Archive for January 10th, 2009

Al-Farabi: Ahli Falsafah berwibawa

Umat Islam mengenali dan memahami falsafah selepas mereka mulai memahami isikandungan buku-buku karya Aristotle dan beberapa huraian yang diungkap dan ditakwilkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani yang lain. Hasil ketekunan yang berterusan, akhirnya umat Islam silam mampu menguasai bidang ilmu tersebut. Dengan penguasaan itu, mereka berusaha mengembangkannya dengan membuat penyelidikan-penyelidikan selanjutnya disamping menulis buku-buku dan juga risalah-risalah yang boleh dimanafaatkan bersama oleh mereka yang berminat dengan bidang falsafah. Dalam era kegemilangan ilmu itu, muncul seorang tokoh ilmuwan Islam yang disegani ramai. Beliau ialah Abu Nasr Muhammah ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Ulzagh al-Farabi, berketurunan Farsi dan lebih tersohor dengan panggilan al-Farabi sahaja. Al-Farabi dilahirkan di wilayah Wasij berhampiran sungai Saihun di Turmekistan pada tahun 260Hijrah(874M). Dia mendapat pendidikan awalnya di Farab dan Bukhara. Al-Farabi merupakan anak seorang askar yang miskin. Semasa usia beliau masih kecil, bapanya membawanya berpindah ke Baghdad dan menetap di sana selama 40 tahun. Perpindahan ke destinasi baru ini memberi peluang keemasan kepada al-Farabi untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab.

 

Semasa Baghdad dilanda krisis politik  dan kemelut dalaman yang teruk, al-Farabi mengambil keputusan berpindah ke Damsyk. Tidak berapa lama berada di Damsyk, sekali lagi beliau berpindah ke Halab dan bekerja di istana Saif al-Daulah dengan menerima gaji hanya sebanyak 4 dirham sehari. Sedangkan pada masa itu penyair tersohor Arab, al-Mutanabbi diberi ganjaran sebanyak 1,000 dinar untuk setiap qasidah (lagu) yang dapat disiapkannya. Al-Farabi hidup dalam kemiskinan sejak dari awal kelahirannya hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 339Hijrah lantaran sifatnya sendiri yang tidak pernah bersungguh-sungguh berusaha mencari rezeki. Tokoh ilmuwan ini mampu menguasai banyak bahasa termasuklah bahasa Yunani. Selain itu, akalnya juga cergas dalam menguasai beberapa cabang ilmu. Apa yang lebih menarik, al-Farabi adalah seorang pemuzik yang handal dan menulis tentang muzik dalam bukunya Kitab al-Musiqa. Beliau mampu menyebabkan orang menangis dan juga ketawa hanya dengan lagu-lagu ciptaannya. Malah menurut Umar al-Furukh dalam bukunya Tarikh al-Fikr al-Arabi, al-Farabi ialah orang yang mencipta satu alat muzik yang dikenali sebagai gambus disamping mampu bermain beberapa jenis alat muzik lain.

 

Al-Farabi amat mendalami dalam bidang perubatan tetapi beliau tidak pernah menjadi bidang tersebut sebagai karier utamanya. Al-Farabi sentiasa muncul berpakaian seperti ahli sufi dan bersikap zuhud meskipun beliau tidak pernah dikenali sebagai ahli sufi. Beliau hanya dikenali sebagai seorang ahli falsafah agung yang paling memahami falsafah Aristotle. Al-Farabi juga merupakan orang yang pertama menulis dan menterjemah tentang ilmu logical Yunani  secara teratur dalam bahasa Arab. Beliau membahagikan ilmu logical kepada dua bahagian, iaitu bahagian idea dan bahagian bukti. tokoh ini juga menulis tentang sosiologi. Kebolehan serta kemampuan beliau ini meletakkan dirinya berada pada tempat yang cukup tinggi . Malah beliau juga digelar sebagai guru kedua selepas Aristotle. Antara hasil karya al-Farabi yang sentiasa dijadikan rujukan ahli-ahli akademik ialah Risalah fi al-`aql (Tentang akal manusia), Ihsa` al-`Ulum (Tentang ilmu-ilmu pada zaman Yunani), Kitab al-Jam` (Tentang falsafah-falsafah Plato dan Aristotle) dan juga kitab al-Madinah al-Fadhilah (Tentang falsafah politik).

 

Bagi al-Farabi, jantung lebih utama daripada otak dalam kehidupan manusia. Ini kerana baginya, jantung adalah sumber kehangatan tubuh sedangkan otak hanyalah penyelaras kehangatan berkenaan mengikut keperluan setiap anggota. Bagi beliau keadilan wujud dalam setiap pertarungan antara manusia. Pertarungan merupakan gejala-gejala semulajadi dan sifat semulajadi itulah keadilan sebenarnya. Berkaitan dengan politik, beliau menyarankan agar sebuah Negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah ditubuhkan. Jika individu seperti itu tidak ada, maka seorang wakil sementara boleh dilantik.  Tokoh ini meletakkan status ilmu mengatasi segala-galanya. Lantaran keikhlasannya menerokai segala cabang ilmu yang bermanafaat untuk dikuasai, al-Farabi telah disenaraikan dalam katogari orang-orang berilmu tinggi yang berwibawa dalam pelbagai bidang.

Kisah Punai dan Semut

 

Si Punai sedang leka beristirehat

Si Punai sedang leka beristirehat

 

Di suatu petang semasa saya sedang mengemas rak-rak buku di dalam bilik, saya terjumpa sebuah buku bacaan sukatan darjah dua sekolah Melayu. Ditulis pada bahagian dalam kulit buku tersebut tahun 1950. Ketika membelek-belek buku itu, mata saya tersilau kelih sebuah cerita pendek yang merupakan salah satu isikandungannya. Rupa-rupanya buku itu adalah kepunyaan abah saya yang pernah dipelajarinya semasa berada dalam darjah dua di Sekolah Melayu Pasir Mas. Pada masa itu arwah datuk saya, Haji Omar bin Awang adalah Guru Besar di sekolah tersebut.

 

Jalan ceritanya lebih kurang begini; Pada suatu hari  ditepi sebatang sungai, seekor burung punai sedang memakan buah ara di atas dahan pokok yang terjuntai ke dalam sungai. Dari jauh Punai ternampak seekor semut  sedang terkapai-kapai hanyut di bawa arus air. Timbul perasaan kesian terhadap semut itu dalam hatinya. Lalu Punai memetik sehelai daun dengan paruhnya dan dijatuhkan ke dalam sungai berdekatan dengan semut. Semut mencapai daun dan menaikinya dengan pantas. Daun itu terus berlayar bagaikan sebuah perahu baginya dan kemudian berlabuh di tebing sungai. Dengan ini, terselamatlah semut dan pastinya ia begitu terhutang budi dengan pertolongan Punai.

 Selang beberapa hari, seperti biasa Punai terbang merayau mencari makan dari satu dahan pokok ke dahan pokok yang lain. Setelah merasa penat, ia bertenggek di dahan pokok ara. Tanpa diketahui Punai, ada seorang pemburu yang asyik memerhati pergerakannya di celah-celah semak. Dengan perlahan-lahan pemburu mengangkat senapangnya dan memokuskan sasaran ke arah Punai. Tindakan pemburu disedari semut yang sedang merayau-rayau di tanah. Ia segera bertindak merayap ke kaki pemburu lalu menggigitnya sekuat hati. “Aduuhhhhh!” pekik pemburu kesakitan. Pekikan pemburu menyebabkan Punai terkejut lalu terbang menyelamatkan dirinya. Semut segera melarikan diri dari kaki pemburu. Ia merasa puas hati kerana berjaya menyelamatkan Punai yang pernah berjasa terhadapnya daripada senapang pemburu.

Dalam cerita pendek ini sebenarnya diselitkan sifat-sifat mulia untuk ditauladani oleh para murid, iaitu berbudi kepada yang memerlukan dan mengenang budi orang yang telah berbudi kepada kita. Walaupun pada asalnya kedua-dua species haiwan ini tidak bersahabat tetapi lantaran sifat belas kasihan dan bertimbangrasa Punai, semut begitu merasa berterima kasih untuk ia terus terhutang budi serta mengenang budi Punai yang menggugurkan daun kepadanya yang sedang terkapai-kapai dihanyutkan arus sungai.

Lantaran itu, semut tidak teragak-agak mempertaruhkan nyawa dengan merayap ke atas kaki pemburu lalu menggigitnya dengan kuat sebagai tanda terima kasih terhadap punai yang pernah menyelamatkannya dulu. Ternyata gigitan semut itu berkesan dan mengakibatkan pemburu berteriak kesakitan. Secara tidak langsung teriakan pemburu merupakan satu amaran yang mampu menyelamatkan Punai daripada situasi bahaya. Inilah antara focus utama pendidikan yang didedahkan kepada murid-murid sekolah Melayu sekitar tahun 1950 an sebelum merdeka, iaitu sikap berbudi dan mengenang budi.

 

Antara Dua Tebing

Haji Hashim bersama cucunya, Hydar Hafiz menyeberangi sungai menuju ke Taba

Haji Hashim bersama cucunya, Hydar Hafiz menyeberangi sungai menuju ke Taba

 

 

Menyeberang ke tanah seberang sudah lama sinonim dengan budaya dan jiwa rakyat Kelantan sama ada untuk membeli belah ataupun mencari bahan-bahan asas untuk diperniagakan. Begitu juga dengan masyarakat seberang yang sering datang ke Kelantan melalui jalan sungai. Dalam pada itu, ada juga dikalangan mereka yang buta hati dan tidak bertanggungjawab sanggup menggunakan kedua belah tebing bagi tujuan  perniagaan bahan narkotik seperti morfin, ganja dan candu. Golongan ini sentiasa menimbulkan masalah besar dalam masyarakat dengan meraih keuntungan melalui perniagaan bahan haram. Fenomena ini amat menyedihkan dan merugikan anak bangsa kita sendiri.  Tebing sungai antara Kelantan-Thai merupakan jambatan perniagaan antara kedua-dua belah pihak. Antara lokasi yang sejak dahulu hingga kini masih menjadi tumpuan ramai ialah pasar Mundok, kedai Golok dan Taba (Tak Bai). Motorboat tambang digunakan untuk berulang alik antara dua sempadan ini. Apa yang pasti barangan jualan di lokasi-lokasi perniagaan ini agak murah harganya jika dibandingkan di tempat-tempat lain. Bagi yang sudah biasa dengan suasana di seberang, mereka sentiasa berulang alik antara dua tebing sungai tanpa sebarang rasa takut ataupun bimbang tentang keselamatan diri mereka. Namun bagi mereka yang tidak biasa, menyeberang ke seberang sana adalah amat menakutkan lebih-lebih lagi dalam suasana di seberang yang masih hingga kini dirundung konflik dalaman yang teruk hingga membabitkan pertempuran dan pembunuhan antara pihak tentera kerajaan Siam dan pihak pejuang kemerdekaan Fathani.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.