Archive for August 18th, 2009

Ramadhan kembali lagi….

cover depan ihya ramadhan 2

Ramadhan yang penuh kerahmatan kembali lagi. Biasanya, umat Islam khususnya di Malaysia akan mempersiapkan diri mereka dengan beberapa perkara yang sering mereka utamakan, iaitu;

i)                    Jamuan serta penyediaan juadah berbuka puasa.

ii)                   Berusaha memperbanyakkan bacaan al-Quran, menggenapkan bilangan solat terawih sepanjang bulan yang mulia dan mengejar lailatul-Qadar.

Bagi jamuan serta penyediaan juadah berbuka puasa, para pelanggan dan para peniaga boleh dikatakan sama-sama sibuk. Pihak peniaga ingin keuntungan di petang Ramadhan. Manakala pihak pelanggan pula mulai teringin nak makan itu dan ini. Adakalanya apa yang dibeli membazir begitu saja kerana terlalu banyak dan tak terlarat untuk dimakan lagi. Dalam pada itu, ramai juga yang bermurah hati mengadakan rumah terbuka dengan memanggil kenalan, saudara mara serta sahabat handai terdekat untuk berbuka puasa di rumah. Boleh dikatakan kebanyakkan masjid-masjid di seluruh Malaysia turut berperanan meraih para jamaah berbuka puasa dengan kadar penyediaan yang termampu.

Selain itu, umat Islam di Malaysia juga berusaha memperbanyakkan bacaan al-Quran (tadarrus al-Quran) dan menggenapkan bilangan rakaat terawih. Tadarrus a-Quran dilakukan sama ada secara sendirian di rumah ataupun secara berkelompok di masjid, surau dan sebagainya. Bagi solat terawih, ada yang melakukan 8 rakaat  dan juga yang melakukan 20 rakaat. Rata-rata para ustaz yang mengajar di bulan ini lebih cenderung menggalakkan masyarakat awam agar menghiasi diri masing-masing dengan akhlak-akhlak yang mulia. Jangan berbohong…..jangan mengumpat……jangan mengeji atau mengutuk. Sekalian lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli politik juga diminta menjaga lidah serta tindak tanduk mereka. Untuk tujuan ini, buku-buku panduan Ihya’ Ramadhan merupakan tumpuan utama dalam usaha mereka merealisasikan ibadat seikhlas mungkin demi meraih mardhatillah. Itulah kelaziman yang berlaku setiap kali Ramadhan datang menjelma.

 Sayang sekali, keistimewaan sejarah bulan ini amat jarang didedahkan kepada masyarakat awam untuk dihayati. Paling ada pun hanya peringatan mengenai kisah penurunan surah al-‘Alaq di Gua Hira pada 17 Ramadhan. Apakah pengisiannya dan apakah kesan pengisiannya mengenai Nuzul al-Quran boleh dikatakan tidaklah diberikan penekanan sangat. Rata-rata kaum muslimin hanya sibuk mengumpul pahala dengan cara tadarrus al-Quran dan juga solat tarawih serta menunggu Lailatul-Qadar.

Masih ramai yang belum terdedah dengan sejarah keistimewaan bulan ini. Masih ramai yang tidak mengetahui tentang beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Antaranya;

i)                    Keberanian tentera muslimin dalam peperangan Badar yang meletus pada 2 Ramadhan tahun kedua Hijrah.

ii)                   Pembukaan Kota Mekah oleh Rasulullah dan tentera muslimin pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. .

iii)                 Penyerahan kalah bandar Taif kepada tentera muslimin pada tahun ke-9 Hijrah.

iv)                 Pembukaan Andalus (Sepanyol) oleh kerajaan Bani Umaiyah yang menghantar bala tentera Islam yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

v)                  Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, tentera Islam menyerang balas dan mengalahkan tentera Mongul yang menyerang kota Baghdad serta melumpuhkan dinasti kerajaan Bani Abbasiyyah.

vi)                 Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dalam peperangan Yakhliz mengalahkan tentera Rusia.

Semua peristiwa ini merupakan lambang kegigihan perjuangan Islam silam yang amat penting untuk diketahui, dikenang dan dihayati oleh generasi masa kini. Dalam tempoh tersebut, pasti sekali mereka yang terbabit dalam beberapa peperangan tersebut berada dalam situasi berjaga-jaga dengan segala bentuk helah dan strategik pihak musuh.  Situasi mereka ketika itu dilingkari dengan kekerasan tenaga, kehangatan pedang, lembing, anak panah dan berbagai bentuk senjata lain.  Lagipun bulan Ramadhan tidak termasuk dalam rumpunan bulan-bulan yang diharamkan berperang seperti Muharram, Rajab, Zul Qaedah dan juga Zul Hijjah. Oleh itu, tak ada sebab bagi tentera Islam perlu bersikap lemah lembut terhadap musuh harbi. Dalam tempoh tersebut (Ramadhan), tentera muslimin hanya mengharapkan kurniaan status syahid daripada Allah Subhana wa Taala.

Selain daripada tarikh-tarikh istimewa berkenaan, Ramadhan tahun ini amat berbeza daripada Ramadhan yang lepas kerana ia disambut seiringan dengan kemunculan bala Allah Taala, penyebaran wabak selesema babi…  !!!! نعوذ بالله من ذلك

Mengapa UMNO pilih Rohaizat Othman sebagai calon N.11?

 

Ragunath Kesavan

Ragunath Kesavan

 

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Sebuah akhbar tempatan melaporkan calon BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir N11, Rohaizat Othman telah dipecat dari Majlis Peguam. Prosiding pemecatannya dibuat di bawah Seksyen 103D Akta Akta Profession Guaman 1976. Seksyen tersebut melibatkan salah laku seseorang peguam.

“Kesalahan itu adalah tanggungannya sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.. Rohaizat dipecat pada 7 Mac tahun lalu dan beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi berikutan keputusan Majlis Peguam itu, di mana mahkamah juga menolak rayuannya pada 12 Ogos tahun ini,” akhbar The Edge semalam melaporkan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

Ragunath berkata, kesalahan yang dilakukan itu melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah dan tidak ada akaun untuknya. “Apabila lembaga menyiasat perkara ini dan perintah dibuat, tidak dipulangkan kepada pemegang amanah melibatkan wang berjumlah RM140,000.

“Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.. Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah,” katanya lagi.

Laman web Majlis Peguam di bawah tajuk “Disciplinary Orders: January-March 2008” menyenaraikan nama Rohaizat sebagai salah seorang yang digugurkan dari majlis itu. (http://www.malaysianbar.org.my/disciplinary_orders/_disciplinary_orders_january_march_2008.html)

Sementara itu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengsifatkan kesalahan tersebut sebagai ‘pekong di dada’ kepada calon BN di Permatang Pasir itu, yang ‘tidak boleh disembunyikan’ sehari sebelum berita itu dikeluarkan.

 

Di petik dari: http://www.ibnuhasyim.com/

Adakah tempoh masa yang diiktiraf seseorang musafir sebagai bermukim?

Dalam masalah ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada tiga pendapat. Ringkasnya sebagaimana berikut;

i)  Mazhab Jumhur yang terdiri daripada kalangan Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah mengatakan tempoh bermukim itu apabila melebihi 4 hari berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a “Bahawa Rasulullah sampai ke kota Mekah pada waktu subuh hari keempat dalam bulan Zul Hijjah. Beliau menetap di situ pada hari ke empat, ke lima, keenam dan ke tujuh. Kemudian beliau menunaikan solat subuh pada hari ke lapan, lalu keluar menuju ke Mina. beliau mengqasarkan solatnya dalam tempoh hari-hari tersebut dan menjama’kannya dalam tempoh beliau bermukim (iaitu selepas empat hari).

ii)  Menurut golongan Hanafiyyah, tempoh dianggap bermukim ialah selama 15 hari. Dalam tempoh ini dibenarkan qasar solat.  Mereka berpegang dengan beberapa nas hadis sebagai hujjah. Antaranya ialah hadis daripada Ibn Abbas ra yang diriwayatkan oleh Abu Daud “Rasulullah menetap di Mekah pada tahun Pembukaan Kota Mekah selama 15 hari dan dia mengqasarkan solat dalam tempoh itu”.

iii) Mengikut golongan yang berpendapat bahawa seseorang musafir boleh mengqasarkan solatnya selama-lamanya tanpa tempoh had selama mana dia tidak berniat untuk bermukim. Golongan ini berpegang dengan nas-nas hadis berikut, iaitu;

 1) Daripada Ibn Abbas r.a “Rasulullah menetap di suatu tempat selama 19 hari dan mengqasarkan solatnya. Maka kami apabila berada dalam perjalanan selama 19 hari, kami juga mengqasarkan solat. Jika tempoh itu lebih, kami akan sempurnakan rakaat sebanyak empat rakaat”.

2) Daripada Imran bin Hushain berkata ” Aku berperang bersama Rasulullah dan aku menyaksikan peristiwa pembukaan Kota Mekah. Beliau menetap di Mekah selama 18 malam dan melakukan solat secara dua-dua rakaat (qasar) dan bersabda “Wahai  penduduk Kota Mekah! Sempurnakanlah sebanyak empat rakaat sesungguhnya kami masih berada dalam perjalanan”.

3) Daripada Jabir bin Abdullah r.a ” Rasulullah menetap di Tabuk selama dua puluh hari dan beliau mengqasarkan solatnya”.

Semua hadis-hadis ini menunjukkan bahawa seseorang musafir itu tidak tertakluk kepada tempoh tertentu. Malah Rasulullah sendiri pernah mengqasarkan solatnya dalam tempoh masa 19 hari, 18 hari dan juga 20 hari.