Ekonomi rakyat kukuh bila kembali ke zaman silam.

Tok Wali Hasan

Tok Wali Hasan

Dalam bab dua buku Tok Wali Hasan, halaman 43-44, terdapat beberapa fakta sejarah kehidupan masyarakat melayu silam yang perlu diambil sebagai iktibar dan wajar dijadikan tauladan. Fakta tersebut adalah sebagaimana berikut;

Budaya cukup makan, hidup berdikari dan bergotong royong merupakan budaya kehidupan di kampung pada sekitar tahun 20-an dan 50-an. Menanam padi dan berkebun getah adalah pekerjaan utama pada masa itu. Padi hanya ditanam sekali setahun. Masyarakat kampung pada masa itu begitu teliti dan mengambil berat tentang hasil zakat tanaman padi mereka. Selepas menuai dan sebelum padi disimpan di dalam baloh (rumah padi). Nisab zakat tanaman padi yang juga dikenali sebagai padi gunda diasing terlebih dahulu daripada hasil pendapatan mereka. Pada ketika itu tidak ada kilang dan mesin padi. Pemprosesan padi menjadi beras hanya menggunakan lesong tumbuk, lesong hindit dan kisaran.

Di sekitar halaman rumah, mereka menternak ayam, itik, kambing dan lembu. Hasil ternakan ini dibelanjakan untuk keperluan mereka dan keluarga. Perbelanjaan harian atau mingguan rumah dan pelajaran anak sama ada di pondok atau di sekolah bergantung kepada hasil jualan telur ayam dan telur itik. Manakala bagi urusan yang memerlukan perbelanjaan yang lebih besar seperti kenduri kahwin atau menunai ibadat haji, lembu atau kerbau yang diternak akan dijual. Dipinggir halaman rumah juga disediakan kawasan untuk penanaman sayur. Sayur-sayuran seperti kangkung, terung, kacang panjang dan sebagainya dijaga dengan baik tanpa penggunaan racun serangga. Untuk hasil makanan berprotein, mereka perolehinya melalui hasil tangkapan ikan air tawar di bendang-bendang padi dan sungai. Pada musim kemarau, mereka menimba telaga di bendang-bendang dan di lubuk-lubuk. Pada musim hujan pula mereka menaup, memukat ikan di sungai-sungai, tasik-tasik dan lubuk-lubuk. Dalam masa yang sama, akal dan tubuh mereka sentiasa sihat kerana disamping mencari rezeki, mereka juga bersenam dan berpeluh membakar tenaga yang tersimpan hasil daripada permakanan yang sihat seharian. Inilah gambaran hidup pada masa itu yang mengamalkan corak hidup berdikari (selfsufficiency). Corak kehidupan ini juga merupakan didikan asas Mat Saman kepada anaknya, Pak Chu Hasan.  

Keadaan amat berbeza jika dibandingkan  dengan masa sekarang. Orang melayu sudah terasuh dengan budaya subsidi. Budaya ini meletakkan masyarakat dalam situasi sentiasa mengharap dan meminta minta tanpa berfikir untuk berdikari. Malah, budaya subbsidi ini juga tidak digalakkan dalam ajaran  Islam. Usaha berdikari adalah amalan mulia yang dituntut oleh syariat Islam. Dalam menggalakkan gaya hidup berdikari dikalangan umat Islam, Rasulullah menegaskan dalam beberapa buah hadis beliau. Antaranya ialah;

 Sabda Rasulullah:

لأن يحتطب أحدكم حزمة على ظهره خير له من أن يسأل أحدا فيعطيه او يمنعه                  

Bahawa seorang daripada kalangan kamu yang memikul rumpunan kayu api di atas belakangnya (berdikari) adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain sama ada orang tersebut memenuhi permintaannya atau menegahnya (tidak memberi)96.

Malah Rasulullah turut mengagumi Nabi terdahulu yang menyara hidup melalui hasil titik peluh sendiri. Sabda Rasulullah: 

                                    كان داود عليه السلام لا يأكل الا من عمل يده

 Adalah Nabi Allah Daud alaihissalam tidak makan kecuali daripada hasil tangannya sendiri. (berdikari).97   

Dalam pada itu,  padi  juga tidak lagi disimpan di baloh. Malah ia dibawa untuk dijual terus di kilang. Ini merupakan satu perubahan besar dalam masyarakat Melayu di kampung masa kini. Itulah antara isikandungan buku tersebut. Budaya subsidi yang dihulurkan oleh pihak kerajaan berasaskan kepentingan status politik kepartian amat merugikan rakyat. Budaya ini sekali gus menggalakkan rakyat hidup meminta-minta atau hidup sekadar makan gaji sebagaimana yang diajar oleh pihak penjajah British dahulu tanpa menekankan soal berdikari. Budaya ini turut mengakibatkan  golongan makan gaji hanya lebih memikirkan tentang “masalah perut” masing-masing tanpa mempedulikan soal peningkatan kualiti kerja yang diamanahkan kepada diri mereka.

Berdasarkan perkembangan semasa, beras yang merupakan makanan asasi penduduk benua Asia kini muncul sebagai satu bebanan yang membelenggui pemikiran rakyat Malaysia. Yang paling teruk merasai bebanan ini ialah mereka yang berpendapat rendah serta mempunyai ramai tanggungan. Kerunsingan dikalangan mereka sudah tidak dapat dibendung lebih-lebih lagi bila harga padi yang dijual hasil titik peluh golongan petani tidak naik dan kekal di takat biasa sedangkan harga beras di pasaran pula sentiasa meningkat naik dari masa ke semasa. Sememangnya wajar bagi masyarakat Malaysia khususnya mereka yang menetap di kampung-kampung yang masih memiliki tanah terbiar kembali semula menghayati kehidupan masa silam orang-orang tua terdahulu yang tidak dijamu dengan berbagai bentuk bantuan atau subsidi. Langkah ini secara tidak langsung berperanan mendidik masyarakat agar sentiasa peka dengan penyediaan sumber bekalan makanan di sekeliling mereka tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan ataupun pihak luar. Sumber bekalan ini juga merupakan  aset berharga bagi mereka. Walaupun pada masa itu padi hanya ditanam sekali setahun tetapi hasilnya cukup untuk makan sekeluarga dan ia masih mampu disukat sebagai zakat hasil pertanian. Kehidupan masyarakat kampung silam mewah dengan pelbagai sumber makanan seperti hasil ternakan kambing dan lembu serta tanaman padi dan sayuran di sekeliling mereka. Zaman serba canggih sekarang, padi ditanam dua kali setahun tetapi hasilnya belum tentu disukat terlebih dahulu sebagai zakat pertanian. Malah hasil tersebut masih tidak mencukupi sebagai makanan asasi dalam negara.  Pendek kata, ekonomi rakyat akan kembali kukuh apabila mereka kembali semula ke arah kehidupan zaman silam.

 

 

 


96 Hadith muttafaqun  alaihi melalui riwayat  Abu Hurairah

97 Hadith daripada Abu Hurairah dan diriwayatkan oleh al-Bukhari.

One response to this post.

  1. Baloh itu boleh diibaratkan sebagai “stok penimbal beras”

Comments are closed.

%d bloggers like this: