Archive for August 27th, 2009

Fatwa Ayatullah Khomaniie

Ajwibah al-Istiftaat

Dalam sekitar pertengahan tahun 2000 dulu, beberapa orang PAS Kelantan termasuk abah saya pergi Iran. Sebelum rombongan berkenaan berangkat ke sana, saya minta kalau boleh tolonglah dapatkan saya buku-buku ilmiah berkaitan dengan ijtihad dan fatwa ulama’ Iran. Bila rombongan ini semua balik ke Kelantan,  saya dihadiahkan buku berjodol “Ajwibah al-Istiftaat” oleh Ayatullah al-Sayyid Ali al-Hussaini al-Khomaniie dan satu set Tafsir al-Mizan oleh al-Imam Thobathobaie.  Buku Ajwibah al-Istiftaat mengandungi dua juzuk, iaitu juzuk pertama himpunan soalan daripada masyarakat awam syiah serta fatwa-fatwa oleh al-Khomaniie berkaitan dengan ibadat. Manakala juzuk kedua pula adalah himpunan soalan mereka dan fatwa berkaitan dengan muamalat (urusan seharian). Walaupun Ayatullah al-Khomaniie bertaraf mujtahid kontemporari, namun beliau tetap mempertahankan segala pandangan serta ijtihad Ayatullah Ruhullah Khomainie yang masih relevan dengan perkembangan semasa. Antara soalan-soalan yang dihimpun dan diajukan kepada beliau ialah ( juzuk 1, hlm 167);

Soalan: Adakah harus hukumnya menunaikan solat  (menjadi makmum) di belakang seorang sunni?

Jawaban al-Khomaniie: Harus solat secara berjamaah bersama mereka (golongan sunnah) jika bertujuan menjaga penyatuan Islam.

Soalan: Tempat kerja saya terletak  di salah sebuah kawasan masyarakat Kurdish. Kebanyakkan imam-imam solat jumaat dan juga para jamaah di sana terdiri daripada kalangan ahli sunnah. Apakah hukum menjadi makmum di belakang mereka? Apakah harus memburuk-burukkan (mengumpat) mereka?

Jawaban al-Khomaniie: Tidak ada masalah untuk turut menunaikan solat jumaat bersama mereka (ahl Sunnah). Adapun dalam masalah memburuk-burukkan ahl sunnah, maka jauhilah perkara tersebut.

petikan soalan jawab fatwa

Fatwa ini juga membuktikan bahawa pimpinan tertinggi mazhab Syiah Imamiyyah sentiasa mendidik masyarakat awam syiah agar sentiasa berbaik-baik dengan golongan ahl Sunnah. Hanya golongan syiah yang menyeleweng saja yang sentiasa nekad memusuhi golongan ahl Sunnah. Begitu juga sebaliknya dengan ahl Sunnah.