Archive for August 25th, 2009

Kucing lahirkan tiga ekor anak tupai?

Kucing lahirkan tiga anak tupai http://www.sinarharian.com.my/com/content/story3324283.asp BALING – Pelik tapi benar, itulah yang jarang-jarang berlaku malah tidak pernah terjadi apabila haiwan berlainan jenis iaitu kucing melahirkan anak tupai di sini.Seorang ibu tunggal, Habsah Ismail, 73, berkata, dia terkejut apabila melihat kucing peliharaannya menggigit anak tupai di dalam rumahnya dengan manja dan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.Menurutnya, dia mengekori ibu kucing itu hingga ke dapur dan melihat haiwan itu melahirkan tiga anak tupai dalam tong di rumahnya.“Saya terkejut kerana tidak pernah melihat seekor kucing melahirkan tupai dan hairannya anak tupai itu menyusu seperti anak-anak kucing lain.

“Malah anak-anak tupai itu dengan tiga lagi anak kucing dilahirkan oleh kucing peliharaan saya sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Besah Tok Limbong, di sini.

Habsah berkata, sebelumnya kucing itu berbunyi begitu kuat seperti orang sakit dan tidak berfikir haiwan itu hendak beranak.

“Bagaimanapun, saya menyediakan tong bagi membolehkan kucing itu beranak dan tidak menjenguk sehinggalah apabila melihat kucing itu menggigit anak tupai dan tidak menyangka anak tupai yang digigit itu anaknya sendiri.

“Saya memang terkejut kerana sepanjang hayat saya tidak pernah melihat malah mendengar seekor kucing melahirkan anak tupai sedangkan tupai menjadi musuh apabila bertemu kucing,” katanya.

Habsah berkata, apabila melihat dalam tong itu, dia mendapati kucing itu melahirkan tiga anak tupai dan tiga anak kucing.

Menurutnya, semua bentuk badan dan bulu sama seperti anak tupai cuma ekornya belum kembang, mungkin kerana masih kecil.

“Saya akan memelihara sehingga besar kerana ingin melihat lebih jelas, lagipun ibu kucing itu sangat sayang kerana menjilat dan menyusu anak tupai itu,” katanya.

Towardsmardhatillah: Benarkah kacukan antara dua jenis haiwan ini terjadi dengan kehendak Allah Taala? Mengikut mazhab Maliki, tupai halal dimakan tetapi kucing adalah haram dimakan. Selepas baca petikan berita ini, saya terus garu kepala. Saya teringatkan petikan kitab fiqh di bawah dalam masalah andaian binatang kacukan seperti anjing dan babi dengan binatang-binatang yang halal dimakan dari segi syarak seperti kambing dan sebagainya. Mengikut  kajian saintifik, meskipun berlaku proses mengawan antara babi dan kambing ataupun antara kambing dan anjing ataupun antara kucing dan tupai; semua proses pembiakan kacukan species haiwan-haiwan terbabit tidak akan berlaku.

Semua permasalahan fiqh yang membabitkan proses mengawan antara haiwan-haiwan yang berlainan species dalam kitab itu hanyalah  andaian oleh fuqaha klasik saja. Meskipun ramai yang berpendapat Allah Taala berkuasa atas segala sesuatu (Apabila Dia katakan jadi..maka jadilah),  namun amat mustahil Allah Taala melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan ketetapan dengan fitrah kejadian makhluk ciptaanNya.

 Petikan kitab fiqh itu adalah sepertimana berikut;

 Menurut ulamak Syafie (golongan syafieyyah) dan Hanbali (Hanabilah) apabila sesuatu yang kering terkena badan anjing dan babi yang basah atau terkena anak yang dilahirkan hasil kacukan anjing dan babi atau anak yang dilahirkan hasil kacukan anjing atau babi dengan binatang lain yang halal dalam Islam, maka benda yang terkena itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan yang pertamanya dengan tanah berdasarkan hadis riwayat Ahmad yang lalu.  (Fiqh Islami Wa Adillatuhu oleh Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam bab Najis). Begitu juga dengan kitab al-Tahzib fi Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, Dr Mustahfa Dib al-Bigha, hlm 34-35.

Hukuman Sebat Kartika ditangguh

gambar dipetik dari Berita Harian online

Gambar dipetik dari Berita Harian online

Pada 20 Julai lepas, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pada 18 Ogos lepas, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika ditahan berkuatkuasa hari ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.
http://www.sinarharian.com.my/

towardsmardhatillah:

Minggu lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan keputusan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang. Macam-macam persoalan, takwilan dan andaian yang terbit dari otak rakyat Malaysia yang boleh dianggap kreatif berfikir dalam soal-soal begini. Ada yang tertanya-tanya sejak bila Mahkamah Syariah di Malaysia berminat mengadakan hukuman sebat? Adakah sebelum ini sudah termaktub hukuman sebat bagi peminum arak dalam setiap enekmen rang Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia terutama sekali di Pahang ? Adakah pengaruh PAS yang sentiasa memperjuangkan hukuman hudud sudah mempengaruhi Ketua Hakim Syarie di negeri berkenaan? dan entah apa-apa lagi andaian yang munasabah dan juga tidak munasabah.

Minggu ini rakyat Malaysia sekali lagi gempar bila  keputusan penangguhan hukuman berkenaan dikeluarkan di Kuantan, Pahang atas nasihat Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan kartika terlalu berani kerana tidak mahu menarik kembali pengakuan salahnya seolah-olah mencabar mahkamah syariah. Sebelumnya, alasan penangguhan kerana menghormati bulan Ramadhan merupakan satu alasan yang tidak kukuh. Dari sudut syarak, hukuman hanya boleh ditangguhkan sekiranya individu berkenaan mengalami masalah kesihatan  (sama ada dari segi mental dan fizikal) sahaja. Namun mengikut Kartika, fizikal dan mentalnya sudah bersedia. Terdahulu daripada penangguhan ini, Datuk Shahrizzat Abdul Jalil telah meminta Kartika menarik balik pengakuan salahnya tapi beliau tetap enggan berbuat demikian. Penangguhan hukuman ini seolah-olah membuka peluang kepada Kartika untuk menarik kembali pengakuannya. Dalam perkembangan seterusnya, Datuk Hishamuddin Hussein Onn pula membuat pengakuan ikhlasnya bahawa kes sebegini adalah yang pertama kali berlaku di Malaysia. Beliau juga mengatakan hingga kini hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno terpaksa ditangguh kerana Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai jurusebat bertauliah untuk laksana hukuman syariah.

Bagi saya sepatutnya sudah lama pihak JAKIM mengutarakan permasalahan tauliah ini. Lagikan imam-imam masjid yang terpilih boleh ditauliahkan sebagai juru nikah, mengapa pula tidak ditauliahkan juga juru sebat syariah?

Dalam suasana kalut dan kecoh ini, ramai dikalangan ahli-ahli UMNO tidak senang dengan keputusan hukuman sebat dan keberanian Kartika untuk dihukum. Bagaimana pula jika hukuman ini lama-kelamaan menjadi kebiasaan dalam kehidupan rakyat Malaysia? Bagaimana pula nasib pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak boleh lekang dengan arak? Adakah mereka juga akan turut dijatuhkan hukuman sebat sama seperti Kartika jika tembalang mereka pecah?