Hujah Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan disanggah

Kolumnis cangkir retak.

Khamis Julai 2, 2009

Maaf, saya tidak setuju pemborong ikan jadi calon ADUN Manek Urai

MAAF, saya tidak boleh bersetuju kali ini.

YB Hj AbdulFatah Hj.Harun

YB Hj AbdulFatah Hj.Harun

Saya tidak boleh bersetuju bila seorang pemborong ikan diangkat menjadi calon ADUN Manek Urai. Bukan kerana saya menghina kerja pemborong ikan, tidak terniat sama sekali. Ini bukan soal mudah diterima atau sudah dikenali, ini soal kepimpinan, suatu amanah besar yang harus dipikul.

Saya juga tidak boleh bersetuju dengan hujah Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fattah Harun bahawa tugas ADUN hanya terhad di kawasannya sahaja, maka dia tidak semestinya berpendidikan tinggi, lainlah kalau dia dicalonkan untuk kerusi Parlimen.

Secara preskripsinya, jawatan ADUN dan Ahli Parlimen adalah sama, mereka dalam Bahasa Inggeris disebut “law makers.” Bezanya ADUN terlibat dalam penggubalan undang-undang negeri, sementara Ahli Parlimen terlibat dalam penggubalan undang-undang persekutuan. Di Dewan Undangan Negerilah, undang-undang peringkat negeri dibentang, dibahas dan diluluskan. Tanpa prejudis, apakah seorang pemborong ikan berkeupayaan dan mampu untuk terlibat sama dalam sesi-sesi sebegini?

Di Dewan Undangan Negeri juga, Belanjawan Tahunan Negeri dibentang, dibahas dan diluluskan. Sekali lagi tanpa prejudis, andainya saya adalah pengundi di Manek Urai, bagaimana saya boleh berharap seorang pemborong ikan boleh berkontribusi dan menyumbang dalam perbincangan tentang kewangan negeri?

Bayangkan jika seorang wartawan menemuramah calon PAS ini setelah bergelar YB, “Jika kerajaan persekutuan bersetuju memindahkan operasi pendaratan minyak Kelantan ke Kelantan sendiri, apakah prospek ekonomi dan sosial yang YB nampak?”

Mampukah seorang pemborong ikan menguasai isu-isu sebegini? Menganggar secara akademik berapa ribu peluang pekerjaan baru akan muncul, berapa peratus peningkatan hasil kerajaan negeri dari cukai, apa sektor-sektor hiliran yang akan muncul, perubahan taraf kehidupan dan sebagainya.

Menjadi ADUN bukan sekadar berkhidmat sebagai wakil rakyat, wakil untuk mendengar komplen rakyat, komplen tentang longkang tersumbat, komplen tentang sampah tidak diangkat, komplen tentang hidup susah dan melarat, komplen tentang banjir dan musibat serta lain-lain lagi.

Wakil rakyat, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen adalah pemimpin, mereka memimpin rakyat.

Pemimpin seharusnya seorang yang walau sedikit mesti idealis, dia mesti mampu menggagaskan sesuatu untuk masyarakat yang dipimpinnya, ringkasnya dia yang membawa rakyat, bukan rakyat yang membawanya, kemana?

Sudah tentu soal gagasan menjadi lebih penting untuk pemimpin yang bertaraf wakil rakyat, sebab gagasan kerajaan negeri juga akan dibincang dan diperdebatkan di Dewan Undangan Negeri. Saya tetap tidak mahu prejudis tetapi kepala saya tidak dapat lari dari tertanya-tanya tentang kemampuan seorang pemborong ikan dalam hal ini.

Suatu ketika dahulu, ketika di era pemerintahan Mahathir, Ibrahim Ali  pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal undang-undang. Ketika itu dia sering dikritik pembangkang kerana jawatan itu langsung tidak sesuai dengannya. Hujah popular ketika itu ialah perlantikan Ibrahim Ali adalah sesuatu yang zalim mengikut maksud Islam, kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Kepala bukan tempat meletak kasut, bahagian undang-undang bukan tempat Ibrahim Ali, apakah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri adalah tempat yang wajar untuk seorang pemborong ikan? Apakah PAS tidak memikirkan soal sekufu di antara Abe Uji Ikan dengan jawatan wakil rakyat? Apakah Abe Uji Ikan adalah “sesuatu” yang diletakkan bukan pada tempatnya iaitu jawatan wakil rakyat tersebut? Jika ya tidakkah ianya satu tindakan yang zalim?

