Kisah Punai dan Semut

 

Si Punai sedang leka beristirehat

Si Punai sedang leka beristirehat

 

Di suatu petang semasa saya sedang mengemas rak-rak buku di dalam bilik, saya terjumpa sebuah buku bacaan sukatan darjah dua sekolah Melayu. Ditulis pada bahagian dalam kulit buku tersebut tahun 1950. Ketika membelek-belek buku itu, mata saya tersilau kelih sebuah cerita pendek yang merupakan salah satu isikandungannya. Rupa-rupanya buku itu adalah kepunyaan abah saya yang pernah dipelajarinya semasa berada dalam darjah dua di Sekolah Melayu Pasir Mas. Pada masa itu arwah datuk saya, Haji Omar bin Awang adalah Guru Besar di sekolah tersebut.

 

Jalan ceritanya lebih kurang begini; Pada suatu hari  ditepi sebatang sungai, seekor burung punai sedang memakan buah ara di atas dahan pokok yang terjuntai ke dalam sungai. Dari jauh Punai ternampak seekor semut  sedang terkapai-kapai hanyut di bawa arus air. Timbul perasaan kesian terhadap semut itu dalam hatinya. Lalu Punai memetik sehelai daun dengan paruhnya dan dijatuhkan ke dalam sungai berdekatan dengan semut. Semut mencapai daun dan menaikinya dengan pantas. Daun itu terus berlayar bagaikan sebuah perahu baginya dan kemudian berlabuh di tebing sungai. Dengan ini, terselamatlah semut dan pastinya ia begitu terhutang budi dengan pertolongan Punai.

 Selang beberapa hari, seperti biasa Punai terbang merayau mencari makan dari satu dahan pokok ke dahan pokok yang lain. Setelah merasa penat, ia bertenggek di dahan pokok ara. Tanpa diketahui Punai, ada seorang pemburu yang asyik memerhati pergerakannya di celah-celah semak. Dengan perlahan-lahan pemburu mengangkat senapangnya dan memokuskan sasaran ke arah Punai. Tindakan pemburu disedari semut yang sedang merayau-rayau di tanah. Ia segera bertindak merayap ke kaki pemburu lalu menggigitnya sekuat hati. “Aduuhhhhh!” pekik pemburu kesakitan. Pekikan pemburu menyebabkan Punai terkejut lalu terbang menyelamatkan dirinya. Semut segera melarikan diri dari kaki pemburu. Ia merasa puas hati kerana berjaya menyelamatkan Punai yang pernah berjasa terhadapnya daripada senapang pemburu.

Dalam cerita pendek ini sebenarnya diselitkan sifat-sifat mulia untuk ditauladani oleh para murid, iaitu berbudi kepada yang memerlukan dan mengenang budi orang yang telah berbudi kepada kita. Walaupun pada asalnya kedua-dua species haiwan ini tidak bersahabat tetapi lantaran sifat belas kasihan dan bertimbangrasa Punai, semut begitu merasa berterima kasih untuk ia terus terhutang budi serta mengenang budi Punai yang menggugurkan daun kepadanya yang sedang terkapai-kapai dihanyutkan arus sungai.

Lantaran itu, semut tidak teragak-agak mempertaruhkan nyawa dengan merayap ke atas kaki pemburu lalu menggigitnya dengan kuat sebagai tanda terima kasih terhadap punai yang pernah menyelamatkannya dulu. Ternyata gigitan semut itu berkesan dan mengakibatkan pemburu berteriak kesakitan. Secara tidak langsung teriakan pemburu merupakan satu amaran yang mampu menyelamatkan Punai daripada situasi bahaya. Inilah antara focus utama pendidikan yang didedahkan kepada murid-murid sekolah Melayu sekitar tahun 1950 an sebelum merdeka, iaitu sikap berbudi dan mengenang budi.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: