Non Muslims diharuskan membaca al-Quran.

 

gambar-al-quran

 

Sepanjang musim pilihanraya kecil Bukit Gantang, bacaan ayat al-Quran  oleh YB Nga Ko Ming dijadi isu politik oleh pihak Barisan Nasional. Situasi  ini turut mendesak Mufti Perak, Datuk Seri Dr.Harussani bersuara dengan menganggap tindakan YB Nga dan juga mana-mana golongan  non Muslim adalah tidak wajar sama sekali membaca al-Quran dan juga menghuraikan tafsirnya. Sebenarnya YB Nga Ko Ming hanya membaca terjemahan ayat dan kenyataan yang dibuat oleh Tuan Mufti ini adalah bersikap gopoh gapah dalam suasana musim pilihanraya. Malah jika Nga membaca kitab tafsir al-Quran pun tidak salah di sisi syarak dengan syarat beliau tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan fakta yang sebenar. Penetapan hukum atau fatwa secara gopoh gapah adalah tidak wajar sama sekali diterima pakai kerana ia bukanlah berdasarkan atas penilaian yang cukup teliti dari segi kemanafaatan dan juga kemudharatan. Lantaran ini, haram bagi seseorang mufti untuk mengeluarkan fatwa secara terburu-buru tanpa melakukan sebarang rujukan secara lebih terperinci.

 

Untuk huraian lanjut, beberapa hukum berkaitan dengan penggunaan al-Quran perlu dititik beratkan sebagai langkah menghormati kitab suci ini. Antaranya ialah hukum mengenai memegang al-Quran itu sendiri. Para ulama` Islam bersepakat mengatakan bahawa yang dinamakan mushaf al-Quran itu ialah; himpunan kalam Allah yang terdiri daripada 30 juzuk dan 114 surah.  Dalam surah al-Waqiah ayat 79, Allah Taala mengatakan “Tidak memegangnya (al-Quran) kecuali golongan mereka yang disucikan”. Mengupas potongan ayat ini, al-Syed Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitab Tafsir Ayat al-Ahkam mengatakan, maksud kalimah al-Mutthoharun (golongan yang disucikan) membawa dua pengertian, iaitu pertama; golongan para malaikat  dan golongan keduanya ialah mereka yang bersih daripada  sebarang bentuk hadas besar dan kecil. Kupasan ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa adalah haram menyentuh atau memegang al-Quran (kecuali kitab tafsir al-Quran dan kitab terjemah al-Quran diharuskan/dibenarkan) dalam situasi diri individu itu tidak suci. Al-Quran merupakan kitab Allah yang wajib diagungkan serta dihormati sepanjang masa. Meskipun begitu wujud juga dikalangan fuqaha yang mengharuskan memegang al-Quran tanpa wudhuk bagi mereka yang hanya berhadas kecil dengan tujuan untuk keadaan darurat demi menyelamatkan maruah al-Quran seperti mengangkat al-Quran yang terjatuh di lantai, untuk mengajar dan mempelajarinya. Manakala bagi golongan berhadas besar adalah diharam secara mutlak memegang kitab suci tersebut.Dalam situasi ini, golongan non muslims juga diharamkan memegang mushaf al-Quran kerana mereka tidak dapat mengangkat hadas besar dan juga hadas kecil dari diri mereka dengan mandi wajib dan berwudhuk. Mandi wajib dan berwudhuk merupakan ibadat yang hanya sah di sisi syarak setelah  mereka memeluk agama Islam.

 

Dalam sebuah mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a “Rasulullah melarang membawa al-Quran dalam perjalanan ke negeri musuh”. Sebahagian ulama` berpendapat larangan ini ialah larangan makruh dan bukannya larangan haram. Malah larangan ini termansukh (terbatal)sama sekali jika syarat utamanya iaitu jaminan keamanan semasa berada di negeri tersebut  berkuatkuasa atau dengan kata lain; Kitab al-Quran tidak akan dihina dengan apa jua cara sekalipun oleh golongan non-muslims di negeri tersebut.

 

Adapun seseorang non-muslim yang membaca al-Quran hukumnya adalah harus sama ada bagi tujuan perubatan, pendidikan atau untuk mendedahkan tentang kebenaran al-Quran itu sendiri. Manakala hukum membaca ayat-ayat al-Quran dengan tujuan untuk memutar belitkan fakta kebenaran yang diajukan oleh al-Quran sama ada oleh golongan non muslims ataupun golongan yang mengaku diri mereka beragama Islam adalah haram secara mutlak. Malah tindakan buruk itu wajib ditentang.  Hukum harus membaca al-Quran ini adalah sejajar dan selaras dengan sifat –sifatnya al-Nur (cahaya), al-Mubin (Penerang) , al-Huda (Petunjuk), al-Rahmah (Rahmat) dan al-Syifa (Penawar) yang amat diperlukan dalam kehidupan jin dan manusia sejagat.  Lebih afdal (utama) jika non-muslim yang membaca ayat-ayat suci itu dimonitor oleh individu muslim yang arif tentang al-Quran supaya mereka tidak terpesong dari sudut pemahaman dan sebutan huruf serta baris bacaan agar maknanya tidak berubah. Jika kelas agama dan fardhu `ain dibuka kepada anak-anak orang Islam agar mereka tidak buta al-Quran mengapakah pula tidak dibukakan juga kelas agama dan al-Quran khusus kepada golongan non-muslims agar mereka memahami dengan lebih detail tentang Islam?   Fakta sejarah membuktikan, hati Umar al-Khattab terbuka untuk memeluk ajaran Islam selepas dia baca  perkataan “Thoha” pada permulaan surah Thoha dan beliau memahami ayat itu bukan rekaan atau susunan yang dibuat oleh manusia. Dari sudut etika dakwah, seseorang non muslim yang berhasrat memeluk  agama Islam wajib diberi kefahaman tentang syariah dan aqidah Islam secara mantap sebelum dia dibenarkan  mengucap dua kalimah syahadah terutama sekali bagi mereka yang menukar agama kerana ingin berkahwin dengan bangsa lain yang beragama Islam. Langkah tersebut bertujuan agar lafaz dua kalimah syahadah oleh individu berkenaan akan jadi lebih bermakna dan bukan hanya sekadar luahan lidah dan bibir tanpa memahami apakah erti menganut Islam itu sebenarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: