Archive for January 14th, 2009

Kerajaan Bani Umaiyyah Sepintas Lalu.

Kerajaan Bani Umaiyyah (41-122H) didirikan oleh Muawiyah ibn Abu Sufian selepas berjaya mengenepikan pengaruh salah seorang khulafa al-rasyidin ke-4, Ali bin Abu Talib. Dalam melaksanakan dasar pemerintahan, beliau tidak terlampau terikat dengan system dan tradisi lama. Jika system lama yang pernah diamalkan pada zaman Rasulullah dan para Khulafa` al-Rasyidin masih menguntungkannya, system itu akan dikekalkan. Meskipun begitu, terdapat beberapa pembaharuan dalam beberapa perkara. Jawatan ketua negara pada zaman kerajaan ini diubah dari system musyawarrah kepada system monarki. Malah jawatan tersebut dijadikan jawatan warisan turun menurun. Ada juga dikalangan pengkritik sejarah berpendapat bahawa ketua negara pada zaman ini berperanan sepertimana Kaisar Rom. Muawiyah pernah menyediakan tempat tidur khusus serta singgahsana mewah untuk penjawat jawatan tertinggi itu. Dia jua turut menyediakan pasukan polis untuk mengawalnya. Sedangkan pada zaman Khulafa al-Rasyidin, singgahsana mewah, tempat tidur istimewa serta barisan pengawal keselamatan peribadi tidak pernah diadakan. Pusat pentadiran kerajaan Islam yang dahulunya terletak di Madinah akhirnya berpindah ke Damsyk. Perubahan pusat pentadbiran ini juga menggalakkan lagi percampuran antara bangsa Arab dan juga Rom. Ketua negara mulai  cenderung ke arah pengumpulan material semata-mata dan tidak lagi pergi ke masjid untuk mengimani solat berjamaah. Tindakan sebegini secara tidak langsung merenggangkan hubungan antara rakyat dan pihak pemerintah.

Sistem pengawalan peribadi merupakan tradisi Kaisar Rom dan Kisra Farsi sejak zaman berzaman dan ia dihidupkan kembali setelah Muawiyah memegang tampok kekuasaan. Dari sudut keselamatan, Muawiyah sendiri membatasi dirinya memasuki masjid kerana khuatir akan menerima nasib seperti mana yang dialami oleh Ali bin Abu Talib. Lantaran ini, ketika dia mengerjakan solat sendirian di masjid, sejumlah tentera akan dikerah mengawalnya dengan pedang terhunus. Situasi ini berlaku kerana Muawiyah curiga terhadap rakyat yang masih tunduk di bawah pengaruh Rom dan Farsi. Keadaan menjadi semakin menonjol apabila Abdul Malik ibn Marwan menyandang jawatan ketua kerajaan Bani Umaiyyah. Pada masa itu, khalifah duduk atas singgahsana sambil diapit disebelah kiri oleh menteri-menteri dan disebelah kanan oleh pegawai-pegawai pemerintah. Semua situasi ini diwujudkan semata-mata hanya untuk menggambarkan betapa hebat dan agungnya seseorang pemerintah Bani Umaiyyah. Boleh dikatakan semua khalifah-khalifah Bani Umaiyah mementingkan segala bentuk keistimewaan yang dinyatakan itu kecuali pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, khalifah Bani Umaiyyah yang ke-8. Pada zaman kegemilangan beliau, puak syiah dan kaum khawarij dapat menunjukkan kesetiaan mereka terhadap Umar kerana sifat waraknya. Beliau juga memecat mana-mana pegawainya yang khianat dan menggantikan mereka dengan pegawai-pegawai yang bersifat taqwa. Segala agihan wang diurus dengan betul hinggakan tiada lagi golongan miskin yang layak menerima zakat daripada Baitul-Mal. Perbezaan ketara dari segi sikap dan perlaksanaan beliau menyebabkan dirinya sentiasa disanjung tinggi. Kalau pada masa khalifah al-Walid bin Abd Malik, bangunan-bangunan cantik menjadi focus utama, pada zaman Sulaiman bin Abd Malik keinginan seks adalah lebih diutamakan tetapi pada zaman Umar, topic utama beliau ialah solat, puasa dan al-Quran. Lantaran kehidupan zuhudnya, maka tidak hairanlah jika kematiannya pada usia 39 tahun diratapi oleh rakyat berbilang kaum dan agama pada masa itu. Malah Maharaja Rom, Leo iii (717-741) turut terkejut dengan pemergiannya pernah berkata “I should not the least surprised if a monk renounces the world and busies himself in worship behind close doors. But I am simply amazed at this man who has a vast empire at his feet but he rejected it and lived the life of a monk”

 

 Selepas kewafatannya, sikap ketua-ketua kerajaan Bani Umaiyyah selepas Umar kembali semula sepertimana asal mereka, iaitu mementingkan kemewahan dan keagungan diri sendiri lebih daripada segala-gala urusan lain.

 

Kronologi Kerajaan Bani Umaiyyah

  • 661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Umaiyyah.
  • 670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
  • 677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
  • 680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
  • 685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
  • 700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
  • 711M- Penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
  • 712M- Tentera Umaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
  • 713M- Penaklukan Multan.
  • 716M- Serangan ke atas Constantinople.
  • 717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
  • 725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
  • 749M- Kekalahan tentera Umaiyyah di Kufah, Iraq ditangan tentera Abbasiyyah.
  • 750M- Damsyk ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Umaiyyah.

Khalifah Umaiyyah di Damsyk

  • Muawiyah I ibn Abu Sufyan, 661-680M
  • Yazid I ibn Muawiyah, 680-683M
  • Muawiyah II ibni Yazid, 683-684M
  • Marwan I ibn Hakam, 684-685M
  • Abd al-Malik ibn Marwan, 685-705M
  • al-Walid I ibn Abd al-Malik, 705-715
  • Sulaiman ibn Abd al-Malik, 715-717M
  • Umar ibn Abd al-Aziz, 717-720M
  • Yazid II ibn Abd al-Malik, 720-724M
  • Hisham ibn Abd al-Malik, 724-743M
  • al-Walid II ibn Yazid II, 743-744M
  • Yazid III ibn al-Walid, 744M
  • Ibrahim ibn al-Walid, 744M
  • Marwan II ibn Muhammad, 744-750M

Khalifah di Cordoba

 

 

 

 

 

Adakah Wajar Boikot Barangan?

Setiap kali serangan saling berbalas hebat antara pejuang Islam Palestin dan rejim Yahudi, maka setiap kali itulah desakan boikot beberapa jenis barangan hasil produk beberapa buah syarikat besar akan diwar-warkan melalui beberapa bahan bercetak. Bukan hanya di Malaysia sahaja fenomena ini timbul. Malah di negara-negara lain juga turut sama dilanda desakan ini. Segala desakan boikot ekonomi yang ditimbulkan di negara-negara itu untuk menentang beberapa sumber ekonomi yang dimonopolikan oleh Yahudi ini adalah tertakluk kepada polisi sesebuah negara tersebut.  Begitu juga situasinya di Malaysia. Pada pertengahan tahun 2004, begitu banyak sekali pamphlet yang dipenuhi dengan logo-logo syarikat atau company besar yang didapati turut menyumbang dana hasil perniagaan kepada rejim Yahudi. Antara logo-logo tersebut ialah BHP , ESSO, Shell, KFC dan sebagainya. Apa yang paling mendebarkan hati ialah wujudnya logo syarikat minyak BHP, ESSO dan Shell yang sentiasa menjadi tumpuan kenderaan-kenderaan di Malaysia disamping stesyen minyak Petronas. Pamphlet ini pernah disebarkan  bertujuan untuk memboikot barangan-barangan syarikat-syarikat besar berkenaan. Namun berasaskan pertempuran terbaru yang meletus hebat dalam sekitar awal tahun 2009, golongan mendesak ini sekali lagi muncul dengan pamphlet-pamphlet mereka tapi kali ini logo syarikat-syarikat minyak seperti SHELL, ESSO dan BHP tidak disenaraikan seperti dulu. Mengapa?  

 

 Timbulnya isu Yahudi-Palestin setidak-tidaknya boleh melegakan Barisan Nasional kerana dalam hal ini mereka boleh bersepakat dengan PR terutama sekali PAS untuk mengutuk kekejaman Israel ke atas Umat Islam di Palestin. Bagi Umno dan Barisan Nasional, Yahudi ini lebih jahat daripada mereka dan wajib ditentang. Sebab itu ada dikalangan ahli-ahli UMNO akan melenting marah jika mereka disifatkan macam Yahudi ataupun lebih jahat daripada Yahudi.  Yang menjadi persoalan utama sekarang ialah, mengapa kerajaan membenarkan beberapa NGO di Malaysia bersuara untuk mendesak rakyat memboikot barangan syarikat-syarikat terbabit? Adakah dengan memberi kebenaran kepada golongan NGO ini bertindak akan lebih menampakkan kerajaan Barisan Nasional itu jujur dan terbaik di mata rakyat kerana menyokong usaha anti-Yahudi? Bukankah adil jika kerajaan mengenakan syarat agar para pengusaha di Malaysia yang beragama Islam atau non-muslims yang terbabit dengan syarikat-syarikat berkenaan mengeluarkan sumbangan tetap mereka sebanyak beberapa kadar persen yang munasabah setiap bulan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa kekejaman Yahudi dan pejuang-pejuang Islam di sana? Mengapa golongan pemboikot ini tidak menyenaraikan kerajaan Arab Saudi dan Mesir yang turut membantu Yahudi di Semenanjung Gaza? Cuba perhati dan kaji dengan teliti. Kebanyakkan para pekerja di syarikat-syarikat tersebut di Malaysia adalah terdiri daripada umat Islam yang buntuhkan pekerjaan untuk menyara diri mereka dan juga ahli keluarga mereka. Dalam keadaan ekonomi merosot sekarang, jika ekonomi syarikat-syarikat berkenaan berada dalam keadaan tenat, kemungkinan besar juga para pekerja di syarikat-syarikat tersebut juga akan kehilangan karier mereka untuk menyara kehidupan seharian. Bukan senang nak dapatkan kerja sekarang, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi duniapun turut merosot. Adakah kerajaan sanggup menyediakan syarikat-syarikat lain yang lebih berkualiti dan lebih berdaya saing untuk golongan ini jika tempat kerja mereka terpaksa golong tikar kerana diboikot?

 

Pada zaman Rasulullah dan juga para sahabat,  kaum Yahudi memang cukup dikenali sebagai golongan yang mengkhianati janji. Tindakan keras hanya dikenakan ke atas kaum Yahudi jika mereka bertindak memerangi orang-orang Islam dan juga memungkiri perjanjian yang pernah dipersetujui bersama. Dalam situasi sedemikian golongan Yahudi adalah kafir harbi disisi orang Islam. Namun dalam beberapa situasi tenang, Rasulullah dan para sahabatnya pernah menjalinkan muamalat jual beli dengan golongan Yahudi. Sebagai contoh, Saidina Ali pernah menggadaikan perisainya kepada lelaki Yahudi sebagai tanda muamalat atau kerjasama yang  baik antara kedua belah pihak dalam urusan kebaikan. Tidakkah tindakan Ali bin Abi Talib itu berunsurkan dakwah? Sebagai peringatan, status kafir harbi itu berkuatkuasa apabila golongan non-muslim itulah berada dalam situasi melawan dan menzalimi umat Islam di medan perang atau pun semasa mereka menceroboh kediaman-kediaman, harta benda dan juga kampung halaman orang-orang Islam. Namun jika ada Yahudi yang berjaya ditawan, maka dia wajib menerima layanan baik seperti mana tawanan-tawanan perang pada zaman rasulullah dahulu.  Mengapa pada zaman sekarang segala contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat beliau tidak dikaji dan ditauladani?  Perlu difahami bahawa agama Islam adalah terbuka untuk semua bangsa termasuklah kaum Yahudi. Jika seseorang Yahudi memeluk agama Islam dengan sepenuh hati, maka dia juga adalah seorang muslim yang sejati dan setiap muslim itu adalah bersaudara walaupun berlainan bangsa. Sesetengah golongan muslimin bertindak keras terhadap semua golongan Yahudi termasuklah Yahudi yang menentang dasar Zionis kerana tersalah faham terhadap ayat  120 dalam surah al-Baqarah, iaitu; Orang-Orang Yahudi dan juga Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka. Apa yang dimaksudkan sebenarnya dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani dalam mafhum ayat ini ialah, Hanya golongan Yahudi dan juga Nasrani yang berstatus kafir harbi yang sentiasa  berusaha untuk menentang syariah Islam dan memesongkan aqidah umat Islam. Jika situasi ini dapat difahami dan dihayati oleh umat Islam khususnya di Malaysia, sudah pasti desakan-desakan boikot barangan syarikat-syarikat tertentu sedemikan tidak akan berlaku.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.