Rahmat Kemunculan Ramadhan

kaabah

Seperti biasa, Ramadhan muncul kembali selepas Syaaban berlalu. Begitulah lumrah perjalanan masa yang telah Allah Taala tetapkan kepada sekalian hamba dan makhluk ciptaanNya sehingga munculnya hari pembalasan. Justeru, berbahagialah kehidupan mereka yang dipenuhi ibadat lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Setiap gerak geri adalah kerana Allah. Berpegang dengan rukun Iman kerana Allah, menunai rukun Islam kerana Allah, berurus niaga kerana Allah, menghulur pertolongan kepada pihak yang memerlukan kerana Allah dan segala-galanya kerana Allah. Keuntungan beribadat di bulan mulia ini sudah tentu berlipat kali ganda ganjaran pahala yang bakal diperolehi oleh mereka yang ikhlas mengerjakannya.

 

Disamping itu, peluang mencari rezeki melalui perniagaan pelbagai jenis makanan dan minuman terbuka luas kepada sesiapa saja yang sanggup mengusahakannya. Namun perlu diingat, segala perbelanjaan perlu dikawal agar tidak berlaku pembaziran. Tidak salah membeli kuantiti makanan atau minuman dengan banyak asalkan ia boleh dimanafaatkan oleh orang lain secara sedekah dan ia bukan hanya khusus kepada individu perseorangan. Dalam pada itu, Islam juga mendidik setiap muslim agar sentiasa bersederhana dalam soal pengambilan makanan. Jika diamati dengan teliti, Ramadhan bukan hanya bermotif untuk menahan diri daripada kelaparan dan desakan nafsu syahwat dalam tempoh tertentu, menunaikan solat tarawih dan bersedekah atau mengeluarkan zakat sahaja demi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda tetapi ia juga merupakan bulan pendidikan kesihatan. Skop pendidikan kesihatan tersebut ialah; pertama: pengurangan pengambilan makanan dan minuman serta pengawalan nafsu syahwat. Malah semasa berbuka puasa, pengambilan makanan serta minuman juga perlu dikawal mengikut keperluan jasmani dan bukannya mengikut tuntutan nafsu ammarah (Nafsu yang memerintah). Kedua: memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti i’tikaf dan qiyamullail  sekadar termampu. 

 

Pengurangan pengambilan makanan dan minuman jika sentiasa diutamakan akan turut membantu mengawal kenaikan berat badan dan tekanan darah seseorang. Manakala pengawalan nafsu syahwat dapat membendung diri manusia daripada gejala-gejala yang tidak sihat.  Langkah memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti  i`tikaf dan juga qiyamullail sekadar termampu pula merupakan senaman tambahan disamping meraih pahala bagi mengelokkan system urat saraf dan perjalanan darah. Dalam permasalahan beribadat sekadar termampu di bulan puasa ini, ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan tuntutan bilangan rakaat tarawih sama ada ingin dilakukan sebanyak 8 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat witir ataupun dilakukan sebanyak 20 rakaat dan ditambah tiga rakaat witir selepasnya sepertimana ijtihad Saidina Umar al-Khattab ataupun sebanyak 36 rakaat tidak termasuk witir sebagaimana yang dilakukan pada zaman Umar bin Abdul-Aziz. Timbul kepelbagaian bilangan rakaat tarawih adalah kerana Islam tidak menetapkan bilangan rakaat tarawih khusus yang wajib dilaksanakan. Malah dalam mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah radhiyaAllahu anha: “Rasulullah tidak pernah melakukan solat malam melebihi daripada 11 rakaat sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain”. Mafhum matan hadis ini jelas membuktikan bahawa bilangan rakaat tarawih adalah hak individu sekadar yang termampu dilakukan disamping bersenam dalam ibadat.  Selain itu, keistimewaan Lailatul Qadar tidak wajar disia-siakan begitu saja dan inilah rahmat sebenar kemunculan Ramadhan.  

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: