Pemikiran Ibn Khaldun mengenai sifat dan amalan negatif yang boleh meruntuhkan kepimpinan Islam (Part ii)

Prof.Madya Mohammad Kamil Abdul Majid

Dr.Mohd.Fauzi Hamat

 

Dengan menyebut raja sebagai ” Bayang-Bayang Tuhan di Bumi” bermakna kedaulatannya diperolehi dari Tuhan, bukan dari manusia. Kebaktian kepada raja memiliki nilai spiritual seperti kebaktian kepada Tuhan dan kerajaan disejajarkan dengan kenabian; keduanya merupakan  dua buah permata dari satu cincin. Keterangan tentang hal ini tercatat dalam manuskrip Melayu klasik, Taj al-Salatin. Jika raja diertikan sebagai khalifah, knotasinya menunjukkan kepada fungsinya sebagai khalifah Rasulullah dalam menegakkan agama Islam dan melaksanakan keadilan antara sesama hamba Allah berdasarkan al-Quran, hadis dan ijma’. Konsep pemerintahan berlandaskan asas khalifah yang suci  ini terencat apabila berlakunya proses penjajahan yang menerapkan faham sekularisme dalam penggubalan dasar-dasar pemerintahan negara.   

 

Bagi Ibn Khaldun, setelah sesebuah negara terbentuk hasil dari gabungan pelbagai puak di bawah kekuasaan seorang pemerintah, ada dua lagi ciri moral yang perlu ada dalam sesebuah organisasi social yang dapat memperkukuhkan ikatan anggota masyarakat iaitu; asabiyyah dan agama. Istilah assabiyyah ini diberikan beberapa pengertian oleh para sarjana. Antaranya ialah perasaan kekitaan, perasaan kebersamaan, rasa persatuan dan solidarity, social solidarity, public spirit, group cohesion, common will, perasaan kelompok dan lain-lain lagi. Dalam pemikiran Ibn Khaldun, setiap orang memiliki kebanggaan pada keturunannya. Rasa sayang antara yang memiliki hubungan darah dan keluarga merupakan watak alami yang jadikan Allah Taala  kepada setiap manusia. Sifat ini akan melahirkan sifat saling membantu, rasa ikut malu dan tidak rela kalau ada di antara mereka yang memiliki ikatan darah mendapat perlakuan tidak adil atau hendak dihancurkan, sehingga muncul hasrat untuk melindungi anggota keluarganya. Asabiyyah berdasarkan hubungan darah dan kekerabatan atau tradisi kekeluargaan menurut Ibn Khaldun merupakan bentuk asabiyyah yang paling murni kerana ia membangkitkan perasaan solidarity. Asabiyyah adalah penting kerana ia menanam rasa kesatuan (sense of oneness), pendorong untuk bekerjasama untuk sesuatu tujuan dan mengelak dari didominasi oleh kumpulan lain. Tanpa asabiyyah, manusia tidak mampu mendirikan negara. Dengan asabiyyah, setiap ahli dalam sesuatu kumpulan akan bersedia mengorbankan jiwa raga mereka dalam mempertahankan anggota asabiyyahnya. Dalam pada itu, Ibn Khaldun mengakui pengaruh agama lebih kuat daripada pengaruh asabiyyah. Kekuatan negara akan menjadi bertambah mantap apabila diperkuatkan oleh asabiyyah.

 

Dalam memperkatakan mengenai amalan negative yang boleh meruntuhkan kepimpinan Islam, Ibn Khaldun turut menyentuh mengenai bahayanya sifat monopoli kuasa atau pemusatan kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemimpin. Menurutnya, apabila pemerintah mula memonopoli kekuasaan, ia mula menjauhi pembantu-pembantu yang menolongnya mencapai kekuasaan dan mengisyhtiharkan  dirinya sebagai raja. Para pemerintah mengupah para tentera untuk tujuan keselamatan. Pada tahap ini semangat asabiyyah mereka mulai kurang. Pemusatan kuasa di tangan penguasa terjadi apabila sesebuah negara telah mantap dan stabil. Tokoh ini juga turut memperkatakan tentang amalan boros, membazir dan melampaui batas kemampuan. Apabila rakyat dan pemerintah mula melakukan amalan buruk seperti ini, kezaliman dan penyakit-penyakit social yang kronik akan berlaku. Dikala ini pemerintah akan mengabaikan kebajikan negara dan gaji tentera tidak dibayar. Negara akan menghadapi kehancuran sama ada hasil dari pemberontakan dalaman atau serangan dari luar. Bagi Ibn Khaldun, setelah mantapnya kekuasaan negara, orang mulai hidup mewah dan kemewahan ini terserlah pada keperluan makanan, pembinaan mahligai dan istana serta kelengkapannya. Apabila amalan pemusatan kuasa secara berlebihan dalam tangan seseorang pemimpin, kemewahan serta sikap malas berleluasa dalam sesebuah negara, maka negara itu sedang menuju kea rah kehancuran. Pemusatan kuasa menyebabkan seseorang pemimpin akan menekan keinginan-keinginan orang lain dan merosakkan asabiyyah disamping berusaha mengumpul kekayaan dan mengenepikan orang lain. Untuk memastikan amalan-amalan negative itu tidak tersebar dalam masyarakat, Ibn Khaldun turut memperkatakan mengenai fungsi beberapa badan awam dalam menguatkuasakan syariat Islam seperti fungsi polis (syurtah) dalam menguatkuasakan hukum-hakam jenayah dan badan hisbah. Badan-badan ini diharap dapat menjalankan peranannya secara bebas bagi membasmi pelanggaran prinsip-prinsip syariah sebagaimana yang ditegaskan oleh sumber-sumber wahyu.  Beliau banyak memperkatakan mengenai peraturan hisbah dan peranan muhtasib dalam negara Islam. Menurutnya, jawatan muhtasib adalah keagamaan (wazifah al-diniyyah) yang bertanggungjawab dalam menegak amar makruf dan nahi mungkar. Mereka yang bakal dilantik hendaklah terdiri daripada kalangan mereka yang berkelayakan dan dia perlu mengambil kakitangan yang mampu membuat kerja-kerja seperti menyiasat kemungkaran  yang berlaku dalam masyarakat, mengenai hukuman ta`zir dan hukuman berbentuk disiplin berdasarkan kadar berpatutan. Nilai-nilai buruk seperti zalim, tidak amanah, mementingkan diri sendiri, bersikap boros, lupa daratan dan sebagainya dikenalpasti sebagai amalan-amalan yang merosakkan kepimpinan Islam. Apa yang dibentang oleh Ibn Khaldun dalam muqaddimah adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap apa yang berlaku pada zaman kepimpinan Islam yang lampau, iaitu zaman di mana umat Islam masih lagi mempunyai identity dan jati diri muslimnya yang kuat meskipun tidak sekuat apa yang dimiliki oleh generasi awal yang dididik oleh  Rasulullah dan para sahabatnya.  

 

    

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: