Archive for August 23rd, 2009

Huraian ringkas perihal solat tarawih

Solat Tarawih

Solat Tarawih

Qiyam Ramadhan atau solat tarawih ialah solat yang ditunaikan selepas solat isyak dan sebelum solat witir sama ada secara dua rakaat-dua rakaat ataupun empat rakaat-empat rakaat di bulan Ramadhan sahaja. Dalam bahasa Arab, Tarawih adalah perkataan plural (jamak) bagi istilah tarwihatun yang membawa maksud “istirehat”. Dengan kata lain, solat ini ialah agenda senaman sama ada secara individual ataupun secara berjamaah yang perlu ditunaikan dalam keadaan pertengahan slow and steady mengikut kemampuan masing-masing. Namun sebaik-baiknya ikutilah bilangan rakaat sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah. Hukum perlaksanaannya adalah sunnah muakkadah. Dalam sebuah mafhum hadith yang diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a berkata: “Nabi tidak melakukan solat malam (solat sunat) melebihi 11 rakaat sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain”.

 

Dalam satu riwayat lain daripada Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban; Bahawa Rasulullah menunaikan solat tarawih sebanyak 8 rakaat dan witir secara berjamaah bersama kaum muslimin. Kemudian pada malam seterusnya mereka (kaum muslimin) menunggu untuk solat bersama Rasulullah namun beliau tetap tidak muncul.  Berkaitan dengan kisah ini juga, Siti Aisyah mengatakan: Nabi menunaikan solat berjamaah dengan beberapa orang sahabat di masjid. Pada malam berikutnya, orang semakin ramai yang turut serta.  Kemudian pada malam ketiga mereka semakin ramai dan menunggu untuk solat di belakang Nabi tetapi Nabi tidak muncul pada malam itu. Keesokan paginya, Rasulullah berkata kepada mereka Aku tahu tindakan kamu semalam dan aku tidak keluar kerana aku bimbang jika tarawih diwajibkan ke atas kamu”.  Berdasarkan ungkapan Rasulullah ini, al-Imam Jaafar al-Sadiq daripada mazhab syiah berpendapat bahawa solat tarawih tidak diwajibkan dan tidak disunatkan dalam bulan Ramadhan.

 

 Manakala dalam mafhum hadis yang lain, AbdulRahman bin Abd al-Qari berkata: “Aku keluar bersama Umar al-Khattab pada satu malam di bulan Ramadhan ke masjid dan ketika itu orang ramai bercelaru. Masing-masing mendirikan solat secara bersendirian. Lalu Umar bersuaraAku berpendapat adalah lebih baik jika aku kumpulkan mereka dengan seorang imam”. Dengan ini, Umar meminta agar Ubay bin Ka’ab tampil sebagai imam. Kemudian Umar berkata “ Inilah sebaik-baik bid`ah”. Susulan ijtihad Umar ini, para ulama’ berkesimpulan bahawa solat tarawih adalah harus dilakukan sama ada secara sendirian ataupun secara berjamaah. Malah dikalangan Jumhur ulamak mengatakan hukum menunaikan tarawih adalah sunat. Menurut golongan Hanafiah dan Hanabilah, bilangan 20 rakaat yang ditetapkan oleh Umar al-Khattab juga diteruskan pada masa pemerintahan khalifah Uthman dan Ali bin Abi Talib. Namun pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah, ijtihad khalifah Umar bin Abdul Aziz  yang menuntut  agar solat tarawih dilanjutkan sehingga 36 rakaat dipatuhi sebahagian besar orang awam yang menyokong kerajaan tersebut. Bagi golongan syiah, pengumpulan rang ramai untuk solat tarawih berjamaah hanyalah ijtihad Umar al-Khattab dan tidak semestinya perlu ditaqlid untuk kekal sehingga bila-bila. Pintu ijtihad sentiasa terbuka bagi imam-imam terkemudian yang terpilih bagi menguraikan setiap permasalahan agama terutama sekali dalam masalah fiqh  di kalangan orang awam. Manakala ijtihad terdahulu akan terbatal dengan kemunculan imam yang baru kecuali jika imam yang baru ini masih mengekalkan taqlid bagi ijtihad yang telah lalu. Dari sudut bacaan al-Quran semasa dalam solat, para jumhur ulamak berpendapat tiada sebarang bacaan khusus yang disunatkan. Ertinya, terpulanglah kepada individu untuk membaca mana-mana surah selepas bacaan surah al-Fatihah.

 

Dalam memperkatakan tentang fadhilat (keistimewaan) tarawih, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”. Disamping itu, terdapat juga hadis palsu yang disandarkan kepada Saidina Ali bin Abi Talib berkaitan dengan fadhilat tarawih, iaitu;

Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Fir`aun dan Haman.

Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Begitulah kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai ke malam yang ketiga puluh. Dalam hadis palsu tersebut terserlah galakan agar umat Islam rajin untuk melakukan amalan tarawih dalam bulan Ramadhan. Namun ia diisi dengan carutan berita-berita ghaib yang tidak berasas langsung. Sudah tentulah matan hadis palsu ini bercanggah dari sudut aqidah yang boleh membawa kepada kekufuran. Justeru, adalah menjadi kewajiban seluruh umat Islam untuk menolak dakyah hadis palsu ini. Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran daripada Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan seperti mana yang dinyatakan dalam hadis shahih?

Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (al-Bukhari)

Rahmat Kemunculan Ramadhan

kaabah

Seperti biasa, Ramadhan muncul kembali selepas Syaaban berlalu. Begitulah lumrah perjalanan masa yang telah Allah Taala tetapkan kepada sekalian hamba dan makhluk ciptaanNya sehingga munculnya hari pembalasan. Justeru, berbahagialah kehidupan mereka yang dipenuhi ibadat lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Setiap gerak geri adalah kerana Allah. Berpegang dengan rukun Iman kerana Allah, menunai rukun Islam kerana Allah, berurus niaga kerana Allah, menghulur pertolongan kepada pihak yang memerlukan kerana Allah dan segala-galanya kerana Allah. Keuntungan beribadat di bulan mulia ini sudah tentu berlipat kali ganda ganjaran pahala yang bakal diperolehi oleh mereka yang ikhlas mengerjakannya.

 

Disamping itu, peluang mencari rezeki melalui perniagaan pelbagai jenis makanan dan minuman terbuka luas kepada sesiapa saja yang sanggup mengusahakannya. Namun perlu diingat, segala perbelanjaan perlu dikawal agar tidak berlaku pembaziran. Tidak salah membeli kuantiti makanan atau minuman dengan banyak asalkan ia boleh dimanafaatkan oleh orang lain secara sedekah dan ia bukan hanya khusus kepada individu perseorangan. Dalam pada itu, Islam juga mendidik setiap muslim agar sentiasa bersederhana dalam soal pengambilan makanan. Jika diamati dengan teliti, Ramadhan bukan hanya bermotif untuk menahan diri daripada kelaparan dan desakan nafsu syahwat dalam tempoh tertentu, menunaikan solat tarawih dan bersedekah atau mengeluarkan zakat sahaja demi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda tetapi ia juga merupakan bulan pendidikan kesihatan. Skop pendidikan kesihatan tersebut ialah; pertama: pengurangan pengambilan makanan dan minuman serta pengawalan nafsu syahwat. Malah semasa berbuka puasa, pengambilan makanan serta minuman juga perlu dikawal mengikut keperluan jasmani dan bukannya mengikut tuntutan nafsu ammarah (Nafsu yang memerintah). Kedua: memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti i’tikaf dan qiyamullail  sekadar termampu. 

 

Pengurangan pengambilan makanan dan minuman jika sentiasa diutamakan akan turut membantu mengawal kenaikan berat badan dan tekanan darah seseorang. Manakala pengawalan nafsu syahwat dapat membendung diri manusia daripada gejala-gejala yang tidak sihat.  Langkah memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti  i`tikaf dan juga qiyamullail sekadar termampu pula merupakan senaman tambahan disamping meraih pahala bagi mengelokkan system urat saraf dan perjalanan darah. Dalam permasalahan beribadat sekadar termampu di bulan puasa ini, ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan tuntutan bilangan rakaat tarawih sama ada ingin dilakukan sebanyak 8 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat witir ataupun dilakukan sebanyak 20 rakaat dan ditambah tiga rakaat witir selepasnya sepertimana ijtihad Saidina Umar al-Khattab ataupun sebanyak 36 rakaat tidak termasuk witir sebagaimana yang dilakukan pada zaman Umar bin Abdul-Aziz. Timbul kepelbagaian bilangan rakaat tarawih adalah kerana Islam tidak menetapkan bilangan rakaat tarawih khusus yang wajib dilaksanakan. Malah dalam mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah radhiyaAllahu anha: “Rasulullah tidak pernah melakukan solat malam melebihi daripada 11 rakaat sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain”. Mafhum matan hadis ini jelas membuktikan bahawa bilangan rakaat tarawih adalah hak individu sekadar yang termampu dilakukan disamping bersenam dalam ibadat.  Selain itu, keistimewaan Lailatul Qadar tidak wajar disia-siakan begitu saja dan inilah rahmat sebenar kemunculan Ramadhan.