Kenyataan Ibrahim Ali bercanggah dengan tuntutan syarak.

Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali. Pertama selama dua tahun (1974-1976) kerana terlibat dalam demonstrasi Baling. Kedua, selama 60 hari akibat demonstrasi ketuanan Melayu di Kuala Lumpur pada 1978.

Tetapi saya tidak pernah menentang ISA. Saya yakin undang-undang ini perlu dan penting. Ia bersifat preventif atau pencegahan dan bukannya kuku besi.

ISA hanya dikenakan ke atas individu untuk mencegah mereka daripada bertindak menjejaskan ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Sewaktu berucap di Dewan Rakyat atau di majlis-majlis umum, saya sentiasa menegaskan ISA adalah penting dan perlu kepada Malaysia yang majmuk penduduknya. Saya juga sering nyatakan, ISA wajar dipinda dan diperbaiki.

Bukannya dimansuhkan sama sekali seperti desakan sesetengah pihak.

Ini kerana undang-undang yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan itu sangat penting untuk mencegah kegiatan subversif dan terorisme.

ISA berbeza dengan Kanun Keseksaan. ISA bertujuan mencegah sesuatu jenayah keganasan. Kanun Keseksaan pula untuk menghukum individu setelah berlakunya jenayah.

Jika tahanan ISA dibicarakan di mahkamah, tentunya pendakwaan akan gagal kerana tidak dapat memenuhi elemen-elemen pembuktian kes jenayah iaitu mens rea dan actus reus.

Mens rea merujuk kepada niat seseorang, sama ada dia memang berhasrat untuk melakukan sesuatu jenayah atau sebaliknya. Sementara actus reus pula merujuk kepada tindakan sebenar penjenayah tersebut.

Contohnya, sekumpulan individu ditahan di bawah ISA kerana merancang untuk mengebom sebuah bangunan awam di negara ini. Mereka dihadapkan ke mahkamah. Tetapi, bolehkah mahkamah menjatuhkan hukuman apabila serangan belum berlaku dan tiada siapapun yang tercedera?

Dalam kes seperti ini elemen mens rea mungkin boleh dibuktikan. Tetapi, elemen actus reus pastinya gagal untuk dibuktikan.

Oleh itu, jika tahanan ISA dibicarakan di mahkamah, tentu tahanan itu akan dibebaskan. Apabila bebas, individu terbabit dengan mudahnya akan merancang tindakan lain untuk mengancam keselamatan negara.

Saya berpendapat kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri dalam mengenakan tahanan ISA perlu dimansuh dan digantikan dengan kuasa sebuah badan bebas. Badan ini mungkin boleh dinamakan sebagai Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKDN).

Panel yang menganggotai MKDN pula termasuklah Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Pengerusi Suhakam.

Pengerusi MKDN pula wajar dilantik daripada kalangan bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang berwibawa.

MKDN juga perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya tindakannya dilaporkan terus kepada Parlimen Malaysia.

Ini kerana ISA adalah undang-undang yang digubal dengan kuasa khas Parlimen menerusi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Sebab itulah Parlimen berkuasa menggubal dan meminda ISA dengan menafikan hak-hak individu dalam Perlembagaan Persekutuan.

ISA boleh digubal dan dipinda dengan mengenepikan Perkara 5 mengenai kebebasan individu; Perkara 9 mengenai kebebasan bergerak; Perkara 10 mengenai kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan serta Perkara 13 mengenai kebebasan pemilikan harta. Ini bermakna ISA adalah undang-undang yang tujuannya adalah digariskan sendiri oleh Perlembagaan. Oleh sebab itulah pelaksanaan ISA perlu dipantau oleh Parlimen.

Saya yakin cadangan-cadangan ini boleh menjadikan ISA semakin telus, pemerintah tidak akan menyalahgunakannya sementara pihak-pihak tertentu pula tidak akan mengeksploitasikannya.

Perkasa di bawah pimpinan saya akan mewujudkan sebuah panel khusus untuk mengkaji beberapa peruntukan dalam ISA yang wajar dipinda demi kebaikan semua pihak.

Cadangan-cadangan Perkasa akan dikemukakan kepada kerajaan. Inilah sebaik-baik cara jika kita ikhlas dan bukannya menggunakan ISA untuk matlamat yang sempit.

Saya juga menyokong pendapat Datuk Ruhanie Ahmad dalam Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa ISA penting untuk keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi.

Ini bermakna, ia adalah undang-undang yang diperlukan oleh sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia kerana negara ini adalah majmuk dan sentiasa berdepan dengan masalah etnik dan agama.

ISA juga diperlukan untuk mempertahankan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Undangundang ini mencegah tindakan menukar sistem pemerintahan negara secara tidak demokratik.

Di samping itu, ISA diperlukan untuk mencegah masalah keselamatan bukan tradisional seperti perkauman, terorisme, sabotaj, ekstremisme, cauvinisme dan pengkhianatan terhadap negara.

Selama ini ISA dipolemik dan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan sesetengah rakyat terpengaruh kononnya akta itu menindas dan mencanggahi hak-hak asasi manusia.

Persepsi seperti ini menyebabkan sesetengah rakyat gagal memahami falsafah serta matlamat ISA yang sebenarnya digubal untuk menjamin keselamatan negara.

Perkasa tetap berpendirian ISA adalah perlu dan penting kepada Malaysia. ISA tidak akan menjadi masalah jika tidak ada pihakpihak tertentu yang perjuangannya bergantung kepada isu dan kontroversi.

Pada 1 Ogos 2009, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bercadang mengadakan satu perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak pemansuhan ISA.

Apa perlunya perhimpunan itu? Bukankah kerajaan sudah berjanji untuk meminda ISA supaya jadi lebih telus? Atau, mungkinkah perhimpunan ini disengajakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada “kes-kes dan perkembangan tertentu” mutakhir ini?

Jika GMI meneruskan rancangannya, Majlis Gerakan NGO Penyokong Kerajaan (Magaran) pula akan mengadakan satu perhimpunan, juga di Kuala Lumpur, pada hari dan waktu yang sama.

Ini adalah untuk membuktikan kepada umum bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang mahukan ISA dikekalkan, tetapi dengan pindaan-pindaan yang sewajarnya.

Magaran akan meneruskan perhimpunan itu jika GMI tidak membatalkan rancangannya. Dalam perkembangan seperti ini pasti akan berlaku pertembungan yang tidak diingini.

GMI perlu memikirkan implikasi ini. Bayangkanlah apa yang mungkin terjadi jika berlaku pertembungan antara GMI dan Magaran. Kita sangat berharap ketenteraman awam tidak diganggu gugat sekali lagi. — Utusan Malaysia

*Datuk Ibrahim Ali adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan merangkap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa.

 

Dipetik dari: Malaysianinsider, 30hb.Julai 2009.

 

Towardsmardhatillah: ISA adalah akta zalim kerana ia tidak memberi peluang kepada mangsa sama ada yang bersalah ataupun tidak bersalah untuk membela diri. Lantaran itu, akta ini bercangggah dengan perundangan Islam. Meskipun begitu, masih ada lagi di kalangan rakyat Malaysia yang  bersikap redha dengan kezaliman meskipun ISA pernah dikenakan ke atas dirinya. Antara individu yang paling ketara mempertahankan kezaliman ISA ialah Datuk Ibrahim Ali. Dalam usahanya itu, beliau mengatakanSaya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali. Pertama selama dua tahun (1974-1976) kerana terlibat dalam demonstrasi Baling. Kedua, selama 60 hari akibat demonstrasi ketuanan Melayu di Kuala Lumpur pada 1978. Tetapi saya tidak pernah menentang ISA. Saya yakin undang-undang ini perlu dan penting. Ia bersifat preventif atau pencegahan dan bukannya kuku besi. ISA hanya dikenakan ke atas individu untuk mencegah mereka daripada bertindak menjejaskan ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat dan keselamatan Negara”.  Selepas diteliti petikan ucapan ini, saya dapati ada sesuatu yang tidak kena dengan jiwa Dato’ Ibrahim. Dia rela dirinya ditahan dibawah ISA dan dia kelihatan berbangga setelah dikenakan tindakan tersebut. Akta ini sah zalim kerana ia bercanggah dengan tuntutan syarak namun masih dianggap bukannya berkuku besi. Bagi mengatasi  masalah kecelaruan dan ketidak tenteraman dalam negara, segala bentuk hukuman yang sepadan dengan tindakan negative yang boleh menjejaskan reputasi negara dan rakyat dinyatakan dengan jelas dalam surah al-Maidah, ayat 33-34.

Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh atau dipalang (disalib) atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Tafsir al-Wajiz Hamsiy ala al-Quran al-Azim)

Hukuman bagi tingkah laku jahat yang dimurkai Allah seperti membakar atau mengebom bangunan, rogol, rompak, samun, ugut dan juga rempit dinyatakan dalam ayat ini. Oleh itu, segala saranan agar ISA dikekalkan untuk digunakan ke atas golongan mafia ataupun genster juga adalah satu saranan yang zalim kerana golongan ini juga berhak untuk membela diri mereka sendiri.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: