Pemikiran Ibn Khaldun mengenai sifat dan amalan negatif yang boleh meruntuhkan kepimpinan Islam (Part i)

Oleh: Prof.Madya Mohammad Kamil Abdul Majid

Dr.Mohd.Fauzi Hamat.

 

Kedudukan Ibn Khaldun (1332-1406M) sebagai seorang tokoh sejarawan dan pemikir Islam yang unggul dalam bidang-bidang seperti politik, social,ekonomi dan sebagainya telah diakui oleh para ilmuwan di sepanjang zaman. Walaupun terdapat  dikalangan penulis Barat yang tidak mengakui ketokohan Ibn Khaldun yang mempelopori kemunculan ilmu sosiologi umunya dan teori perubahan sosila khususnya, melainkan nama-nama seperti Pelto, Abraham dan Sorokin, namun ternyata idea-ideanya masih dikaji hingga kini. Arnold Toynbee ketika memperkatakan mengenai kitab Muqaddimahnya sebagaimana yang dipetikan oleh Mahmud Dhauoadi menyebut:

“…and yet in his Prolegomena (Muqaddimah) to his Universal History he was conceived and formulated a philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has ever yet been created by any mind ini any time and place”.

 

Menyentuh mengenai isu kepimpinan pula secara khusus, wajar dinyatakan bahawa isu ini memang banyak diperkatakan oleh Ibn Khaldun memandangkan beliau berpengalaman luas dalam bidang politik dan terdedah dengan bidang pentadbiran, khususnya semasa belaiu dilantik menjadi hakim mazhab Maliki yang disandangnya sebanyak lima kali. Kekuatan dan keunggulan sesuatu kepimpinan diukur berdasarkan sejauh mana pemimpinnya menegakkan tuntutan agama dalam seluruh modul kepimpinannya dan menyelaraskan seluruh urusan keduniaan yang ditadbirnya sesuai dengan agama yang ditegakkannya, bersesuai dengan fungsinya sebagai penggalang ganti empunya syariat (shahib al-syar) iaitu Rasulullah s.a.w dalam menjaga atau memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama yang dipeliharanya. Penyimpangan terhadap fungsi asas ini akan menyebabkan sesuatu kepimpinan akan runtuh dan kepimpinan sesebuah negara akan diambil alih oleh pihak lain yang lebih berwibawa.

 

Isu kepimpinan adalah sesuatu yang tidak asing dalam pemikiran Ibn Khaldun. Ini kerana selain dari kedudukannya yang berlatar belakangkan keluarga yang terdiri dari keluarga politikus, tokoh tersebut juga mempunyai banyak pengalaman dalam hal ehwal kepimpinan. Ketika berusia dua puluh tahun, beliau telah mula bergiat dalam bidang politik dan petadbiran negara di Tunis, Maghribi dan Andalus sehinggalah usia beliau mencecah dua puluh lima tahun. Beliau pernah dilantik menjadi hakim negara. Menurut Umar Farrukh, sebagaimana yang dinukilkan oleh Nazli Jaafar, perjalanan Ibn Khaldun yang luas di dalam kehidupan politik, pentadbiran dan kehakiman (meliputi perjalanannya ke Andalus, Utara dan Barat Afrika, hingga ke Mesir, Hijaz dan Syam) banyak membentuk peribadi positif Ibn Khaldun dan pada penulis beliau banyak mendedahkan dirinya tentang pengalaman-pengalaman berguna dalam bidang kepimpinan Islam.

 

Kehadirannya  di penghujung zaman pertengahan dan permulaan zaman renaissans, di mana pada abad ini berlakunya perubahan-perubahan historic besar baik di bidang politik mahupun pemikiran, khususnya di dunia Islam yang menyaksikan dunia Islam yang berada dalam period kemunduran dan kelemahan, serta pengalamannya mendekati beberapa orang sultan dan penguasa negeri seperti sultan Maghribi dan penguasa Mesir membolehkan tokoh tersebut mengemukakan idea-idea penting berkait dengan kepimpinan berdasarkan pemerhatiannya  terhadap perkembangan yang berlaku dalam dunia Islam. Ibn Khaldun terlibat selama 25 tahun dalam bidang politik dan dalam tempoh tersebut beliau berpeluang menduduki jabatan-jabatan politik di istana dan negara-negara Afrika Utara. Berdasarkan fakta ini, beliau mampu mengemukakan konsepsinya sendiri mengenai kepimpinan dan mampu menerangkan secara mendalam mengenai hal ehwal berkaitan dengan kepimpinan termasuk yang menjadi beberapa sifat dan amalan negatif yang boleh meruntuhkan kepimpinan itu sendiri.

 

Ibn Khaldun menerima hakikat bahawa manusia secara tabiinya bersifat sosial dan politik. Mereka tidak boleh hidup dan wujud kecuali dalam keadaan bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain untuk menghasilkan keperluan makanan mereka. Apabila mereka bersatu dalam satu kelompok komuniti, maka tentunya mereka perlu bermuamalah dan saling memenuhi keperluan antara satu sama lain serta mencegah berleluasanya dalam masyarakat tersebut kezaliman dan perseteruan. Adanya organisasi masyarakat menurut Ibn Khaldun adalah satu keperluan bagi manusia. Seperti yang dikemukakan oleh ramai ahli falsafah, manusia adalah makhluk politik dan makhluk social. Ia hidup dan berkembang sesuai dengan  hukum-hukum khusus yang berkenaan dengannya.  Hukum ini dapat diamati menerusi kajian terhadap sejumlah fenomena social. Manusia tidak dapat hidup tanpa adanya organisasi kemasyarakatan yang disebut sebagai “Kota” atau “Polis”. Manusia memerlukan orang lain untuk memenuhi keperluan hidupnya. Selain daripada itu, manusia juga cenderung untuk bermusuhan antara satu sama lain. Maka diperlukan seorang pemimpin (al-malik) yang mempunyai kuasa dan wibawa serta didokong oleh asabiyyah yang boleh mempastikan dirinya dapat melaksanakan tugas kepimpinan dengan baik dan berkesan.

 

Ibn Khaldun menggunakan istilah al-imamah atau al-khilafah dalam membincangkan soal kepimpinan yang bertanggungjawab menjaga agama dan menguruskan dunia dengan agama . istilah al-imamah digunakan kerana hal kepimpinan adalah menyerupai kepimpinan imam dalam solat yang wajib diikuti dan dituruti. Sementara istilah al-khalifah dirujuk kepada fungsi seseorang pemimpin yang mengganti fungsi Rasulullah dalam memimpin umatnya dan lantaran itu ia sesuai disebut khalifah secara umum atau khalifah Rasulullah s.a.w. Ini bermakna pentafsiran tugas khalifah termasuk modus operandinya dalam hal ehwal yang berkaitan dengan kepimpinan semestinya selaras dengan apa yang telah ditunjuk ajar secara praktikal oleh Rasulullah. Dalam konteks alam Melayu, implemasi bentuk pemerintahan berteraskan konsep khalifah ini sebenarnya cukup difahami oleh penguasa muslim pada zaman-zaman awal sejarah. Para penguasa muslim tidak hanya menggunakan gelaran sultan tetapi juga  mendakwa  diri mereka sebagai wakil tuhan  (khalifah Allah) atau khalifah al-Miukminin Dzilullah fi Ardi (Khalifah kaum muslimin dan bayangan Allah di muka bumi). Kitab Undang-undang Melaka yang disusun sekitar tahun 1450M (iaitu selepas 44 tahun kematian Ibn Khaldun) menyebut para sultan Melaka menggunakan gelaran tersebut, misalnya Sultan Mahmoud, Penguasa Acheh, Penguasa Muslim Patani, Penguasa Jawa, Penguasa Mataram, Penguasa Kesultanan Yokyakarta dan juga Panglima Diponegoro.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: