Archive for January, 2009

RENUNGAN (1)

Saya nukilkan beberapa petikan mafhum hadis yang boleh dimanafaatkan bersama sebagai extra knowledge, iaitu;

 

  • Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Nabi s.a.w bersabda “Sesungguhnya agama Islam itu ringan. Sesiapa yang memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama (menjadi lemah beribadat dan beramal). Oleh itu, kerjakanlah tuntutan agama mengikut sepatutnya atau mendekati dengan semestinya dan bergembiralah kerana akan beroleh pahala serta beribadatlah (mohon pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam”.

 

  • Daripada Anas r.a, katanya “Aku sampaikan kepada kamu sebuah hadis yang tidak akan disampaikan oleh orang lain lepas peninggalanku. Aku mendengar Rasulullah bersabda “Antara tanda-tanda kiamat ialah semakin berkurangan ilmu dan meluasnya kebodohan, berlaku perzinaan secara meluas dan kaum wanita lebih ramai daripada lelaki hinggakan 50 orang wanita nisbahnya seorang lelaki”.

 

  • Daripada Amir r.a berkata “Saya melihat Nabi s.a.w mengerjakan solat  di atas kenderaan (unta). Beliau menghadap ke mana sahaja kenderaan itu menghadap”.

 

  • Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya “Satu jenazah diusung lalu dihadapan kami. Lantas Rasulullah berdiri menghormatinya. Maka kami pun berdiri sama. Kami berkata “Wahai Rasulullah! Itu jenazah orang Yahudi” jawab Rasulullah “Apabila kamui melihat jenazah, maka berdirilah!!”.

 

  • Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Apabila seseorang lelaki mengajak isterinya tidur (bersetubuh)sedangkan isterinya menolak (tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak). Lalu lelaki itu tidur dalam keadaan kecewa (marah), nescaya malaikat akan melaknati perempuan itu sampai pagi”.
Sungai Kelantan

Sungai Kelantan

Khasiat Bawang Putih

 

Bagi masyarakat awam, bawang putih hanya merupakan sejenis tumbuhan yang sedikit sebanyak berguna untuk dijadikan bahan perencah makanan. Dikalangan masyarakat Melayu tradisional, bawang putih biasanya dimakan sebanyak dua ulas bersekali dengan halia bara sebagai ulam semasa mereka makan nasi. Dengan kaedah ini, angin dalam tubuh mereka dapat dikeluar.  Bangsa Funisia yang menetap di jaluran tanah sempit antara bahagian hujung Timur Laut Mediterranean dengan gunung-gunung di Barat sungai Jordan begitu terkenal dengan pelayaran. Setiap kali belayar, mereka sentiasa membawa bawang putih sebagai bekalan perubatan. Di Bulgaria, bawang putih adalah sebahagian makanan penduduknya setiap hari. Ahli-ahli sukan bangsa Greek juga biasanya memakan bawang putih untuk menambah mutu persembahan sukan mereka di stadium Olympic. Namun bagi mereka yang mendalami sector kesihatan dan perubatan, peranan bawang putih sebenarnya lebih dari itu. Sejak zaman dahulu lagi tumbuhan ini masyhur hinggakan ia turut ditulis dalam penulisan-penulisan ahli-ahli kedoktoran zaman purba seperti Dioscorides (doctor bangsa Greek) dan al-Razi (ahli kedoktoran Islam).  Bawang putih juga disebut dalam Kitab-Kitab Perjanjian Lama(Taurat dan Injil), al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah. Dari sudut sejarah, bawang putih telah digunakan semenjak 7,000 tahun yang lalu oleh bangsa Babylonia, Mesir Purba, Hindu dan Cina. Raja-raja Mesir dahulu (bangsa Qibti) membelanjakan wang sejumlah RM750,000 mengikut nilai sekarang untuk membeli bawang putih sebagai bahan makanan hamba-hamba abdi Bani Israel yang dipaksa membina bangunan-bangunan pyramid di kawasan Cheop dan kira-kira 70 buah lagi yang berselerak di negeri tersebut. Bagi masyarakat Mesir Purba, bawang putih bukan hanya makanan tetapi ia juga adalah ubat bagi semua jenis penyakit seperti penyakit kulit, cacing, gangguan saraf pernafasan dan juga awet muda. Hingga kini, masyarakat Mesir masih lagi menanam bawang putih sepertimana yang pernah diamalkan oleh nenek moyang mereka berabad-abad yang lampau.

Bawang putih baik untuk kesihatan

Bawang putih baik untuk kesihatan

 

 

Dalam Perang Dunia Pertama 1914-1918 dan Perang Dunia Kedua, bawang putih digunakan untuk merawat askar-askar yang tercedera. Pada ketika itu, Perkhidmatan Perubatan Britain menggunakan beribu-beribu ton tumbuhan berkhasiat ini. Dalam sekitar tahun 1937, ahli-ahli kimia di Universiti California telah menganalisa kandungan kimia bawang putih dan mendapati ia mengandungi unsur  crotonic aldehyde. Dalam tahun 1944 pula, para ahli sains Russia membuat penyelidikan ke atas bawang putih dan bawang merah. Lalu didapati jika kedua-dua jenis bawang ini dimakan secara mentah, ia mampu membunuh bakteria merbahaya.  Meskipun begitu, para saintis Russia ini tidak mendapati secara tepat apakah unsur yang terkandung dalam minyak bawang putih yang mampu membunuh bacteria. Mereka hanya menyebutnya sebagai “phytonicides”. Ubat sapu yang dibuat daripada minyak dan kulit bawang putih dan merah jika didedahkan didapati mudah hilang khasiatnya kerana dalam tempoh 10 hingga 15 minit akan hilang kuasa pembunuh kuman. Kuasanya berkait rapat dengan baunya. Bawang putih merupakan anti biotic asli yang kaya dengan vitamin B dan C serta galian-galian seumpama zink, tembaga, aluminium, mangganam, sulphur dan juga zat besi. Dalam buku “The Home of Health” yang ditulis oleh Dr. Gunn M.D pada tahun 1878 mengesahkan bahawa tumbuhan ini adalah penawar bagi batuk kering, penyakit paru-paru, demam, gangguan cacing dan sebagainya. Dalam German Pharmaceutical Magazine, seorang pensyarah lawatan dan ahli fakulti Universiti Geneva, Dr.Praxis G.Iotrowski menulis tentang pengalamannya menggunakan bawang putih terhadap 100 orang pesakit dan didapati ia dapat menurunkan tekanan darah serta mampu menghapuskan  segala gejala sampingan seperti sengal tulang belakang, pening kepala dan mabuk. Ini bererti ia adalah ubat yang paling mujarab sekali untuk penyakit darah tinggi. Tumbuhan ini mampu menurunkan tekanan darah sebanyak 10mm hingga 40mm setelah dua hari memakannya.

Semenjak penemuan ubat-ubat anti biotic, penggunaan bawang putih semakin dilupakan. Ini kerana para doctor umumnya lebih berasa mudah menggunakan ubat anti biotic. Satu factor yang sering dilupai ialah pil-pil antibiotic hanya mampu membunuh kuman-kuman merbahaya itu sahaja tanpa membunuh kuman-kuman lain dalam usus perut.   Namun peranan ini dapat dilakukan oleh bawang putih yang merupakan antiseptic yang jauh lebih baik daripada pil-pil tersebut. Orang ramai juga sering lupa bahawa adalah lebih baik dan selamat memakan ubat yang kurang sedikit kuasa penyembuhan tetapi tidak meninggalkan kesan-kesan sampingan atau side effects hingga dapat merosakkan mana-mana bahagian tubuh bilamana unsur-unsur kimia yang berlebihan dalam pil-pil itu berkumpul pada tisu tumbuh. Meskipun pil antibiotic berperanan penting dalam perubatan dan pembedahan, namun bahayanya ialah kita akan terdorong untuk terlalu bergantung sangat pada pil-pil tersebut. Dalam masa yang sama kita akan semakin melupai satu hakikat bahawa disamping kewujudan pil-pil “wonder drugs” ini ada juga kaedah penyembuhan secara sunnah  Nabi yang dianggap sebagai nature cure yang ternyata lebih baik untuk kesihatan manusia.      

 

 

 

Kerajaan Bani Abbasiyah Sepintas Lalu

Kekuasaan dan keagungan Daulah Umaiyyah berakhir pada tahun 132H/750M setelah golongan Abbasiyyah berjaya menggulingkan kerajaan tersebut melalui satu pergolakkan hebat di medan peperangan. Puak Syiah berperanan utama menjatuhkan Bani Umaiyyah. Meskipun begitu, peranan dan jasa mereka diabaikan oleh Bani Abbasiyyah setelah berjaya membentuk sebuah kerajaan monarki. Ketua negara kerajaan ini yang pertama ialahAbu Abbas al-Saffah. Para khulafa Abbasiyyah berketurunan Sayyidina Abbas bin Abdul Muttalib (566-652), salah seorang bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. Lantaran itu mereka merasakan diri mereka layak untuk menjadi khalifah memandangkan salasilah tersebut. Dua orang daripada kalangan para khulafa ini, iaitu Abu Jaafar al-Mansur dan juga al-Mu`tasim tersohor sebagai pemimpin empayar besar yang berpegang teguh dengan mazhab Muktazilah. Kerajaan ini meneruskan sistem yang biasa dijalankan oleh kerajaan Farsi dan dasar-dasarnya pula sudah dilaksanakan pada zaman Kerajaan Bani Umaiyyah. Sistem itu diguna pakai lantaran situasi politik dan sosiologi antara mereka dan golongan non Arab adalah tidak sama. Titik persamaan yang ada antara mereka (bangsa Arab dan Non Arab) hanya terbatas dalam beberapa hal yang ditetapkan oleh al-Quran dan hadith. Kerajaan Bani Umaiyyah mengutamakan solidarity perpaduan bangsa Arab. Namun bagi kerajaan Bani Abbasiyyah integriti kaum antarabangsa terutama sekali bangsa Farsi dan Rom lebih terlalu amat dititikberatkan.  

