Archive for January 13th, 2009

Beriman Kepada Malaikat

Perkataan malaikat merupakan kalimah jama’ (plural) dalam bahasa Arab bagi perkataan malak yang bererti kekuatan. Dengan kata lain, malaikat adalah kekuatan-kekuatan yang patuh pada ketentuan dan perintah Allah. Malaikat dari segi istilah syarak ialah hamba ciptaan Allah yang dijadikan daripada cahaya lagi mulia dan terpelihara daripada segala bentuk maksiat. Mereka tidak berjantina, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa dan juga tidak beranak. Mereka tidak tidur dan tidak makan serta tidak minum. Mereka mampu menjelma dengan pelbagai rupa yang dikehendaki dengan izin Allah. Allah Taala mencipta malaikat daripada nur (cahaya) sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah mafhum hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a bahwa Rasulullah bersabda, “Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam dicipta daripada apa yang telah diterangkan kepada kamu semua.” (diriwayatkan oleh Muslim)

Malaikat mempunyai sayap dan mampu terbang dengan laju (sesuai dengan dengan cahaya yang bergerak laju). Mafhum firman Allah “Segala puji bagi Allah. Maha Pencipta langit dan bum, yang mencipta malaikat sebagai utusan-utusan yang mempunyai sayap-sayap, ada yang dua, tiga atau empat. Allah menambah pada ciptaanNya apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Q.S. Fathir:1). Maksudnya; Allah Taala mencipta malaikat berupa makhluk bersayap dan antaranya ada yang bersayap dua pasang, tiga pasang, empat pasang dan ada pula yang lebih daripada itu. Semua ini menunjukkan nilai dan perbezaan pangkat di sisi Allah Taala juga tentang kekuasaannya cepat atau lambatnya semasa dalam proses berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Al-imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Masud r.a. “Rasulullah saw. melihat Jibril a.s. dan ia mempunyai enam ratus sayap.” Banyaknya sayap adalah sebagai tanda lebih cepat menunaikan perintah-perintah Allah Taala serta menyampaikan risalahNya. Dalam al-Quran disebutkan “Tiada siapapun antara kami (malaikat) melainkan mempunyai kedudukan yang tertentu. Sesungguhnya kami bershaf-shaf (dalam menunaikan perintah Allah) dan sesungguhnya kami benar-benar bertasbih (mensucikan Tuhan).” (Q.S. al-Shaffat:164-166).

Malaikat sentiasa berbakti kepada Allah secara sempurna, tunduk dan patuh pada kekuasaan dan keagunganNya serta melaksanakan semua perintahNya. Mafhum firman Allah “Malaikat itu takut kepada Tuhan yang berkuasa di atas mereka dan mengerjakan apa saja yang diperintahkan.” (Q.S. al-Nahl:50)

Bahkan malaikat adalah para hamba Allah yang dimuliakan. Mereka tidak mendahului Allah dengan perkataan dan mereka mengerjakan sesuai dengan perintahNya. Allah mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka. Mereka juga tidak dapat memberikan pertolongan, melainkan kepada orang yang disukai oleh Allah dan mereka pun selalu berhati-hati karena takut kepadaNya.” (Q.S. al-Anbiya:26-28)

Malaikat tidak engkar kepada Allah mengenai apa-apa yang diperintahkan olehNya kepada mereka dan tentu mengerjakan apa-apa yang diperintahkan.” (Q.S. al-Tahrim:6)

Al-imam al-Bukhari meriwayatkan bahwa Rasulullah saw. bersabda, “Apabila Allah menentukan suatu keputusan di langit, maka semua malaikat memukulkan sayap-sayapnya kerana tunduk pada firmanNya seolah-olah sebagai suatu bunyi-bunyian yang nyaring di atas sebuah batu yang licin. Selanjutnya apabila lenyap ketakutan itu dari hati mereka, mereka pun berkata, ‘Apakah yang diucapkan oleh Tuhanmu?’ Jawab salah satu daripada mereka ‘Kebenaran dan Dia adalah Maha Luhur lagi Maha Besar.’

Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui bilangan sebenar malaikatNya. Antara para malaikat yang wajib bagi setiap orang Islam ketahui sebagai salah satu daripada enam Rukun Iman ialah :-

i)                    Jibril- Selaku ketua sekalian malaikat tugasnya menyampaikan wahyu.

ii)                   Mikail- menyampaikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.

iii)                 Israfil- meniup sangkakala apabila diperintahkan oleh Allah pada hari Akhirat.

iv)                 Izrail- mencabut nyawa sekalian makhluk.

v)                  Munkar dan Nakir-  menyoal mayat di dalam kubur.

vi)                 Ridhwan- menjaga pintu syurga dan menyambut ahli syurga.

vii)               Malik- menjaga pintu neraka serta menyambut ahli neraka.

viii)              Raqib- mencatat segala amalan baik manusia.

ix)                 Atid- mencatat segala perlakuan buruk manusia.

Dari nama-nama malaikat di atas hanya tiga yang disebut dalam al-Qur’an, iaitu Jibril (QS 2 al-Baqarah : 97,98 dan QS 66 al-Tahrim : 4), Mikail (QS 2 al-Baqarah : 98) dan Malik (QS al-Hujurat). Sedangkan Israfil, Munkar dan Nakir disebut dalam Hadits. Manakala nama Izrail tidak ditemui sumbernya baik dalam Al Quran maupun hadith. Malah dalam Al Qur’an dia hanya disebut Malaikat Maut. Walaupun nama Jibrail hanya disebut dua kali secara jelas dalam Al Qur’an, namun dia juga disebut di beberapa tempat dalam Al Qur’an dengan sebutan lain seperti Ruh al-Qudus dan Ruh al-Amin.

Selain daripada jumlah sepuluh malaikat ini, terdapat juga malaikat-malaikat yang perlu diketahui secara umum, iaitu; 

i)                    Malaikat Zabaniyah – 19 malaikat penyiksa dalam neraka.

ii)                   Hamalah al-Arsy – empat malaikat pembawa Arsy Allah (pada hari kiamat jumlahnya akan ditambah empat menjadi lapan.

iii)                  Malaikat Rahmat.

iv)                 Malaikat Kiraman Katibin – pencatat amal baik dan buruk.

v)                  Malaikat Harut dan Marut- dua malaikat yang pertama sekali mengajar. ilmu sihir kepada manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 102.

Malaikat telah lama wujud atau diciptakan sebelum kewujudan Adam sebagai manusia pertama. Malah malaikat juga yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengambil tanah di bumi untuk dijadikan acuan kepada penciptaan Adam. Meskipun para malaikat dianggap sebagai “tentera Allah” namun ini bukan bererti species ini lebih mulia daripada manusia. Dari aspek lipatan sejarah, ternyata Allah Taala lebih memuliakan manusia dengan memerintah sekalian malaikat ciptaanNya tunduk hormat kepada manusia yang dinamakan Adam, bakal khalifah di muka bumi setelah dia diajar dengan pelbagai nama seperti yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 30-34 “Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat “Aku ingin menempatkan seorang khalifah di muka bumi”. Para malaikat berkata “Mengapa Engkau mahu menempatkan di situ makhluk yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah (berperang) sedangkan kami sentiasa bertasbih memujiMu dan memuliakanMu”. Kata Tuhan “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang engkau tidak ketahui”. Dan Tuhan mengajar Adam segala nama-nama benda (serta kegunaannya). Kemudian diperlihatkan kepada para malaikat lalu Tuhan berkata kepada para malaikat “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama semua ini kalau memang kamu daripada golongan yang benar. Jawab malaikat “Maha Suci Engkau. Kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Tuhan berfirman “Wahai Adam sebutkanlah kepada mereka nama-nama semua ini”.Setelah Adam menyebut semua nama-nama itu, Tuhan berkata “Bukankah Aku sudah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala hal yang tersembunyi di langit dan di bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu rahsiakan”. Dan ketika Kami katakan kepada para malaikat “Sujudlah (tunduklah) kamu kepada Adam”. Lalu mereka semua tunduk kecuali Iblis, dia enggan lagi angkuh dan termasuk dalam golongan mereka  yang tidak beriman kepada Allah.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.