Archive for December 22nd, 2008

Pas Tentang Dasar Zalim Umno

Dalam sebuah mafhum hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Jabir r.a “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana ia (kezaliman) merupakan kegelapan di hari Kiamat kelak”. Itulah natijah akhir kezaliman yang bakal memporak perandakan jiwa sesiapa sahaja di Hari Pembalasan kelak. Dengan kata lain; tindakan zalim yang dilakukan oleh seseorang manusia di dunia sepanjang hayatnya akan menyebabkan dirinya sendiri berada dalam kegelapan setelah dia dibangkitkan di Hari Pembalasan. Kezaliman ialah meletak atau melaksanakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.  Lantaran kezaliman itu bercanggah dengan pendirian syarak, pasti sekali tindakan yang tidak kena atau sesuai pada tempatnya itu merupakan tindakan yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Lafaz takuti (jauhilah) kezaliman dalam mafhum hadis di atas adalah desakan Rasullah agar umatnya tidak berkompromi dengan segala bentuk anasir zalim.

 

Pernah  seorang kawan timbulkan persoalan; “Mengapa Pas menentang kezaliman Umno tetapi tidak menyokong usaha Umno mempromosikan Islam Hadhari? Adakah Islam Hadhari yang dipromosikan oleh Umno di era pemerintahan Pak Lah juga zalim?” Tersentak saya dengan soalan sedemikian. Saya merenung wajahnya yang kelihatan serious ingin jawaban. “Islam Hadhari bermaksud Islam Yang Maju. Dan Islam yang maju itu ialah Islam yang syumul (merangkumi secara menyeluruh aspek kehidupan). Sedangkan Islam yang dipropagandakan oleh Umno di era pemerintahan Pak Lah ini pula tidak pernah menyeluruh dan tiada bezanya dengan Islam yang diperjuangkan oleh parti Umno sejak awal penubuhannya lagi…. meskipun Pak Lah itu berdegree dalam bidang Pengajian Islam” jawab saya tersenyum. “Adakah kerana sifatnya yang tidak menyeluruh bererti Islam Hadhari Umno itu zalim?” tanyanya lagi. “Sudah pasti” jawab saya spontan. “Kerana Umno merupakan parti yang memiliki kuasa pemerintahan tetapi hanya mengambil beberapa aspek kecil sahaja daripada cabang syariah sebagai peraturan dan undang-undang kehidupan masyarakat di Malaysia. Tindakan sebegini sudah tentu tidak diredhai oleh Allah Taala” tambah saya lagi.

 

“Habis tuh mengapa Pas tidak mengambil langkah membantu Umno mengisi kerangka dan rangka Islam Hadhari?”  tanya beliau seolah-olah cuba menempelak saya kembali. “Pas pernah mengalami sejarah hitam dengan Umno semasa bersama dalam Barisan Nasional dulu. Pada ketika itu juga Pas pernah disingkir keluar dari Barisan Nasional gara-gara sifat zalim dan gelojoh para pemimpin Umno. Hingga kini, Umno tidak pernah bersungut untuk menegakkan perjuangan Islam. Malah perjuangan bangsa Melayu pun Umno turut abaikan. Apa yang diperjuangkan oleh Umno kini hanya perjuangan materialistic semata-mata.  Bermula daripada pimpinan atasan hinggalah ke peringkat akar umbi,  masing-masing hanya mengutamakan “periuk nasi” lebih daripada slogan Hidup Melayu!. Memang sudah dasar Umno anti perundangan Syarak. Dan dasar inilah yang bercanggah dengan tuntutan Islam. Dan menjadi kewajiban kita untuk menentang kezaliman tersebut” tegas saya. “Walaupun terpaksa bergabung tenaga dengan DAP dan PKR ?” celahnya. “Ya, dalam usaha menentang kezaliman kuasa pemerintahan yang disalahgunakan, diharuskan kita bergabung tenaga dengan kelompok-kelompok parti yang tidak berideologikan Islam demi merobohkan kuasa zalim tersebut” jelas saya lagi.   

 

Terlopong mulutnya selepas mendengar jawaban saya. Tiba-tiba dihulurkan tangannya bersalaman lalu bergegas meminta izin pulang ke rumahnya. Selang beberapa hari kemudian, saya dikejutkan dengan SMS daripadanya “Raso-raso betul kato demo hari tuh. Umno ni buke jenis parti nak perjuangkan Islam”.   

 

Kisah ADUN Melor

SITI AISHAH ABDULLAH / MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KB3 bulan lepas saya terima e-mail yang diforwardkan oleh seorang rakan yang berkhidmat di Petronas, Kerteh. Katanya “ Saya minta Abe aji baca dan tengok sendirilah blog pinkturtle2.wordpress.com  dan wan-nasru.blogspot.com/ ……..

……semuanya pasal perangai comel Tok Wan Smail Melor”. Tergaman saya dengan permintaan beliau yang berbau ejekan. Setelah blog itu dibuka, dibaca dan diteliti ternyata ia merupakan luahan rasa tidak puas hati sesetengah pihak dengan tindakan Wan Ismail Wan Jusoh, ADUN Melor. Ada pihak yang marah dan mengatakan blog tersebut adalah propaganda Umno yang cuba menangguk di air keruh. Takkan kurang juga mereka yang begitu bersimpati dengan nasib Siti Aisyah si jelita Kemboja itu. Pada awalnya, susah untuk saya menerima dan mempercayai berita ini lebih-lebih YB Wan Ismail ini adalah juga sahabat abah saya.

 

Ahh..biarkanlah…..Dah memang tak ada jodoh YB Wan Ismail dengan perempuan kemboja tuh…. Sebab tuh mereka bercerai……lagipun YB Wan Ismail dah dapat pengganti baru” ujar seorang penyokong fanatic PAS. Tidak lama kemudian, YB Wan Ismail mengumumkan untuk menyaman pihak media yang dianggap cuba mencampuri dan mendedahkan urusan rumahtangga beliau. Bagi YB Wan Ismail, pendedahan kisah perceraian tersebut boleh menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang wakil rakyat. Dua hari yang lepas, satu lagi e-mail diforwardkan kepada saya dan ianya juga berkisar tentang kisah YB Wan Ismail. Turut dikempilkan bersama gambar Siti Aisyah Kemboja yang baru sahaja nak mengenal Islam. Ayu dan anggun sekali wajahnya tetapi dia masih lagi memakai tudung kepala ala zaman kepimpinan Dato` Asri. Kalau YB Wan Ismail sanggup mendidiknya, mungkin dia akan sanggup memakai tudung macam isteri Tuan Guru Nik Abdul Aziz suatu hari nanti. Malangnya, seorang pemimpin PAS ini tidak mampu untuk mendidik Siti Aisyah yang baru memeluk Islam. Yang menjadi persoalan, sudah tahu dirinya tak mampu tetapi mengapa masih tetap ingin memikul tanggungjawab berat tersebut? Apakah ini yang dikatakan kemuncak ego setelah dapat mandate sebagai wakil rakyat? Nafsu untuk berkereta besar, berumah besar dan beristeri ramai semakin melonjak-lonjak kerana sumber pendapatan sebagai wakil rakyat lebih stabil?

Walaupun perceraian itu diharuskan disisi syarak tetapi ia amat dimurkai oleh Allah Taala jika ia berlaku tanpa sebab yang munasabah mengikut perspektif syarak. Nak kata Siti Aisyah hodoh…memang tak munasabah. Nak katakan tenaga batin YB Wan Ismail semakin berkurangan tapi dia masih ada hati tambah seorang lagi bini walaupun ada khabar-khabar yang mengatakan nafsu sexnya hanya kuat kerana viagra. Apa yang jelas, gaya konsep poligami berteraskan pendidikan dan dakwah yang dianjurkan oleh Rasulullah tidak dicontohi oleh YB Wan Ismail. Resah, geram dan marah juga hati ini bila memikirkan seorang politician yang dianggap berada di bawah dagu Tok Guru sokmo sanggup bertindak sedemikian rupa.

 

Adab Ziarah Dalam Ajaran Islam.

Memang tidak dapat dinafikan budaya saling ziarah menziarahi dapat memupuk kemesraan dan menjalin erat hubungan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat majmuk. Meskipun begitu, tata susilanya wajib dijaga agar pihak tuan rumah tidak akan merasa susah hati dengan kehadiran pihak pengunjung. Lantaran ini Islam begitu menitik beratkan umatnya agar  berusaha memahami jiwa  tuan rumah sama ada tuan rumah tersebut beragama Islam ataupun sebaliknya dan juga sama ada pada hari-hari biasa ataupun pada musim perayaan yang dipenuhi dengan agenda rumah-rumah terbuka.

 

Usaha untuk memahami jiwa pihak tuan rumah hanya mampu dipraktik oleh mereka yang mampu menghayati  mafhum firman Allah berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu sebelum memint izin dan memberi salam kepada orang yang di dalamnya. Cara sedemikian lebih baik bagi kamu agar kamu memperhatikan (beringat-ingat). Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalam rumah itu janganlah kamu masuk sebelum kamu memperolehi izin. Dan jika dikatakan kepada kamu “Baliklah”, maka hendaklah kamu balik. Itu lebih bersih bagi kamu dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. Tidak salah kamu memasuki rumah yang tidak digunakan sebagai kediaman yang di dalamnya terdapat keperluan kamu. Allah mengetahui apa yang kamu terangkan dan apa yang kamu sembunyikan. (Surah al-Nur, ayat 27-29)

 

Berdasarkan kupasan Tafsir al-Jalalain; surah al-Nur ayat 27-29 merupakan peringatan bagi mereka yang beriman kepada Allah Taala agar tidak memasuki rumah yang bukan rumah mereka tanpa keizinan pihak tumah rumah dan memberi salam kepada pihak tuan rumah sepeti mengucapkan “Assalamualaikum….bolehkah saya masuk?”. Malah cara tersebut adalah lebih baik daripada kamu memasuki rumah orang lain tanpa keizinan tuannya. Jika tidak didapati seseorang yang berhak memberi keizinan untuk kamu masuk, maka janganlah kamu masuk sehinggalah kamu diberi keizinan berbuat demikian. Jika dikatakan kepada kamu “Baliklah” maka hendaklah kamu segera beredar dan ia lebih baik  daripada kamu duduk tercengak di depan pintu rumah mereka. Dalam pada itu, Allah Maha Mengetahui tentang tindakan memasuki rumah sama ada dengan keizinan ataupun tanpa izin.  Tidak berdosa bagi kamu memasuki rumah-rumah yang tidak didiami yang di dalamnya terdapat keperluan kamu seperti kedai-kedai runcit dan gedung-gedung perniagaan yang dibuka mengikut jadual yang ditetapkan oleh pemiliknya. Dan Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu zahir dan sembunyikan sama ada dengan niat baik atau sebaliknya.

 

Berasaskan ayat ini juga, para berselisih pendapat adakah wajar diucapkan salam sebelum meminta izin untuk masuk ataupun selepasnya? Jumhur fuqaha berpendapat perlu mendahulukan ucapan salam sebelum meminta izin untuk masuk. Malah al-imam al-Nawawi dan juga al-Syahid al-Sayyid Qutb dalam Tafsir Zilal al-Quran mengatakan “Yang terbaik dan terpilih ialah dengan mendahulukan ucapan salam sebelum meminta izin untuk masuk ke dalam rumah berhujjahkan dengan sepotong hadis Rasulullah “Ucapan salam sebelum berbicara”. Meskipun begitu ayat 27-29 ini tidak nyatakan berapakah kali diharuskan mohon keizinan? Secara zahir, ayat tersebut menggambarkan seseorang yang meminta izin sekali maka jika dibenarkan, dia boleh masuk dan jika sebaliknya dia perlu beredar (tinggalkan rumah tersebut).

 

Namun sunnah Nabi menjelaskan bahawa mohon keizinan itu sebanyak tiga kali. Jelas bahawa kewajiban memohon keizinan adalah sekali dan peluang hingga tiga kali itu adalah hak pihak pengunjung. Jumhur ulama juga berpendapat; hukum meminta izin adalah wajib dan mengucapkan salam hanyalah mustahab (digalakkan). Jika lepas memberi salam pihak rumah terus menjemput pihak pengunjung masuk ke dalam rumah, maka tidak perlu lagi bagi pihak pengunjung untuk meminta izin untuk masuk. Mohon keizinan bertujuan agar ruang lingkup penglihatan dan juga pendengaran pihak pengunjung tidak tertumpu ke arah  aurat dan juga keaiban pihak tuan rumah sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja.

 

Jika berkunjung ke rumah orang Islam, pihak pengunjung perlu menjaga ruang lingkup penglihatan dan pendengarannya daripada segala aurat dan keaiban pihak tumah rumah. Manakala sekiranya rumah non-muslims yang dikunjungi, maka pihak pengunjung hanya perlu menjaga ruang lingkup penglihatan dan pendengarannya terhadap perkara-perkara aib sahaja agar pihak tuan rumah tidak akan merasa resah dan malu. Ketika meminta izin, tidak wajar bagi pihak pengunjung berada berhadapan dengan pintu rumah. Bahkan pihak pengunjung perlu berada di penjuru sebelah kanan ataupun kiri lalu terus mengucap salam ke atas pihak tuan rumah. Meskipun begitu, dalam situasi darurat (bahaya) seperti ketika mana diugut perompak ataupun berlaku kebakaran rumah tuntutan meminta izin masuk adalah dikecualikan. Kewajiban meminta izin untuk masuk hanyalah ke atas golongan mukallafin sama ada lelaki ataupun perempuan tetapi tidak wajibkan ke atas kanak-kanak belum baligh yang tidak memahami tentang masalah aurat dan juga hubungan sex.

 

Bagi pihak tuan rumah pula; disamping menghormati tetamu, aurat dan segala keaiban dalam rumah wajib dijaga daripada diketahui oleh pengunjung agar mereka sentiasa terpelihara daripada fitnah dan tidak terdedah kepada setiap rancangan jahat syaitan. Sabda Rasulullah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah (wajib) dia memuliakan tetamunya” (al-Bukhari).