Dalam pada itu, Bani Abbasiyyah tetap mengekalkan sistem yang dirintis oleh Bani Umaiyah , iaitu jawatan ketua negara adalah jawatan warisan. Ada dikalangan mereka yang menggunakan gelaran khalifah, amir al-Daulah (ketua Negara) dan juga al-Imam (gelaran al-Imam pada zaman Bani Umaiyyah hanya digunakan kepada individu yang mengimani solat berjamaah sahaja). H.A Fuad Said dalam bukunya, Ketatanegaraan Menurut Syariat Islam meringkaskan perkembangan jawatan ketua negara ini seperti mana berikut;
i) Ketua negara menjalankan dasar dalam sector pemerintahan sebagai warisan daripada Nabi Muhammad selaku penegak pertama negara Islam dan dasar politik dan perlantikan adalah berdasarkan al-Quran dan al-hadith. Orang-orang Farsi mengatakan kerajaan Bani Abbasiyyah menjalankan hukum Tuhan (the divine right of Kings) dengan ketentuan Allah bagi seseorang untuk mengetuai pemerintahan sepanjang hayatnya dan akan dilanjutkan oleh anak cucunya setelah beliau meninggal dunia. Orang lain tidak berhak dan tidak berpeluang untuk memangku jawatan tersebut.  Salah seorang khalifah Bani Abbasiyyah, Abu Jaafar al-Mansur mengatakan “Akulah Sultan Allah dimuka bumiNya”. Tentu sekali cara sedemikian bertentangan dengan system yang pernah dilaksanakan oleh khulafa` al-Rasyidin yang menyerahkan autoriti perlantikan kepada rakyat sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Abu Bakar al-Siddiq “Jika aku berbuat baik maka bantulah aku dan kalau aku menyimpang, maka luruskanlah”. Malah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata “Aku bukan terbaik daripada saudara-saudara sekalian tapi aku mempunyai satu tanggungjawab yang lebih berat”.
ii) Politik pemerintahan kerajaan ini mirip dengan politik pemerintahan Farsi yang menganggap ketua negara adalah suci dan ditakuti kerana mampu menguasai jiwa rakyat. Semua khalifah-khalifah dan para pembesar Bani Abbasiyah hidup sebagaimana Kaisar dan orang-orang besarnya. Sesiapa yang masuk mengadap khalifah, dia mesti menunduk serta mengangkat kedua-dua belah tangannya. Apabila sudah dekat di hadapannya, ketua negara akan mengangkat penutup kepalanya yang tidak boleh disentuh oleh sesiapapun kecuali pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
iii) Penutup kepala bagi ketua negara adalah amat penting. Ia sebagai simbolik memperingati para ketua negara sebelum ini yang memakai selendang (sebagai penutup kepala) semasa upacara perlantikan dan upacara keagamaan.
Mengikut turutan, Ketua negara yang pertama, Abu Abbas al-Mansur menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada saudaranya, Abu Jaafar al-Mansur yang kemudiannya menyerahkan jawatan itu kepada anak saudaranya, Isa bin Musa. Semasa Abu Jaafar al-Mansur dan anak saudaranya mengetuai kerajaan dengan jawatan itu, al-Mahdi semakin dewasa. Lalu jawatan itu ditarik daripada Isa dan diserahkan kepada al-Mahdi. Ketika al-Mahdi berkuasa, jawatan tertinggi itu diserahkan kepada dua orang anaknya, al-Hadi dan disusuli kemudian oleh Harun al-Rasyid. Semasa hayat Harun al-Rasyid, beliau melantik tiga orang anaknya, al-Amin, al-Makmun dan al-Qasim sebagai gabenor daerah. Masing-masing bertanggungjawab memajukan daerah yang sudah ditentukan kepada mereka. Kemudian timbul perang saudara apabila al-Amin berjuang untuk menggulingkan saudaranya al-Makmun kerana berhasrat menyerahkan jawatan khalifah (ketua negara) kepada anaknya. Namun usaha beliau gagal.
Zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid (786 – 809) adalah zaman kegemilangan perkembangan ilmu pengetahuan. Ramai golongan-golongan pemikir lahir dalam zaman ini. Mereka memainkan peranan penting dalam menterjemah dan mengembangkan karya Greek, Hindu dan ilmu zaman pra-Islam kepada masyarakat Kristian Eropah. Sumbangan mereka ini melibatkan seorang ahli falsafah Greek iaitu Aristotle. Tambahan pula, zaman ini menyaksikan penemuan semula ilmu geografi, matematik dan astronomi seperti Euclid dan Claudius Ptolemy. Ilmu-ilmu ini kemudiannya diperbaiki lagi oleh beberapa tokoh Islam seperti Al-Biruni dan sebagainya.
Dalam zaman ini juga lahir sarjana-sarjana Islam terkenal seperti Ibn Sina, Al-Kindi, al-Farabi dan sebagainya. Sarjana-sarjana Islam ini meningkatkan lagi pencapaian Islam dalam bidang perubatan melalui pengetahuan yang diwarisi daripada Zaman Yunani yang diserap dan digabung dengan kajian yang mereka lakukan. Avicenna telah mengenal pasti sifat berjangkit pada penyakit batuk kering, menggambarkan pleurisy dan pelbagai jenis penyakit saraf yang lain. Beliau turut menjelaskan bahawa penyakit boleh tersebar dengan pencemaran air dan tanah. Kitab perubatannya yang paling utama ‘Canon‘ turut diterima pakai di Europah sebagai buku teks rasmi sehingga abad ke tujuh belas. Rhazes (865-925) merupakan pakar perubatan klinikal pada zaman medieval. Pencapaiannya yang utama adalah penemuan perbezaan antara measles dan smallpox. Pakar sains Islam yang lain turut mengetahui tentang kebaikan penyucian (cauterization) dan agen jangkitan (styptic), mengenal pasti barah perut, memberikan penawar racun dan mencapai kemajuan cemerlang dalam sektor rawatan penyakit mata. Selain itu mereka mengenal pasti ciri-ciri jangkitan wabak bubonic dengan menyatakan ia boleh disebarkan melalui pakaian.
Selain itu hospital semasa pemerintahan Islam merupakan paling maju dalam pentadbiran hospital dan pengawalan perkhidmatan perubatan. Terdapat sekurang-kurangnya tiga puluh empat hospital di bandar utama Farsi, Syria dan Mesir. Setiap hospital mempunyai wad menurut jenis penyakit, dispensari dan perpustakaan. Ketua pakar perubatan dan pembedahan memberi syarahan kepada pelajar dan pelatih, menguji mereka serta memberikan lesen (kelulusan)untuk berkhidmat.
Pencapaian bidang saintifik Islam yang lain adalah dalam bidang optik, kimia dan matematik. Pakar sains Islam mengasaskan bidang optik dan menyatakan beberapa kesimpulan penting berkenaan teori kanta pembesar, kepantasan, pengaliran dan biasan cahaya. Ahli kimia Islam turut mengatasi alkhemi, rekaan Yunani Hellenistik, sistem kepercayaan kesemua logam pada asasnya adalah sama, dengan itu logam asas boleh ditukarkan kepada emas sekiranya perkakas yang betul (batu falsafah) dapat dijumpai. Hasil ujian pakar kimia Islam, sesetengahnya menolak teori penukaran logam sepenuhnya. Selain itu,mereka turut menjumpai pelbagai jenis unsur dan sebatian baru, antara lain soda karbonat, tawas, borax, silver nitrat (larutan ion perak), saltpeter, nitrik dan asid sulfrik. Selain itu, ahli sains Islam merupakan golongan yang pertama menggambarkan proses kimia penyulingan, penapisan dan sublimation.
Dalam bidang matematik, pencapaian teragung pakar sains Islam adalah menggabungkan geometri Yunani dengan sistem nombor hindu. Dengan pengenalan nombor sifar (0), pakar ahli matematik Islam berjaya mengembangkan pengiraan berasaskan sistem perpuluhan dan memajukan algebra. Dengan asas geometri Yunani kepada rujukan pergerakan bintang-bintang, pakar metematik Islam mencapai kemajuan pesat dalam trigometri sphere. Dengan itu mereka menyatu dan memajukan kesemua bidang pengetahuan matematik.
Dalam bidang astrologi, kajian teliti dilakukan mengenai perubahan kedudukan bintang. Malah ada dikalangan mereka yang berpendapat kemungkinan bumi berputar dan beredar mengelilingi matahari. Namun teori ini ditinggalkan kerana ia tidak selaras dengan pemikiran silam masa itu seperti orbit planet yang berbentuk bulat.
Dalam bidang perdagangan, perkembangan perdagangan tidak mungkin wujud tanpa perkembang perindustrian. Hampir setiap negeri mempunyai pengilangan sesuatu yang khusus, Mosul di Syria merupakan pusat kapas, dan kain; Baghdad khusus dalam penghasilan barangan kaca, perhiasan, barangan tembikar, dan sutera; Morocco dalam penghasilan barangan kulit; Toledo di Sepanyol bagi penghasilan pedangnya yang terbaik.Selain itu terdapat pelbagai bandar lain yang turut menghasilkan dadah, minyak wangi, karpet, tapestries, brocades, satin, barangan logam, kertas dan lain-lain.
Dalam kesemua bidang  Islam mengatasi Barat sehinggalah abad ke dua belas apabila negara Barat maju ke hadapan dengan sebahagiannya dari apa yang dipelajari mereka daripada Islam. Dalam bidang ekonomi, Barat menyerap pengetahuan dalam bidang pengaliran, penanaman tanaman baru, penghasilan kertas dan penyulingan. Tahap pengaruh Islam terhadap ekonomi Barat dapat dilihat dalam sejumlah besar perkataan Inggeris yang berasal daripada istilah Arab atau Farsi. Antara lain adalah traffic, tariff, magazine, alcohol, muslin, orange, lemon, alfalfa, saffron, sugar, syrup, dan musk. Dalam bidang sains pula perkataan seperti algebra, cipher, zero, nadir, amalgam, alembic, alchemy, alkali, soda dan almanac. Kerajaan Bani Abbasiyyah berkembang pesat selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki (al-Mamluk) yang mereka cipta. Kerajaan ini berakhir pada tahun 1258 selepas tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan menghancurkan Baghdad pada 10 Februari 1258. Susulan ini juga al-Mu`tasim, pemerintah terakhir Abbasiyyah dibunuh pada 20 Februari 1258. Banyak buku-buku rujukan yang tidak ternilai harganya musnah dan dianggar seramai 800,000 orang penduduk Baghdad terbunuh akibat serangan Mongol ini.

Kronologi Kerajaan Bani Abbasiyyah


• 752M- Bermulanya Kerajaan Bani Abbasiyyah.
• 755M- Pemberontakan Abdullah bin Ali. Pembunuhan Abu Muslim.
• 756M- AbdulRahman I mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah Sepanyol.
• 763M- Penubuhan kota Baghdad. Kekalahan tentera Abbasiyyah di Sepanyol.
• 786M- Harun al-Rasyid menjadi Khalifah.
• 792M- Serangan ke atas selatan Perancis.
• 800M- Kaedah sainstifik dicipta. Algebra dicipta oleh Al-Khawarizmi.
• 805M- Kempen menentang Byzantine. Penawanan Pulau Rhodes dan Cyprus.
• 809M- Kewafatan Harun al-Rashid. Al-Amin dilantik menjadi khalifah.
• 814M- Perang saudara antara al-Amin dan al-Ma’mun. Al-Amin terbunuh dan al-Ma’mun menjadi khalifah.
• 1000M- Masjid Besar Cordoba siap dibina.
• 1005M- Multan dan Ghur ditawan.
• 1055M- Baghdad ditawan oleh tentera Turki Saljuk. Pemerintahan Abbasiyyah-Saljuk bermula dan kekal sehingga tahun 1258 apabila tentera Mongol memusnahkan Baghdad.
• 1085M- Tentera Kristian tawan Toledo (di Sepanyol).
• 1091M- Bangsa Norman tawan Sicily, pemerintahan Muslim di sana tamat.
• 1095M- Perang Salib pertama berlaku.
• 1099M- Tentera Salib tawan Baitulmuqaddis. Mereka membunuh semua penduduknya.
• 1144M- Nur al-Din tawan Edessa daripada tentera Kristian. Perang Salib kedua berlaku.
• 1187M- Salahuddin Al-Ayubbi tawan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib. Perang Salib ketiga berlaku.
• 1194M- Tentera Muslim menawan Delhi, India.
• 1236M- Tentera Kristian tawan Cordoba (di Sepanyol).
• 1258M- Tentera Mongol menyerang dan memusnahkan Baghdad. Ribuan penduduk terbunuh.Kejatuhan Baghdad. Tamatnya pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah.

Para Khulafa Abbasiyyah di Baghdad
• Abu al-Abbas al-Saffah 750 – 754M
• Al-Mansur 754 – 775M
• Al-Mahdi 775 – 785
• Al-Hadi 785 – 786
• Harun al-Rasyid 786 – 809
• Al-Amin 809 – 813
• Al-Ma’mun 813 – 833
• Al-Mu’tasim 833 – 842
• Al-Wathiq 842 – 847
• Al-Mutawakkil 847 – 861
• Al-Muntasir 861 – 862
• Al-Musta’in 862 – 866
• Al-Mu’tazz 866 – 869
• Al-Muhtadi 869 – 870
• Al-Mu’tamid 870 – 892
• Al-Mu’tadid 892 – 902
• Al-Muktafi 902 – 908
• Al-Muqtadir 908 – 932
• Al-Qahir 932 – 934
• Al-Radi 934 – 940
• Al-Muttaqi 940 – 944
• Al-Mustakfi 944 – 946
• Al-Muti 946 – 974
• At-Ta’i 974 – 991
• Al-Qadir 991 – 1031
• Al-Qa’im 1031 – 1075
• Al-Muqtadi 1075 – 1094
• Al-Mustazhir 1094 – 1118
• Al-Mustarshid 1118 – 1135
• Al-Rashid 1135 – 1136
• Al-Muqtafi 1136 – 1160
• Al-Mustanjid 1160 – 1170
• Al-Mustadi 1170 – 1180
• An-Nasir 1180 – 1225
• Al-Zahir 1225 – 1226
• Al-Mustansir 1226 – 1242
• Al-Mu`tasim 1242 – 1258M

 
Para Khulafa Abbasiyyah di Kaherah
• Al-Mustansir II 1261M
• Al-Hakim I 1262-1302
• Al-Mustakfi I 1302-1340
• Al-Wathiq I 1340-1341
• Al-Hakim II 1341-1352
• Al-Mu’tadid I 1352-1362
• Al-Mutawakkil I 1362-1383
• Al-Wathiq II 1383-1386
• Al-Mu’tasim II 1386-1389
• Al-Mutawakkil I (menaiki takhta semula) 1389-1406
• Al-Musta’in 1406-1414
• Al-Mu’tadid II 1414-1441
• Al-Mustakfi II 1441-1451
• Al-Qa’im 1451-1455
• Al-Mustanjid 1455-1479
• Al-Mutawakkil II 1479-1497
• Al-Mustamsik 1497-1508
• Al-Mutawakkil III 1508-1517M

Kelapa Dalam Kehidupan Manusia

 

Minyak kelapa dara sesuai untuk kesihatan manusia

Minyak kelapa dara sesuai untuk kesihatan manusia

 

 

Kelapa yang  juga dikenali sebagai nyior adalah tumbuhan saka dan tempoh ekonominya adalah melebihi 25 tahun. Ketinggiannya mencapai 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi dan senang didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan untuk pelbagai guna, iaitu:

·         Batang kelapa boleh dibuat titi dan barangan perabot rumah.

·         Daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan seperti pembalut ketupat.

·         Lidi kelapa boleh dibuat penyapu.

·         Sabut kelapa boleh dibuat tali.

·         Tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan.

Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma besar yang mampu tumbuh setinggi 30 meter dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin. Terdapat berbagai jenis baka kelapa yang diusahakan secara kecilan dan juga komersial oleh golongan petani, antaranya ialah Matag, Mawa, Malayan Red Dwarf, Malayan Yellow Dwarf, Tagnanan Tall, West African Tall dan Malayan Tall. 

Dari sudut latarbelakangnya, asal-usul pokok ini telah menjadi topik perbahasan dikalangan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara.  Sementara sesetengah pihak yang lain pula mendakwa ia berasal dari barat laut Amerika Selatan. Berdasarkan rekod fosil di New Zealand, sejenis pokok kecil seperti kelapa didapati telah tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Meskipun begitu, fosil kelapa yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar di sebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai.

Namun begitu pendapat ini disanggah oleh sebahagian pakar penyelidikan kelapa yang menegaskan bahawa kelapa tidak sesuai ditanam di tanah berpasir di pantai kerana tumbuhan ini tidak memerlukan tanah yang masin. Sebaliknya, ia amat subur jika di tanam di tanah gambut. Meskipun kelapa mampu hidup di tepi pantai melalui proses pemindahan benih yang dihanyutkan melalui laut, namun kehidupan serta pengeluaran buahnya agak begitu terhad dan kurang berkualiti jika dibandingkan dengan buah kelapa yang ditanam di tanah gambut. Di Kepulauan Hawai, pokok kelapa dikatakan telah diperkenalkan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.

Secara botani, buah kelapa merupakan “buah kering” yang dikenali sebagai pepauh (ataupun drup) bergentian (bukannya “kacang”). Mesokarpanya terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurungnya keras serta mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk akan keluar apabila embrionya bercambah. Jika dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali bahagian akar dan mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun. Justeru, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan”.

Buah kelapa muda boleh diminum airnya. Ia mengandung kadar kalium, chlor dan kalori tinggi yang telah lama tersohor sebagai sumber zat tumbuh, iaitu sitokinin. Selain itu, air kelapa juga mengandung protein, lemak, mineral, karbohidrat, dan berbagai vitamin (C dan B kompleks) yang amat baik untuk kesihatan (melegakan stress) dan kecantikan. Sementara kelapa tua pula boleh diproses untuk menghasilkan santan, minyak kelapa dan pelbagai lagi. Justeru, kelapa begitu sinonim dengan masyarakat Melayu yang gemarkan penggunaan santan kelapa sebagai bahan utama untuk menambah keenakan masakan gulai mereka.

Selain itu,  ia juga tersohor dengan proses pembikinan minyak kelapa dara yang berkesan mengubati pelbagai jenis penyakit. Kajian saintifik oleh para saintis barat ke atas minyak kelapa dara telah dilakukan sejak awal tahun 1930an. Hasilnya didapati minyak kelapa dara memiliki ciri-ciri anti virus dan antibakteria, antioksida yang kuat, pemangkin metabolisme badan dan persamaan dengan susu ibu. Dalam penulisan Bruce Fife “The Healing Miracles of Coconut  Oil” : Walaupun ia merupakan sejenis lemak tetapi minyak kelapa dara berperanan untuk mengurangkan berat badan. Ini berlaku kerana asid-asid lemak tersebut hanya terus menuju ke hati dan diproses sebagai tenaga dan tidak tersebar masuk ke dalam saluran darah sebagaimana lemak-lemak yang lain. Menurut pakar permakanan terbaik dunia, Mary Enig “Terdapat lebih kurang 50% dari asid lemak kelapa merupakan asid laurik yang memiliki ciri-ciri antibakteria, antivirus dan antiprotozoa yang digunakan oleh manusia dan haiwan untuk memusnahkan virus-virus berselaput seperti HIV, influenza dan sebagainya”.  Di negara barat, minyak kelapa dara digunakan dalam formulasi makanan untuk golongan pesakit tua yang kritikal dan juga permakanan bayi. Antara ciri-ciri keistimewaannya ialah;

·         Mengurangkan risiko diserang atheroclerosis dan sakit jantung.

·               Membantu mengendalikan penyakit Diabetes (kencing manis).

·               Membantu mencegah Osteoperosis.

·               Memberi sumber tenaga yang cepat.

·               Menguatkan sistem daya ketahanan badan.

·               Mengurangkan Gaut dan Stroke.

·               Menurangkan risiko penyakit hempedu, hati dan radang paru-paru.

·               Menstabilkan kadar kolestrol dan kadar gula dalam darah.

·               Membantu mengurangkan berat badan.

·               Mencegah terjadinya pembekuan darah.

·               Meningkatkan kesihatan Thyroid.

·               Mencegah dari serangan bakteria dan kulat.

·               Memperbaiki pencernaan dan penyerapan bahan gizi.

·               Mengurangkan risiko demam, batuk, selesema dan asma.

·               Menyembuhkan tisu dan kulit yang tercedera atau terluka.

·               Menyihatkan kulit kepala dan menjadikan rambut sihat.

·               Membantu menjaga meningkatkan kesihatan thyroid.

·               Mencegah  serangan bakteria dan kulat.

·               Memperbaiki pencernaan dan penyerapan bahan gizi.

·               Mengurangkan risiko demam, batuk, selesema dan asma.

·               Menyembuhkan tisu dan kulit yang tercedera atau terluka.

·               Membantu menjaga kulit agar tetap lembut dan halus.

·               Membantu melambatkan proses penuaan dan kedutan kulit.

·               Mengubati sakit gigi dan sengatan serangga.

·               Meningkatkan kemesraan hubungan suami isteri.

 

 

 

CANDID CAMERA(Part v):HARI MEMBUANG UNDI

cikgu-nik-man-hjhashim-dan-man-gandawan

Semasa berada di Kuala Terengganu, Cikgu Nik Man turut memperkenalkan kepada kami seorang sahabat lamanya, Muhammad bin Abd.Rahman atau lebih tersohor dengan Jolokan Mat Gandawan. Mat Gandawan ini (berbaju petak-petak) ialah Mantan Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional Negeri Terengganu.

Thank you En.Lah Embong

Saya tiba di Kuala Terengganu pada petang 16hb.Januari untuk mengikut perkembangan proses pilihanraya di P.36 Kuala Terengganu. Sesampai di sana, Cikgu Nik Man memaklumkan kepada saya bahawa dia bermalam dirumah kawannya, Cik Lah (bekas manager Bank Pertanian) di Jalan Pusara. Oleh kerana hotel-hotel sudah penuh, dia pelawa saya untuk turut bermalam di Jalan Pusara. Pelawaan beliau saya terima. Walaupun pertama kali saya bertemu dan berbual dengan En.Lah tetapi cara dia melayan saya seolah-olah dia telah mengenali saya selama lebih 20 tahun. Begitu mesra sekali. Beliau juga sanggup meluangkan masa bersama-sama kami untuk ronda-ronda dalam bandar Kuala Terengganu. Anyway terima kasih En. Lah, insyallah kalau umur panjang kita akan jumpa lagi…

Encik Abdullah Embong

Encik Abdullah Embong

CANDID CAMERA(Part iv):HARI MEMBUANG UNDI

Hj.Hashim, Cikgu Nik Man dan Cik Lah Embong duk tunggu nasi dagang K.Terengganu

Hj.Hashim, Cikgu Nik Man dan Cik Lah Embong duk tunggu nasi dagang K.Terengganu

CANDID CAMERA (Part iii): HARI MEMBUANG UNDI

Berdiri berselang seli antara perayu PAS dan B.Nasional

Berdiri berselang seli antara perayu PAS dan B.Nasional

CANDID CAMERA (Part ii):HARI MEMBUANG UNDI

 

Tarian Angkuh oleh perayu undi Barisan Nasional sambil diawasi oleh beberapa orang anggota polis

Tarian Angkuh oleh perayu undi Barisan Nasional sambil diawasi oleh beberapa orang anggota polis

CANDID CAMERA (Part i): HARI MEMBUANG UNDI DI P.36 K.TERENGGANU

Lambaian, senyuman dan rayuan Puteri Umno

Lambaian, senyuman dan rayuan Puteri Umno

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.