Tidak patut cabar Dato` Ibrahim Ali letak jawatan

http://www1.mstar.com.my/

Sabtu Februari 21, 2009

 

Nik Aziz: PAS cabar Ibrahim letak jawatan MP

 

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: “Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan).”

“PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Pagi ini ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kursus kakitangan awam kerajaan negeri, Nik Aziz enggan memberikan sebarang ulasan mengenai desakan PAS Kelantan yang mahukan Ibrahim meletak jawatan.

“Tok se, tok se (tak nak, tak nak),” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan semalam, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Ditanya mengapa PAS bertindak mencabar Anggota Parlimen itu meletakkan jawatan, Nik Aziz berkata, ini disebabkan Ibrahim mengkritik kepimpinan PAS dari belakang.

Nik Aziz berkata, walaupun Ibrahim calon Bebas, tetapi bukan bererti beliau boleh bebas tanpa sekatan.

“Kalau lembu pun kita kena ikat dengan tali, mana boleh manusia bebas tanpa sekatan.

“Sebagai pemimpin, Ibrahim tidak boleh mengkritik dan menyerang PAS dan pemimpinnya bukan-bukan.

“Ini bukan bererti PAS tidak boleh ditegur. Yang berhak mengkritik dan menegur (pemimpin dan parti) ialah rakyat,” katanya.

Kepada soalan lain, jika Ibrahim enggan berundur dan meletakkan jawatan walaupun dicabar berbuat demikian oleh PAS, Nik Aziz berkata: “Memanglah, biasanya manusia tidak mudah mengaku kalah. Macamlah kita jadi menantu, kalau mentua bencipun kita tetap tinggal rumah itu kerana sayangkan anaknya…” BERNAMA

 

Sabtu Februari 21, 2009

PAS Kelantan desak Ibrahim Ali letak jawatan

KOTA BAHARU: PAS yang tidak berpuas hati dengan kelantangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang sering mengkritik parti itu meminta beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum 2008, Ahli Parlimen Bebas itu tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul.

“Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata Ibrahim meminta untuk bertanding pada pilihan raya umum tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasan Pasir Mas ketika itu menolak cadangan itu.

“Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan Ibrahim akan menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata, terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

“Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS,” katanya. BERNAMA

 

Dua petikan berita diatas berkisar tentang cabaran dua orang pemimpin  PAS yang menerajui negeri Kelantan, YAB Menteri Besar Dato` Nik Abdul Aziz dan Exconya, Dato Takiyuddin Hassan supaya Dato` Ibrahim letak jawatan dan kalau mahu sila bertanding semula. Cabaran yang berupakan desakan ini dibuat ekoran sifat Dato` Ibrahim yang sentiasa membidas serta menkritik tindakan Pakatan Rakyat khususnya PAS.  Kelantangan Dato` Ibrahim Ali dianggap sebagai tidak mengenang budi kerana beliau pernah diberikan platform bertanding atas tiket PAS. Manakala bagi Menteri Besar Kelantan, Dato` Nik Aziz pula cabaran beliau adalah beralasan untuk  menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil. Sekali fikir tentulah nampak wajar tindakan mencabar sedemikian. Namun jika dua kali fikir memang jelas dan nyata cabaran tersebut tidak wajar sama sekali atas  beberapa sebab;

i)                    Kerusi Parlimen Pasir Mas yang diperuntukan bagi Dato` Ibrahim bertanding adalah dengan persetujuan PAS yang disertai syarat; Dato` Ibrahim sanggup bekerjasama menentang UMNO dan di Kelantan bagi sessi pilihanraya 2008 sahaja. Sesudah pilihanraya, itu adalah hal masing-masing untuk bawa diri. PAS boleh teruskan dengan cara PAS dan Dato` Ibrahim boleh kekal dengan sikap dan peranannya seperti biasa. Dalam kempen pilihanraya tersebut Dato` Ibrahim bekerja kuat siang dan malam untuk membantu PAS di Kelantan. Memang wajar dengan sikap bekerja kuat itu akan diberi ganjaran (kerusi Parlimen Pasir Mas). Lagikan beruk Pak Mat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa yang panjat dan pulas buah kelapa pun di beri upah Coca Cola dan dua biji telur masak separuh sekarang, takkan Dato` Ibrahim tak ada upah??? 

ii)                  Dato` Ibrahim mematuhi syarat tersebut.        

iii)                Kewujudan individu seperti beliau diperlu dalam Parlimen. Dalam system demokrasi, pembangkang dan pengkritik adalah dialu-alukan. Tanpa kritikan dan bangkangan, sesebuah kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri adakalanya leka dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Kritikan Dato` Ibrahim ada yang munasabah (logic) dan ada juga yang tidak munasabah langsung. Begitu ramai ahli Parlimen Pakatan Rakyat, mengapakah tidak diatur agar ada setidak-tidaknya seorang ahli Parlimen yang akan mematahkan setiap hujjah Dato` Ibrahim secara ilmiah, berhemah dan tegas? Gedebe sangat Dato` Ibrahim ni?? Hebat sangatkah hujjah-hujjah beliau?? Apakah inipun tak mampu dilakukan oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat hinggakan sanggup mendesak agar beliau meletak jawatan kerana dianggap tidak mengenang budi sedangkan kerusi Parlimen Pasir Mas adalah upah untuk beliau yang pernah bekerja keras?

iv)                Memang benar sikap wakil rakyat melompat parti itu tidak bermaruah tetapi orang yang bekerjasama dengan wakil rakyat pelompat parti itu lebih tidak bermaruah! Dalam pilihanraya ke -12 PAS tidak gentleman dan tidak berani bertempur hidup mati dengan Umno seperti mana yang pernah dilakukan pada zaman Dato` Asri menjadi MB Kelantan dulu. Oleh itu, PAS di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz sanggup beri upah kepada calon bebas (Dato` Ibrahim) untuk menutup kelancangan mulutnya agar tidak menerkam ke arah PAS yang merasa tenat dan nazak ketika itu.

v)                  Ketika merasa tenat dan nazak, PAS sanggup bekerjasama dengan Dato` Ibrahim dan bila dah rasa kuat, PAS mula nak cabaran beliau supaya letak jawatan MP. Siapa sebenarnya yang tidak mengenang budi??

Secara peribadi saya tidak pernah menyokong Dato` Ibrahim, namun dalam masalah ini, atas sebab-sebab yang dinyatakan itu, saya berpendapat adalah tidak wajar sama sekali mendesak Dato` Ibrahim menyerahkan kembali upahnya setelah beliau bekerja keras membantu  mempertahankan kerajaan PAS. Kalau betul-betul nak singkir  Dato` Ibrahim Ali dari Parlimen, sila tunggu pilihanraya umum ke-13 untuk rakyat buat penentuan……barulah sama-sama gentlemen!!! Tak perlu nak desak dia yang sedang mengecapi nikmat upah yang diberi oleh PAS!!!

 

 

Dato` Ibrahim dan simbol bulan semasa PRU-12

Dato` Ibrahim dan simbol bulan semasa PRU-12

One response to this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: