Why double standard?

The Star, Monday 3 August 2009, page N4;    “Don’t join street demo“, Najib: Government willing to provide venues for people to vent anger.

Dr. Hatta Ramli

Dr. Hatta Ramli

 

Anyway, what’s about this demostration below?

Demostrasi jadian di Kelantan 1978 untuk gulingkan PAS Kelantan

Demostrasi jadian yang ditaja oleh UMNO di Kelantan 1977 untuk gulingkan PAS Kelantan

 

Does Ibrahim Ali (hanging the speaker) still remember his photo with Dato' Muhammad Nasir?

Does Ibrahim Ali (hanging the speaker) still remember his photo with Dato' Muhammad Nasir?

According to Ustaz Salahuddin Abdullah:

Mengikut catatan penulis dalam buku Harian tahun 1977, sebaik saja selesai sidang DUN pada hari Sabtu 15hb.Oktober 1977, penulis telah dihantar balik ke rumah di Jalan Yaakubiah oleh beberapa orang anggota polis dengan menggunakan kereta Kerajaan Negeri Kelantan.  Kemudian pada hari Ahad, 16hb.Oktober 1977/ 4hb.Zulkaedah 1397H, Yang Dipertua Agung PAS kembali ke Kota Bharu dan disambut meriah oleh ahli-ahli PAS. Dalam ucapan ringkasnya di halaman rumah penulis, Yang DiPertua Agung PAS meminta agar semua ahli PAS menghadapi situasi ini dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Taala. Beliau balik semula ke Kuala Lumpur pada 18hb.Oktober 1977 (waktu malam). Pada hari yang sama juga tersebar berita bahawa para penyokong Dato’ Muhammad Nasir sedang menyusun gerakan untuk melakukan perarakan yang dipenuhi dengan keganasan di sekitar bandar Kota Bharu. Pada hari Rabu 19hb.Oktober 1977, para penyokong Dato’ Mohd.Nasir mengadakan perarakan liar di tengah bandar Kota Bharu. Pejabat SUK diceroboh dan dilontar dengan batu hingga menyebabkan cermin-cermin di bahagian  tertentu pecah.

Ustaz Salahuddin Abdullah, bekas EXCO kerajaan negeri Kelantan 1974-1978

Ustaz Salahuddin Abdullah, bekas EXCO Kerajaan Negeri Kelantan 1974-1978

Pada pagi hari Sabtu 22hb.Oktober 1977,  perhimpunan haram oleh sekumpulan penyokong Dato’ Muhammad Nasir diadakan di rumah Timbalan Menteri Besar Hj.Wan Ismail Ibrahim dan juga di rumah penulis. Ketika Hj. Wan Ismail menelefon dan memberitahu penulis bahawa orang ramai sedang berkumpul di sekitar rumah beliau, penulis menawarkan untuk menghantar sebahagian penyokong PAS yang berkumpul di rumah penulis untuk membantu mengawal keselamatan rumah beliau. Namun Hj. Wan Ismail menolak tawaran penulis kerana menurutnya sudah ramai anggota polis yang berkawal di sekitar halaman rumah beliau. Hj.Wan Ismail yakin pihak polis tidak akan membiarkan sebarang tindakan liar berlaku. Menjelang tengahari penulis mendapat berita rumah beliau diserang dengan hebat dan dilontar batu hingga semua cermin bahagian depan rumahnya pecah. Motokar beliau juga turut remuk dan seluruh ahli keluarganya diancam.

Serangan tersebut akhirnya berhenti setelah pihak berkuasa yang diketuai oleh Dato’ Zaman Khan mengarahkan mereka semua bersurai daripada halaman rumah Hj.Wan Ismail. Perlu dinyatakan juga di sini, ketika mana rusuhan berlaku di rumah Hj.Wan Ismail, YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad tiba di Kelantan dengan maksud mengemukakan satu formula penyelesaian yang dikenali sebagai Formula Mahathir. Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah dua orang wakil PAS Pusat, Dr.Harun Din dan Dr.Alias Abbas. Jelas sekali formula penyelesaian yang dikemukakan ini amat berat sebelah.

Dalam cadangan itu,  Dr.Mahathir syorkan penubuhan sebuah kerajaan baru di Kelantan dengan syarat semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan dikekalkan. Sementara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi pihak PAS perlu diganti dengan muka-muka baru[1]. Walaupun begitu, cadangan ini tidak mendapat respon positif daripada Dewan Harian PAS Kelantan yang telah memutuskan dalam mesyuaratnya pada 23hb.Oktober 1977; berdasarkan kepada Perlembagaan Kelantan, bahawa Muhammad Nasir bukan lagi Menteri Besar Kelantan melainkan apabila Sultan Kelantan memperkenankan permohonan beliau untuk mengadakan satu pilihanraya baru. Beliau perlu meletakkan jawatannya. Jika cadangan ini dilaksana sekalipun, Dewan Harian tetap berpendapat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri UMNO juga perlu digantikan dengan muka-muka baru.[2]

Pada hari itu juga pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung di Bandar Kota Bharu termasuklah juga kawasan Majlis Tempatan Kubang Krian[3]. Pada sebelah petang, penulis dan sebahagian ADUN PAS Negeri Kelantan dibawa dengan kenderaan polis ke rumah kediaman Ketua Polis Negeri Kelantan[4] di Jalan Raja Dewa untuk bertemu dengan YAB Timbalan Perdana Menteri. Dalam perjumpaan inilah Dr.Mahathir mengemukakan formulanya serta menyarankan;

i)                    Sebuah kerajaan baru perlu diwujudkan.

ii)                  Semua Ahli-ahli Exco PAS perlu diganti dengan muka-muka baru dan semua Ahli-ahli Exco UMNO perlu dikekalkan.

Semua saranan ini tidak mendapat reaksi positif daripada Dewan Harian PAS Kelantan yang menyatakan pandangan berdasarkan perlembagaan Kelantan; bahawa Muhammad Nasir hendaklah serta merta meletakkan jawatan melainkan apabila Sultan Kelantan memperkenankan permohonan beliau untuk mengadakan satu pilihanraya baru, beliau perlu meletakkan jawatan juga jika cadangan ini dilaksana sekalipun. Manakala semua Ahli Exco UMNO juga perlulah digantikan dengan muka-muka baru[5]. Sementara itu, seorang pegawai tinggi polis mengambil kesempatan memberi “nasihat” kepada kami semua ADUN PAS supaya menerima baik formula itu dan kononnya demi menjaga keselamatan kami semua, eloklah kami semua meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Manakala pada sebelah malam pula para penyerang pro Dato’ Muhammad Nasir berkumpul di hadapan rumah Speaker Dewan, Dato’ Nik AbdulRahman Nik Mohammad bertujuan mengancam keselamatan beliau dan keluarganya. Namun rancangan jahat itu tidak berhasil sepenuhnya.

Krisis dalaman PAS semakin kronik apabila Dr.Mahathir menyatakan hasrat untuk mendaruratkan negeri Kelantan pada 25hb.Oktober 1977 dalam cadangan balasnya terhadap keputusan Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 23hb.Oktober 1977. Cadangan balas beliau mengandungi empat perkara, iaitu;

i)                    Kerajaan pimpinan Muhammad Nasir perlu meletak jawatan.

ii)                  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan sama ada daripada pihak PAS ataupun UMNO perlu digantikan dengan muka-muka baru.

iii)                Buat sementara waktu pentadbiran Kerajaan Kelantan perlu diuruskan oleh seorang pegawai tadbir (pegawai kanan MCS) yang bertanggungjawab secara langsung terus kepada Perdana Menteri di bawah satu rang undang-undang darurat.

iv)                Persoalan untuk mengadakan pilihanraya tidak berbangkit sama sekali[6].

Semua cadangan ini ditolak oleh Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 26hb.Oktober 1977. Seterusnya pada 28hb.Oktober 1977, Mesyuarat Dewan Harian PAS Negeri Kelantan mengumumkan kewujudan perkara ketiga cadangan balas Dr.Mahathir itu sebagai satu faktor yang akan mengakibatkan kerajaan yang  bakal ditubuhkan itu menjadi sebuah “kerajaan boneka”[7]. Penolakan cadangan balas Dr.Mahathir oleh Dewan Harian PAS Kelantan disokong oleh Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 29hb.Oktober 1977 yang memberi mandat kepada satu jawatankuasa khas yang dianggotai  oleh Ishak Lutfi Omar, Nik AbdulRahman Nik Mohammad, Wan Ismail Ibrahim, Mohd.Zain Abdullah dan Salahuddin Abdullah bagi meneruskan perundingan penubuhan kerajaan baru dengan pihak berkenaan[8].

Mesyuarat Badan Perhubungan ini juga bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas penerangan untuk memberi penjelasan mengenai krisis politik yang sedang berlaku dalam negeri itu disamping menghadapkan Muhammad Che Wok[9], Mahmood Zuhdi Abdul Majid[10], Ibrahim Abu Bakar[11], Hussein Yaakob[12], Che Ismail Che Abdullah, Ismail Ali, Abu Hassan Musa  dan lain-lain pemimpin PAS yang melakukan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti kepada Jawatankuasa Tatatertib[13]. Ekoran daripada aduan yang dibuat oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan pada 9hb.November 1977, Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 26hb.Disember 1977 telah menggantung keahlian Muhammad Che Wok[14] dan Mahmood Zuhdi[15]. Begitu juga Abu Bakar dan Hussein Yaakob yang tidak mengendahkan amaran keras terhadap mereka turut digantung keahlian mereka oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9hb.Januari 1977[16].  

Setelah mendapat mandat, Jawatankuasa Khas berkenaan terus bermesyuarat pada hari itu juga dan memutuskan untuk menolak perkara kedua dan ketiga cadangan balas Dr.Mahathir. Dalam masa yang sama, jawatankuasa ini turut mengemukakan cadangan balas, iaitu;

i)                      Sebuah kerajaan baru yang akan dianggotai oleh 6 orang wakil PAS[17] dan 3 orang wakil UMNO[18] perlu ditubuhkan seberapa segera.

ii)                    Memandang kepada faktor keselamatan dan keamanan yang memerlukan kawalan ketat, maka untuk sementara waktu Jawatankuasa Keselamatan Negeri perlu disusun semula dengan satu komposisi baru beserta dengan seorang pegawai kanan MCS yang boleh diterima oleh PAS dan UMNO untuk dilantik sebagai pengerusinya.

Susulan daripada pengemukaan cadangan balas ini, Hussein Onn selaku ketua kerajaan berperanan menjelaskan tentang formula Barisan Nasional bagi menyelesaikan krisis ini kepada Dato’ Mohd.Asri Muda dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Perunding PAS dalam satu perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri pada 2hb.November 1977 yang mana Hussien Onn sekali mengemukakan cadangan supaya Kelantan didaruratkan dan PAS diberi tempoh sehingga 7hb.November 1977 untuk memberikan jawaban mengenainya[19].

Susulan ini juga dalam sidang Dewan Rakyat pada 3hb.November 1977, Perdana Menteri Malaysia membentangkan rang undang-undang berkenaan kepada Dewan disamping bersumpah dengan nama Allah “bahawa saya tidak bermain politik dalam masalah ini”. Setelah mendapat izin daripada Speaker, Yang diPertua Agung PAS, Dato’ Hj.Mohd.Asri bin Hj.Muda yang baru saja meletak jawatan dari Jamaah Menteri bangun berucap lebih kurang satu jam lamanya. Dalam ucapannya, beliau membentangkan hakikat yang berlaku di Kelantan sejak kisah undi tidak percaya terhadap Dato’ Muhammad Nasir hinggalah tercetusnya rusuhan dan tunjuk perasaan “jadian” yang sengaja diada-adakan dengan tujuan tidak sihat. Bagi penulis, undang-undang ini kelak akan menjadi kenangan dan catatan abadi dalam sejarah Demokrasi Negara ini. Perpaduan yang dicapai ketika menghadapi kesulitan cuba dirobek-robek untuk mencapai kekuasaan dan membalas dendam politik. Allah Subhanahu wa Taala pasti akan permudahkan semuanya di mahkamah keadilanNya pada hari Mahsyar kelak.  

Pada 4hb.November1977, Dr.Mahathir mengumumkan cadangan pembentangan rang undang-undang darurat bagi negeri Kelantan di Parlimen. Seterusnya, pada 6hb.November 1977, Hussein Onn memperincikan tarikh pembentangannya pada 8 dan 9hb.November 1977 menyebabkan jawaban daripada PAS akhirnya tidak memberi apa-apa erti lagi. Lantaran ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS melalui satu mesyuarat khas pada 6hb. November 1977; mengarahkan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimennya meletak jawatan bagi membolehkan mereka menentang pembentangan rang undang-undang darurat di negeri Kelantan di Dewan Rakyat. Jika tidak berbuat demikian, mereka akan terpecat secara automatik daripada PAS[20]

 

 

 

 

 


[1] Minit Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 23hb.Oktober 1977, hlm 1.

[2] Ibid. hlm 2 . Cadangan Balas PAS:Formula Dr.Mahathir, Utusan Melayu, 25hb.Oktober 1977.

[3] Perintah berkurung 24 jam meliputi beberapa kawasan tertentu dalam daerah Kota Bharu ini berkuatkuasa mulai 1:30 petang pada 22hb.Oktober 1977. Warta Kerajaan Negeri Kelantan 10hb.November 1977 no.373.

[4] Ketua Polis Unit Cawangan Khas, Mohd.Yasin bin Jaafar turut hadir sama.

[5] Minit Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 23hb. Oktober 1977, hlm 2.

[6] Minit Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 26hb.Oktober 1977.hlm 1.

[7] Minit Mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada 28hb.Oktober 1977.hlm 1. Dalam mesyuarat ini juga diputuskan satu cadangan untuk menolak formula Dr.Mahathir.  Ini kerana dengan adanya pegawai pentadbir yang dicadangkan, kewujudan sebuah kerajaan negeri pasti sudah tidak bererti lagi kerana authoriti kuasanya telah dihapuskan sama sekali.

[8] Minit Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 29hb.Oktober 1977, hlm 3 dan 4.

[9] Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan.

[10] Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat. Beliau kini bergelar Prof. Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, bekas Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

[11] Yang DiPertua PAS Kawasan Tanah Merah.

[12] Setiausaha PAS Kawasan Tanah Merah.

[13] Minit Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan pada 29hb.Oktober 1977.hlm 3-4.

[14] Surat daripada Setiausaha Agung PAS, Hassan Shukri mengenai penggantungan keahlian Muhammad Che Wok bertarikh 27hb.Disember 1977.

[15] Surat daripada Setiausaha Agung PAS, Hassan Shukri mengenai penggantungan keahlian Mahmood Zuhdi bertarikh 27hb.Disember 1977.

[16] Surat daripada Setiausaha Agung PAS, Hassan Shukri mengenai penggantungan keahlian Abu Bakar dan Hussein Yaakub bertarikh 10hb.Januari 1977.

[17] Utusan Melayu, 1hbNovember 1977.

[18] Utusan Melayu, 31hb.Oktober 1977.

[19] Keputusan ini dicapai semasa perjumpaan Hussein Onn dan Dr.Mahathir dan turut dihadiri oleh Tengku Razaliegh Hamzah, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghafar Baba, Mohd.Adib Adam dan Mohd. Ghazali Shafie.

[20] Timbalan Yang DiPertua Agung PAS, Hassan Adli terpecat secara automatic daripada PAS kerana gagal mematuhi keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung pada 6hb.November 1977. Beliau memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan hingga ke akhir penggal Dewan Rakyat. Kemudian dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: