Nik Aziz Ekstrem…

 

DSC_0007

Rabu,19 Ogos 2009

Nik Aziz ekstrem

Oleh Norfatimah Ahmad, Jami’ah Shukri dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Tokoh agama dan ahli akademik menyifatkan tuduhan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama.

Malah, ada yang berpendapat Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam.

Ahli akademik yang pernah membuat kajian mengenai Pas, Dr Ibrahim Abu Bakar, berkata banyak kenyataan Nik Abdul Aziz sebenarnya dibuat bagi menakut-nakutkan masyarakat sebagai strategi politik bagi meraih sokongan terhadap Pas yang dilihat semakin malap, terutama menjelang pilihan kecil kecil DUN Permatang Pasir.

“Sebagai seorang Islam, kita tidak seharusnya menyatakan kita saja yang betul termasuk mengenai syurga,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ibrahim berkata, berdasarkan kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrim serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij.

Mengikut sejarah, kaum Khawarij adalah penyokong Saidina Ali yang berjuang menentang puak Muawiyah, tetapi tidak menerima majlis tahkim.

Bagaimanapun, golongan itu belot dan membunuh Saidina Ali kerana memprotes kesediaan beliau menerima keputusan majlis tahkim. Kaum Khawarij juga berpendapat pelaku dosa besar adalah kafir dan mengkafir serta menghalalkan darah semua umat Islam yang berbeza kepercayaan.

“Oleh itu, semakin jelas Pas sudah bersikap seperti kaum Khawarij yang menegaskan mereka (anggota Pas) saja yang betul dan orang lain salah atau kafir,” katanya.

Ibrahim berkata, dari segi analisis psikologi pula, kelantangan Nik Abdul Aziz mencerca Umno mungkin mempunyai kaitan dengan kemarahannya yang terus membara sejak bekas Yang Dipertua Pas, Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda, membawa masuk Pas ke dalam Barisan Nasional (BN).

“Justeru, tidak mustahil Nik Abdul Aziz kerap dilihat memberi kenyataan yang berbaur hasutan untuk membolehkan beliau terus mengukuhkan tempatnya di dalam politik, selain untuk meruntuhkan sokongan dan kesepaduan di dalam Umno,” katanya.

Ibrahim juga berkata, Pas sudah menyimpang daripada perjuangannya apabila berebut-rebut untuk mendapatkan tempat serta kuasa menerusi platform politik.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, pula berkata Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan agama dalam perspektif politiknya kerana ia boleh mengelirukan orang lain, terutama umat Islam.

“Pandangan Tok Guru (Nik Aziz) mengenai politik yang berkaitan dengan agama ada kalanya menyebabkan sesetengah pihak salah faham kerana beliau mempunyai perspektif tersendiri. Oleh itu, tidak sesuai untuk beliau terus biarkan dirinya berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin agama daripada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

“Islam adalah untuk semua umatnya, tiada batasan mana-mana puak atau kaum, parti atau organisasi. Kenyataan Nik Abdul Aziz seolah-olah terlalu membahagi-bahagikan dan mengkelaskan Islam, semacam memberi laluan mudah kepada pengikut dan ahli Pas,” katanya.

 

Towardsmardhatillah: Untuk menentukan siapa masuk syurga ataupun neraka adalah satu tindakan yang tidak wajar. Namum Allah dan RasulNya telah menetap bahawa sesiapa saja yang menolak dasar al-Quran dan juga al-Hadis, maka itu adalah salah satu tindakan menempah tiket ke neraka tanpa menuding jari ke muka sesiapapun. Dasar perjuangan UMNO merupakan factor utama mengapa Tok Guru mengeluarkan kenyataan tersebut. Memang sah! Dasar UMNO bertentangan dengan syarak. Kalau dah memang dasar bertentangan dengan syarak macam mana nak tuju ke syurga???. Memang tak dinafikan ahli-ahli PAS juga kemungkinan masuk neraka tetapi bukanlah disebabkan kerana dasar perjuangan parti mereka. Mungkin kerana kesalahan-kesalahan lain.

Kalau Tok Guru dianggap sebagai Khawarij, UMNO nak dianggap sebagai apa? Syiah? Puak Muawiyah? Tindakan menyamakan Tok Guru sebagai khawarij juga amat begitu tidak munasabah. Pertelingkahan pada zaman itu yang melibatkan Khawarij, syiah dan juga puak Muawiyah adalah satu pertelingkahan yang melibatkan dasar politik Islam. Antara factor utamanya ialah; penularan fitnah yang berkesan oleh kaum Yahudi dan kewujudan perbezaan pendapat dari sudut tafsiran al-Quran dan juga al-Hadis dikalangan puak yang bertelingkah dalam masalah tersebut.  Namun pegangan semua pihak adalah kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Sedangkan dasar UMNO adalah dasar pragmatisme yang sanggup buat dan bersikap apa saja asalkan dapat dicapai apa yang dicitakan.  UMNO tak kira halal dan haram.

Bagi saya Dr. Ibrahim Abu Bakar ini tidak mendalami tentang sejarah PAS. Mengapa dikaitkan Dato’ Asri sebagai penyebab dalam soal penyertaan PAS dalam Barisan Nasional dulu? Sebenarnya, Dato’ Asri hanya juru cakap atau juru runding saja bagi pihak PAS. Malah Tok Guru Nik Aziz adalah salah seorang daripada mereka yang bersetuju agar PAS menyertai Barisan Nasional pada masa itu. Namun kini dialah individu yang paling kuat sekali menentang kerjasama politik antara PAS dan UMNO. Faktor pengalaman pahit PAS bersama Barisan Nasional dulu mendorong beliau untuk terus menentang UMNO. Sebelum kemasukkan PAS dalam Barisan Nasional pada tahun 1974, PAS terlebih dahulu menyertai kerajaan campuran pada 1973. Itupun setelah diadakan proses pengundian. Undi majoriti selepas usul mengenainya dilulus oleh para perwakilan ialah sebanyak 190 undi menyokong berbanding 94 undi membangkang dan 19 undi berkecuali[1], iaitu  setelah usul pengundian secara sulit yang dicadangkan oleh wakil Dinding yang memperolehi sebanyak 131 undi dikalahkan oleh usul pengundian secara terbuka  yang dicadangkan oleh wakil Tumpat yang mendapat 151 undi[2].

Kemudian bagi menyertai Barisan Nasional, Mesyuarat Agung PAS juga mengarahkan Dewan Ulama` PAS Pusat membuat satu kajian terperinci mengenai hukum penyertaan PAS dalam Barisan Nasional. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama` PAS Pusat pada 27hb Januari 1974 memutuskan bahawa penyertaan PAS dalam barisan kebangsaan itu dengan maksud-maksud khusus bagi menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS dapat diterima dengan syarat penyertaan tersebut tidak akan menghilangkan identiti PAS sebagai sebuah parti politik Islam dan pengenalan PAS dalam pilihanraya itu kelak mesti jelas dan nyata; iaitu memiliki simbol sendiri sekalipun bersatu dari segi platform. Mesyuarat Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS pada 16hb.Februari 1974 meneliti Perlembagaan Barisan Nasional  yang disediakan oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh mesyuarat antara parti-parti politik yang menyertai kerajaan campuran pada 13hb.Februari 1974 memutuskan untuk membuat beberapa pindaan ke atas perlembagaan itu dimana saja bahagian yang difikirkan mustahak dan munasabah dan tidak merugikan PAS[3]. Seterusnya pada 7hb.Mac 1974, setelah istilah “pertubuhan” yang terdapat di dalamnya ditukarkan kepada istilah gabungan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersetuju menerima perlembagaan itu[4].

Kenyataan Dr.Mahmood Zuhdi juga amat mengelirukan. Tok Guru Nik Guru tidak pernah memisahkan politik dan agama dalam kehidupannya seharian. Oleh itu, dalam setiap ucapan beliau, politik dan agama sentiasa digandingkan bersama demi memperjuangkan PAS sebagai sebuah parti Islam. Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin agama daripada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam. Bagi saya tindakan serta dasar UMNO itulah yang lebih keterlaluan dan mesti ditentang.

 

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



[1] Laporan Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat 1972/1973, hlm 4.

[2] Peringatan Mesyuarat Agung PAS kali ke-3 pada 21hb.Disember 1972, hlm 17.

[3] Minit Mesyuarat Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat pada 16hb.Februari 1974, hlm 1.

[4] Perlembagaan Barisan Nasional 1974 kemudiannya mendefinisikan Barisan Nasional sebagai satu gabungan parti-parti politik yang mempunyai identity masing-masing  dan bukanlah sebuah parti politik(Perlembagaan Barisan Nasional Fasa 1. 1974)  Lihat Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7hb.Mac 1974, hlm 3.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: