfikiran waras ini tidak lagi layak dihormati seperti mana sebelumnya dan mereka hanya setaraf dengan orang-orang gila yang tidak berakal.

 

Disamping itu, ayat 92 ini juga turut menempelak sikap mereka yang suka bersumpah dusta semata-mata ingin meramaikan puak lebih daripada kuantiti puak yang lain. Sebenarnya Allah juga menguji mereka melalui  penyempurnaan janji tersebut dan akan menjelaskan segala tindak tanduk yang telah mereka lakukan pada hari Kiamat kelak.

 

Ayat 92 surah al-Nahl ini berbeza jika dibandingkan dengan beberapa ayat lain seperti  surah al-Maidah ayat 1, surah al-Anfal ayat 72, surah al-Isra` ayat 34, surah al-Nahl ayat 90-91 dan sebagainya yang turut membahaskan tentang perjanjian. Semua ayat-ayat tersebut mempamerkan method ayat perintah secara mutlak dalam membahaskan tentang kewajiban menepati janji. Sedangkan ayat 92 surah al-Nahl ini, meskipun ia turut membahaskan tentang penyempurnaan janji, namun ia menampilkan method perumpamaan yang berbau ejekan Yang Maha Esa terhadap kaum mukminin khususnya pimpinan mereka yang tidak setia dengan ikatan perjanjian yang telah dipesetujui oleh sekalian pihak yang terbabit.   

 

Liwat Menurut Perspektif Syarak.

Liwat merupakan istilah dalam bahasa kaum Nabi Luth (anak saudara Nabi Ibrahim) yang disandarkan kepada amalan buruk mereka. Istilah ini kemudiannya digunakan secara meluas dalam bahasa Arab dan bangsa-bangsa lain khususnya dikalangan mereka yang beragama Islam. Kisah kejahilan kaum ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah Taala dalam surah al-‘Araf, ayat 80-84 dan surah Hud ayat 77-82. Makna liwat ialah; lelaki yang menyetubuhi lelaki secara rela suka sama suka (homosexual). Adapun tindakan seseorang lelaki menyetubuhi lelaki secara paksaan tidak juga dianggap sebagai liwat tetapi dianggap sebagai rogol (paksaan sex). Manakala Dr. Musthafa Dib al-Bigha dalam kitab al-Tazhib fi adillah matan al-Ghayah wa al-Taqrib, halaman 208 (kitab fiqh al-Syafie) mendefinisikan liwat sebagai hubungan sex antara sesama lelaki dan juga hubungan sex antara lelaki dengan perempuan yang bukan isterinya melalui dubur secara rela. (Sila rujuk Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 bagi negeri Kelantan, bahagian 1 perkara 16,17 dan 18).

 

Menurut al-Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitab Tafsir Ayat al-Ahkam (Jilid 2, hlm 41-42): Definisi liwat ialah; Lelaki yang menyetubuhi lelaki. Liwat adalah seburuk-buruk amalan dosa yang hanya dilakukan oleh species manusia lelaki dan tidak dilakukan oleh mana-mana species haiwan jantan. Lantaran itu, amalan gejala-gejala keruntuhan akhlak dan tekanan penyakit jiwa ini amat merbahaya sekali jika tidak dibendung.

 

Dalam menentukan bentuk hukuman yang sewajar dikenakan terhadap mereka yang berkenaan, para ulama’ berselisih pendapat mengenainya. Perselisihan pendapat ini ringkasnya boleh dibahagikan kepada tiga mazhab;

Mazhab Pertama:  Para sahabat Rasulullah  seperti al-Nasir, al-Qasim bin Ibrahim dan al-Syafie mengatakan; hukuman liwat ialah bunuh  ke atas si peliwat dan juga individu yang diliwat. Pendapat ini adalah bersandarkan kepada dalil nas hadis Rasulullah daripada ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang kamu dapati melakukan liwat (amalan kaum nabi Luth), maka bunuhlah si peliwat dan individu yang diliwat”.

 

Berasaskan hadis ini, al-Imam al-Syafie menegaskan hukuman liwat ialah direjam dengan batu sampai mati ke atas mereka yang terbabit samada lelaki-lelaki tersebut sudah berkahwin ataupun masih belum berkahwin. Hukuman mati ini juga diakui oleh al-Imam Malik dan al-Imam Ahmad bin Hanbal. Dalam pada itu, al-Imam Malik juga berpendapat si pesalah boleh dijatuhkan hukuman mati dengan cara dicampak ke bawah dari tempat yang tinggi. Meskipun begitu,  terdahulu daripada ini, ijtihad Abu Bakr al-Siddiq dan Ali bin Abi Talib dalam masalah hukuman liwat ialah dengan memenggalkan leher mereka yang berkenaan sepertimana yang dilakukan ke atas golongan murtad ataupun dihempap dengan dinding batu sehingga mati.

 

Mazhab Kedua: Menurut golongan al-Syafieyyah, hukuman kesalahan liwat adalah sepertimana kesalahan zina, iaitu hukuman rotan bagi mereka yang belum berkahwin  dan hukum rejam sampai mati bagi mereka yang sudah berkahwin berasaskan nas hadis daripada Abu Musa al-‘Asy’ari, bahawa Rasulullah bersabda “Apabila seorang lelaki menyetubuhi lelaki lain maka kedua-dua mereka adalah penzina”. Nas hadis ini secara tidak langsung mengatakan liwat itu adalah aktiviti sex yang berlaku antara sesama lelaki yang disamakan dengan kesalahan aktiviti zina (aktiviti sex antara lelaki dan perempuan). Nas ini juga membuktikan bahawa aktiviti sex di mana seorang lelaki yang menyetubuhi seorang perempuan melalui duburnya juga adalah zina dan bukan liwat.

 

Adapun dalam masalah suami yang mendatangi isterinya melalui dubur, terdapat khilaf ulama’ dalam aktiviti tersebut sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Tuhfah al-‘Arus karangan al-Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Tijani, halaman 351-356. Sebahagian besar ulama seperti Ibn Sya’ban (ilmuwan besar Islam bermazhab Maliki)  mengharuskan aktiviti tersebut antara suami dan isteri berasaskan mafhum firman Allah “ Isteri-isteri kamu adalah umpama ladang bagi kamu. Maka datangilah mereka dengan apa jua cara yang kamu ingini”. Ibn Sya`ban al-Maliki merupakan pengarang kitab al-Nisa’. Antara lain, kitab beliau yang juga popular seperti al-Zahi (kitab fiqh), Ahkam al-Quran, Manaqib Malik, Syuyukh Malik dan al-Mansik. Ibn Sya`ban juga adalah merupakan ketua bagi para pengikut mazhab Maliki di Mesir. Jumhur ulama’ juga mengatakan tiada sebarang hukuman hudud ataupun ta’zir yang wajib dikenakan ke atas pasangan suami isteri terbabit.

 

Mazhab Ketiga: Menurut al-Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi), Al-Murtadha dan al-Muayyid billah, hanya hukuman ta’zir seperti hukuman penjara ataupun buang daerah dan sebagainya mengikut budi bicara hakim sahaja yang wajib dikenakan ke atas mereka yang terbabit kerana aktiviti tersebut bukannya zina dan tidak wajib dikenakan hukuman hudud ke atas si pelaku. Mereka berpendapat; dari sudut istilah bahasa, zina itu bukan liwat. Zina adalah persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan. Sedangkan liwat pula adalah persetubuhan haram antara sesama lelaki.  Disamping itu juga Islam mengharamkan hubungan al-Sihaq (lesbian) dan juga ityan al-bahaim (persetubuhan dengan haiwan). Para fuqaha’ bersepakat bahawa hukuman ke atas lesbian adalah ta’zir. Adapun dalam masalah ityan al-bahaim, jumhur ulama menegaskan hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas si pelaku kecuali al-Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan hukumannya adalah sama seperti hukuman liwat. Bagi al-Imam Ahmad, si pelaku dan haiwan terbabit wajib dibunuh.  

 

Selawat dan Salam ke atas Rasul

Status nabi dan rasul adalah darajat tertinggi dalam kalangan manusia di sisi Allah Taala. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib merupakan penutup bagi sekalian anbiya’ adalah sebaik-baik insan yang wajar dijadikan tauladan oleh setiap lapisan umat Islam yang menyanjung tinggi kerasulannya. Lantaran ini Allah Taala memuliakan utusanNya dengan berselawat serta mengucapkan salam ke atas beliau.

Mafhum firman Allah:

“Sesungguh Allah dan para malaikatNya berselawat (menyampaikan rahmat serta memuji) untuk Nabi (Muhammad). Wahai orang-orang yang beriman berselawat serta ucapkanlah salam ke atas Nabi dengan sebenar-benarnya” .(Surah al-Ahzab, ayat 52)

 

Dalam mafhum ayat di atas, Allah Taala menegaskan bahawa Dia dan para malaikat ciptaanNya sentiasa berselawat ke atas nabi Muhammad disamping memokuskan dua bentuk arahan kepada golongan mukminun agar sentiasa berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman sebagai tanda terima kasih dan penghormatan tertinggi yang tidak terhingga di atas segala pengorbanan beliau yang berperanan menerangi seluruh galaksi dengan cahaya Islam. Berselawat ke atas nabi dari segi bahasa bermaksud; berdoa dan memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala bagi pihak beliau. Menurut al-Imam al-Fakhru al-Razi dalam kitabnya jilid 6, halaman 796; selawat Allah Taala ke atas RasulNya bermaksud rahmat dan selawat para malaikat pula bermaksud mohon keampunan bagi dirinya. Manakala mengucapkan salam ke atas Nabi pula; Mengucapkan selamat serta kesejahteraan ke atas diri beliau.

 

Berasaskan arahan nyata yang termaktub dalam nas ini, jumhur ulama’ berpendapat bahawa selawat ke atas rasul merupakan salah satu bentuk ibadat seperti berzikir, tahmid dan tasbih. Hukumnya adalah wajib sekali seumur hidup dan sunat serta digalakkan pada setiap masa dan ketika sebagai menyahut seruan Rasulullah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim “Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

 

Terdapat pelbagai bentuk lafaz selawat ke atas Rasul. Ada yang masyhur dengan ungkapan nama selawat syifa’, tafrijiyyah dan sebagainya. Walau apa sekalipun nama yang tonjolkan, hakikat sebenar lafaz-lafaz selawat ini merupakan susunan kalimah indah memuji kemuliaan Junjungan Besar Muhammad demi untuk meraih syafaat beliau di hari Akhirat kelak. Lafaz-lafaz juga merupakan langkah bertertib dan beradab bagi seseorang muslim untuk melafazkannya sebelum mengutarakan sebarang bentuk permohonan kepada Allah Taala dalam setiap doa yang dipohon. Dalam sebuah hadis daripada Kaab bin Ujrah r.a berkata “Seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami mengetahui cara mengucap salam ke atas diri Tuan. Tetapi bagaimanakah pula untuk berselawat ke atas diri Tuan?” Rasulullah menjawab “Katakanlah Ya Allah selawatkanlah (berikanlah rahmat) ke atas diri Muhammad dan ahli keluarga Muhammad sebagaimana yang Engkau telah berikan rahmat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha  Mulia. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ahli keluarganya sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

Dalam sebuah mafhum hadis diriwayatkan oleh al-Imam Malik, Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Hamid al-Saiidi r.a, bahawa orang ramai bertanya “Wahai Rasulullah! Bagaimana cara kami nak berselawat ke atas Tuan?”. Maka jawab Rasulullah “Katakanlah Ya Allah berselawatlah ke atas Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana Engkau berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, para isterinya dan zuriatnya sebagaimana yang Engkau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”.

 

Adapun lafaz salam pula umpama seorang muslim mengatakan  Assalamualaika Ya Rasulullah (Salam sejahtera ke atas dirimu wahai Rasulullah). Ia merupakan doa selamat kesejahteraan daripada segala bentuk bala bencana. Setelah mencapai kata sepakat mengatakan hukum selawat ke atas Nabi wajib sekali dalam seumur hidup, para ulama berselisih pendapat pula dalam menentukan adakah selawat tersebut wajib dalam setiap majlis? Atau hanya wajib setiap kali disebut nama Nabi atau adakah ia hanya sunat semata-mata? Berasaskan permasalahan ini, ijtihad para ulama terbahagi kepada tiga katogari berlandaskan hujjah masing-masing;

i)                    Wajib berselawat ke atas nabi setiap kali disebut nama beliau. Hujjah ini berasaskan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

ii)                   Wajib berselawat ke atas nabi sekali dalam satu majlis meskipun namanya disebut berulang kali dalam majlis tersebut. Pendapat ini berasaskan kepada sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Sesiapa daripada kalangan satu jamaah yang berada dalam satu majlis kemudian mereka beredar meninggalkan majlis tersebut tanpa menyebut nama Allah serta tidak berselawat ke atas RasulNya, maka mereka tidak akan memperolehi sesuatu di hari akhirat kecuali penyesalan 

iii)                 Pendapat mengatakan wajib diperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan sebarang bilangan dan bentuk majlis serta mengatakan tidak memadai dengan berselawat sekali dalam seumur hidup. Golongan pertama dan ketiga berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizhi “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.

 

Sehubungan dengan ayat 52 surah al-Ahzab ini, para fuqaha juga berselisih pendapat adakah selawat ke atas nabi diwajibkan dalam solat? Dalam masalah ini, al-Syafie dan al-Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat; selawat ke atas nabi dalam solat adalah wajib dan tidak sah solat tanpanya. Manakala al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik pula mengatakan; selawat ke atas Nabi ketika solat adalah sunat muakadah dan tidak batal solat tanpanya tetapi makruh.