Kepimpinan adalah amanah, amanah ini menjadi lebih berat bila kita bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri. Amanah yang dipegang bukan sekadar untuk mewakili rakyat di kawasannya secara adil dan saksama,  lebih penting adalah deretan amanah yang sudah digariskan sebelum seseorang itu memenangi sebuah pilihanraya, iaitu seorang ADUN mestilah menghadiri sidang DUN, bukan hanya hadir tanpa ponteng tetapi turut memberi sumbangan bermakna dalam perbincangan yang berlaku di dalamnya, sama ada yang melibatkan undang-undang, kewangan, pentadbiran, polisi, agama dan sebagainya.

Jika seseorang yang terpilih di kedudukan ini menjadi popular di kalangan rakyat kerana sentiasa ada di mana-mana acara di kawasannya, tetapi hadir dengan kebisuan setiap kali DUN bersidang, kekok untuk berbahas bersama-sama ahli Dewan yang lain akibat kekurangan pengetahuan, bagi saya dia bukan gagal, tetapi tidak mampu untuk memikul beban amanah berat sebagai ahli Dewan yang mulia.

Malangnya, dalam ketidakmampuan menjalankan amanah di Dewan yang menuntut profesionalisma dan intelektualiti, orang sebegini tetap menerima bayaran yang sama seperti ADUN lain, bayaran yang bersumberkan wang hasil titik-peluh rakyat. Apakah ketidakmampuan ini bukan satu pengkhianatan kepada amanah rakyat?

Atau PAS hari ini sudah mengubah strategi peperangannya? Yang penting mesti menang terus, momentum kemenangan perlu dikekalkan, jadi jalan paling selamat adalah memilih orang popular dan dikenali ramai di Manek Urai untuk bertanding, seperti kata Abdul Fattah Harun bahawa pengundi Manek Urai boleh terima dan tidak mengira isu pendidikan, wakil rakyat yang berurusan dengan kerajaan tidak semestinya berpendidikan tinggi.

Bolehkan PAS memakai prinsip asal boleh terima? Sedangkan pada waktu yang sama kualiti kepimpinan sedang dikorbankan.

Saya kira PAS Kelantan tidak kekurangan tokoh tempatan untuk diketengahkan sebagai calon yang bukan sekadar popular, tetapi berwibawa, apalagi ia hanya melibatkan satu kerusi DUN sahaja. Saya tidak nampak PAS begitu terdesak sehingga terpaksa berkompromi tentang mutu latar belakang calon yang diturunkannya.

Mungkin benar dakwaan Abdul Fattah yang penduduk Manek Urai tidak kisah pun jika calon yang bertanding tidak tinggi pendidikannya, tetapi percayalah Kelantan memerlukan kemasukan pemimpin baru yang memang terpelajar bagi memperkuatkan lagi kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz ini.

Artikel ini dipetik dari: http://mstar.com.my/

Towardsmardhatillah: Dewan Rakyat dan juga semua Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia hingga kini tidak mensyaratkan agar sesiapa yang ingin menyertai pilihanraya sebagai calon mesti mempunyai kelulusan tinggi. Ini bererti tindakan PAS meluluskan calonnya, Hj. Fauzi Abdullah untuk bertanding di DUN Manik Urai adalah tidak menyalahi peraturan pilihanraya dan juga tidak bertentangan dengan Undang-Undang negara. Dengan kata lain, bukan hanya peniaga ikan saja yang boleh dicalonkan, malah tukang kebun sekolah pun layak untuk bertanding dalam pilihanraya di Malaysia. Lain cerita lah pula di Thailand yang menginginkan calon-calon ADUN mesti sekurang-kurangnya berkelulusan sarjana muda (B.A). Manakala calon Ahli Parlimen pula sekurang-kurangnya berkelulusan Sarjana (M.A). Walaubagaimanapun, saya masih yakin calon PAS mampu menang di Manik Urai.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: