Hasrat Abrahah tidak kesampaian

 

Mafhum firman Allah:

 

Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap orang-orang bergajah (tentera bergajah)? Bukankah perancangan mereka digagalkan oleh Tuhan burung berpasukan. Melempari mereka dengan batu yang keras. Dan menjadikan mereka bagaikan daun yang dimamah.

 

Surah ini mengandungi lima ayat. Ia dinamakan al-Fil (Gajah) dan diturunkan di kota Mekah. Ayat ini memokus tentang peristiwa bersejarah kedatangan satu pasukan besar yang dipimpin oleh Gabenor kerajaan Habsyah (Abessinia) ke Yaman, Abrahah Al-Asyram bertujuan untuk menghancurkan Baitullah di kota Mekah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 570 Masihi, kira-kira dua bulan sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

 

Menurut al-Syeikh Muhammad Mutawwalli al-Sya`rawi, Abrahah telah membina sebuah gereja yang diberi nama al-Qolish dengan reka bentuk yang begitu indah tiada tandingnya di daerah Sanaa’ (Yaman). Sejurus lepas pembinaannya siap, Abrahah mengirim surat kepada Raja Najasyi dengan mengatakan “Aku telah dirikan sebuah gereja untukmu wahai raja yang tiada banding dengan raja-raja sebelummu. Dan itu belum seberapa kerana aku akan memindahkan seluruh orang-orang Arab supaya mereka meninggalkan Kaabah dan berhaji di gereja tersebut”.  Hal ini sampai ke pengetahuan seorang lelaki berbangsa Arab. Beliau begitu marah dengan keangkuhan Abrahah yang bercita-cita sedemikian rupa padahal ibadat haji di Kaabah sudah lama menjadi urusan rutin masyarakat Arab semenjak zaman Nabi Ibrahim  a.s lagi. Lelaki itu terus meluru ke dalam gereja al-Qolish dan membuang air besar di dalamnya lalu kembali ke daerah asalnya. Orang ramai yang melihat tingkalakunya melaporkan hal tersebut kepada Abrahah. “Siapa yang berani melakukan ini!” pekik Abrahah dengan nada marah. Salah seorang daripada kalangan mereka memberitahu bahawa yang melakukannya (membuang air besar) ialah seorang lelaki Arab yang sering menunai haji di Mekah yang begitu marah kerana mendengar perancangan Abrahah untuk memindahkan tempat haji orang-orang Arab. Mendengar jawaban tersebut, Abrahah menjadi bertambah berang dan bersumpah untuk menghancurkan Kaabah. Dalam satu riwayat lain sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun dalam Tarikhnya, seorang lelaki ketua kaum Bani Malik dan seorang lagi ketua Bani Fuqaim dengan sengaja telah mengotori gereja tersebut dan menyebabkan kemarahan Abrahah semakin memuncak.

 

Semasa Abrahah dalam perjalanan menuju ke Mekah, salah  seorang lelaki terhormat dari Yaman  bernama Zu-Nafar keluar mengerah orang ramai daripada kalangan bangsa Arab untuk memerangi Abrahah. Malangnya, ramai dikalangan mereka yang terbunuh dan Zu-Nafar pula berjaya ditawan. Dengan kejayaan ini, Abrahah dan tenteranya maju selangkah lagi dengan penuh yakin menuju ke kota Mekah.

 

Sesampai di daerah Thaif, Mas’ud bin Mut`ab dari Bani Tsaqif bersama beberapa orang pengikutnya datang menemui Abrahah dan berkata “Wahai Raja Abrahah! Kami adalah hamba-hambamu. Kami patuh dan taat kepadamu. Mengapa bukan rumah-rumah orang-orang awam yang kamu inginkan? Mengapa Baitullah yang kamu inginkan? Kami akan mengutus bersamamu Abu Righal yang akan menjadi penunjuk jalan ke sana”. Abrahah tersenyum megah dengan tawaran tersebut dan menerimanya. Namun setelah angkatan ini sampai di satu lokasi bernama “Mughmas”, Abu Righal mati dan dikuburkan disitu. Kemudian Abrahah mengutus Us`ud bin Mafsud, seorang pemuda Habsyah pergi ke kota Mekah  bersama satu pasukan berkuda. Sesampainya di Mekah, beliau bertindak mengumpul harta-harta Bani Quraisy dan suku-suku lain untuk diserahkan kepada Abrahah. Antara harta-harta yang dirampas itu ialah 200 ekor unta milik Abdul Muttalib datuk kepada Nabi Muhammad, salah seorang pembesar Kota Mekah pada ketika itu.  Sebenarnya suku Quraisy, Kinanah, Huzail dan semua orang yang berada dalam tanah Haram berhasrat membunuh budak suruhan Abrahah itu tetapi mereka merasa tidak mampu lalu membiarkannya.

 

Selepas harta-harta tersebut dirampas, Abrahah mengutus Hanathah al-Khumairy, seorang bangsawan Himyar ke kota Mekah dengan pesanan “Katakanlah kepada para pembesar dan orang-orang terhormat di negeri ini bahawa aku (Abrahah) datang bukan untuk memerangi kamu. Tetapi aku hanya ingin menghancurkan Kaabah. Maka kalau kamu tidak menghalangi aku, aku tidak akan menumpaskan darah kamu”. Lalu Hanathah  menuju ke Mekah dan mencari para pembesar Quraisy. Akhirnya dia menemui Abdul Muttalib dan menyampaikan pesanan Abrahah. Abdul Muttalib menjawab “Demi Allah! Kami juga tidak inginkan rumah Allah dan rumah Nabi Ibrahim. Namun jika Allah melindunginya daripada serangan Abrahah, maka Kaabah tersebut memang rumah Allah. Dan sekiranya Allah membiarkan Abrahah menghancurkan rumahNya, kami juga tidak boleh menolak kemahuan Abrahah”.  

 

Hai Abdul Muttalib! Ikutlah bersamaku menemui Abrahah kerana dia menyuruhku membawamu kepadanya” ujar Hanathah. Abu Muttalib dan beberapa orang daripada sukunya menyambut baik pelawaan Hanathah. Ketika tiba di kem tentera Abrahah, Abdul Muttalib bertanya tentang rakannya Zu-Nafar yang telah ditawan. Kemudian mereka dibenarkan masuk ke lokasi tahanan Zu-Nafar. “Hai Zu-Nafar! Apakah engku masih memiliki harta yang boleh kami minta dari Raja Abrahah?” tanya Abdul Muttalib. “Harta apa lagi yang mampu dimiliki oleh seseorang yang menjadi tawanan Raja yang hanya menunggu saat untuk dibunuh. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kecuali rakanku, Anis seorang gembala gajah. Aku akan menyuruhnya mengadap Abrahah dan meminta izin agar engkau juga boleh masuk mengadapnya” jawab Zu-Nafar selamba.

 

Lalu Anis masuk mengadap Abrahah dan berkata “Wahai Raja, seorang pemimpin Quraisy sedang berdiri di pintumu meminta izin untuk masuk. Dia adalah pemilik 200 ekor unta dan dia juga sering menjamu makan kepada kaumnya. Maka izinkanlah dia masuk kerana dia ingin membicarakan sesuatu hal kepadamu”. Abrahah memberi keizinan dan menyuruhnya Abdul Muttalib duduk di atas permaidani disebelahnya. Abrahah berkata kepada penterjemahnya “Apa keinginanmu?” penterjemah itu menyampaikan soalan itu kepada Abdul Muttalib. Abdul Muttalib menjawab “Keinginanku adalah agar Raja mengembalikan kepadaku 200 ekor untaku” . Abrahah berkata kepada penterjemahnya “Katakan kepadanya Aku amat kagum ketika melihatmu tetapi aku amat benci kepadamu ketika kamu berbicara padaku. Apakah kamu datang kepadaku hanya untuk membicarakan tentang 200 ekor unta dan tidak membicarakan tentang Baitullah yang merupakan sebahagian daripada agamamu dan agama nenek moyangmu yang bakal aku hancurkan? Apakah kamu tidak mahu menanyakan hal itu?”. Jawab Abdul Muttalib “Aku adalah pemilik unta sedangkan Kaabah itu ada Pemiliknya”. “Tidak ada apa yang boleh menghalangiku” kata Abrahah. “Itu urusanmu dengan Dia (Allah)” tambah Abdul Muttalib.

 

Abrahah kemudiannya mengembalikan semula unta-unta Abdul Muttalib yang dirampas. Lalu Abdul Muttalib pulang semula ke kota Mekah dan berpesan kepada kaumnya agar mereka keluar dari Mekah dan bersembunyi di puncak-puncak bukit, bimbang kalau-kalau mereka akan menjadi korban amukan tentera Abrahah. Abdul Muttalib dan beberapa orang daripada Bani Quraisy membuat lingkaran mengelilingi Kaabah dan memohon pertolongan Allah daripada ancaman tentera Abrahah. Kemudian Abdul Muttalib menyuruh orang-orang yang mengelilingi Kaabah tersebut pergi bersembunyi di puncak bukit. Keesokkan,  Abrahah bersiap dengan beribu-ribu orang tenteranya untuk masuk ke kota Mekah. Namun setiap kali mereka mengarah gajah itu ke Kaabah, gajah itu akan berlutut dan tidak mahu bergerak dari tempatnya. Mereka mulai memukul gajah itu dengan berbagai cara tetapi ia tetap tidak mahu bergerak ke arah Kaabah. Namun jika mereka mengarahnya bergerak ke arah Syam atau mana-mana arah yang lain, ia akan berdiri dan cepat bergerak tetapi bila diarah kembali ke Kaabah, gajah itu akan kembali berlutut.

 

Situasi ini berlarutan hinggalah Allah Taala mengutuskan bala tentera dengan batu-batu yang panas. Menurut Dr.Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Wajiz `ala Hamisy al-Quran al-`Azim; tentera Allah yang diutuskan itu adalah segala species makhluk ciptaan Allah yang boleh terbang termasuklah nyamuk dan lalat dan bukan hanya burung-burung sahaja. Dalam Tafsir al-Jalalain, Makhluk-makhluk tersebut membawa batu-batu keras daripada tanah yang terbakar panas lalu dilempar ke atas tentera Abrahah hingga mengakibatkan gajah tersebut bertempiaran lari ketakutan dan menjadikan tentera Abrahah hancur bagaikan daun yang dimamah kambing. Batu-batu tersebut mengandungi virus-virus penyakit cacar yang merebak dan membunuh dengan cepat.  Abrahah yang tidak kesampaian hasratnya sempat melarikan diri akhirnya menemui ajal di kediamannya sendiri sesampai saja di San’aa (Yaman).  

Kaabah pada tahun 1880

Kaabah pada tahun 1880M

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: