Archive for April 11th, 2009

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

Lautan manusia wuquf di Arafah.

Lautan manusia wuquf di Arafah.

 

Disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Bukit Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘Ibadah haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..

Tunggu ‘pinangan’ UMNO

KOTA BAHARU 10 April – Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menunggu ‘pinangan’ daripada pimpinan UMNO untuk membolehkan beliau kembali menyertai parti yang pernah dianggotainya sebelum dipecat tujuh tahun lepas.

“Saya tidak akan meminang UMNO, kecuali UMNO yang meminang saya. Hingga kini saya tidak ada ilham lagi (bila ia akan berlaku),” katanya kepada pemberita ketika ditanya kedudukannya sama ada mahu mengekalkan status sebagai satu-satunya anggota Parlimen Bebas atau ingin kembali semula kepada UMNO.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan terburu-buru menerima pinangan itu, sekiranya ada, dan akan mempertimbangkannya terlebih dahulu.

“Saya akan timbang semasak-masaknya terlebih dahulu kerana sebarang keputusan yang dibuat secara tergopoh-gapah akan menyebabkan seseorang cepat jatuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-7, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini hari ini.

Ibrahim, 57, digugurkan daripada jawatan Ketua UMNO Pasir Mas, pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam UMNO kerana bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon Pas, Ismail Noh.

Beliau sebelum ini membayangkan akan membuat ‘satu kejutan’ terhadap senario politik dan menunggu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukannya terlebih dahulu.

Dr. Mahathir mengumumkan menyertai semula UMNO semasa perhimpunan Agung UMNO 2008, Mac lepas. – BERNAMA

Adat meminang dalam mana- mana kelompok masyarakat termasuk masyarakat Melayu, penyediaan keperluan yang mampu menyenangkan hati individu yang ingin dipinang perlu diutamakan. Pendek kata, apa saja yang disyaratkan mesti dipatuhi bagi menjamin upacara akad berdasarkan persetujuan kedua belah pihak akan mudah tercapai. Begitulah juga kisahnya dengan kenyataan Dato` Ibrahim Ali ini. Namun apakah sebenarnya syarat atau imbuhan yang diidamkan oleh beliau jika UMNO benar-benar berhasrat untuk melamarnya kembali setelah 7 tahun beliau berada dalam buangan??? Sudah pasti jumlah sebenar wang hantaran merupakan satu agenda sulit antara kedua-dua belah pihak. jika diteliti secara detail, langkah PAS menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Mas adalah secara suka rela. Dengan kata lain, PAS memang berhasrat untuk menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Mas kepada Dato` Ibrahim selaku calon bebas. Ini kerana dalam masa yang sama, penyerahan tersebut tidak diikat dengan sebarang perjanjian. Lantaran ini, desakan-desakan yang kedengaran sebelum ini agar bekas ahli UMNO berkenaan meletak jawatannya selaku ahli Parlimen kerana didakwa tidak bermaruah bertanding atas tiket bulan purnama tapi masih terus menghentam PAS adalah tindakan yang  tidak begitu bijak.   Jika benar Dato` Ibrahim berhasrat untuk lompat kembali masuk UMNO, maka itu adalah hak beliau kerana PAS juga pernah mengumumkan tidak pernah mengajak Dato` Ibrahim untuk menyertai PAS. Dalam masalah ini, sukar untuk dijelaskan secara terperinci siapakah sebenarnya yang lebih  tidak bermaruah ???  Adakah Dato` Ibrahim yang pernah dipecat dari UMNO dan sering melompat parti demi kepentingan diri sendiri?? Atau tindakan segelintir pemimpin PAS yang hanya ingin berkawan dengan Datuk Ibrahim dalam sessi pilihanraya umum 2008 saja??? Ataupun sikap sesetengah ahli-ahli UMNO yang masih tergila-gilakan Dato` Ibrahim dan begitu berharap agar ahli parlimen Pasir Mas ini masuk menyertai UMNO kembali??? Hanya mereka yang terlibat dalam masalah ini secara langsung saja mampu menjawab persoalan ini dengan tepat.