KULIAH RAMADHAN: Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan

 

 KOTA BHARU BANDARAYA ISLAM

و انه لذكر لك ولقومك  و سوف تسألون

 

“Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar merupakan suatu kemuliaan besar  bagimu dan juga kaummu dan kelak kamu akan dipersoalkan”  (dipertanggungjawab tentang perlaksanaan haknya).

 

Ketika Allah S.w.t menjadikan Islam sebagai rahmat buat alam semesta; ketika Allah Swt menghendaki umat Islam menjadi umat terbaik; ketika Allah Swt menghendaki agar umat Islam mampu memikul amanah untuk memimpin dunia ini; ketika Allah menghendaki agar umat Islam menjadi saksi bagi seluruh umat manusia, maka ketika itulah Allah Taala mempersiapkan umat Islam sedemikian rupa agar mereka ini layak menjadi umat yang terbaik.  Antara langkah-langkahnya ialah pembentukan manusia yang bertaqwa. Pembentukan manusia bertaqwa inilah yang banyak dilupakan oleh manusia, sehingga ukuran kemajuan atau ukuran kesejahteraan hidup diukur dengan paradigma material. Lupa bahawa manusia itu bukan hanya dari unsur material sahaja, tetapi manusia mempunyai nurani yang harus diperhatikan, yang harus dibina sehingga dapat menjadi manusia terbaik. Oleh kerana itu kemunculan Ramadhan merupakan suatu proses pemurniaan rohani dalam rangka untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia ini.

 

Dalam bulan Ramadhan banyak sekali kebajikan Ilahi yang patut kita perolehi, agar semasa kita keluar dari bulan Ramadhan dalam keadaan kita benar-benar merupakan manusia terbaik, berkualiti dan berprestasi tinggi. Oleh itu, marilah kita berusaha benar-benar untuk memahami puasa itu sebagaimana yang diharapkan oleh Allah Swt.

 

Pertama, puasa membentuk manusia yang berupaya mengawal diri sendiri. Mengapa? Kerana puasa ada kaitannya dengan keimanan seseorang. Seorang individu mampu mengatakan dirinya sedang berpuasa sekalipun sebenarnya tidak. Lantaran ini harus difahami bahawa puasa merupakan ibadat yang bersifat rahsia(ibadah sirriyyah); rahsia seorang hamba dengan Penciptanya (al-Khaliq). Dalam sebuah hadith Qudsi, Allah Taala mengatakan:

 

كل عمل ابن آدم له  الا صيام . فانه لي و انا أجزي به

Mafhumnya: 

 

Setiap amalan manusia untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Akulah  yang memberi balasannya

 

Persoalannya adalah; apakah amalan selain puasa tidak dibalas Allah? Jawabannya sudah tentu dibalas. Tetapi kenapa dalam masalah puasa Allah menegaskan bahawa Dia yang akan membalas seolah-olah amal ibadat lain bukan Allah yang membalasnya?  Ini merupakan isyarat rabbaniyah bahawa amalan manusia yang dikenali dengan istilah “puasa” benar-benar insya Allah akan dijamin diterima Allah. Ini kerana puasa itu merupakan ibadat sirriyyah dimana orang tidak mengetahui dan tidak melihat ketika dia berpuasa. Maka ibadat sirriyyah itu adalah amat dekat dengan keikhlasan. Disamping itu, syarat agar sesuatu amalan diterima Allah selain daripada ia perlu selaras dengan ajaran Rasulullah, ia juga harus ikhlas.

 

Puasa mendorong kita agar lebih cenderung ke arah nikmat kesenangan di akhirat tanpa menolak kesenangan duniawi secara total. Ini kerana nikmat kesenangan ukhrawi ianya bersifat kekal. Adapun nikmat duniawi hanya lebih bersifat sementara walau dalam bentuk apa sekalipun. Contohnya; kalau kita memiliki isteri yang cantik, sudah tentu kita gembira dan senang hati dengan kecantikan yang dimilikinya itu. Namun apakah kemungkinan akan terjadi selepas umurnya meningkat hingga 60 tahun? Sudah pasti kecantikan tersebut semakin luntur kerana sudah menjadi fitrah segala ciptaan Allah di alam duniawi, semua makhluk tidak bersifat kekal. Sudah tentu kita berfikir untuk mencari yang lebih muda lagi. Kenapa? Kerana kenikmatan duniawi pastinya terbatas. Maka adalah lebih baik jika segala makanan, minuman, isteri dan segala apa yang halal di sisi syarak yang merupakan kenikmatan duniawi kita gunakan untuk mencapai kenikmatan ukhrawi. Bagaimana? Sudah tentu dengan cara menggunakan segala nikmat duniawi itu mengikut cara yang diredhai Allah S.w.t. Kalau dilihat situasi Negara kita yang sering dilanda berbagai bentuk rusuhan, sudah tentu berbagai bentuk soalan akan muncul di fikiran kita. Mengapa jadi begitu? Bila jadi begitu? Siapa yang terlibat sama? Berapa orang yang meninggal dunia? Ada orang yang ingin menjatuhkan orang lain dan ada orang yang khuatir kalau-kalau dijatuh. Jika keadaan sebegini berlarutan, apatah kehidupan ukhrawi, kehidupan duniawi pun entah ke mana.

 

Para hadirin sekalian,

 

Puasa juga turut berperanan melahirkan manusia-manusia yang benar-benar mempunyai kepekaan sosial yang tinggi. Situasi ini pernah wujud di zaman Rasulullah.  Masyarakat yang ada pada ketika itu merupakan masyarakat yang begitu peka dengan sebarang bentuk kemungkaran. Mereka begitu komitmen dengan ajaran Allah dan memiliki kepekaan social yang amat tinggi.  Keadaan ini berterusan hingga ke zaman tabi`in dan seterusnya ke zaman tabi`it tabi`in.  Cuba tanya diri kita sendiri, adakah masyarakat Islam disekeliling kita hari masih lagi sebagaimana masyarakat di zaman Rasulullah atau di zaman tabi`it tabi’in? Kalau ada, berapa peratus agaknya? Pada zaman dulu, kalau kita mengerjakan solat jamaah di masjid, kemudian didapati jiran tetangga kita tidak hadir ke masjid. Maka selepas selesai solat, para jamaah akan terus menziarahi individu yang tidak hadir solat jamaah tadi seolah-olah dia adalah orang mati sehingga perlu diucapkan ta`ziyah. Seandainya kita dita`ziyah kerana tidak hadir solat berjamaah di masjid, maka secara tidak langsung kita sudah dimotivasikan oleh ucapan ta`ziyah tersebut untuk selalu hadir solat berjamaah di masjid. Macam mana agaknya keadaan masyarakat Islam pada masa sekarang?

 

Inilah kepekaan istimewa yang wujud dalam jiwa kita sekiranya kita menghayatinya. Jangan pula ada dikalangan kita yang memandang berat terhadapnya hingga ada yang sanggup tidur sepanjang hari dibulan puasa.  Jika dilihat dari sudut sejarah, Rasulullah, para sahabat dan para tabi`in kerapkali menggunakan bulan ini untuk berjihad di jalan Allah. Antaranya ialah perang Badar, Fathu Makkah dan lain-lain lagi. Mereka ini semua bukan sahaja memperolehi kemenangan, malah mereka juga mendapat pahala yang berlipat ganda serta mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah Taala.

 

Firman Allah:

 

واعلموا انما غنمتم من شيء فأن لله خمسه و للرسول ولذي القربى و اليتامى والمساكين و ابن السبيل ان كنتم  ءامنتم  بالله و ما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان.

 

Mafhumnya:

Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu perolehi sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn sabil, jika kamu beriman kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu hari bertemunya dua puak (muslimin dan musyrikin).( surah al-Anfal, ayat, 41).

 

Para hadirin sekalian,

Cukuplah setakat sebagai renungan untuk kita bersama. Mudah-mudahan kita akan diberkati Allah sempena bulan yang mulia ini. 

 

والله أعلم بالصواب

Dipetik dari buku Ihya’ Ramadhan terbitan Lajnah Tarbiyah dan latihan Perkaderan PAS Kelantan, hlm 38-41.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: