Archive for May 17th, 2009

Antara Wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya

Wahai anakku!

Sifat takabbur adalah penyakit yang membimbangkan. Penyakit ini amat merbahaya. Ia merupakan sifat yang tidak baik yang dapat menurunkan martabat manusia dan hilang harga dirinya.  Janganlah engkau palingkan wajahmu daripada manusia dan jangan menjauhkan diri daripada mereka. Janganlah engkau memandang manusia dengan remeh dan hina. Janganlah engkau bergaul dengan orang-orang yang bersifat hasad dengki dan sombong. Jadilah engkau bersama manusia dan untuk manusia. Dengarlah dengan teliti jika manusia bercakap dan bergaul denganmu.

Tunjukkanlah kepada mereka wajah manis, riang dan gembira. Sentiasalah engkau lontarkan senyuman kepada mereka.  Jika engkau selalu bersama mereka, nescaya mereka akan menyayangimu. Senyum selalu dan berlemah lembutlah terhadap mereka. Jika engkau merendah diri terhadap mereka, mereka akan memuliakanmu.

Ketahuilah anakku! orang sombong itu tak ubah seperti seseorang yang berdiri di puncak bukit. Apabila dia melihat ke bawah, semua manusia dipandangnya kecil. Sedangkan dia sendiri juga nampak kecil di mata semua manusia lain yang berada di bawah.

Luqman al-Hakim-

Menurut Ibn Katsir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, nama penuhnya ialah Luqman bin Unaqa’ bin Sadun. Lantaran al-Quran tidak menjelaskan secara detail mengenai latarbelakangnya,  para ulama’ berselisih pendapat tentang asal-usul cendikiawan ini. Ibn Abbas r.a mengatakan Luqman berasal dari keturunan Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu. Ada pendapat mengatakan beliau adalah seorang lelaki bertubuh rendah kecil dan berhidung mancung yang berasal dari negeri Nubah (di Sudan) dan merupakan seorang Qadhi di zaman Nabi Daud a.s . Meskipun begitu, para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa Luqman adalah seorang pendita yang dikurniakan hikmat (kebijaksanaan) yang disebut oleh Allah Taala dalam al-Quran.