Archive for July 18th, 2009

Hadi, k’jaan perpaduan hanya isu ilmiah?

Lee Ban Chen | Jun 17, 09 1:26pm 
Isu kerajaan perpaduan yang mengancam perpaduan PAS dan Pakatan Rakyat tiba-tiba disifatkan sebagai “diskusi-diskusi akademik” oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Jenaka hitam ini menjadi begitu absurd berbanding dengan kritikan terbuka Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa mereka yang mempertahankan kerajaan perpaduan merupakan “boneka-boneka Umno”.Jelas sekali Tok Guru langsung tidak berminat untuk mengkarikaturkan isu ini yang dianggapnya amat serius.Kemurkaan Tok guru diserang oleh Rais Yatim, ahli majlis tertinggi Umno, sebagai menyerlahkan “muka sebenar” sebagian besar pemimpin Melayu pembangkang yang tidak jujur memperjuangkan Islam sebagai agama harmoni dan perpaduan, mereka umpama “menanam tebu di bibir”.

Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa sebaliknya dikategori sebagai pemimpin yang berpandangan jauh, sedang yang lain hanya mengamalkan politik populis, dan sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan disifatkan sebagai langkah negarawan yang layak diberi penghargaan.

Dengan pembelaan Rais itu, imej “boneka” mereka yang menyokong idea kerajaan perpaduan seolah-olah diserlahkan oleh jaguh propaganda Umno sendiri!

Dalam kemelut politik dan ekonomi negara kita, memang tidak masuk akal presiden PAS dan penyokong-penyokongnya masih bebas melibatkan diri mereka dalam “diskusi-diskusi akademik” yang tidak akan membawa hasil tetapi, malah, boleh memecahkan PAS menjadi dua kumpulan, yang pro- dan yang anti-kerajaan perpaduan menjelang dan selepas muktamar ke-55 baru-baru ini.

Abdul Hadi sepatutnya tidak begitu mudah lupa. Cuma pada 6 Jun lalu, beliau masih mengulangi keyakinannya bahawa gagasan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskannya itu tidak akan terkubur dan akan tiba masanya cadangan itu diterima oleh kepimpinan PAS sendiri dan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Sudah barang tentu kenyataannya itu suatu pendirian politik yang tegas, bukan retorik akademik.

Selepas menghadapi tentangan hebat dari dalam dan luar parti, kini Abdul Hadi mulai menyebut tentang prasyarat yang mahukan kerajaan membuat perubahan dahulu mengenai demokrasi, bidang kehakiman dan kebebasan media.

Gelagat ganjil ini memperlihatkan sikap kurang jujur dan tidak bertanggungjawab seorang tokoh Pakatan Rakyat yang hanya berani bikin tetapi tidak berani menghadapi kritikan dan memperbetulkan kesalahan yang telah dilakukan.

Di samping itu, beliau akui PAS belum lagi membincangkan isu kerajaan perpaduan semasak-masaknya, dan ia juga belum lagi menjadi satu cadangan Pakatan Rakyat.

Padahal isu kerajaan perpaduan telah jadi isu pokok yang memisah-misahkan calon-calon kepimpinan parti menjadi dua kumpulan, iaitu yang pro- dan yang anti-kerajaan perpaduan.

Sementara keputusan pemilihan pula membuktikan calon-calon kumpulan anti-kerajaan perpaduan memenangi kerusi majoriti di peringkat naib-naib presiden dan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS walaupun bagi jawatan timbalan presiden, perpecahan undi Husam Musa dan Mohamad Sabu menyebabkan Nasharudin, yang pro-kerajaan perpaduan, menang besar.

Jika  belum dibincang semasak-masaknya di peringkat PAS, kenapa terburu-buru mengambil pendirian menyokong kerajaan perpaduan? Dan jika ia belum lagi menjadi satu cadangan Pakatan Rakyat, kenapa sebelum ini dikatakan pula DAP dan PKR telah setuju dengan cadangan tersebut?

Hanya selepas parti-parti terlibat menafikan dakwaan Abdul Hadi dan meminta beliau membuat penjelasan selanjutnya, barulah presiden PAS bertukar pendekatan terhadap isu terbabit.

Sebagai seorang tokoh agamawan dan pemimpin Pakatan Rakyat, tidakkah Abdul Hadi perlu bersikap lebih telus, konsisten dan jujur?

Beliau boleh cuba bersikap lepas tangan dengan menyifatkan saranannya sekadar “diskusi-diskusi akademik” tetapi kerosakan-kerosakan serius telah dilakukan, antaranya:

1.Oleh kerana cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan penukaran dasar yang akan mempengaruh halatuju PAS, Pakatan Rakyat dan kepentingan rakyat pada keseluruhannya, memulakan muzakarah dengan Umno sebelum dasar terbabit dibincangkan semasak-masaknya nyata sekali tidak mengikut proses demokratik penggubalan dasar yang wajar.

2.Muzakarah PAS-Umno tanpa dipersetujui PKR dan DAP terlebih dahulu boleh membawa makna negatif bahawa PAS mungkin ingin menarik diri daripada gabungan pembangkang dan cuba melompat kepada Barisan Nasional.

Atau ia menimbulkan syak wasangka teman-teman Pakatan Rakyat dan kepimpinan PAS sendiri sama ada cita-cita peribadi lebih diutamakan atau, lebih teruk lagi, adakah mereka berperanan sebagai “boneka-boneka Umno” seperti label Tok Guru Nik Aziz?

3.Gagasan kerajaan perpaduan yang menyerlahkan matlamat perpaduan orang Melayu-Islam seperti diuar-uarkan dalam media aliran perdana memberi gambaran seolah-olah PAS telah bergabung dengan dasar perkauman Umno, yang berasaskan ketuanan Melayu, yang kini menjadi dasar ketuanan Melayu-Islam yang lebih menakutkan bukan Melayu-Islam.

4.Sokongan pengundi kepada PAS pada pilihanraya umum ke-12 dan pilihanraya-pilihanraya kecil seterusnya, terutamanya pengundi bukan-Melayu bertujuan menentang kerajaan Umno-Barisan Nasional. Oleh itu, PAS sebenarnya tiada mandat untuk menyokong penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Dan saya percaya kebanyakan pengundi Melayu yang menyokong PAS, termasuk ahli-ahlinya sendiri juga tidak akan menyokong penubuhan kerajaan perpaduan untuk menyelamatkan Umno ingin ditumbangkan, pada akhirnya.

5.Di samping isu kerajaan perpaduan, penekanan kepimpinan ulama yang seolah-olah cuba meminggirkan peranan profesional dan usul mendesak kerajaan mengharamkan Sisters In Islam (SIS) memberi gambaran PAS kembali kepada pendiriannya yang lebih konservatif, eksklusif dan tidak toleran.

Jika persepsi negatif ini tidak dilenyapkan, ada kemungkinan ia akan mengakibatkan PAS kehilangan sokongan yang dimiliki dalam tsunami politik 8 Mac tahun lalu dan pilihanraya-pilihanraya kecil seterusnya.

6.Sokongan Presiden PAS dan timbalannya terhadap idea kerajaan perpaduan di muktamar ke-55 parti itu membuka peluang emas musuh-musuhnya politiknya sendiri, terutamanya MCA dan Gerakan yang berada dalam keadaan defensif selepas tsunami politik tersebut.

Peluang itu digunakan untuk melancarkan propaganda anti-PAS secara ofensif dan lantang, dan tidak dapat dinafikan, ada juga penganalisis politik yang dulu bersimpati dengan Pakatan Rakyat kini menganggap bukan Melayu sudah ditipu oleh PAS.

Saya amat bersetuju dengan Dr Dzulkefly Ahmad, ahli jawatankuasa pusat PAS yang menekankan kepentingan pilihan strategik. Umpamanya, jika hanya Husam atau Mohamad yang bertanding mencabar Nasharudin, maka kini yang kalah mungkin penyandangnya.

Alangkah baiknya jika polemik ulama-profesional dan pertikaian berhubung isu kerajaan perpaduan tidak ditimbulkan.

Segala tenaga PAS boleh ditumpukan untuk merencana dan menggerakkan suatu pelan induk untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu pengundi Melayu-Islam seperti cadangan Dr Dzulkefly!

http://www.malaysiakini.com/columns/106639

Towardsmardhatillah: Artikel ini adalah luahan hati seorang penulis Cina, Lee Ban Chen. Bukan hanya orang PAS saja yang tolak idea Datuk Seri Hj.Hadi Awang tapi orang Cina pun tolak sama juga.

Wajarkah UMNO dikutuk?

Sabtu Julai 18, 2009

Dr Asri tegur sikap PAS cerca orang lain kerana perbezaan pendapat

Oleh ZIEMAN

Dr.Mohd.Asri

Dr.Mohd.Asri

PETALING JAYA:

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegur parti PAS agar tidak terus mencerca orang lain hanya disebabkan perbezaan pendapat.

Menurut beliau, PAS yang memperjuangkan Islam sepatutnya tahu bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan diadili oleh Allah di akhirat kelak.

“Perkataan Islam disebut dalam PAS, adakah mereka lupa bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan dibawa ke mahkamah Allah di akhirat.

“Apakah setiap kali berbeza pendapat mereka perlu mencerca pihak yang mereka tidak suka?,” katanya kepada mStar Online.

Dr Asri juga menyifatkan isu ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah satu contoh yang menunjukkan PAS bukan hanya mencerca pihak lain malah pemimpin-pemimpin mereka yang menyokong konsep tersebut turut menerima nasib yang sama.

“Sehingga kepada sesama sendiri pun dicerca dan dihina. Mereka hina dan mencerca pemimpin sendiri apabila berlaku perbezaan dalam isu ‘Kerajaan Perpaduan’,” katanya.

Tegasnya, ada pihak dalam PAS sendiri yang menghalalkan cercaan itu dengan memberikan alasan ‘orang lain’ lebih teruk.

“Apakah jika orang lain anda anggap teruk, maka anda boleh melakukannya juga?

“Apa akan terjadi kepada masa depan negara jika kita mengajar budaya ‘jangan berbeza pendapat dengan pemimpin kami, jika tidak awak kami maki’,” ujar belia lagi.

Dr. Asri juga tidak menolak kemungkinan PAS akan bertindak menghina beliau selepas kenyataannya ini dikeluarkan.

“Lihatlah selepas kenyataan ini dikeluar, sebahagian mereka akan menyambutnya dengan makian dalam blog-blog mereka.

“Mereka maki Tan Sri Harussani (Mufti Perak) apabila mereka sudah tidak sebulu lagi dengannya… dulu, mereka juga pernah memaki saya,” katanya.

Dr. Asri menjelaskan, beliau bukan bermusuh kepada PAS tetapi ia hanya sebagai teguran seperti mana yang pernah dilakukannya terhadap parti Umno.

Beliau berharap pemimpin tertinggi PAS dapat menasihati ahli-ahli mereka terutama yang menjadikan laman blog sebagai medium untuk mencerca orang lain supaya lebih berakhlak.

Jelasnya, generasi muda pada masa ini semakin bijak menilai bahawa budaya politik maki hamun dan carut-marut hanya kerana perbezaan pendapat bukan akhlak Islam.

Artikel ini dipetik dari: http://www.mstar.com.my/

Towardsmardhatillah: UMNO sejak dulu hingga sekarang tidak pernah melaksanakan perundangan Islam secara syumul meskipun sudah lama memegang kuasa politik dan pentadbiran negara. Malah sikap UMNO yang suka memutar belitkan tentang perlaksanaan Islam telah mengeruhkan serta mencemarkan suasana politik tanahair. Paling teruk sekali apabila UMNO berusaha mengelirukan pemikiran rakyat Malaysia dengan menganggap  perlaksanaan syiar Islam adalah sama dengan perlaksanaan  syariat Islam. Dengan ini, rakyat akan terkeliru apakah sebenarnya perbezaan antara negara Islam dan juga negara majority umat Islam. Mengikut konsep dakwah dan juga jihad, proses pengeliruan sebegini adalah perkara mungkar yang perlu ditentang dan dibangkang habis-habisan. Sepanjang usaha menentang dan juga membangkang tindakan UMNO yang tidak pernah berubah dan menganggap dirinya (parti tersebut) berada atas landasan yang benar, pasti akan mengundang kemarahan setiap jiwa yang sentiasa menentang kemungkaran. Justeru berlakulah perbuatan memaki hamun dalam situasi yang diharuskan oleh syarak berasaskan sirah di mana  sahabat Rasulullah juga pernah memaki musuh Allah dengan kata-kata kesat (sila rujuk tindakan Saidina Abu Bakar dalam kitab Sirah Nabawiyyah Ibn Hisyam). Justeru, mana-mana pemimpin PAS yang bertindak menyokong idea pembentukan Kerajaan Perpaduan perlu ditentang kerana tindakan tersebut tidak akan menguntungkan PAS langsung tetapi hanya menguntungkan parti lawan dan juga beberapa individu yang gilakan jawatan seperti jawatan Menteri dan lain-lain lagi jika idea ini berjaya dilaksanakan. Tentu sekali tindakan menyokong idea Unity Government yang ditentang oleh suara majority dalam PAS ini (termasuklah majoriti AJK PAS Pusat) boleh menimbulkan kemarahan sesiapa saja yang sudah lama meluat dengan sikap dan cara UMNO berpolitik. Sudah tentu kemarahan segelintir orang-orang PAS ini menyebabkan UMNO dikutuk sebegitu rupa.  

 

 

 

Penculikan bayi oleh makhluk halus?

Peristiwa penculikan kanak-kanak dan juga bayi oleh manusia-manusia yang tidak berperikemanusiaan sering kedengaran berlaku di mana-mana  saja sama ada di kota ataupun di desa. Namun bagaimana pula jika kanak-kanak atau bayi manusia dikatakan diculik oleh makhluk halus??? Hasil pengamatan dalam masalah ini; meskipun jarang ditemui, kes kehilangan bayi dalam kandungan didapati pernah berlaku ke atas pasangan suami isteri yang menanti anak pertama ataupun anak sulung. Kejadian ini disahkan oleh kepakaran seseorang doktor apabila seseorang wanita yang tidak didatangi haid seperti kebiasaannya setelah dilakukan pemeriksaan termasuklah pemeriksaan air kencing dan kemudian disahkan oleh doctor terbabit bahawa dia mengandung. Tiba-tiba secara mengejut kandungannya menghilang (setelah bangkit dari tidur) selepas dibuat pemeriksaan berkali-kali dan disahkan kepakaran doctor dalam bidang ini. Kalau tak jadi beranak secara normal, tentulah berlaku keguguran yang memerlukan proses penyucian dan pembersihan oleh pihak hospital ataupun bidan yang terbabit. Meskipun begitu, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Dari segi saintifik, kehilangan bayi dalam kandungan yang dianggap sebagai penculikan oleh makhluk halus sama ada yang digelar orang bunian dan sebagainya tidak mampu diterima oleh akal jika si ibu itu sebelum ini didapati benar-benar sah mengandung (hamil).  Sebagai muslimin yang beriman dengan kekuasaan Allah  Taala, kita semua wajib yakin bahawa segala kejadian seumpama ini berlaku atas ketentuan Allah Taala.

 

Namun jika diteliti dari sudut pengamalan ilmu hitam, species syaitan dan jin sering digunakan untuk tugasan terkutuk ini. Oleh itu,  pastikan diri masing-masing sentiasa hampir dengan hidayah Allah Taala agar sentiasa dijauhi daripada segala kejahatan ini.  Meskipun ada segelintir yang mendakwa anak mereka diculik oleh orang bunian (jin) dan berbangga dengan tindakan sedemikian, namun sebenarnya dakwaan tersebut hanyalah berlandaskan kejahilan semata-mata. Cuba fikir secara rasional; Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia dan jin. Bagi tugasan ini, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur untuk dijadikan pedoman oleh mereka yang beriman kepada Allah sama ada daripada kalangan jin dan manusia. Sudah tentu kerja terkutuk sebegitu dilakukan oleh iblis dan sekutu-sekutunya. Justeru, apakah kejadian tersebut wajar dibanggakan? Pasti sekali golongan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak akan melakukan penculikan sedemikian. Ada juga dikalangan mangsa yang mendakwa “Ada suara yang membisikkan kepada saya dalam mimpi “Aku nak ambil anak dalam kandunganmu……mu tak perlu bimbanglah…..anakmu selamat”. Bagi ibu-ibu yang benar-benar mengandung tetapi mengalami gangguan sebegini, maka ketahuilah itu adalah gangguan syaitan yang sentiasa ingin merosakkan aqidah mereka.  Makhluk halus yang beriman kepada Allah tidak akan melakukan tindakan terkutuk sedemikian rupa kerana mereka tahu bahawa tindakan menculik bayi adalah perbuatan merampas hak orang lain dan ia amat  terkutuk di sisi syariat Islam.

 

Namun jika ada dikalangan wanita yang tidak mengandung (setelah disahkan oleh doktor) tetapi masih mendakwa dirinya hamil dan kemudian mengatakan bahawa anak dalam kandungannya dilarikan oleh orang bunian, maka ketahuilah bahawa wanita sedemikian sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan mental yang amat kritikal. Aqidah individu ini juga pada hakikatnya telah dipesongkan lantaran perkara-perkara khurafat yang sering menyelubungi mindanya. Seterusnya, jika ada dikalangan wanita yang hanya menipu kononnya diri beliau mengandung ekoran faktor-faktor kepentingan peribadi yang melampau seperti inginkan perhatian, gilakan pangkat kedudukan ataupun harta, maka sebenarnya wanita tersebut juga mengalami penyakit jiwa serta mental yang lebih kronik. Tahap mentali wanita ini lebih kritikal lagi jika dibandingkan dengan wanita yang tidak mengandung tetapi mendakwa dirinya hamil dan kemudian mengatakan anak dalam kandungannya dilarikan oleh orang bunian.