Archive for July 3rd, 2009

Hujah Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan disanggah

Kolumnis cangkir retak.

Khamis Julai 2, 2009

Maaf, saya tidak setuju pemborong ikan jadi calon ADUN Manek Urai

MAAF, saya tidak boleh bersetuju kali ini.

YB Hj AbdulFatah Hj.Harun

YB Hj AbdulFatah Hj.Harun

Saya tidak boleh bersetuju bila seorang pemborong ikan diangkat menjadi calon ADUN Manek Urai. Bukan kerana saya menghina kerja pemborong ikan, tidak terniat sama sekali. Ini bukan soal mudah diterima atau sudah dikenali, ini soal kepimpinan, suatu amanah besar yang harus dipikul.

Saya juga tidak boleh bersetuju dengan hujah Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fattah Harun bahawa tugas ADUN hanya terhad di kawasannya sahaja, maka dia tidak semestinya berpendidikan tinggi, lainlah kalau dia dicalonkan untuk kerusi Parlimen.

Secara preskripsinya, jawatan ADUN dan Ahli Parlimen adalah sama, mereka dalam Bahasa Inggeris disebut “law makers.” Bezanya ADUN terlibat dalam penggubalan undang-undang negeri, sementara Ahli Parlimen terlibat dalam penggubalan undang-undang persekutuan. Di Dewan Undangan Negerilah, undang-undang peringkat negeri dibentang, dibahas dan diluluskan. Tanpa prejudis, apakah seorang pemborong ikan berkeupayaan dan mampu untuk terlibat sama dalam sesi-sesi sebegini?

Di Dewan Undangan Negeri juga, Belanjawan Tahunan Negeri dibentang, dibahas dan diluluskan. Sekali lagi tanpa prejudis, andainya saya adalah pengundi di Manek Urai, bagaimana saya boleh berharap seorang pemborong ikan boleh berkontribusi dan menyumbang dalam perbincangan tentang kewangan negeri?

Bayangkan jika seorang wartawan menemuramah calon PAS ini setelah bergelar YB, “Jika kerajaan persekutuan bersetuju memindahkan operasi pendaratan minyak Kelantan ke Kelantan sendiri, apakah prospek ekonomi dan sosial yang YB nampak?”

Mampukah seorang pemborong ikan menguasai isu-isu sebegini? Menganggar secara akademik berapa ribu peluang pekerjaan baru akan muncul, berapa peratus peningkatan hasil kerajaan negeri dari cukai, apa sektor-sektor hiliran yang akan muncul, perubahan taraf kehidupan dan sebagainya.

Menjadi ADUN bukan sekadar berkhidmat sebagai wakil rakyat, wakil untuk mendengar komplen rakyat, komplen tentang longkang tersumbat, komplen tentang sampah tidak diangkat, komplen tentang hidup susah dan melarat, komplen tentang banjir dan musibat serta lain-lain lagi.

Wakil rakyat, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen adalah pemimpin, mereka memimpin rakyat.

Pemimpin seharusnya seorang yang walau sedikit mesti idealis, dia mesti mampu menggagaskan sesuatu untuk masyarakat yang dipimpinnya, ringkasnya dia yang membawa rakyat, bukan rakyat yang membawanya, kemana?

Sudah tentu soal gagasan menjadi lebih penting untuk pemimpin yang bertaraf wakil rakyat, sebab gagasan kerajaan negeri juga akan dibincang dan diperdebatkan di Dewan Undangan Negeri. Saya tetap tidak mahu prejudis tetapi kepala saya tidak dapat lari dari tertanya-tanya tentang kemampuan seorang pemborong ikan dalam hal ini.

Suatu ketika dahulu, ketika di era pemerintahan Mahathir, Ibrahim Ali  pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal undang-undang. Ketika itu dia sering dikritik pembangkang kerana jawatan itu langsung tidak sesuai dengannya. Hujah popular ketika itu ialah perlantikan Ibrahim Ali adalah sesuatu yang zalim mengikut maksud Islam, kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Kepala bukan tempat meletak kasut, bahagian undang-undang bukan tempat Ibrahim Ali, apakah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri adalah tempat yang wajar untuk seorang pemborong ikan? Apakah PAS tidak memikirkan soal sekufu di antara Abe Uji Ikan dengan jawatan wakil rakyat? Apakah Abe Uji Ikan adalah “sesuatu” yang diletakkan bukan pada tempatnya iaitu jawatan wakil rakyat tersebut? Jika ya tidakkah ianya satu tindakan yang zalim?

Kepimpinan adalah amanah, amanah ini menjadi lebih berat bila kita bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri. Amanah yang dipegang bukan sekadar untuk mewakili rakyat di kawasannya secara adil dan saksama,  lebih penting adalah deretan amanah yang sudah digariskan sebelum seseorang itu memenangi sebuah pilihanraya, iaitu seorang ADUN mestilah menghadiri sidang DUN, bukan hanya hadir tanpa ponteng tetapi turut memberi sumbangan bermakna dalam perbincangan yang berlaku di dalamnya, sama ada yang melibatkan undang-undang, kewangan, pentadbiran, polisi, agama dan sebagainya.

Jika seseorang yang terpilih di kedudukan ini menjadi popular di kalangan rakyat kerana sentiasa ada di mana-mana acara di kawasannya, tetapi hadir dengan kebisuan setiap kali DUN bersidang, kekok untuk berbahas bersama-sama ahli Dewan yang lain akibat kekurangan pengetahuan, bagi saya dia bukan gagal, tetapi tidak mampu untuk memikul beban amanah berat sebagai ahli Dewan yang mulia.

Malangnya, dalam ketidakmampuan menjalankan amanah di Dewan yang menuntut profesionalisma dan intelektualiti, orang sebegini tetap menerima bayaran yang sama seperti ADUN lain, bayaran yang bersumberkan wang hasil titik-peluh rakyat. Apakah ketidakmampuan ini bukan satu pengkhianatan kepada amanah rakyat?

Atau PAS hari ini sudah mengubah strategi peperangannya? Yang penting mesti menang terus, momentum kemenangan perlu dikekalkan, jadi jalan paling selamat adalah memilih orang popular dan dikenali ramai di Manek Urai untuk bertanding, seperti kata Abdul Fattah Harun bahawa pengundi Manek Urai boleh terima dan tidak mengira isu pendidikan, wakil rakyat yang berurusan dengan kerajaan tidak semestinya berpendidikan tinggi.

Bolehkan PAS memakai prinsip asal boleh terima? Sedangkan pada waktu yang sama kualiti kepimpinan sedang dikorbankan.

Saya kira PAS Kelantan tidak kekurangan tokoh tempatan untuk diketengahkan sebagai calon yang bukan sekadar popular, tetapi berwibawa, apalagi ia hanya melibatkan satu kerusi DUN sahaja. Saya tidak nampak PAS begitu terdesak sehingga terpaksa berkompromi tentang mutu latar belakang calon yang diturunkannya.

Mungkin benar dakwaan Abdul Fattah yang penduduk Manek Urai tidak kisah pun jika calon yang bertanding tidak tinggi pendidikannya, tetapi percayalah Kelantan memerlukan kemasukan pemimpin baru yang memang terpelajar bagi memperkuatkan lagi kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz ini.

Artikel ini dipetik dari: http://mstar.com.my/

Towardsmardhatillah: Dewan Rakyat dan juga semua Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia hingga kini tidak mensyaratkan agar sesiapa yang ingin menyertai pilihanraya sebagai calon mesti mempunyai kelulusan tinggi. Ini bererti tindakan PAS meluluskan calonnya, Hj. Fauzi Abdullah untuk bertanding di DUN Manik Urai adalah tidak menyalahi peraturan pilihanraya dan juga tidak bertentangan dengan Undang-Undang negara. Dengan kata lain, bukan hanya peniaga ikan saja yang boleh dicalonkan, malah tukang kebun sekolah pun layak untuk bertanding dalam pilihanraya di Malaysia. Lain cerita lah pula di Thailand yang menginginkan calon-calon ADUN mesti sekurang-kurangnya berkelulusan sarjana muda (B.A). Manakala calon Ahli Parlimen pula sekurang-kurangnya berkelulusan Sarjana (M.A). Walaubagaimanapun, saya masih yakin calon PAS mampu menang di Manik Urai.

 

Huraian Mengenai Surah al-Fatehah dan al-Basmalah.

Mafhum firman Allah:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah , Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai (Yang Memerintah) hari pembalasan.  Hanya Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau saja kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan ni`mat kepada mereka; bukan jalan orang-orang yang dimurkai  dan bukan jalan orang-orang yang sesat. (Surah al-Fatehah 1-7).

Surah al-Fatehah mengandungi tujuh ayat. Ia diturunkan di Mekah dan dikenali sebagai Fatihah al-Kitab lantaran statusnya berada di awal surah mengikut susunan al-Quran. Ia dinamakan Umm al-Kitab (Ibu Kitab) kerana isi dan tujuannya yang luas merangkumi isi al-Quran secara keseluruhannya. Surah ini juga dinamakan al-Sab`u al-Matsani yang bermaksud “tujuh yang diulang-ulang” kerana tujuh ayat ini sentiasa diulang bacaannya setiap rakaat dalam solat.  Dalam memperkatakan tentang keutamaan surah ini, al-Imam al-Bukhari menukilkan sebuah hadis dalam Shahihnya; Daripada Abu Said al-Mu’alla r.a berkata “Rasulullah mengatakan kepadaku “Bukankah sudah aku beritahu mu sebesar-besar surah dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini?”. Lalu beliau memegang tanganku semasa kami semua ingin keluar. Aku menjawab “Wahai Rasulullah! Engkau telah nyatakan “Aku akan ajarmu sebesar-besar surah dalam al-Quran” lalu menyebutnya “Alhamdulillahirabbil ‘alamin”.

Berkaitan ayat 1hingga ayat 5, kebanyakkan para ahli tafsir sependapat mengenai huraiannya. Namun bagi ayat 6 hingga ayat 7, huraian (syarah) tentangnya boleh dikatakan terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sepertimana yang dinyatakan dalam; 

i)                    Tafsir al-Jalalain:  Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan yang Engkau telah berikan ni’mat kepada mereka dan bukannya jalan mereka yang dimurkai (iaitu golongan Yahudi) dan bukan juga jalan mereka yang sesat (iaitu golongan Nasrani).  Dengan kata lain, Golongan yang mendapat hidayah itu bukanlah golongan Yahudi dan juga golongan Nasrani.

ii)                   Al-Tafsir al-Wajiz ala Hamish al-Quran al-‘Azim: Tunjukkanlah kami di jalan yang lurus lagi jelas serta tidak bengkok, iaitu Islam dan Iman. Iaitu jalan yang Engkau telah kurnikan ni’mat kepada mereka daripada kalangan para malaikat, para anbiya, siddiqin, golongan syuhada’, orang-orang solehin dan bukan daripada kalangan mereka yang Engkau murkai; iaitu mereka yang angkuh dan tergelincir daripada kebenaran, golongan yang jauh dserta dalam keadaan jahil daripada kebenaran yang terdiri daripada para pengikut mazhab-mazhab sesat yang menyalahi ajaran Islam serta orang-orang jahat dan munafiqin.

Sementara bagi kalimah “Amin” yang bermaksud “Perkenankanlah doa kami wahai Tuhan” merupakan satu ungkapan doa dan disepakati secara ijma’, ia bukan ayat al-Quran. Al-Syahid Sayyid Qutb mengupas tentang surah ini dalam Tafsir al-Zilal: “ Seseorang muslim mengulangi menyebut surah pendek ini yang mengandungi 7 ayat  sebanyak 17 kali sekurang-kurangnya sehari semalam dan lebih daripada jumlah itu apabila dia mengerjakan solat-solat sunat”.

 Dalam pada itu, para ulama’ juga berselisih pendapat tentang al-Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim) بسم الله الرحمن الرحيم     adakah ia ayat al-Quran atau hanya sekadar doa sahaja?. Namun para ulama’ bersepakat bahawa perkataan Bismillah yang termaktub dalam surah al-Naml (Semut) adalah sebahagian daripada ayat al-Quran. ( انه من سليمان و انه بسم الله الرحمن الرحيم ). Berkaitan dengan perkataan Bismillahhirahmanirrahim pada permulaan surah al-Fatehah, ringkasnya ada tiga pendapat, iaitu;

i)                    Mazhab Syafie: Bismillah pada awal surah itu adalah sebahagian daripada surah al-Fatehah. Antara dalil yang dipegang oleh mazhab ini ialah (1)hadis Nabi daripada Ibn Abbas r.a “Rasulullah pernah memulakan bacaan dalam solat dengan bismillahirahmanirrahim”.

ii)                  Mazhab Maliki: Perkataan bismillah pada awal surah al-Fatehah bukan ayat al-Quran dan bukan sebahagian daripada surah al-Fatehah. Begitu juga pada awal surah-surah lain, al-Basmalah bukanlah ayat al-Quran. Mazhab ini berpegang dengan dalil hadis daripada Aisyah r.a; “Rasulullah memulakan solat dengan takbiratul-Ihram dan bacaan Alhamdulillahi rabbil alamin”.

iii)                Mazhab Hanafi: Perkataan bismillah itu merupakan pelengkap bagi al-Quran. Ia diturunkan sebagai pemisah antara setiap surah dan ia bukan ayat al-Quran. Mazhab ketiga pula berpegang dengan dalil hadis al-Qudsi yang dinyatakan oleh Abu Hurairah r.a “Aku dengar Rasulullah berkata Allah Azza wa Jalla berfirman “ Aku bahagikan antara Aku dan hambaKu kepada dua dan kepada hambaKu segala apa yang dipinta”.  Apabila seorang hamba berkata “Alhamdulillahi rabbil alamin”. Allah Taala berfirman “HambaKu memujiKu”. Apabila seorang hamba berkata “Al-Rahman al-Rahim” Allah Taala berfirman “HambaKu menyanjungKu”. Apabila seorang hamba berkata “Maliki yaumiddin, Allah Taala berfirman “HambaKu memuliakan Aku”. Dan Apabila seorang hamba berkata “Iyyaka na’budu wa Iyyaka nasta’in hingga ke akhir surah ini, Allah Taala berfirman “Ini adalah antara Antara dan hambaKu dan bagi hambaKu segala apa yang dipinta”. 

Sehubungan ini, para fuqaha’ Islam juga berselisih pendapat mengenai bacaan al-Basmalah (bismillahirahmanirahim) dalam solat;

i)                    Al-Imam Maliki menegah bacaan al-Basmalah dalam semua solat fardhu sama ada secara nyaring  ataupun secara perlahan, semasa pendahuluan surah al-Fatehah dan juga semasa memulakan bacaan surah-surah lain. Al-Imam Malik berpendapat bacaan al-Basmalah hanya harus dalam solat sunat (Nawafil).

ii)                  Al-Imam Abu Hanifah menggalakkan seseorang yang mengerjakan solat agar membaca al-Basmalah secara perlahan (sembunyi suara) bersekali dengan surah al-Fatehah pada setiap rakaat solat. Adalah lebih baik jika ia dibaca  setiap kali sebelum dibaca surah-surah lain.

iii)                Al-Imam Syafie: Membaca al-Basmalah adalah WAJIB dalam setiap solat.

iv)                Al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Basmalah hanya perlu dibaca secara perlahan (tidak dengan suara nyaring) dan tidak disunatkan membacanya dengan suara nyaring.

Sementara itu, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hanbal sependapat mengatakan bahawa bacaan surah al-Fatehah adalah syarat sah solat. Sesiapa yang berkemampuan membacanya tetapi meninggalkannya maka solatnya tidak sah. Manakala al-Imam al-Tsauri dan Abu Hanifah berpendapat sah solat tanpa bacaan al-Fatehah tetapi amat tercela (makruh) dan sekurang-kurangnya perlu diganti dengan 3 ayat pendek yang lain ataupun ayat panjang. Para fuqaha’ bersepakat bahawa seseorang makmum yang mendapati imam sedang rukuk, maka dia tidak wajib membaca al-fatehah (memadailah dengan bacaan imam). Namun jika seseorang makmum mendapati imam sedang berdiri (belum rukuk), maka dalam masalah ini  para fuqaha berselisih pendapat;

1)         Al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal mengatakan bacaan al-Fatehah di belakang imam adalah wajib  sama ada dalam solat secara sirriyyah (secara sembunyi bacaannya) ataupun solat jahriyyah (secara nyaring bacaan).

2)         Al-Imam Malik berpendapat makmum hanya perlu membaca al-Fatehah di belakang imam semasa dalam solat sirriyyah sahaja dan bukan dalam solat jahriyyah.

3)         Al-Imam Abu Hanifah; Seseorang makmum tidak wajib membaca al-Fatehah di belakang imam sama ada dalam solat sirriyyah ataupun solat jahriyyah.