Methodologi pendidikan: Allah Mengajar Membaca dan Menulis.

Islam begitu perihatin dalam soal penguasaan ilmu dan penambahannya. Dalam sebuah mafhum hadis daripada Abi Umamah r.a, Rasulullah bersabda “ Sesungguhnya Allah, para malaikat, sekalian penghuni langit dan di bumi termasuklah semut-semut di dalam sarangnya dan juga ikan-ikan sentiasa mendoakan kesejahteraan ke atas orang yang mengajar manusia tentang kebaikan”. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizdhi).

 

 Secara umum, keperihatinan itu juga dinyatakan dalam al-Quran. Antaranya dalam surah al-Alaq, ayat 1-5 dan juga surah al-Baqarah ayat 30-33. Dalam surah al-Alaq: Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Mencipta. Dia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu  itu Maha Pemurah. Yang mengajar dengan pena (mengajar Nabi Idris menulis). Dia yang mengajar manusia apa yang belum diketahui (ayat 1-5). Manakala dalam surah al-Baqarah ayat 30-33: Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat “Aku ingin menempatkan seorang khalifah di muka bumi”. Para malaikat berkata “Mengapa Engkau mahu menempatkan di situ makhluk yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah (berperang) sedangkan kami sentiasa bertasbih memujiMu dan memuliakanMu”. Kata Tuhan “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang engkau tidak ketahui”. Dan Tuhan mengajar Adam segala nama-nama benda (serta kegunaannya). Kemudian diperlihatkan kepada para malaikat lalu Tuhan berkata kepada para malaikat “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama semua ini kalau memang kamu daripada golongan yang benar. Jawab malaikat “Maha Suci Engkau. Kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Tuhan berfirman “Wahai Adam sebutkanlah kepada mereka nama-nama semua ini”.Setelah Adam menyebut semua nama-nama itu, Tuhan berkata “Bukankah Aku sudah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala hal yang tersembunyi di langit dan di bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu rahsiakan”.

 

Secara zahir, kedua-dua rumpunan ayat ini berkisarkan tentang keutamaan mengajar membaca dan menulis bagi menguasai ilmu pengetahuan. Dari segi susunan penurunan ayat, surah al-Alaq adalah rumpunan ayat-ayat yang pertama sekali diturunkan kepada Nabi Muhammad yang ketika itu sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hira`. Namun dari sudut sejarah pengajian manusia, pendedahan tentangnya dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 30-33 yang turut memaparkan kehebatan manusia (Nabi Adam) dibandingkan dengan para malaikat yang hanya sentiasa patuh beribadat kepada Allah. Dalam konteks pendidikan, Allah Taala mengajar Adam semua nama-nama makhluk dan benda-benda serta kegunaannya secara lisan. Setiap kalimah yang diajar itu melekat dalam jiwa Adam a.s. Dengan kata lain, Allah Taala mengajar Adam bertutur dengan kalimah-kalimah yang belum pernah diketahui oleh mana-mana makhluk ciptaanNya. Selepas berjaya menguasai istilah-istilah tersebut serta tahu cara kegunaannya, Yang Maha Agung kemudiannya menyuruh Adam agar menyebut (membaca kembali) segala nama atau istilah yang beliau pelajari daripada Allah secara langsung kepada para malaikat. Secara tidak langsung, segala apa yang dibaca oleh Adam itu merupakan satu majlis ilmu kepada para malaikat yang hanya tahu beribadat sepenuh masa kepada Yang Maha Pencipta.  Majlis ilmu ini juga merupakan salah satu method pendidikan Allah Taala kepada para malaikatNya yang mempertikaikan perancangan Allah untuk menetapkan manusia sebagai Khalifah di muka bumi. Pertikaian yang ditimbulkan oleh para malaikat bukan bertujuan mendurhakai perintah Allah tetapi ia disebabkan oleh tindakan makhluk-makhluk jin yang menetap di muka bumi yang melakukan begitu banyak kerosakkan dan berperang sesama sendiri sebelum kewujudan Adam a.s.

 

Surah al-Baqarah ayat 30-33 menampilkan konsep pengajaran dan pembelajaran secara lisan. Namun dalam surah al-Alaq pula keutamaan menuntut, menguasai dan menambah ilmu ditonjolkan melalui method membaca dan menulis. Menurut Tafsir al-Jalalain maksud “Yang mengajar dengan pena”  ialah; Allah Taala yang mengemukakan tulisan untuk manusia belajar dan Nabi Idris adalah manusia terawal boleh menulis setelah diajar oleh Allah Taala. Beliau merupakan keturunan keenam Nabi Adam dan hidup selepas 1,000 tahun kewafatan Adam a.s. Selain menulis, Nabi Idris juga menguasai ilmu astronomi, matematik dan jahitan. Dalam kitab Qasas al-Anbiya` karangan al-Syeikh al-Sya`rawi dinyatakan; manusia di zaman Nabi Adam a.s menutup badan mereka dengan kulit-kulit kayu, daun-daun dan juga kulit-kulit binatang. Namun setelah muncul zaman Nabi Idris, manusia mula pandai menenun kain dan menjahit pakaian mereka. Menyebut (membaca secara lisan) adalah kaedah  menguasai ilmu yang terawal iaitu pada zaman Adam a.s dan kemudian disusuli dengan penulisan yang mula diterokai pada zaman Nabi Idris a.s adalah sebagai bekalan manusia untuk meneruskan kehidupan mereka di muka bumi ini.  Membaca (sebut secara lisan) dan menulis juga merupakan mekanisme pengetahuan utama yang mampu merangsang daya ingatan otak manusia terhadap perkembangan pelbagai cabang  ilmu dari masa ke semasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: