Jama’ dan Qasar Solat Fardhu

Solat jama’ ialah; himpunan solat zohor dan asar sama ada taqdim atapun ta`khir dan juga himpunan solat maghrib dan isyak sama ada taqdim ataupun ta`khir juga. Yang dikatakan solat jama’ taqdim ialah solat yang dihimpunkan dalam waktu zohor (bagi jama’ zohor dan asar) dan dalam waktu maghrib (bagi jama’ maghrib dan isyak). Manakala solat jama’ ta`khir pula; solat yang dihimpunkan dalam waktu asar (bagi jama’  zohor dan asar) dan dalam waktu isyak (bagi jama’ solat maghrib dan isyak).

Hukum perlaksanaan solat jama’ taqdim ataupun ta`khir adalah harus di sisi syarak menurut pendapat majority para sahabat, para tabiin seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, Thouus, Mujahid, Abu Tsaur, golongan al-Malikiyyah,  al-Syafieyyah dan al-Hanabilah. Mereka ini berpegang dengan beberapa nas hadith. Antaranya ialah;

i)                    Daripada Anas bin Malik r.a “Rasulullah berangkat (bertolak) sebelum condong matahari di akhir waktu zohor hinggalah terus ke waktu asar. Kemudian beliau berhenti untuk menjama’kan solat zohor dan asar. Jika sekiranya matahari condong sebelum beliau bertolak, dia menunaikan solat zohor terlebih dahulu kemudian barulah menaiki kenderaan”.

ii)                   Ibn Umar r.a  meminta bantuan sebahagian ahli keluarganya menyiapkan barangan sebelum perjalanan bersama satu rombongan. Lalu dia meneruskan perjalanan dan melewatkan solat maghrib hinggalah terbenam ufuk merah (senja). Kemudian dia berhenti menjama’ solat maghrib dan isyak sebagai  solat jama’  ta`khir. Selepas itu, dia memberitahu mereka semua (rombongan bersamanya) bahawa Rasulullah pernah berbuat demikian apabila beliau dalam perjalanan.

Dalam pada itu,  al-Hasan, Ibn Sirin, al-Nakh’ie, Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad, al-Laits bin Saad berpendapat; solat jama’ adalah dilarang dengan tegas secara mutlak semasa dalam perjalanan (mereka hanya berpendapat solat qasar sahaja yang diwajibkan). Golongan ini berpegang dengan beberapa nas sebagai hujjah. Antaranya;

i)                    Firman Allah Taala “Sesungguhnya solat adalah satu kewajiban yang ditetapkan  ke atas golongan mukminin”. (surah al-Nisa’, ayat 103).

ii)                   Hadis daripada Ibn Mas’ud r.a “Aku tidak pernah lihat Rasulullah mengerjakan solat pada selain waktu yang telah ditetapkan (tidak mengerjakan jama’) kecuali dua solat; jama’ antara solat maghrib dan isyak di Muzdalifah dan menunaikan solat subuh sebelum masuk waktunya”.

Meskipun begitu, semua para fuqaha’ Islam tersebut sepakat mengatakan bahawa jama’ taqdim antara zohor dan asar adalah sunat pada hari Arafat dan jama’ ta`khir antara maghrib dan isyak pula sunat semasa berada di Muzdalifah, iaitu selepas bertolak meninggalkan Arafah. Selain itu, bagi orang yang bermukim (bukan dalam perjalanan) menjama’kan solat pada hari hujan dalam salah satu masa terbaik antara keduanya (iaitu antara zohor dan asar ataupun antara maghrib dan isyak dengan disyaratkan jamaah itu berada di masjid ataupun di satu lokasi yang jauh serta asing bagi mereka. Bagi golongan Syafieyyah, diharuskan jama’ antara zohor dan asar dan juga antara solat maghrib dan isyak secara jama’ taqdim sahaja. Manakala Imam Malik pula mengharuskan jama’ taqdim di masjid antara solat maghrib dan isyak kerana disebabkan hujan, ataupun lumpur dan juga kegelapan yang menyukarkan perjalanan. Namun Imam Malik berpendapat adalah makruh untuk menjama’kan solat zohor dan asar kerana hujan.   Begitu juga diharuskan jama’ bagi mereka yang bermukim yang uzur sakit menurut Syafieyyah dan juga Imam Ahmad bin Hanbal. Malah bagi Imam Ahmad bin Hanbal, harus juga dilakukan jama’ semasa berada dalam tugas yang  perlu konsisten dan akan rosak jika ditinggalkan seperti tukang masak dan juga tukang pembuat roti. (sila rujuk Fiqh Sunnah, jilid satu halaman, 255). Akhir sekali ialah melakukan  jama’ kerana keperluan bagi mereka yang bermukim (bukan dalam perjalanan) kerana sudah jadi kebiasaan. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh Muslim, berkata “Rasulullah menjama’ antara solat zohor dan asar dan antara solat maghrib dan isyak di Madinah tanpa sebab takut dan juga hujan. Lalu ditanya Ibn Abbas “Apakah yang dia (Rasulullah) maksudkan daripada tindakannya itu?”.  Jawabnya “Dia tidak mahu menyusahkan umatnya”. (sila rujuk juga Fiqh Sunnah, jilid satu, halaman 255)

Manakala solat qasar pula bermaksud: Memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat. Para fuqaha bersepakat dalam masalah keharusan solat qasar sebagaimana mereka bersepakat bahawa solat subuh dan solat maghrib tidak boleh diqasar. Meskipun begitu, mereka berselisih pendapat tentang hukum qasar solat; adakah ia wajib atau hanya satu keringanan (harus) sahaja? Bagi golongan Malikiyyah, Syafieyyah, Hanabilah; Qasar adalah harus atau  satu keringanan. Golongan ini berpegang dengan beberapa nas, iaitu;

i)                    “Apabila kamu berjalan di muka bumi (mengembara), maka tidak mengapalah kamu mengqasarkan solat”{ Surah al-Nisa’, ayat 101).

ii)                   Daripada Aisyah r.a “Adakalanya Rasulullah mengqasarkan solat dalam perjalanan dan adakala juga dia  menyempurnakan rakaat . Dia juga adakalanya berbuka dan adakalanya berpuasa dalam perjalanan”.

Oleh itu, harus bagi seseorang musafir sama ada ingin qasar solat atau ingin menyempurnakan semua rakaat.

Bagi golongan Hanafiyyah (pengikut mazhab Hanafi), Qasar adalah wajib dalam perjalanan.  Golongan ini pula berpegang denga beberapa nas. Antaranya;

i)                    Diriwayatkan oleh Muslim dalam shahihnya; daripada Aisyah r.a “ Difardhukan solat secara dua-dua rakaat dalam masa menetap dan dalam masa perjalanan. Lalu diiktiraf dan terima solat dalam perjalanan dan disempurnakan sebanyak empat rakaat pada solat  dalam masa menetap”.

ii)                   Menurut Umar bin al-Khattab “Solat dalam perjalanan adalah dua rakaat, solat, solat dhuha sebanyak dua rakaat, solat hari raya sebanyak dua rakaat, solat jumaat sebanyak dua rakaat secara sempurna tanpa sebarang pengurangan (tanpa sebarang suntingan) mengikut lisan Muhammad s.a.w”.

Bagi golongan yang mengharuskan solat jama’, mereka juga berpendapat; harus dilakukan jama’ dan qasar serentak dalam satu masa. Manakala bagi golongan yang menegah solat jama’, mereka hanya berpendapat bahawa qasar solat diwajibkan dalam perjalanan tanpa boleh dijama’.

Menurut hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik dan diakui oleh Abu Said al-Khudri dan beberapa orang sahabat lain “Apabila Rasulullah dalam perjalanan sejauh 3 batu, dia akan mengqasarkan solatnya”.  Adapun dari sudut jarak  perjalanan ini , para fuqaha juga berselisih pendapat. Antara mereka ialah;

i)                      Mengikut mazhab Jumhur daripada kalangan Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah; jaraknya ialah sejauh 48 batu. Sebahagian mereka menganggarkan jarak perjalanan itu selama dua hari perjalanan mengikut lama perjalanan unta. Manakala  sebahagian yang lain pula menganggarnya selama sehari semalam perjalanan.

ii)                     Bagi golongan Hanafiyyah ialah perjalanan tiga hari tiga malam dengan perjalanan unta. (72 batu)

iii)                   Golongan Zahiriyyah pula berpendapat tiada sebarang penghadan jarak tertentu untuk menunaikan solat qasar.

iv)                 Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim juga sependapat dengan Zahiriyyah. Cuma mereka menambah bahawa; harus dilakukan qasar dalam setiap perjalanan yang mana bagi seseorang musafir keluar dari negeri walaupun dengan jarak 3 batu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: