Archive for February, 2009

RENUNGAN (6)

 

·                    Al-Rubi` binti Mu`awwiz berkata “Dia (Rasulullah) menyapu kepalanya semasa berwudhuk dengan dengan baki air wudhuk yang ada dikedua  belah tangannya”. (Rasulullah menggunakan air musta`mal).

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “ Nabi Ibrahim a.s berkhatan (memotong sendiri kulit kemaluannya sendiri) dalam usianya 80 tahun dengan kapak”.

 

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Makanan dua orang cukup untuk tiga orang. Makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang”.

 

·                    Daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah bersabda “Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, akan diperlihatkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya, iaitu sama ada syurga ataupun neraka. Dan dikatakan kepadanya “Inilah tempat tinggalmu dan kamu akan dihantar ke situ kelak”.

 

 

 

·                    Daripada Imran r.a , Rasulullah bersabda “Aku menjenguk ke dalam syurga dan aku lihat kebanyakkan isinya adalah orang-orang miskin. Dan aku menjengok ke dalam neraka dan aku lihat kebanyakan isinya adalah kaum wanita”.

 

 

Methodologi pendidikan: Allah Mengajar Membaca dan Menulis.

Islam begitu perihatin dalam soal penguasaan ilmu dan penambahannya. Dalam sebuah mafhum hadis daripada Abi Umamah r.a, Rasulullah bersabda “ Sesungguhnya Allah, para malaikat, sekalian penghuni langit dan di bumi termasuklah semut-semut di dalam sarangnya dan juga ikan-ikan sentiasa mendoakan kesejahteraan ke atas orang yang mengajar manusia tentang kebaikan”. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizdhi).

 

 Secara umum, keperihatinan itu juga dinyatakan dalam al-Quran. Antaranya dalam surah al-Alaq, ayat 1-5 dan juga surah al-Baqarah ayat 30-33. Dalam surah al-Alaq: Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Mencipta. Dia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu  itu Maha Pemurah. Yang mengajar dengan pena (mengajar Nabi Idris menulis). Dia yang mengajar manusia apa yang belum diketahui (ayat 1-5). Manakala dalam surah al-Baqarah ayat 30-33: Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat “Aku ingin menempatkan seorang khalifah di muka bumi”. Para malaikat berkata “Mengapa Engkau mahu menempatkan di situ makhluk yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah (berperang) sedangkan kami sentiasa bertasbih memujiMu dan memuliakanMu”. Kata Tuhan “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang engkau tidak ketahui”. Dan Tuhan mengajar Adam segala nama-nama benda (serta kegunaannya). Kemudian diperlihatkan kepada para malaikat lalu Tuhan berkata kepada para malaikat “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama semua ini kalau memang kamu daripada golongan yang benar. Jawab malaikat “Maha Suci Engkau. Kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Tuhan berfirman “Wahai Adam sebutkanlah kepada mereka nama-nama semua ini”.Setelah Adam menyebut semua nama-nama itu, Tuhan berkata “Bukankah Aku sudah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala hal yang tersembunyi di langit dan di bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu rahsiakan”.

 

Secara zahir, kedua-dua rumpunan ayat ini berkisarkan tentang keutamaan mengajar membaca dan menulis bagi menguasai ilmu pengetahuan. Dari segi susunan penurunan ayat, surah al-Alaq adalah rumpunan ayat-ayat yang pertama sekali diturunkan kepada Nabi Muhammad yang ketika itu sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hira`. Namun dari sudut sejarah pengajian manusia, pendedahan tentangnya dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 30-33 yang turut memaparkan kehebatan manusia (Nabi Adam) dibandingkan dengan para malaikat yang hanya sentiasa patuh beribadat kepada Allah. Dalam konteks pendidikan, Allah Taala mengajar Adam semua nama-nama makhluk dan benda-benda serta kegunaannya secara lisan. Setiap kalimah yang diajar itu melekat dalam jiwa Adam a.s. Dengan kata lain, Allah Taala mengajar Adam bertutur dengan kalimah-kalimah yang belum pernah diketahui oleh mana-mana makhluk ciptaanNya. Selepas berjaya menguasai istilah-istilah tersebut serta tahu cara kegunaannya, Yang Maha Agung kemudiannya menyuruh Adam agar menyebut (membaca kembali) segala nama atau istilah yang beliau pelajari daripada Allah secara langsung kepada para malaikat. Secara tidak langsung, segala apa yang dibaca oleh Adam itu merupakan satu majlis ilmu kepada para malaikat yang hanya tahu beribadat sepenuh masa kepada Yang Maha Pencipta.  Majlis ilmu ini juga merupakan salah satu method pendidikan Allah Taala kepada para malaikatNya yang mempertikaikan perancangan Allah untuk menetapkan manusia sebagai Khalifah di muka bumi. Pertikaian yang ditimbulkan oleh para malaikat bukan bertujuan mendurhakai perintah Allah tetapi ia disebabkan oleh tindakan makhluk-makhluk jin yang menetap di muka bumi yang melakukan begitu banyak kerosakkan dan berperang sesama sendiri sebelum kewujudan Adam a.s.

 

Surah al-Baqarah ayat 30-33 menampilkan konsep pengajaran dan pembelajaran secara lisan. Namun dalam surah al-Alaq pula keutamaan menuntut, menguasai dan menambah ilmu ditonjolkan melalui method membaca dan menulis. Menurut Tafsir al-Jalalain maksud “Yang mengajar dengan pena”  ialah; Allah Taala yang mengemukakan tulisan untuk manusia belajar dan Nabi Idris adalah manusia terawal boleh menulis setelah diajar oleh Allah Taala. Beliau merupakan keturunan keenam Nabi Adam dan hidup selepas 1,000 tahun kewafatan Adam a.s. Selain menulis, Nabi Idris juga menguasai ilmu astronomi, matematik dan jahitan. Dalam kitab Qasas al-Anbiya` karangan al-Syeikh al-Sya`rawi dinyatakan; manusia di zaman Nabi Adam a.s menutup badan mereka dengan kulit-kulit kayu, daun-daun dan juga kulit-kulit binatang. Namun setelah muncul zaman Nabi Idris, manusia mula pandai menenun kain dan menjahit pakaian mereka. Menyebut (membaca secara lisan) adalah kaedah  menguasai ilmu yang terawal iaitu pada zaman Adam a.s dan kemudian disusuli dengan penulisan yang mula diterokai pada zaman Nabi Idris a.s adalah sebagai bekalan manusia untuk meneruskan kehidupan mereka di muka bumi ini.  Membaca (sebut secara lisan) dan menulis juga merupakan mekanisme pengetahuan utama yang mampu merangsang daya ingatan otak manusia terhadap perkembangan pelbagai cabang  ilmu dari masa ke semasa.

Inilah Tok Ayah saya!

Hj.Omar bin Awang merupakan bekas guru besar sekolah Melayu Pasir Mas lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak. Semasa bertugas sebagai pendidik, Tok ayah saya ini dikenali sebagai Cikgu Omar beke (garang) yang baik hati.  Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Pasir Mas selama tiga penggal berturut-turut, iaitu  tahun 1959, 1964 dan 1969 (merangkap Exco Pertanian). Tok Ayah meninggal dunia pada tahun 1977. Menurut cerita abah saya, dalam peristiwa Turn About About Turn, Tok Ayah tidak diculik sepertimana beberapa orang wakil rakyat PAS yang lain.  Beliau hanya ditawarkan wang tunai RM 100,000 dan jawatan pengerusi Felcra sebelum peristiwa penculikan tersebut. Nilai RM 100,000 pada masa itu adalah amat besar. Kalau tak cukup lagi, nilai wang tersebut akan ditambah dengan syarat cikgu Omar sanggup melompat parti.Tawaran itu dibuat oleh Special Brand (SB)Negeri Kelantan, Tuan Muda yang juga merupakan bekas anak murid beliau. “Kalau diguna duit ini…tak sampai lama mana ia akan habis jugak…..kalau dizinkan Tuhan disimpan buat harta mungkinlah anak cucu saya akan jadi kaya raya…..tapi orang akan kata inilah baka jual perjuangan…..rumah batu naik pun hasil jual perjuangan” ujar Tok Ayah kepada Tuan Muda. “Cukup cikgu…cukup setakat ni…ambo dah faham” keluh Tuan Muda setelah mendengar penjelasan Tok Ayah Omar.  Allahamdulillah, Tok Ayah seorang yang bermaruah dan saya bangga dengan sikapnya yang tetap dengan PAS hingga ke akhir hayatnya. Beliau yakin  dengan perjuangannya walaupun pada masa itu PAS belum lagi digembar gemburkan dengan kemunculan “Kepimpinan Ulama`” .

Tok Ayah Omar

Tok Ayah Omar

 

 

Pada pilihanraya seterusnya tahun 1974, beliau tidak bertanding kerana sudah merasa uzur. Setelah dipilih oleh PAS, kerusi Bandar Pasir Mas diambil alih oleh abah saya, Hj.Hashim Hj,Omar. Abah saya cuma jadi wakil rakyat biasa aje untuk satu penggal. Selepas itu berlaku pergolakkan dalaman PAS (undi tidak percaya kepada Dato` Muhammad Nasir dan peristiwa Mageran) yang menyebabkan PAS tinggal batu nisan di Kelantan pada tahun 1978.

Abah saya, Hj.Hashim bin Hj.Omar

Abah saya, Hj.Hashim bin Hj.Omar

Y.B Saufi Idris dalang untuk menjatuhkan kerajaan PAS 1964-1969

YB Saufi bin Idris

YB Saufi bin Idris

 

Y.B Saufi bin Idris adalah bekas ahli UMNO yang dikatakan merajuk kerana tidak terpilih sebagai calon wakil rakyat Perikatan lalu bertindak melompat menyertai PAS. Selepas menyertai PAS, Saufi terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri PAS dan memenangi kerusi Kota Bharu Timur N.16 dalam pilihanraya umum tahun1959 dan tahun 1964.  Dalam pilihanraya tahun 1969, Encik Saufi Idris bertanding di kawasan yang sama mewakili Perikatan setelah melompat kembali menyertai UMNO melalui peristiwa Turn About About Turn dalam tahun 1968 dan kalah ditangan calon PAS, Wan Hashim Hj Wan Ahmad.

Keputusan pilihanraya 1959 N.16 Kota Bharu Timur 

Chegu Mat bin Hj.Ali (Perikatan)         1,399    undi

Saufi bin Idris             (PAS)                    5,103   undi  

Ismail bin Daud            (PN)                        229  undi

Tuan Man bin Hj. Ali    (FS)                        134  undi

 Majority 3,704

Keputusan pilihanraya 1964 N.16 Kota Bharu Timur   

Wan Azizi@ Wan Aziz bin Hj.Wan Omar (Perikatan) 2,859 undi

Saufi bin Idris                                                  (PAS)         4,743   undi 

Majority         1,884 undi 

Keputusan pilihanraya 1969, N.16 Kota Bharu Timur 

Wan Hashim bin Wan Ahmad                   (PAS)            4,573  undi

Saufi bin Idris                                                (Perikatan)   3,487 undi

Majority         1,086 undi    

  

Meskipun Malaysia ini merupakan sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi berparlimen, namun masih ada juga golongan yang sanggup menodai system tersebut semata-mata kerana terlalu kemaruk gilakan kuasa, kekayaan dan juga pangkat. Lantaran itu berlakulah adegan perculikan wakil-wakil rakyat PAS sebagaimana yang dipaparkan dalam artikel bertajuk “Dialog dalam peristiwa Turn About About Turn (Parti I & Part ii).  Semua keputusan pilihanraya inilah adalah cebisan lakaran sejarah yang memaparkan hukuman rakyat terhadap wakil rakyat yang mereka anggap sebagai pengkhianat. Keputusan pilihanraya ini juga sewajarnya diberi perhatian oleh para pelompat parti masa kini

 

Tidak patut cabar Dato` Ibrahim Ali letak jawatan

http://www1.mstar.com.my/

Sabtu Februari 21, 2009

 

Nik Aziz: PAS cabar Ibrahim letak jawatan MP

 

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: “Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan).”

“PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Pagi ini ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kursus kakitangan awam kerajaan negeri, Nik Aziz enggan memberikan sebarang ulasan mengenai desakan PAS Kelantan yang mahukan Ibrahim meletak jawatan.

“Tok se, tok se (tak nak, tak nak),” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan semalam, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Ditanya mengapa PAS bertindak mencabar Anggota Parlimen itu meletakkan jawatan, Nik Aziz berkata, ini disebabkan Ibrahim mengkritik kepimpinan PAS dari belakang.

Nik Aziz berkata, walaupun Ibrahim calon Bebas, tetapi bukan bererti beliau boleh bebas tanpa sekatan.

“Kalau lembu pun kita kena ikat dengan tali, mana boleh manusia bebas tanpa sekatan.

“Sebagai pemimpin, Ibrahim tidak boleh mengkritik dan menyerang PAS dan pemimpinnya bukan-bukan.

“Ini bukan bererti PAS tidak boleh ditegur. Yang berhak mengkritik dan menegur (pemimpin dan parti) ialah rakyat,” katanya.

Kepada soalan lain, jika Ibrahim enggan berundur dan meletakkan jawatan walaupun dicabar berbuat demikian oleh PAS, Nik Aziz berkata: “Memanglah, biasanya manusia tidak mudah mengaku kalah. Macamlah kita jadi menantu, kalau mentua bencipun kita tetap tinggal rumah itu kerana sayangkan anaknya…” BERNAMA

 

Sabtu Februari 21, 2009

PAS Kelantan desak Ibrahim Ali letak jawatan

KOTA BAHARU: PAS yang tidak berpuas hati dengan kelantangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang sering mengkritik parti itu meminta beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum 2008, Ahli Parlimen Bebas itu tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul.

“Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata Ibrahim meminta untuk bertanding pada pilihan raya umum tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasan Pasir Mas ketika itu menolak cadangan itu.

“Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan Ibrahim akan menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata, terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

“Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS,” katanya. BERNAMA

 

Dua petikan berita diatas berkisar tentang cabaran dua orang pemimpin  PAS yang menerajui negeri Kelantan, YAB Menteri Besar Dato` Nik Abdul Aziz dan Exconya, Dato Takiyuddin Hassan supaya Dato` Ibrahim letak jawatan dan kalau mahu sila bertanding semula. Cabaran yang berupakan desakan ini dibuat ekoran sifat Dato` Ibrahim yang sentiasa membidas serta menkritik tindakan Pakatan Rakyat khususnya PAS.  Kelantangan Dato` Ibrahim Ali dianggap sebagai tidak mengenang budi kerana beliau pernah diberikan platform bertanding atas tiket PAS. Manakala bagi Menteri Besar Kelantan, Dato` Nik Aziz pula cabaran beliau adalah beralasan untuk  menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil. Sekali fikir tentulah nampak wajar tindakan mencabar sedemikian. Namun jika dua kali fikir memang jelas dan nyata cabaran tersebut tidak wajar sama sekali atas  beberapa sebab;

i)                    Kerusi Parlimen Pasir Mas yang diperuntukan bagi Dato` Ibrahim bertanding adalah dengan persetujuan PAS yang disertai syarat; Dato` Ibrahim sanggup bekerjasama menentang UMNO dan di Kelantan bagi sessi pilihanraya 2008 sahaja. Sesudah pilihanraya, itu adalah hal masing-masing untuk bawa diri. PAS boleh teruskan dengan cara PAS dan Dato` Ibrahim boleh kekal dengan sikap dan peranannya seperti biasa. Dalam kempen pilihanraya tersebut Dato` Ibrahim bekerja kuat siang dan malam untuk membantu PAS di Kelantan. Memang wajar dengan sikap bekerja kuat itu akan diberi ganjaran (kerusi Parlimen Pasir Mas). Lagikan beruk Pak Mat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa yang panjat dan pulas buah kelapa pun di beri upah Coca Cola dan dua biji telur masak separuh sekarang, takkan Dato` Ibrahim tak ada upah??? 

ii)                  Dato` Ibrahim mematuhi syarat tersebut.        

iii)                Kewujudan individu seperti beliau diperlu dalam Parlimen. Dalam system demokrasi, pembangkang dan pengkritik adalah dialu-alukan. Tanpa kritikan dan bangkangan, sesebuah kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri adakalanya leka dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Kritikan Dato` Ibrahim ada yang munasabah (logic) dan ada juga yang tidak munasabah langsung. Begitu ramai ahli Parlimen Pakatan Rakyat, mengapakah tidak diatur agar ada setidak-tidaknya seorang ahli Parlimen yang akan mematahkan setiap hujjah Dato` Ibrahim secara ilmiah, berhemah dan tegas? Gedebe sangat Dato` Ibrahim ni?? Hebat sangatkah hujjah-hujjah beliau?? Apakah inipun tak mampu dilakukan oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat hinggakan sanggup mendesak agar beliau meletak jawatan kerana dianggap tidak mengenang budi sedangkan kerusi Parlimen Pasir Mas adalah upah untuk beliau yang pernah bekerja keras?

iv)                Memang benar sikap wakil rakyat melompat parti itu tidak bermaruah tetapi orang yang bekerjasama dengan wakil rakyat pelompat parti itu lebih tidak bermaruah! Dalam pilihanraya ke -12 PAS tidak gentleman dan tidak berani bertempur hidup mati dengan Umno seperti mana yang pernah dilakukan pada zaman Dato` Asri menjadi MB Kelantan dulu. Oleh itu, PAS di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz sanggup beri upah kepada calon bebas (Dato` Ibrahim) untuk menutup kelancangan mulutnya agar tidak menerkam ke arah PAS yang merasa tenat dan nazak ketika itu.

v)                  Ketika merasa tenat dan nazak, PAS sanggup bekerjasama dengan Dato` Ibrahim dan bila dah rasa kuat, PAS mula nak cabaran beliau supaya letak jawatan MP. Siapa sebenarnya yang tidak mengenang budi??

Secara peribadi saya tidak pernah menyokong Dato` Ibrahim, namun dalam masalah ini, atas sebab-sebab yang dinyatakan itu, saya berpendapat adalah tidak wajar sama sekali mendesak Dato` Ibrahim menyerahkan kembali upahnya setelah beliau bekerja keras membantu  mempertahankan kerajaan PAS. Kalau betul-betul nak singkir  Dato` Ibrahim Ali dari Parlimen, sila tunggu pilihanraya umum ke-13 untuk rakyat buat penentuan……barulah sama-sama gentlemen!!! Tak perlu nak desak dia yang sedang mengecapi nikmat upah yang diberi oleh PAS!!!

 

 

Dato` Ibrahim dan simbol bulan semasa PRU-12

Dato` Ibrahim dan simbol bulan semasa PRU-12

Dialog dalam peristiwa Turn About About Turn ( Part ii)

Kisah benar ini dipetik dari ruangan Kata dan Peristiwa, Majallah Siaran PAS Kelantan (1968), halaman 7, 8,9 dan 11. Petikan asalnya ditulis dengan tulisan jawi.

20 Ogos 1968

Di Istana Balai Besar: Dipenuhi manusia, para pemerhati mesyuarat berduyun masuk ke dalam Istana.

Seorang wakil Perikatan: Turun dari rumah dihantar oleh tok bomoh masuk pintu kereta dengan dibuka oleh driver (dalam khayalannya: selepas ini aku Menteri Besar).

Wakil Perikatan yang baru melompat: (berkhayal) Kalau tidak aku Menteri Besar aku hancurkan dunia ini kerana  akulah jadi broker hingga jatuh kerajaan PAS ini.

Ustaz AbdulRahman Soleh: Isytihar rujuk kepada PAS dan pindah tempat duduk dalam Dewan.

Tuan Speaker: (Pakai cermin mata hitam tebal) Mesyuarat hari ini sedikit sahaja. Tidak boleh sesiapapun bercakap.

Wakil-wakil rakyat Perikatan: Pucat dan terbeliak mata melihat kejadian ini.

Foo Choy Yong: (Meradang) Kecewa lagi harapanku untuk tukar nama tanah itu.

Para pemerhati: Ustaz Man anak jantan, begini rupanya begini rupanya perubahan Tuan Speaker setelah masuk UMNO. Dulu pendiam dan pemalu. Sekarang sudah berkaca mata hitam tebal, mujur tak tersepak kerusi….kalau tidak berdentumlah Dewan.

Speaker: Sidang ditangguhkan hingga suatu masa yang akan ditetapkan (cabut balik serta merta dengan diiringi oleh polis).

Radio Malaysia: AbdulRahman rujuk balik kepada PAS.

Rakyat: Syabas! Inilah sikap satria anak Kelantan Jati.

Orang PAS: Sudah kami jangka dari dulu.

Broker: Celaka! Peluang aku dapat komisen hilang lenyap …mesti cari Yusof Latif dan Encik Umar ….sekat jangan mereka pula rujuk kepada PAS.

Orang-orang UMNO: Rupanya kita telah ditipu oleh ketua kita. Malu kita tidak terkira….cari balik segala poster dan gambar kartun kita…pungut balik dan bakar.

Pemberontak dalam UMNO: Inilah akibatnya berketuakan orang luar, kita tukang tanggung malu, dia melepas diri….lebih baik dia berambus!!! (tulis surat terbang halau orang luar balik negeri).

Petang: Encik Umar dan Yusof Latif kembali ke pangkuan PAS.

Encik Umar: (Dihadapan pemberita) Saya dibawa oleh polis ke Kuala Lumpur diluar kemahuan saya sendiri dan dipaksa masuk UMNO. Semua surat pengakuan itu telah disediakan oleh pihak UMNO.

Yusuf Latif: Semua yang kami lakukan itu ialah semata-mata kerana kami mahu cepat balik ke Kelantan. Kalau tidak tentu kami kena kurung lagi.

 Radio dan televisyen: Ahli-ahli PAS kembali ke pangkuan partinya (telefon, surat dan telegram dari dalam dan luar negari mencurah-curah datang menyatakan tahniah atas keberanian wakil-wakil rakyat dan kejujuran mereka).

 Rakyat: Satu sandiwara politik yang belum ada taranya dalam sejarah negara kita.

Orang UMNO: Hai malunya muka kita kerana angkara pemimpin yang gila kuasa.

Broker: Sekali lagi aku kecewa…malu sungguh…wang komisyen yang aku harap pun melepas (bawa kereta hampir melanggar pintu pagar).

Orang-orang PAS: Segala puji dan syukur bagi Allah.

Saufi: (Pura-pura gentleman) Saya masuk UMNO kerana kesedaran politik sendiri, bukan dapat apa-apa upahan….orang PAS tuduh saya terima wang perikatan 50 ribu ringgit. Saya cabar orang PAS bersumpah membuktikan tuduhan itu.

 Rakyat: Orang PAS takkan sebodoh yang disangka oleh Encik Saufi, tukang lompat  tak perlu dilayani lagi, dulu dia orang UMNO, Tak dapat jadi calon masuk PAS….dalam PAS tak dapat jadi Timbalan Menteri Besar lompat pula. Kalau dia masuk kerana UMNO kesedarannya, mengapa dulu keluar  UMNO? Kala u dia tak dapat wang upah, tandanya dia tak dak harga. Rakyat biasa pun kalau masuk UMNO boleh UMNO. Boleh kain batik, gula dan anak lembu kurus.

Abdullah Haji Yusuf: Saya sudah lama fikir mahu masuk UMNO, saya masuk UMNO ni isteri saya pun tak tahu!

Orang PAS: Padanlah selama ini tidur di rumah saja, kawasan tak pernah jengok pun.

 Rumah Tuan Speaker dikawal rapi oleh polis-polis yang tak beruniform, keadaan hidup baru. Hutang-hutang lama mula dibayarkan.

 Rakyat: Hingga bila rumah Tuan Speaker ni dikawal? Siapa bayar belanjanya? Rupanya takut juga Tuan Speaker kepada bayang-bayang sendiri. Kalau berani sila letak jawatan … masuk calon semula atas nama Tongkang Layar baru betul-betul gentleman anak jantan, kalau tidak; pondan!

 Dalam halaman 11 dinyatakan juga; 

Tersebut lagi kisah Maulana Muhammad Khair Johari al-Haj…….sesudah orangnya bertebal muka dalam Dewan Negeri, dia datang ke Kelantan dan bilang; Orang-orang PAS rujuk kepada partinya seperti sarkas saja kerana Asri ugut takut dimakan sumpah….

Ya Maulana ! Anta ni apa macamlah. Waktu orang itu anta paksa masuk UMNO anta tak bilang sarkas. Bahkan anta baca ayat Tuhan ;“Bila kebenaran datang maka kebathilan hancur”. Betullah tuh Maulana. Sesudah wakil rakyat yang dipaksa itu balik ke Kelantan, mereka balik semula ke pihak yang benar dan hancurlah harapan orang-orang yang karut.

 

Ada orang cukup meradang kerana usahanya gagal. Kerjanya menjadi broker Foo Choy Yong. Usahanya untuk menjadi Menteri Besarkah? Timbalankah? Atau Excokah? Atau dapat komisyen dari upahan dan bayaran sagu hatikah? Bak kata pepatah; Ayam terlepas tangan berbau tahi…..sungguh malang nasib encik broker ini. Cita-cita besar angan-angan tinggi. Bekerja broker nak jadi menteri rupanya kosong tidak berisi, penat dan lelah tidak terperi, kecewa dan malu menimpa diri…….

 

YB Ustaz AbdulRahman Soleh

YB Ustaz AbdulRahman Soleh

Speaker DUN Encik Abdullah Yusoff

Speaker DUN Encik Abdullah Yusoff

Dialog dalam peristiwa Turn About About Turn ( Part i)

Kisah benar ini dipetik dari ruangan Kata dan Peristiwa, Majallah Siaran PAS Kelantan (1968), halaman 7, 8,9 dan 11. Ia ditulis dengan tulisan jawi dan saya mengambil inisiatif untuk menulisnya semula dalam tulisan rumi seperti mana berikut;

YB Encik Umar Muhammad

YB Encik Umar Muhammad

 

24 Julai 1968

 

Yusof Abdul Latif dan Abdul Rahman Soleh berangkat ke Kuala Lumpur

Broker-broker: Ada can lah(peluang) kita sekali ni

Foo Choy Yong: Semua gembira sebab merasa perangkap sudah mengena.

 

25 Julai 1968

 

Encik Umar balik dari Kota Bharu ke Tanah Merah naik motokar menuju kampung Bukit Durian kerana menunaikan fardhu Jumaat. Di tengah jalan polis mengadakan sekatan jalan raya.

 

Polis: Encik dikehendaki datang ke balai polis sekarang juga.

Encik Umar: Mengapa?

Polis: Ada perkara mustahak!

Encik Umar: Saya mahu pergi sembahyang jumaat.

Polis:  Tetapi perintah menyuruh Encik sekarang juga ke balai polis.

Encik Umar: Untuk apa?

Polis: Saya hanya menjalankan perintah.

Encik Umar: Awak boleh tunjukkan bukti?

Polis: Ini dia.

Encik Umar: Mengapa tidak datang ke rumah saya?

Polis: Saya diperintah buat begini.

Encik Umar: Kalau sudah satu perintah. Saya tak jadi sembahyang Jumaat (terus pergi ke balai Polis Tanah Merah).

 

Ketua Polis Tanah Merah: Saya diperintah bawa Encik ke Kota Bharu.

Encik Umar: Apa hal?

Ketua Polis Tanah Merah: Saya diperintah berbuat demikian.

Encik Umar: Saya balik ke rumah tukar pakaian dan makan tengahari dulu.

Ketua Polis: Okey (dan pergi tunggu ditangga rumah Encik Umar).

 

Encik Umar dibawa ke Kota Bharu dengan kereta ketua polis Tanah Merah ke balai polis kota Bharu dengan diikuti dari belakang oleh Encik Musthapa Ahmad (Ahli Dewan Rakyat Tanah Merah) dan beberapa orang kawan.

 

Di Kota Bharu, Encik Umar dibawa masuk ke balai polis dan dibawa kepada seorang pegawai polis.

Encik Ahmad Musthapa: Sudah pukul 5:00 petang belum keluar lagi.

 

Maklumat kemudian datang bahawa Encik Umar telah keluar lebih kurang 2 jam yang lalu. Di Tanah Merah rakyat gempar dengan kehilangan Encik Umar.

Pemuda-pemuda menuntut agar Ketua polis mengembalikan Encik Umar.

 

Ketua Polis: Saya hanya diperintah. (dengan perasan takut bercuti dan minta bertukar ke tempat lain).

Rakyat: Polis telah diperalatkan oleh Perikatan! Sebahagian pegawai polis menjadi penculik! Di dalam pejabat polis pun ada kepala samseng!

 

Kemudian maklumat sampai bahawa Encik Umar telah dibawa ke Kuala Lumpur daripada pejabat polis Kota Bharu dengan diiringi oleh orang-orang  polis yang tak beruniform.

 

 2 Ogos 1968

 

Suratkhabar: 4 ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kelantan masuk UMNO (Abdullah Haji Yusof, Encik Umar bin Mamat, AbdulRahman bin Muhammad Soleh dan Yusof Abdul Latif)

 

 

3 Ogos 1968:

 

Suratkhabar: 3 lagi Ahli Dewan Negeri PAS Kelantan masuk UMNO mereka ialah Dato` Haji Ishak Lutfi, Encik AbdulRahman Awan Sulung dan Yusuf Yaakub

 

4 Ogos 1968:

Suratkhabar: Ustaz Abdul Qadir Mat Saad dan beberapa orang Ahli Dewan PAS masuk UMNO! Majoroti PAS dalam Dewan sudah kurang! Kerajaan PAS mesti jatuh!

Orang-orang UMNO berebut-rebut beli suratkhabar, kepit bawah ketiak keluar-masuk kampung jaja kerajaan PAS jatuh.

 

UMNO Besut dan Tanah Merah:  Lukis gambar kartun kubur PAS, Asri sedang menangis dan Pak Haji membaca doa ditabur merata-rata dan ditampal dirumah-rumah orang-orang PAS. Seorang wakil rakyat Perikatan di Besut pasang mikrofon di atas motokarnya dan masuk kampung melaung-laung: Kerajaan PAS mampus dah!Perikatan memerintah negeri Kelantan! Mampus PAS. Salah seorang kaum ibu UMNO: Kali ini anak ambo jadi Menteri Besar. Kaum ibu UMNO menari-nari dan bertanya macam mana kerajaan PAS?

 

Wakil-wakil rakyat yang difitnah buat keputusan mendakwa suratkhabar kerana memfitnah dan menjatuhkan maruah.

Rakyat: ( bengang) Inikah demokrasi di negeri ini?

Orang Umno: Dunia ini kami punya!

Orang PAS: Ya Allah Selamatkan kami daripada orang-orang zalim.

 

Asri: Tunggu 20 Ogos

Telefon dari Kuala Lumpur: Jangan bimbang kami tetap setia kepada PAS

 

18 Ogos 1968

Radio dan televisyen: 4 ahli PAS masuk UMNO di Kuala Lumpur.

Suratkhabar: Kerajaan Asri gulung tikar!

Orang-orang UMNO:Berebut-rebut ambil kad masuk Dewan Negeri.

Jaja lagi suratkhabar dan berita radio.

Seluruh negara: Hebat demokrasi telah dinodai.

Orang PAS: tenang sambil mengharapkan pertolongan tuhan.

Asri: Bertenanglah dan yakin kerajaan tidak tumbang.

 

19 Ogos 1968

AbdulRahman Soleh, Encik Umar Muhammad, Encik Yusuf Latif dan Abdullah Yusuf balik ke Kelantan dengan kereta khas dan dikawal oleh polis.

 

Seorang wakil rakyat Perikatan: Panggil tok bomoh ke rumahnya, pasang kemian buat kenduri selamat  dan berkata :”Saya besok Menteri Besar baru”.

Seorang wakil rakyat Perikatan yang baru melompat : Mencium orang-orang kuat UMNO ditempatnya kerana malam ini malam perpisahan dia menjadi orang biasa, besok dia jadi Menteri Besar.

 

Orang-orang UMNO: Besok orang kita jadi Menteri Besar!

Ah Chong: Ada can aku beli tanah di Kelantan.

Tong Sam Pah: Gua senanglah sekali ni, duit gua untuk UMNO tidak sia-sia!

Foo Choy Yong: (tepuk peha) kali ini impian aku menjadi kenyataan! Tanah aku di dalam Bandar Kota Bharu, boleh tukar nama kepada bukan Melayu.

                                                                                                        

YB Yusof Abdul Latif

YB Yusof Abdul Latif

                                                                                                                                                                            Bersambung……………..

RENUNGAN (5)

·        Ummu Salamah r.a bercerita”Pada satu ketika aku tidur bersama Nabi di bawah satu selimut kain bulu. Tiba-tiba aku didatangi haid. Lalu aku menjauhkan diri dari Nabi dan mengambil kain haid (tuala haid). Nabi s.a.w bertanya “Haid kah engkau?” Jawabku “Ya”. “Kemudian aku dipanggil dan tidur kembali bersama-sama dengan beliau dalam satu selimut”. (Syariat Islam mengharuskan isteri tidur berdekatan dengan suami semasa haid kecuali bersetubuh). 

 

·        `Aun bin Abu Juhaifah r.a berkata “Aku mendengar ayahku berkata bahawa Rasululah mengerjakan solat zohor dua rakaat dan asar dua rakaat (qasar dan jama`) bersama-sama kaum muslimin di tanah lapang, sedangkan dihadapan Nabi dipacak sebatang tongkat, sementara seorang wanita dan keldainya lalu dihadapan beliau (di balik tongkat).

 

 

·        Daripada Abbad bin Tamim r.a daripada bapa saudaranya “Nabi s.a.w pernah keluar untuk solat istisqa` (solat minta hujan) dengan memakai baju terbalik”.  (Untuk menyatakan pengharapan yang sungguh-sungguh supaya Allah mengubah situasi kritikal menjadi baik).

 

·        Abu Hurairah r.a berkata”Aku dengar Rasulullah bersabda “Demi Allah! Aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih 70 kali sehari”. 

 

 

·        Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda “Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka mohonkanlah kurnia kebaikan daripada Allah kerana ia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar ringkikan keldai, maka mohonlah perlindungan Tuhan daripada bahaya syaitan kerana ia (keldai) melihat syaitan”.    

 

Pemikiran Ibn Khaldun mengenai sifat dan amalan negatif yang boleh meruntuhkan kepimpinan Islam (Part ii)

Prof.Madya Mohammad Kamil Abdul Majid

Dr.Mohd.Fauzi Hamat

 

Dengan menyebut raja sebagai ” Bayang-Bayang Tuhan di Bumi” bermakna kedaulatannya diperolehi dari Tuhan, bukan dari manusia. Kebaktian kepada raja memiliki nilai spiritual seperti kebaktian kepada Tuhan dan kerajaan disejajarkan dengan kenabian; keduanya merupakan  dua buah permata dari satu cincin. Keterangan tentang hal ini tercatat dalam manuskrip Melayu klasik, Taj al-Salatin. Jika raja diertikan sebagai khalifah, knotasinya menunjukkan kepada fungsinya sebagai khalifah Rasulullah dalam menegakkan agama Islam dan melaksanakan keadilan antara sesama hamba Allah berdasarkan al-Quran, hadis dan ijma’. Konsep pemerintahan berlandaskan asas khalifah yang suci  ini terencat apabila berlakunya proses penjajahan yang menerapkan faham sekularisme dalam penggubalan dasar-dasar pemerintahan negara.   

 

Bagi Ibn Khaldun, setelah sesebuah negara terbentuk hasil dari gabungan pelbagai puak di bawah kekuasaan seorang pemerintah, ada dua lagi ciri moral yang perlu ada dalam sesebuah organisasi social yang dapat memperkukuhkan ikatan anggota masyarakat iaitu; asabiyyah dan agama. Istilah assabiyyah ini diberikan beberapa pengertian oleh para sarjana. Antaranya ialah perasaan kekitaan, perasaan kebersamaan, rasa persatuan dan solidarity, social solidarity, public spirit, group cohesion, common will, perasaan kelompok dan lain-lain lagi. Dalam pemikiran Ibn Khaldun, setiap orang memiliki kebanggaan pada keturunannya. Rasa sayang antara yang memiliki hubungan darah dan keluarga merupakan watak alami yang jadikan Allah Taala  kepada setiap manusia. Sifat ini akan melahirkan sifat saling membantu, rasa ikut malu dan tidak rela kalau ada di antara mereka yang memiliki ikatan darah mendapat perlakuan tidak adil atau hendak dihancurkan, sehingga muncul hasrat untuk melindungi anggota keluarganya. Asabiyyah berdasarkan hubungan darah dan kekerabatan atau tradisi kekeluargaan menurut Ibn Khaldun merupakan bentuk asabiyyah yang paling murni kerana ia membangkitkan perasaan solidarity. Asabiyyah adalah penting kerana ia menanam rasa kesatuan (sense of oneness), pendorong untuk bekerjasama untuk sesuatu tujuan dan mengelak dari didominasi oleh kumpulan lain. Tanpa asabiyyah, manusia tidak mampu mendirikan negara. Dengan asabiyyah, setiap ahli dalam sesuatu kumpulan akan bersedia mengorbankan jiwa raga mereka dalam mempertahankan anggota asabiyyahnya. Dalam pada itu, Ibn Khaldun mengakui pengaruh agama lebih kuat daripada pengaruh asabiyyah. Kekuatan negara akan menjadi bertambah mantap apabila diperkuatkan oleh asabiyyah.

 

Dalam memperkatakan mengenai amalan negative yang boleh meruntuhkan kepimpinan Islam, Ibn Khaldun turut menyentuh mengenai bahayanya sifat monopoli kuasa atau pemusatan kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemimpin. Menurutnya, apabila pemerintah mula memonopoli kekuasaan, ia mula menjauhi pembantu-pembantu yang menolongnya mencapai kekuasaan dan mengisyhtiharkan  dirinya sebagai raja. Para pemerintah mengupah para tentera untuk tujuan keselamatan. Pada tahap ini semangat asabiyyah mereka mulai kurang. Pemusatan kuasa di tangan penguasa terjadi apabila sesebuah negara telah mantap dan stabil. Tokoh ini juga turut memperkatakan tentang amalan boros, membazir dan melampaui batas kemampuan. Apabila rakyat dan pemerintah mula melakukan amalan buruk seperti ini, kezaliman dan penyakit-penyakit social yang kronik akan berlaku. Dikala ini pemerintah akan mengabaikan kebajikan negara dan gaji tentera tidak dibayar. Negara akan menghadapi kehancuran sama ada hasil dari pemberontakan dalaman atau serangan dari luar. Bagi Ibn Khaldun, setelah mantapnya kekuasaan negara, orang mulai hidup mewah dan kemewahan ini terserlah pada keperluan makanan, pembinaan mahligai dan istana serta kelengkapannya. Apabila amalan pemusatan kuasa secara berlebihan dalam tangan seseorang pemimpin, kemewahan serta sikap malas berleluasa dalam sesebuah negara, maka negara itu sedang menuju kea rah kehancuran. Pemusatan kuasa menyebabkan seseorang pemimpin akan menekan keinginan-keinginan orang lain dan merosakkan asabiyyah disamping berusaha mengumpul kekayaan dan mengenepikan orang lain. Untuk memastikan amalan-amalan negative itu tidak tersebar dalam masyarakat, Ibn Khaldun turut memperkatakan mengenai fungsi beberapa badan awam dalam menguatkuasakan syariat Islam seperti fungsi polis (syurtah) dalam menguatkuasakan hukum-hakam jenayah dan badan hisbah. Badan-badan ini diharap dapat menjalankan peranannya secara bebas bagi membasmi pelanggaran prinsip-prinsip syariah sebagaimana yang ditegaskan oleh sumber-sumber wahyu.  Beliau banyak memperkatakan mengenai peraturan hisbah dan peranan muhtasib dalam negara Islam. Menurutnya, jawatan muhtasib adalah keagamaan (wazifah al-diniyyah) yang bertanggungjawab dalam menegak amar makruf dan nahi mungkar. Mereka yang bakal dilantik hendaklah terdiri daripada kalangan mereka yang berkelayakan dan dia perlu mengambil kakitangan yang mampu membuat kerja-kerja seperti menyiasat kemungkaran  yang berlaku dalam masyarakat, mengenai hukuman ta`zir dan hukuman berbentuk disiplin berdasarkan kadar berpatutan. Nilai-nilai buruk seperti zalim, tidak amanah, mementingkan diri sendiri, bersikap boros, lupa daratan dan sebagainya dikenalpasti sebagai amalan-amalan yang merosakkan kepimpinan Islam. Apa yang dibentang oleh Ibn Khaldun dalam muqaddimah adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap apa yang berlaku pada zaman kepimpinan Islam yang lampau, iaitu zaman di mana umat Islam masih lagi mempunyai identity dan jati diri muslimnya yang kuat meskipun tidak sekuat apa yang dimiliki oleh generasi awal yang dididik oleh  Rasulullah dan para sahabatnya.  

 

    

Respon Terhadap Kes Elizabeth Wong.

 

Elizabeth Wong ADUN Bukit Lanjan

Elizabeth Wong ADUN Bukit Lanjan

Minggu ini heboh dengan isu panas mengenai gambar YB Elizabeth Wong yang sedang nyenyak tidur dalam keadaan kainnya terselak. Jelas sekali semasa pengambilan photo dilakukan Elizabeth berada dalam keadaan tidak sedar. Ini bermakna satu penganiayaan terancang sedang menimpa diri beliau. Timbul pula persoalan; macam mana gambar-gambar itu boleh diambil sedangkan beliau sedang tidur dalam biliknya? Bukankah bilik itu merupakan kawasan peribadi beliau sendiri?. Adakah individu yang berniat jahat itu juga daripada kalangan mereka yang dikenali oleh Elizabeth sendiri? Meskipun Elizabeth bukan beragama Islam dan tidak terikat dengan soal aurat (aurat adalah beberapa bahagian anggota badan individu muslim dan juga muslimah yang wajib ada sifat malu untuk didedahkan kepada golongan muhrim/muhrimah masing-masing), namun beliau tetap ada maruah dan harga diri. Lain ceritalah pula jika mereka yang mengaku beragama Islam seperti Dato` Azalina, Rafidah Aziz dan Shahrizat  tetapi tetap tidak menutup aurat dengan sempurna kerana mungkin belum sampai seruan. Dalam Islam, mendedahkan keaiban orang lain dengan mengedar gambar-gambar yang memalukan individu tersebut sedemikian sama ada melalui fitnah atau sebagainya sedangkan dia berada dalam situasi privacy adalah dilarang sama sekali. Mengapa pihak media yang menerima gambar itu sanggup mendedahkan cerita tersebut dalam akhbar? Tidak bolehkah ia diselesaikan secara senyap-senyap agar maruah si mangsa terpelihara? 

Dalam masalah ini, Elizabeth sepatutnya menunggu hasil siasat pihak polis terlebih dahulu sebelum bertindak meletak jawatan ADUN dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor. Sebaik-baiknya jangan letak jawatan kerana beliau tidak bersalah dalam soal ini.

 

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.